Monday, February 16, 2009

Susupan Petang

Gambar Bogel Elizabeth Sudah Kecoh

Berkaitan: Saya baru menerima email kenyataan media dari Ketua Wanita Keadilan, Zuraidah Kamaruddin yang mengutuk pengedaran gambar bogel Elizabeth Wong. Berikut disiarkan sepenuhnya, tanpa edit:

Kenyataan Media
16 Februari, 2009


Pencabulan Hak Asasi Wanita

Wanita KeADILan mengutuk sekeras-kerasnya taktik keji, kotor dan mencemar nama baik mana-mana wakil rakyat wanita atau lelaki dari mana-mana kumpulan atau parti politik tanpa kewajaran yang munasabah. Gambar-gambar peribadi seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat telah diedar dan disebarkan kepada orang ramai, khususnya wartawan, sejak semalam.

Tindakan jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini melangggar hak asasi wanita dan merendahkan hak kemuliaaan insan. Tindakan ini merupakan satu gangguan seksual yang boleh didakwa di Mahkamah.

Wujud juga precedent Mahkamah untuk mensabitkan kesalahan merakam tanpa izin dalam kes yang melibatkan seorang artis Malaysia . Pesalah telah dihukum penjara.

Negara kita sedang menghadapi krisis ekonomi, sosial dan politik. Kemelut ekonomi menunjukkan kadar pengangguran yang meningkat, pemberhentian pekerja yang terus bertambah dan permintaan pasaran yang menjunam. Gejala-gejala sosial semakin ketara dan membimbangkan. Permainan kotor yang menimpa wakil rakyat wanita Pakatan Rakyat ini berniat jahat sekaligus menambahkan kekusutan suasana politik negara. Perbuatan dalang-dalang politik ini sengaja mencipta isu-isu remeh yang bertujuan melencongkan perhatian wakil rakyat dari menjaga kepentingan dan urusan rakyat.

Wakil-wakil rakyat seharusnya menitikberatkan isu-isu yang mencengkam rakyat seperti pemilikan tanah, perumahan yang mengecewakan, kos kehidupan yang tinggi, masalah kemiskinan rakyat yang telah meningkat dan seribu satu permasalahan rakyat.
Apakah motif tindakan yang menjatuhkan maruah ini? Adakah ia suatu tindakan
bermotif politik?

Adakah ini juga salah satu siri dalam gerakan mencemar maruah wakil-wakil rakyat negeri Selangor yang mempunyai tujuan tertentu?

Pembelaan dan siasatan rapi yang profesional adalah dituntut daripada pihak polis supaya pihak yang tidak bertanggungjawab ini diheret ke muka pengadilan dengan kadar segera.
Pencabulan hak asasi dan peribadi ahli politik atau mana-mana rakyat bukanlah adat dan amalan bermasyarakat yang murni dan berakhlak mulia. Rakyat Malaysia yang beradab dan sedar perlu bangkit dan bersatu mengecam perbuatan durjana yang memalukan ini.

Hajah Zuraidah Kamaruddin
Ketua Wanita
KeADILan16 Februari, 2009



[kemaskini] SEMUA pihak kena bersabar menunggu kesudahan isu edaran foto bogel Elizabeth Wong. Polis sudah pun memulakan siasatan akan memanggil wartawan Malay Mail yang menerima gambar berkenaan. Wartawan berkenaan pasti tahu siapa dia pengirimnya. Kalau wartawan itu menyiarkan tanpa mengenali maka jelas dia telah melakukan satu kesalahan besar dan sebagai bersengkokol dengan kospirator politik untuk menjatukan Elizabeth dan memalukan kerajaan Pakatan Rakyat.

Apakah tujuan wartawan itu memberi tahu Elizabeth sebelum menyiarkannya?

Elizabeth juga tahu siapa yang berkemungkinan mengambil gambar itu. Kalau benar ianya dirakam dalam rumahnya, di Bukit Gasing pasti Adun berkenaan tahu sesiapa yang berada di dalam rumahnya. Bagi tahu nama itu kepada polis biar polis cari. Kes ini perlu dipercepatkan memandangkan ia sudah merebak jauh dan menjadi minat semua orang.

SEKARANG ini kecoh dengan cerita gambar separuh bogel Exco Selangor, Elizabeth Wong yang diedarkan kepada umum dan juga menerusi MMS dan internet. Sejauh mana kebenaran sukar untuk dinyatakan sebab sehingga kini saya masih belum melihat gambar berkenaan - sejauh mana bogelnya!

Elizabeth sudah pun membuat laporan polis di balai Polis Damansara jam 11: 00 pagi tadi berhubung pengedaran gambar berkenaan. Berita mengenai gambar itu kini sudah memasuki beberapa pasaran politik terkemuka negara. Dia juga mengaku menjadi mangsa keadaan (politik).

Kemungkinan gambar yang diedarkan itu ketika Adun Bukit Lanjan itu sedang tidur atas kerusi dan dalam keadaan intim dengan bekas kekasihnya. Siapa kekasihnya itu? Ianya bersifat personal. Tetapi kerana Elizabeth adalah seorang wakil rakyat maka gambarnya itu dikomersil dan dijadikan isu.

Pada 6 Februari lepas saya sudah mendengar cerita mengenai Elizabeth ini dari seorang bekas seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris. Apa yang saya dengar hari itu bukan setakat itu saja, tetapi lebih dari itu itu. Dia disebut mempunyai skandal! Bila saya ajukan kepada seorang rakan media lain mengenai Elizabeth itu, kata kawan itu ia tidak ada masalah, sebab kehidupan begitu sudah biasa bagi Elizabeth! Saya tidak faham kenapa teman media itu berkata begitu dan apakah juga maksud kata-katanya itu.

Sejak mula saya mendapat maklumat itu sudah timbul dalam kepala, kes Elizabeth ini akan menjadi isu panas. Umno Barisan Nasional (UBN) akan mengambil kesempatan sepenuhnya. Kerajaan Selangor sedikit sebanyak akan bergoncang. Atau setidak-tidaknya Khalid Ibrahim akan jadi panas punggung dan panas hati dengan isu ini. Nampaknya apa yang saya bimbangkan itu sudah menjadi kenyataan. Hari ini isu gamabr bogel itu sudah benar-benar panas, ia juga sudah sampai ke pengetahuan Khalid Ibrahim yang mengatakan ia akan dirujuk kepada pucuk pimpinan PKR.

Bekas MB Selangor, Khir Toyo sudah desak supaya Elizabeth letak jawatan Exco dan kosongkan kerusi Bukit Lanjan. Katanya apa yang menimpa Elizabeth itu memalukan PKR. Jadi untuk membersihkan PKR Elizabeth kena letak jawatan. Cepat sangat Khir menjatuhkan hukuman. Khir jangan cepat sangat dalam melihat keburukan orang. Cuba berpaling ke diri kita tengok apa yang ada tertampal di sekeliling kita. Baik dan bersih sangat ke diri kita itu?

Bagi saya Khir juga patut kosongkan kerusi Sungai Panjang yang disandangkan kini. Kalau beliau seorang yang bersih dan bertanggungjawab beliau harus ambil tanggungjawab dengan apa yang dilakukan isterinya, Zaharah Kechik berhubung dengan wang persatuan isteri-siteri wakil rakyat Selangor itu bernilai jutaan ringgit itu. Kes wang itu kini dalam siasatan BPR. Jadi kalau Khir bertanggungjawab dan nak bersihkan Umno beliau juga kena kosongkan kerusi. Elok kalau Khir kosongkan serentak dengan Elizabeth Wong.

Berbalik kepada isu Elizabeth tadi, elok kalau PKR menyiasat apa yang berlaku. Sekiranya Elizabeth telah melakukan perbuatan tidak bermoral beliau hendaklah diambil tindakan. Jangan kerana sayangkan kerusi maka PKR dan kerajaan Pakatan Rakyat berkompromi dengan Eizabeth. Seorang wakil rakyat adalah pemimpin, dan pemimpin hendaklah bukan saja perlu kelihatan bersih tetapi kena bersih. Kalau zahir nampak bersih tetapi dalam tidak bersih itu hipokrit namanya. Rakyat tidak sanggup dipimpin oleh pemimpin yang rendah moral.

Dalam soal ini bukan soal kerusi atau kedudukan tetapi yang lebih penting ialah menjaga intergriti PKR dan juga kerajaan Pakatan Rakyat. Pengakuan Elizabeth dia adalah mangsa politik tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan begitu saja isu ini. Seorang wakil rakyat harus menjaga keperibadian dan intergriti dirinya. Kalau dia sudah tercemar maka elok berundur dan kosongkan kerusi. Bukan saja Elizabeth tetapi mana-mana Adun lain juga.

Begitu juga jika ianya diperangkap dan dijadikan isu tidak boleh salah UBN kerana itu adalah kerja mereka. UBN akan mengambil apa saja kesempatan yang boleh digunapakai untuk memburukan Pakatan Rakyat semahu-mahunya. Bagi mereka atau politik yang sejenis dengannya mereka tidak akan peduli soal halal dan haram lagi.

Dalam kes-kes seperti ini tida timbul soal menjadi mangsa, diperangkap ataupun dianiaya. Yang pentingkan wakil rakyat kena jaga maruah dan jaga diri sendiri. Jangan mendedahkan diri kepada keadaan yang boleh eksploitasikan oleh pihak musuh. Selalunya dalam kes-kes terperangkap seperti ini kenapa ia terjadi ialah kerana wakil rakyat mendedahkan diri mereka ke dalam perangkap sebegitu.

Banyak contoh kalau hendak disebut. Sepatutnya semua itu dijadikan iktibar dan peringatan. Nampaknya bahaya ini seperti diabaikan oleh kebanyakan wakil rakyat. Dan bagi saya kata-kata Elizabeth yang gambar itu diambil semasa dia tidur bukan jawaban yang membebaskan dia daripada permasalahan itu. Kerana kalau dia mengikut peraturan dan adat-adat tidur yang sebenarnya mungkin kejadian itu boleh dielakkan. [wm.kl. 6:15 pm 16/02/09]

1 comment:

zainal said...

saya merujuk pada Bab 11, buku saudara Sumpah dan Air Mata Refomasi Bangsa...
"Kalau sudah ada bara perjuangan didalam diri dan jiwa seseorang, dia tetap terus akan berjuang walaupun dimana ia berada. Dia akan terus nekad dengan perjuangannya bagaimana susah dan payah sekali pun. Seorang pejuang sejati tidak akan mudah putus akan dan merasa lemah terhadap apa juga tidakan dan halangan keatasnya. Pejuang sejati akan sanggup dan rela merempuh segala cabaran yang mendatang. Rasa takut, gentar dan kecut perut tidak ada dalam perkamusan seorang pejuang....(tapi tidak ada pada Elizebert Wong.)