Proses Mengantarabangsakan Kelantan
WAKTU ini di Kota Bharu sedang berlangsung Festival Makanan Antarabangsa - Kelantan Cheng Ho. Venuenya ialah di perkarangan Bazar Tok Guru yang terletak di jalan Sultanah Zainab. Perasminya dilakukan oleh MB, Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin, Jumaat. Ekspo akan berlangsung selama 9 hari. Semua Exco dan pegawai tinggi kerajaan hadir pada majlis perasmian.
Saya tidak dijemput secara rasmi untuk menghadiri festa berkenaan tetapi tahu dari beberapa orang rakan dan juga wakil rakyat yang kerap menghubungi saya. Semasa berjumpa dengan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan yang baru Zulkefli Mamat sehari sebelum himpunan Bersih, di Kuala Lumpur beliau ada memberi tahu tetapi tidak mengundang secara rasmi.
Katanya buat masa ini beliau sibuk dengan persiapan untuk mengadakan festa Cheng Ho yang akan mempamirkan makanan pelbagai dari negara di seluruh dunia khasnya China.
Bagi penulis maklumat itu sudah cukup untuk membolehkan saya bertindak ke atasnya, sama ada untuk datang melihat sendiri atau pun bertanya khabar mengenai ekspo julung-julung kali diadakan itu. Rasanya ekspo makanan antarabangsa kedua ini adalah kesinambungan expo Cheng Ho: Perdagangan dan Persahabatan sebelum ini yang mempamirkan pelbagai bidang perniagaan yang boleh digemblingkan di antara dua buah negeri Kelantan dan China.
Kalau tidak mendapat maklumat awal khasnya dari Zulkefli itu mungkin saya hampir tidak mengetahui festa berkenaan. Ini kerana tidak banyak publisiti berhubung festival berkenaan. Dalam blog-blog juga tidak kedapatan hanya blog atau Facebook individu pemimpin Pas Kelantan saja yang ada. Semacam ada usaha atau untuk tidak mengwar-warkan festa itu agar ianya diketahui secara meluas oleh orang ramai. Kenapa?
Tetapi ketika mendengar siaran radio sewaktu berkereta ke pasar Kota Bharu, petang Khamis ada terdengar juruhebah mengwar-warkan mengenai festival berkenaan yang memanggil orang ramai mengunjunginya.
Apakah publisitinya hanya diadakan di Kota Bharu dan amat terhad? Satu perkara yang saya perhatikan publisiti ini terus menjadi masalah di Kelantan. Program kerajaan tidak disebar luaskan menyebabkan program yang bagus dan berkualiti itu tidak sampai ke pengetahuan rakyat. Apakah kerjasama dari kalangan sesama jabatan kerajaan sendiri tidak berlaku?
Jadi kebetulan saya di Kota Bharu sempat menjenguk festa berkenaan. Saya sampai sesudah upacara perasmian yang dilakukan Tok Guru Nik Aziz sudah pun selesai. Buku cenderamata atau katalog mengenai festa berkenaan tidak dibekalkan. Justeru tidak ada maklumat mendalam berhubung festa berkenaan. Cuma saya difahamkan ianya disertai oleh banyak buah negara luar khasnya dari China yang membawa berbagai menu atau jenis makanan bagi diperkenalkan kepada rakyat Kelantan. Sebanyak 260 buat booth telah ditempat dan memperkenalkan berbagai jenis makanan.
Penyertaan juga bukan saja Cina dari Kelantan tetapi Penang, Ipoh, Kedah juga ada. Sementara penyertaan dari luar negara dari Kemboja, Vietnam dan terbesar ialah dari China. Selain mempamirkan berbagai jenis masakan Cina, masakan Arab, India, Bangladesh dan lain-lain juga dipamerkan. Pengunjung yang ke festa berkenaan berpeluang untuk merasakan pelbagai jenis makanan yang diperbuatkan dengan berbagai cara dan teknik manual serta merasai makanan dengan berbagai-bagai citarasa.
Semasa saya singgah di khemah utama yang menempatkan ruang vvip makan - menguji citarasa makanan, kebanyakan pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan sudah pun meninggalkan lokasi festa. Yang kelihatan ialah Zulkefli Mamat kalau tidak salah selaku Pengarah festa berkenaan dan juga pengerusi induknya, Husam Musa dan beberapa kenamaan lain. Semasa di luar tapak eskpo saya terserempak dengan Exco Wanita dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar yang sudah mahu berganjak pulang.
Sempatlah berbicara sepatah dua dengan Zulkefli Mamat yang kemudian beredar bersama isteri dan anaknya untuk membuat lawatan ke gerai pamiran. Husam yang ternampak saya duduk berbual dengan Pengetua Mahaad Perempuan, Mansor Daud, menghampiri meja dan bertanya dengan bahasa basa basinya, sampai bila? Beliau yang mengiringi isterinya yang membawa sejabil satay kemudian meninggalkan, kerana waktu Asar sudah menjelma.
Husam yang mengenakan baju cheongsam berbatik hijau larak nampak segak. Mukanya juga sumringah dengan misai sejemput diluruh bibir mulut bahagian atas. Gembira sekali nampaknya mungkin kerana festa berkenaan mencapai sasarannya, mendapat sambutan ramai.
Apa tidak sambutan pada hari pembukaan cukup membanggakan. Orang ramai berduyun-duyun dengan keluarga masing-masih datang untuk merasai masakan berbagai jenis makanan yang disediakan. Paling unik ialah apabila antara pengunjungnya adalah kalangan Cina yang sudah lanjut usianya yang datang dipapah oleh anak masing-masing.
Pengunjung Kelantan juga begitu teruja melihat bagaimana makanan dihasilkan secara manual yang penuh kemahiran. Booth yang menempatkan sajian mee dari China dilingkungi penuh orang ramai kerana ada demonstrasi membuat mee secara manual dengan hanya menggunakan tangan.
Festa makanan itu mungkin banyak kecacatan kecil kalau hendak dise
lak, seperti suasananya tidak begitu kondusif kerana diadakan di ruangan yang sempit tanpa aircond. Tetapi seperti kata Zulkefli Mamat semasa berjumpa dengannya di KL pemilihan tempat itu adalah untuk mempromo Bazar Tok Guru yang menjadi isu sebelum ini. Ternyata tujuan itu berjaya mencapai sasarannya bila mana ribuan datang ke perkarangan bazar berkenaan.
Sudah tentu nama bazar itu menjadi lebih harum kepada pengunjung l
uar. Peserta luar akan mencatat dan merakam gamabr bazar berkenaan dan disebarkan kepada umum menerusi berbagai alat dan kemudahan yang ada. Selepas ini isu bazar berkenaan yang dilakar huduh oleh segelintir orang akan hilang dan yang akan timbulnya ialah sebuah pusat membeli belah yang akan popular dan menjadi sebutan ramai.
Bazar Tok Guru akan menjadi land mark dan mercu tanda baru di Kelantan. Kalau Pasar Siti Khatijah atau pasar Wakaf Che Yeh dapat mencatatkan namanya dalam peta pelancongan di Kelantan dalam sekelip mata saja, Bazar Tok Guru dipercayai akan lebih cepat penularan popularitinya. Tunggu lagi peniaga perlulah mesra dan tidak akan mengenakan harga yang bukan-bukan kepada pelancong.
Untuk festa Cheng Ho kali kedua, tahniah sekali lagi kepada Zulekfli Mamat dan Husam. Ternyata pengabungan tenaga dan idea mereka berdua berjaya membawa impak ke Kelantan khasnya dalam bidang perdagangan dan pelancongan.
Saya sebenarnya seronok melihat cara Zulkefli bekerja dan berpolitik. Beliau tidak mengikut arus emosi seperti kebanyakan yang lain. Walaupun antara keduanya ada yang tak serasi tetapi masa-masa penting begitu mereka sepakat duduk bersama. Mereka sedia melupakan kepentingan diri demi membangun Kelantan dan merealisasikan amanah Tok Guru.
Apa dilakukan oleh Husam dan Zulkefli, persefahaman demi rakyat dan negeri sepatutnya ditiru dan dicontohi oleh pemimpin lain. Saya yakin dan percaya kalau semua pemimpin bersikap profesional dan persefahaman begitu, ia menyukarkan untuk kerajaan Kelantan digugat oleh mana-mana unsur politik jahat.
Exco lain yang masing-masing ada portfolio sendiri hendaklah bergerak mengantarabangsa Kelantan seperti mana dilakukan Husam dan Zulkefli Mamat. Saya jamin mereka juga berjaya asalkan sedia menerima pandangan orang lain dan mengenepikan perasaan jengkil sesama sendiri. Sekali lagi tahniah kepada Husam yang saya kira bukan saja mempunyai idea yang menarik tetapi berani untuk mengimplimetasikan sesuatu yang orang lain rasa tidak boleh.
Pemimpin yang kreatif berani beginilah yang menjadi harapan rakyat untuk memimpin mereka dan perlu disokong sepenuhnya. [wm.kl.1:00 t/hari 17/07/11]
No comments:
Post a Comment