Saturday, February 7, 2009

Formula Adil

Untuk Hentikan Kemelut Politik Perak
Percepatkan Proses Mahkamah

APABILA Pengerusi DAP, Karpal Singh bercadang untuk menyaman Sultan Perak dan Menteri Besar Rakyat, Mohamad Nizar Jamaluddin pula hedak saman Menteri Besar Perak yang baru, Zambry Kadir, pihak yang merasai menang dan mendapat manfaat dengan rampasan kuasa di Perak ramai-ramai mengatakan perbuatan itu biadap. Langkah itu dikecam hebat kononnya perbuatan itu menghina Raja.

Maka dicaci cercalah orang yang melakukan ‘kebiadapan’ itu dengan macam-macam cacian dan sumpah seranah yang pedih telinga mendengarnya.

Ada yang mencadangkan supaya anugerah Datuk kepada Nizar Jamaluddin ditarik balik dan ada juga yang mencabar supaya Niazar dan Pakatan Rakyat supaya meninggalkan negara ini. Semua itu menunjukkan kepalang kemarahan kepada Karpal Singh, Nizar dan Pakatan Rakyat. Sekali lihat perasaan marah itu sangat melampau dan seolah pemikiran mereka lebih rendah daripada tahap pemikiran budak-budak pre sekolah.

Sekarang ini perang psikologi sedang berlaku bukan saja di Perak tetapi sudah merebak ke seluruh negara hatta ke Singapura. Bukan perang untuk mendapat kedudukan (kuasa) sebenarnya, tetapi perang untuk mempengaruhi rakyat dan mengambil hati rakyat. Ia berlaku antara Umno dengan Pakatan Rakyat. Kedua pihak masing-masing mahu momentum situasi hari ini berpihak kepada masing-masing kerana itulah bekalan dan senjata perang yang baik.
Bekalan dan modal ini akan disimpan untuk digunakan pada perang lebih besar dalam pilihan raya ke – 13 nanti.

Saya percaya Nizar yang sudah menyembahkan sembah derhaka itu tidak memimpikan lagi jawatan MB selepas ini. Kalau pun Pakatan Rakyat dapat menguasai semula DUN Perak, beliau sudah dapat merasakan tidak mungkin akan diterima semula menjadi MB. Disebabkan menurut perlembagaan Perak seseorang MB kena angkat sumpah di depan Sultan, mustahil Sutlan Azlan Shah bersedia untuk menerimanya. Makanya Pakatan ketika itu kena cari sultan baru untuk angkat sumpah!

Jadi apa yang beliau dan sedang dilakukan sekarang ini adalah mencari satu jawaban kepada apa yang dipercayai dari sudut perlembagaan dan undang-unang yang beliau yakin atas nasihat dan pandangan para pakar perlembagaan dan perundangannya.

Menurut Nizar beliau tidak akan berhenti menjadi MB. Nizar tahu kalau pun dia masih terus menjadi MB, dia tidak dapat manfaat apa-apa pun. Dia tidak akan menerima gaji, imbuhan dan apa-apa kemudahan kerana semuanya sudah menjadi milik dan hak kerajaan BN, kereta Camry baru pun mungkin sudah diserahkan. Nizar tahu itu. Tetapi apa yang dicari ialah kata pemutus yang mutlak dan boleh diyakini rakyat.

Jadi apa yang beliau perlakukan ialah mahukan keputusan itu saja. Begitu juga dengan cadangan Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak itu bukan apa melainkan beliau ingin mahkamah dan undang-undang memutuskan apa yang berlaku di Perak itu.

Di sini tidak timbul soal kedua mereka, Nizar, Karpal dan juga Pakatan Rakyat derhaka kepada Sultan atau menghina sultan. Tidak timbul yang Nizar sudah meroyan! Menderhaka dan menghina sultan itu diterjemahkan oleh Umno dan BN saja atas sebab-sebab semua faham kerana ia memberi keuntungan kepadanya.

Saya percaya kalau DUN Perak dibubar dan pilihan raya diadakan kemelut ini tidak berlaku dan politik Perak tidak jadi seperti tempoyak yang semakin membusuk dan berulat kini. Maruah semua pihak tidak akan terjejas. Sultan tidak tercemar namanya dan tidak akan berlaku baling dan merejam kereta oleh rakyat seperti dilaporkan.

Pihak Umno dan BN sendiri juga tidak rugi apa-apa kalau DUN dibubarkan. Kalau benar rakyat menyokong mereka, apa yang mereka perlu takutkan? Tetapi dengan mendapat kuasa dan MB dengan cara sihir bodoh, yang diprejudis dengan berbagai teknik dan strategi jahat begitu tidak boleh diterima.

Begitu juga dengan beranggapan Sultan Perak sebagai bekas Ketua Hakim Negara, pakar perundangan dan amat bijaksana serta amat arif yang mana tidak mungkin silap dan tindakan baginda itu sebagai ideal, adalah kurang betul dan kurang tepat. Kebenaran itu tidak boleh diterima hanya sekadar andaian ataupun berpandukan kepada akhlak baginda sebelum ini.
Lagipun suasana yang berlaku kini tidak pernah terjadi. Sekiranya ianya pernah berlaku maka mudahlah untuk diterimanya dan keabsahannya tidak perlu dipersoalkan lagi.

Jika keadaan demikian pernah berlaku, maka tidaklah sampai begitu jadinya. Orang Pakatan Rakyat, Nizar dan Karpal Singh juga bukan orang yang buta atau jahil dengan perundangan. Dalam hal ini kalau umum menerima apa yang dilakukan sultan itu atas anggapan beliau adil, tidak pernah buat silap adalah satu kesilapan. Kebenaran tidak menjadi benar apabila ia diucapkan oleh mereka yang berkuasa!

Generasi negara ini sudah berubah. Hari ini orang-orang yang makan bersela atau duduk bersimpuh juga sudah berubah. Semuanya kini makan di meja atau makan berdiri. Jadi mereka sudah tidak boleh dikabui dengan kuasa dan daulat yang mereka tidak nampak lagi atau adab resam yang sukar untuk diterima oleh pemikiran moden. Lainlah kalau mana-mana raja atau sultan dapat menunjukkan sakti mereka seperti mana dalam cerita-cerita komik baru rakyat boleh setuju dan patuh membuta tuli.

Benar kata Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, atas nama Islam setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan dan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan di akhirat kelak. “Ini bukan soal Melayu (menderhaka) tetapi dalam Islam, raja atau rakyat, orang bandar, orang kampung tidak kira raja, tok guru setaraf semuanya. Dan mereka bertanggungjawab kepada Allah diakhirat kelak.”

Penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kemelut di Perak ialah biarlah mahkamah membuat keputusan. Proses saman yang dikemukakan Karpal Singh dan Nizar Jamaluddin itu perlu dipercepatkan. Sekiranya mahakmah sudah memutuskan dan didapati tindakan Sultan itu betul dan tidak bercanggah semua pihak harus terima dan hormat kepada keputusan itu.

Selepas itu terserahlah nanti kepada budibicara dan bijaksana kesemua 28 Adun Pakatan samada mereka perlu berada berada di Dewan atau pun bersedia meletakkan jawatan bagi membolehkan Adun baru dipilihkan. Bagi saya kesemua 28 Adun PKR itu tidak wajar lagi memasuki Dewan setelah mahkamah memutuskan bahawa proses rampas kuasa di Perak itu berlaku dengan betul dan tidak menyalah mana-mana undang-undang.

Sebaliknya kalau mahkamah memutuskan sebaliknya maka sultan dan kesemua 28 Adun Umno hendaknya menerimanya dengan terbuka dan redha.

Soal tuduhan derhaka dan menghina raja yang dilemparkan oleh sesetengah pemimpin Umno itu, saya tidak mahu mengomen apa-apa cuma ingin mengingatkan supaya mereka ramai-ramai ke arkib negara membelek semula surat khabar dan jurnal membaca semula segala peristiwa yang berlaku pada tahun-tuhun 80-an dulu bagaimana sikap dan fiil pemimpin kerajaan BN Umno mengkritik raja-raja Melayu ketika berlaku krisis perlembagaan waktu itu. [wm.kl 7:00 pm 07/02/09]

6 comments:

Anonymous said...

Salam tuan haji MSO...

Pada saya mudah saja untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku di Perak. Tuanku sultan perkenan bubarkan dewan dan berikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan sama ada BN atau PR memerintah di negeri Perak.

Persoalannya di sini ialah:

Beranikah pemimpin tertinggi dalam BN menghadapi pilihanraya di Perak sekiranya dewan dibubarkan jika berdasarkan prestasi dua piliharaya yang lalu (Permatang Pauh dan Kuala Terengganu)?

Berdasarkan keadaan semasa di Perak, tidak mustahil akan ada kerusi lain yang dimenangi oleh pembangkang selain kerusi yang telah dimenangi kecuali BN melakukan sesuatu yang di luar etika dan moral kerana BN sememangnya telah terkenal dalam menghalalkan apa sahaja cara untuk memenangi pilihanraya.

sekian.

msmuri
Papar, Sabah.

Anonymous said...

Salam,

Ulasan-ulasan saudara MSO tentang kriris Perak (Tempoyak) ini wajar, berimbang, dan adil.

Saya cuba meramal apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran Sultan Azlan ketika baginda memutuskan tidak memperkenankan pembubaran DUN oleh mamanda MBnya. Baginda begitu arif dalam undang-undang.

Ramalan saya ialah semata-mata kerana menjaga kepentingan Melayu, dan bukan Islam. Nampaknya Kerajaan Pakatan Rakyat itu tidak direstui baginda sejak dari awal. Namun kerana majoriti yang diperoleh maka pihak istana tiada pilihan lain, selain memperkenankan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Nampaknya Sultan dalam mengambil keputusan ini gagal membaca arus perubahan politik yang sedang melanda negara. Kelihatannya pihak istana telah terpisah jauh daripada denyut dan nadi rakyat baginda sendiri.

Baginda juga melupai bahawa majoriti Melayu Perak tidak seperti di Kelantan, terengganu, Kedah, dan Perlis. Perak menjadi negeri kedua selepas pulau Pinang.

PRU12 memperlihatkan majoriti kaum bukan Melayu telah "swing" kepada PR - telitilah majoriti yang diperoleh oleh DAP.

Persoalannya bukan ideologi DAP yang menyebabkan mereka "swing" tetapi bagi masyarakat Cina, mereka telah menolak parti-parti Cina dalam BN, jadi yang tinggal hanyalah DAP.

"Swing" ini berlaku lebih kerana adanya gabungan antara PAS, PKR, dan DAP. Mereka berasa yakin bahawa dengan dasar Islam PAS dan ketuanan rakyat yang dipelopori oleh Anwar, dan Anwar sebagai faktor pemersatu, maka mereka mengalih sokongan. Mereka mahu berubah dan dilayan sebagai warganegara yang selayaknya dilayan.

Kita sangat bimbang dengan gagalnya istana bersikap berkecuali dalam hal ini memrpetajamkan soal perkauman. Jika dahulu, mereka cenderung beranggapan kepada sifat rasis UMNO, kini kemungkinan timbul anggapan sikap rasis ini dianuti juga okleh istana. Mereka diam bukan bermakna mereka tidak menilai. Mereka tidak terlibat dalam protes di masjid Ubudiyah, tetapi adakah mereka hanya menjadi pemerhati pasif. Saya rasa tidak.

Jadi, kita lihat bagaimana rakyat bangkit terhadap keputusan yang membelakangi undang-undang dan perlembagaan.

Sesungguhnya protes ini dijangkakan oleh istana memandangkan Raja Azlan dan Raja Muda yang cuba memprojeksi bahawa istana tetap relevan.

Namun apabila kita membuat penilaian bahawa istana gagal memisahkan antara faktor kaum dengan fakta undang-undang yang memyebabkan baginda terkeliru dalam membuat keputusan.

Dan yang tragisnya keputusan ini tidak dapat ditarik balik dan masa tidak dihentikan untuk memutar balik sejarah.

Oleh sebab raja juga seorang manusia, baginda boleh terkhilaf. Sebagai manusia baginda harus bertanggungawab terhadap keputusan yang baginda ambil.

Palitan hitam terhadap istana ini tidak mudah dilupai oleh rakyat kerana berlakunya pada zaman moden yang nilai-nilai feudalisme telah pun mulai menghilang.

Ironinya palitan hitam ini juga angkara kerakusan dan sifat brutal UMNO.

Wassalam

Anonymous said...

Disebabkan menurut perlembagaan Perak seseorang MB kena angkat sumpah di depan Sultan, mustahil Sutlan Azlan Shah bersedia untuk menerimanya. Makanya Pakatan ketika itu kena cari sultan baru untuk angkat sumpah! - itupun kalau sultan azlan hidup lagi la...

firdaus
k.kangsar, perak

Anonymous said...

Sekadar petikan dari filem Hang Tuah dengan Jebat berkata "Raja adil Raja di sembah,Raja Zalim Raja di sanggah","Tuah telah tiada",Jebat mahu menuntut bela". Tetapi hari ini kan rakyat biasa seperti kita ini tidak perlulah menjadi seperti Jebat untuk menuntut bela,nanti lain jadinya pula.Hanya perlu percayakan pada sistem KEHAKIMAN yang diiktiraf adilnya dalam menangani situasi hari ini yang kadangkala rumit itu.

Anonymous said...

Tuan MSO,

Saya harap tuan boleh menulis secara kritis apa yang berlaku pada tahun 80-an dulu berkaitan sifat dan fiil pemimpin kerajaan UMNO. Saya generasi penghujung 80-an tidak berkesempatan untuk megetahuinya. saya rasa ramai sahabat-sahabat saya turut berminat untuk mengetahuinya.

Terima kasih Tuan.

Anonymous said...

Sebagaimana yang tuan MSO fikirkan. 28ADUN PR.. letak jawatan saja, biarkan rakyat menghakimi status anda semua. Jika majoriti yang diberikan kepada anda adalah banyak gila - berlipat kali ganda dari majoriti 8MAC08.. maka seharusnya ia akan menjadi indikasi kepada UMNO dan pihak istana perak. rakyat seluruh negara akan menilainya.. kemenangan yg mungkin akan diperoleh semula di semua 28 DUN akan menjadi kemenangan moral.. kalo la menang..

berkenaan impak nasional.. Mungkin ini satu lagi peluru PR untuk membunuh UMNO.. kunci BN sekarang adalah UMNO.. buruk UMNO.. hancurlah BN.. demam PERAK akan berjangkit ke Sarawak.. mungkinkah disana akan ada sinar baru utk PR.. mungkinkah BN sudah ada strategi untuk membasuh noda yang mereka mandikan ditubuh mereka di negeri perak darul ridwan..?

win a battle.. lose a war...??

nawi kutan tengah