Tuesday, November 24, 2009

Ulasan Isu

Jangan Politikan Chin Peng

KALAU Chin Peng, 85 insaf untuk memohon maaf atau pun tidak biarlah dia buat atas dirinya sendiri tanpa ada mana-mana pihak yang cuba membantunya baik menyokong agar kerajaan memberi kemaafan ataupun mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu Chin Peng ini.

Biarlah Chin Peng bertindak bersendirian tanpa dibayangi oleh mana-mana pihak.

Sejarah hidup dan perjuanagn Chin Peng sebahagian besar dari kita mengetahuinya. Apakah dia bersalah atau tidak, kita semua juga dapat menilai dan memikirannya secara bebas dan bukan tertakhluk kepada buku sejarah lama semata-mata.

Bagi Chin Peng kalau kebenaran ada di pihaknya, cukuplah sejarah membelanya. Apa lagi diharap daripada itu, bukankah sejarah lebih bernilai dari segala-galanya?

Sekadar untuk menjejak kaki ke tanah air atau berkubur di sini rasanya tidak membawa apa-apa erti daripada umum mengetahui mengenai sejarah sebenar perjuangan komunis.

Penulisan, buku-buku sejarah baru dan wacana perjuangan diawal kebangkitan kemerdekaan negara sejak kebelakangan ini menyebut bahawa Chin Peng dan Parti Kominis Malaya (PKM) tidak sekejam seperti mana didakwa oleh kerajaan selama ini. Sejarah perjuangan Chin Peng yang ditulis atas semangat British itu tidak boleh dipercayai dan banyak kekeliruan.

Hasil pendedahan dan kebebasan itu sudah ada kini pemikiran yang menerima bahawa komunis itu lebih baik daripada perjuangan orang-orang Melayu seperti Umno itu sendiri.

Persoalan mengenai itu sudah lama berlaku bukan saja diwarung-warung kopi tetapi di dewan-dewan kuliah di pusat-pusat pengajian tinggi. Sudah ada mahasiswa yang tidak lulus kertas sejarah kerana cuba membela Chin Peng dengan maklumat-maklumat terkini mengenai perjuangan Komunis dan kemerdekaan negara itu.

Hari ini saya nampak diri Chin Peng hendak dijadikan isu dan modal politik pula. Ia juga cuba dipolemikkan oleh pihak tertentu.

Satu pihak tidak mahu menerima permohonan maaf daripada bekas Pengerusi PKM itu kerana ingin menjaga hati sebilangan orang yang kecewa dengan perjuangan Chin Peng. Pihak ini bimbang kepada sentimen rakyat yang sekian lama berdendam dengan Komunis akan menuduh pihak itu sebagai lebih bersimpati dengan Chin Peng berbanding dengan nasib keluarga mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis.

Kematian kaum keluarga mereka disebabkan kekejaman komunis menjadikan mereka tidak dapat memaafi dan menerima Chin Peng kembali ke ibu Pertiwi. Mereka mahu biarlah Chin Peng merasa penderitaan mereka selama ini dengan terus berada di luar negara. Kebenaran kepada Chin Peng kembali menjadikan mereka merasakan perjuangan kaum keluarga mereka menentang PKM di zaman dharurat dulu sia-sia saja.

Manakala satu lagi pihak yang memberi ruang kemaafan kepada Chin Peng. Pihak ini ingin menjadikan kelonggaran itu sebagai modal baru politik. Pihak ini mengira realiti rakyat negara ini yang berbilang bangsa akan memberi kebaikan kepada mereka kalau mereka bersetuju sekiranya Chin Peng diberikan pengampunan. Rakyat akan nampak kononnya perjuangan merela terbuka, liberal dan lebih adil dari segi kemanusiaanya.

Kedua pihak ada asas masing-masing. Pihak yang enggan memaafi Chin Peng ada hujahnya. Hujah mereka ialah semata-mata kerana ingin menjaga hati rakyat yang berdendam dengan Chin Peng.

Begitu juga pihak yang mahu menerima Chin Peng menjadikan alasan perikemanusiaan dan usia Chin Peng yang lanjut sebagai alasan untuk menerimanya.

Mungkin sifat perikemusiaan itu harus ada kepada semua manusia. Tetapi dalam konteks dan iklim politik negara ini seperti hari ini menyebabkan kita merasakan pihak yang mahu menerima Chin Peng itu ada motif tertentu atau mengharapkan keuntungan politik kepada mereka.

Kalaulah, kedua pihak mengambil keputusan itu, terima dan menolak kerana politik, eloklah lupakan saja isu Chin Peng ini. Biarlah Chin Peng sendiri berusaha mendapat keampuan untuk dirinya tanpa adanya campur tangan ataupun ulasan pro kontra di muka awam dari mana-mana pihak. Rasanya cara ini lebih berperikemanusiaan dan adil. [wm.kl 7:51 pm 24/11/09]

4 comments:

andakmaon said...

Tuan,
Nampaknya ada pihak yang mengambil kesempatan dari kelemahan kesatuan orang melayu hasil dari keputusan PRU 12 yang lalu. Seorang pengganas kominis yang mengetuai gerombolannya membunuh ramai orang melayu hendak diangkat sebagai wira oleh parti DAP .Apa kata oraqng melayu dalam Pakatan Rakyat ?
Kepada Komen Pilihan anafakir....
Tuan anafakir selalu mendakwa sebagai pihak yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik di blog yang tuan singgahi , tapi jelas tuan sebenarnya seorang pengikut totok PAS . Pengikut parti PAS seperti tuanlah yang membawa rebah kepada parti PAS dan pemimpinnya. Walaupun diakui sendiri oleh MSO betapa sayangnya dia kepada Tok Gurunya tapi demi untuk masa depan parti kesayangannya juga MSO dengan rendah diri menegur ! Satu tabik hormat buat MSO.

Unknown said...

Em cuma nak bertanya kepada andakmaon. Bagaimana pula dengan Abdullah C.D (Pengerusi PKM), Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh dan Rashid Maidin yang diampunkan. Mereka juga pemimpin PKM dahulu dan tak mungkin mereka tidak membunuh orang-orang Melayu juga semasa mereka jadi PKM dahulu. Adakah Cina PKM yang bunuh Melayu lebih buruk daripada Melayu PKM yang bunuh Melayu? Apa kata bukan Melayu dalam PR dan BN tentang isu ini pula????? Jika tidak mahu politikkan isu ini, mungkin jangan ampunkan semua sekali agaknya ataupun ampunkan semua sekali dan layan sama rata mereka. Jika nak berdendam, dendamlah pada semua, jangan jadikan isu ini sebagai alat perkauman. Jika nak dendam, dendamlah pada Jepun juga sbb mereka lebih banyak membunuh rakyat Tanah Melayu. Dendamlah pada British kerana jajahan mereka membuatkan Islam tidak terdaulat di Malaysia. Kerana mereka juga hak-hak istimewa melayu dikurangkan. Jika nak ampunkan, ampunkan semua juga. Wallahua'lam.

ANAFAKIR said...

Tuan Andakmaon...saya memang tidak memihak kepada mana-mana parti politik [ menjadi ahli ]cuma saya memilih untuk menyokong PAS kerana saya kagum dan percaya dengan kualiti diri dan cara hidup TGNA.Beliau begitu bersederhana dalam hidupnya,cara berpakaiannya, pergaulannya dengan masyarakat tidak ada protokol yang ketat.Beliau tidak seperti kebanyakan pemimpin yang ada dalam UMNO.Pemimpin UMNO di peringkat Bahagian pun sudah seperti pemimpin besar...gaya, cara hidupnya hampir menyamai menteri.Ini berbeza dengan apa yang ditampilkan oleh TGNA.Saya membela dan menyokong perjuangan TGNA atas dasar dia orang beragama, ada ilmu dan dia istiqamah menegakkan yang maaruf, mencegah yang mungkar...tuduhan terhadap saya sebagai penyokong totok itu terpulang kepada persepsi masing-masing...kerana Tuan Andakmaon pun penyokong totok UMNO.Saya seboleh mungkin tidak mahu menegur TGNA melalui blog kerana itu seolah-olah menjatuhkan air muka TGNA, ada cara lain yangf boleh dilakukan untuk menegur beliau.Yang pasti "hanya kita yang memahami diri kita..".

firdaus said...

saya sokong apa yang dikatakan tuan mso melalui perenggan akhir artikel tersebut, bahawa segala-galanya bergantung pada Chin Peng sendiri untuk pulang ke negara ni

rasanya Chin Peng pun sudah tahu bahawa permohonannya tidak akan kemana-manapun, mungkin itulah perjuangan terakhirnya hanyalah semata-mata untuk memohon pulang..

kata orang sejarah biasanya ditulis oleh para pemenang, apapun kebenaran tetap kebenaran bahawa pencetus kemerdekaan Malaysia sebenarnya telah dimulakan oleh gerakan dan tokoh-tokoh yang dianggap sebagai golongan kiri oleh British termasuklah Chin Peng sendiri melalui perjuangan bersenjatanya..

lagipun, mengapa isu Chin Peng ini ditimbulkan, bukankah beberapa bulan tak lama dulu isu ini telah timbul.. memang isu yang dibuat orang takde kerja...