Keberanian Pemuda Umno Biarlah Profesional dan Beradat
NEGARA memang memerlukan pemuda yang berani untuk mempertahankan maruah agama, nusa dan bangsanya. Tanpa keberanian sesuatu bangsa itu akan dilanyak dan dipersendakan sepanjang masa. Bangsa itu akan diinjak-injak. Pemuda yang berani juga adalah pahlawan negara. Mereka juga menjadi benteng kepada kesejahtraan negara.
Tetapi keberanian itu bukan keberanian bodoh, gedebe atau samseng, sebaliknya keberanian bertatasusila dan bertamadun serta bijaksana.
Keberanian beradat dan keberanian yang memiliki akal budi yang luhur nan terpuji. Keberanian yang berpijak di bumi nyata dan rasional.
Singa dan harimau di dalam rimba juga berani. Tetapi keberanian itu tidak boleh diikhtiraf kerana ia meceroboh hak asasi orang lain. Berani mereka tidak berhati perut dan berani tidak disulami dengan ilmu-ilmu kemanusiaan dan lain-lainnya.
Perompak, lanun dan kaki pukul juga berani. Tetapi keberanian itu tidak ada moral. Mereka berani kerana diupah dan diberi baksis sesen dua. Keberanian mereka bertongkatkan kepada perut. Mereka menggunakan keberanian untuk mengisi perut dan bukan menjaga agama, bangsa dan negara. Keberanian begitu bukan sejati. Keberanian kumpulan itu yang boleh membawa ketidakamanan kepada negara dan huru hara kaum. Ada kalanya keberanian itu membelakangkan undang-undang dan lebih bersifat bersultan di mata beraja di hati.
Di parlimen petang tadi sekumpulan pemuda telah menunjukkan keberanian menyerang ahli Parlimen Bukit Gelugur, Karpal Singh. Mereka mengepung Karpal yang duduk atas kerusi roda sewaktu hendak memasuki ke Parlimen bagi menjalankan tanggungjawabnya.
Kumpulan itu marah dengan Karpal Singh ekoran ahli parlimen itu mengatakan celaka kepada pemuda Umno di Parlimen semalam. Karpal berilusi bahawa pihak yang mengirimkan dua butir peluru hidup kepadanya baru-baru ini adalah pemuda Umno. Mungkin kumpulan pemuda seramai 10 hingga 20 orang itu kalangan Pemuda Umno sebab itulah mereka marah sangat dengan Karpal.
Walaupun Karpal sudah menarik balik kata-kata itu atas arahan timbalan Speaker Wan Junaidi Tuanku Jaafar namun kumpulan berkenaan tidak berpuas hati sehingga mengepung Karpal. Adalah hak pemuda Umno untuk mempertahankan maruah mereka. Tetapi caranya bukan seperti kumpulan berkenaan lakukan.
Masih ada cara yang lebih lunak yang boleh memberi gambaran ketinggian pemikiran dan akal budi pemuda Umno. Ia sepatutnya dilawan dengan kenyataan akhbar saja dan bukan cuba beradu kekuatan fizikal.
Lagipun apa yang diucapkan Karpal itu bukan pertama kali, sebaliknya sudah kerap berlaku perkataan-perkataan un parlimentarian disebut di Parlimen. Bukan saja dari kalangan pembangkang tetapi ahli Parlimen kerajaan juga galak melakukannya.
Pun begitu belum pernah berlaku pertengkaran dalam dewan terbawa ke luar. Masing-masing masih menjaga kemuliaan dewan dan biasanya pertengkaran itu akan berakhir di Dewan saja.
Pemuda Umno atau sesiapa pun boleh membantah dan mengecam Karpal sikapnya Pengerusi DAP itu sudah melampau. Tetapi apabila Karpal sudah diserang begitu maka ia menjejaskan imej Pemuda Umno itu sendiri. Tidak sepatutnya pemuda Umno yang sudah berusia lebih setengah abad tetapi masih lagi bersikap samseng dan kurang beradat.
Pemuda Umno menuduh Karpal Singh tidak beradat terhadap apa yang Karpal lakukan. Sepatutnya sebelum mereka melemparkan tuduhan itu pemuda Umno perlu merenung ke dalam diri mereka. Apakah pemuda Umno golongan yang beradat dan menjaga tatasusila dan tidak pernah biadap?
Sejarah yang dilalui oleh pemuda Umno dalam politik negara ini cukup banyak. Di sini saya suka bangkitkan kembali bagaimana sikap dan perangai pemuda tahan lasak yang dianggotai oleh pemuda Umno tahun 1960-an. Mungkin Khairy, Mukhriz dan Khir Toyo tidak pernah mengalami atau membaca sejarah kesadisan dan kejahatan induk mereka dalam pemuda Umno.
Siapa yang membuat ugut, tekan, paksa, menahan dan menempeleng orang-orang Pas di Kelantan macam zaman Jepun pada tahun 1960-an kalau bukan puak-puak pemuda tahan lasak kalangan pemuda Umno?
Sikap gedebe, samseng dan merasakan bumi ini hanya untuk Umno sahaja, timbul di jiwa pemuda Umno sejak lama dulu. Sikap samseng sesetengah pemuda Umno hari mewarisi dari sikap tidak tamdun itu. Bagi saya, apa yang berlaku di parlimen itu tidak menghairankan kerana itulah benih-benih pemuda tahan lasak Umno di zaman Senu Abdul Rahman dulu.
Mangsa-mangsa kejahatan pemuda tahan lasak Umno di Kelantan dan Terengganu setengah masih ada sampai kini. Pemuda Umno boleh membuat penyelidikan dan kajian atas apa yang dilakukan oleh pemuda tahan lasak Umno ini untuk tujuan rekod bagi mengenalkan pemuda Umno dengan rupa diri mereka sendiri.
Jika pemuda Umno hari ini bermaruah apa yang berlaku di parlimen siang tadi hendaklah dipertanggungjawab oleh Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein dan Naibnya, Khairy Jamaluddin serta seluruh Exconya. Kalau mereka benar pemuda berakal dan profesional mereka harus meminta maaf kepada Karpal Singh jika perlu. Mengepung dan menganggu orang kurang upaya (OKU) seperti Karpal itu sungguh mengaibkan. Aib! Kalau tidak mahu menghormati Karpal sebagai seorang ahli politik yang lancang tetapi hormatilah beliau sebagai OKU.
Kecaman ke atas Karpal itu juga double standard. Misalnya apa yang disuarakan oleh Mukhriz Mahathir yang mengaitkan tindakan Karpal itu sebagai melanggari peruntukan 36 (4) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang tidak membenarkan kata-kata kesat semasa berbahas di Dewan, ingin ditanya apakah sebelum ini tidak ada kata-kata kesat demikian?
Kenapa Mukhriz tidak pula mengecam dan mengeluarkan bantahan yang sama kepada ahli parlimen yang bersikap biadap dan melanggar peraturan dewan?. Inilah double standard kalau ianya dilakukan oleh pembangkang, apa lagi bukan bangsa Melayu semuanya menunjukkan belang merah tetapi kalau di lakukan oleh ahli Parlimen Melayu dibenar dan dibiarkan.
Sepatutnya perbezaan-perbezaan itu tidak perlu wujud dan berlaku dari kalangan pemuda yang dikira sudah cerdik, profesional dan berfikiran global dan gloka ini?
Begitu juga tentang kritikan Mukhriz kepada Karpal yang menyelar raja, dan mahukan Karpal memperakui kedaulatan raja-raja. Apakah Mukhriz lupa dalam hal ini bahawa bapaknya juga boleh disifatkan sebagai tidak menghormati isntisui raja-raja dengan apa yang dilakukan pada tahun 1990-an dulu.
Peristiwa dan senario pindaan perlembagaan bagi mengurangkan imuniti dan kuasa raja menceritakan segala-gala siapa Mahathir dan apakah sikapnya ketika itu lebih baik dari Karpal hari ini. Tembelang dan kemuliaan raja-raja Melayu yang terpelihara selama ini terburai seluas-luasnya angkara Mahathir. Jadi kalau menyebut soal menderhaka kepada raja-raja, juaranya ialah Mahathir.
Di sini bukan saya tidak setuju dengan tindakan Mahathir berkenaan untuk mengembalikan kuasa rakyat, (dan supaya raja tidak keterlaluan) tetapi cara Muhkriz melupai perkara ini sangat dikesalkan. Jangan kerana kesalahan itu dilakukan oleh keluarga kita didiamkan dan malang lagi cuba melindunginya dengan membesarkan kesalahan orang lain.
Jika Mukhriz ikhlas dan benar-benar menyanjungi tinggi institusi raja-raja beliau juga harus ikut sama menyebut fasal-fasal yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri ke lima itu.
Baik Mukhriz atau Khairy serta Khir Toyo yang bakal memimpin pemuda Umno perlu menjaga kewibawaan sayap Umno itu. Sudah sampai mereka mengawal dan menjaga pemuda Umno menjadi sayap yang mempunyai kelas dan mutu yang tinggi. Membentuk pemuda Umno mempunyai saksyiah yang tinggi dan berkeperibadian yang luhur. Perlu diingat perlawanan politik di zaman ini bukan lagi dengan kekuatan fizikal, tetapi keampuhan akal fikiran.
Juga jangan sesekali cuba mencari kekuatan dengan menggunakan nama raja dan istana sebaliknya berjuang dan berlawanlah dengan kudrat dan kebolehan diri sendiri. Itulah baru dikatakan pemuda yang berani, bijak dan berwawasan dan berdiri atas keyakinan diri sendiri. [wm.kl. 6:45 pm 26/02/09]
3 comments:
asmlkum...MO dan pembaca...!!!
saya sangat bersetuju dgn pendapat dan pandangan ikhlas dari hati saudara MO.Saya ingin menulis kembali komen saya sebentar tadi diblog yeoperak...sebelum kita mengeluarkan amarah dan kata2 hina pada orang lain kita harus lihat pada diri kita sendiri dahulu. Dalam kes Karpal singh kita harus pertimbangkan situasi empunya diri...bagaimana beliau menghadapi tekanan perasaan seorang diri tanpa
sokongan dari rakan2 dan parti.
Kisah bermula apabila beliau bercakap berdasarkan undang2 demokrasi berlembagaan di msia yg kita junjung.Bagi pendapat beliau
dalam kes di perak kalau mengikut undang2 memang raja boleh disaman
...dan kalau kita perhatikan beliau bercakap secara gentelmen berdasarkan undang2 yg beliau amalkan tidak kepada setengah pemimpin hanya ambil kesempatan
untuk mendapat populariti.Kalau dikatakan derhaka...tulisan tanpa nama dlm blok istana dan lain2 blog saya rasa lebih keji dan hina
drp apa yg dilafazkan oleh Karpal.
Saya bukan menyokong mana2 pihak tetapi berdasarkan rasionalnya dlm situasi politik negara sekarang...dgn keadaan ekonomi negara yg harus diberi perhatian utama...apakah bibit2 perkauman
harus dimulakan.Sepatutnya diparlimen MP kita duduk bersama
untuk membincangkan bagaimana mengatasi ekonomi negara dan tugas pihak berkuasa ialah menguatkuasakan undang2 dan menjalankan siasatan secara telus.
Berbalik kpd kes Karpal Singh...sekiranya perkara ini terjadi kpd diri kita sendiri
dgn tekanan dr umno (hampir 100 laporan polis..kebanyakkan dari pemuda umno)...ditekan atas bawah...depan belakang..kiri dan kanan..dan akhir sekali ugutan bunuh....dimana lagi tempat untuk beliau nak melepaskan geram dan perasaan. Kalau buat repot belum tentu di siasat. Lantaran itu beliau melepaskan segala siksaan itu diparlimen ...tempat yang selamat bagi pandangan beliau dan tidak salah kalau beliau sembrono menuduh pemuda umno yang melakukannya. Contohnya kalau kita
ada berselisih faham dgn jiran kita
jika terjadi sesuatu pada kereta kita...siapa yg kita syaki tentulah jiran yg berselisih faham dgn kita...tak kan nak tuduh orang lain.Apa yang jelas disini ialah tindakan pemuda umno datang ke parlimen untuk menyekat kebebasan dan keselamatan MP adalah menyalahi
undang2 negara.Jika tidak diambil tindakan segera perkara lebih buruk akan berlaku.Kita tidak mahu selepas ini MP2 akan membawa bodyguard dan kaki pukul atau penyokong masing2 demi keselamatan mereka ke parlimen.Mengapa harus ada double standard dlm kes ini???adakah kerana pemuda dari parti pemerintah maka tindakan tidak boleh diambil..sedangkan jika pemuda pembangkang melakukannya tindakan segera akan diambil.Walau apapun (komen pemuda TV3)kedatangan mereka sudah dianggap berniat jahat...keselamatan MP harus diutamakan tidak kira dari parti pemerintah atau pembangkang...rakyat yang memilih mereka agong yang memberi watikah...apakah pemuda juga merdurhaka kpd AGONG.Jangan kerana ingin menunjukkan anak jantan... pemuda umno menjelang pemilihan MAC nanti...tatasusila dan kesopanan melayu diketepikan...apakah dgn
menunjukkan sikap melanggar undang2 dgn sembrono ini boleh dianggap pahlawan melayu oleh perwakilan umno pada pemilihan nanti.Biarlah perwakilan yang menentukan pemimpin mereka...
Abe Haji MSO
Satu ulasan yang tepat. Antara perkara yang amat dikesali dari ini adalah sikap pihak keselamatan yang membiarkan sahaja insiden in berlaku.Apakah UMNO, termasuk sayap-sayapnya begitu ditakuti oleh penjawat awam sehinggakan mereka boleh bermaharajalela sesuka hati mereka.
Ini berbeza dengan layanan yang diberikan kepada pembangkang atau NGO apabila membantah sesuatu tindakan kerajaan. Apatah lagi jika bantahan itu ditujukan kepada umno.
In coming days, kalau ada bantahan dari pembangkang atau mana-mana ngo yang ingin membuat bantahan terhadap sikap pemuda umno ini - kita sudah boleh bayangkan bagaimana pihak polis akan bertindak.
bat8
Masihkah kita ingat betapa cekapnya Polis bertindak dengan kasar menahan Datuk Mustapha Ali, Tian Chua dan beberapa orang lagi di di perkarangan kawasan parlimen sebelum PRU 12 padahal Datuk Mustapha dijemput datang ke parlimen atas undangan MP.
Saya lebih daripada 100% yakin jika hal yang sama dibuat oleh pemimpin2 UMNO mahupun parti2 komponen BN, pendekatan mesra rakyat yang akan ditunjukkan oleh Polis menangani onar pemimpin2 ini.
Post a Comment