Monday, July 18, 2011

Sesudah Subuh - Balesungkawa

Dr Lo' Lo': Mutiara Yang Tidak Akan Hilang Sinarnya

Dr LO' LO' binti Mohd Ghazali adalah satu nama besar dalam Pas. Meskipun kedudukannya dalam parti Islam itu khususnya dalam Dewan Muslimat bukan ditempat teratas, tetapi dewan itu seakan sinonim dengan namanya, Dr Lo' Lo'. Nama ini mula disebut dalam Pas sekitar tahun 90-an dan mulai mewangi pada awal akhir tahun 90-an. Kelopak perjuangannya mula berkembang dan disedari tatkala meletusnya era reformasi.

Era reformasi menerjahkan namanya ke tengah-tengah gelanggang. Era ini menguji kekuatan mental dan ketabahan feminis beliau sebagai seorang pejuang. Orangnya bertubuh kecil molek, berwarna putih kuning menjadi sekuntum bunga di dalam Pas. Kelihatan manja tetapi tegas. Ia menjadi daya tarikan, istimewa kepada anak-anak muda terutamanya kaum wanita. Kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan (profesional) telah memberi rangsangan kepada anak-anak muda lain untuk menuruti jejak langkahnya menyimbah peluh di padang perjuangan.

Kesungguhnya beliau berjuang dalam Pas, menjadi aktivis muslimat Pas yang gigih, tekun dan membawa Pas keluar dari kepompong muslimat pingitan sebelum ini ke jalan baru tidak boleh dialpakan. Beliau telah merintis membuka ruang lebih luas dalam Pas untuk kaum hawa mengibarkan panji Islam, duduk tinggi atau memberi pengorbanan sama besar dengan lelaki bersama rakan-rakan lain, Dr Siti Mariah Mahmud, Siti Zailah Yusuf dan lain-lain.

Sepanjang hayatnya beliau mendominasi dalam bidang kebajikan terutamanya dalam aspek kesihatan sesuai dengan kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan. Jika tidak silap saya Dr Lo' Lo' juga pernah ikut sama memberi bantuan kemanusiaan, rawatan dan perubatan dalam tragedi gempa bumi di Yogjakarta tahun 2006.

Pada pilihan raya umum ke-11 (2004) beliau diberikan tanggungjawab oleh Pas bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Perak tetapi tewas. Ketewasan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya. Malahan kekalahan kali pertama itu menjadi perangsang untuk beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kekalahan dan pengalaman pertama itu mengajar beliau erti perjuangan menerusi berpilihan raya.

Siapa percaya pada tahun 2008, beliau seorang wanita yang lemah lembut boleh menang di sebuah kerusi bandaraya yang mempunyai berbagai lapisan masyarakat. Dr Lo' Lo' mengalahkan calon BN, Jamaluddin Aziz di kerusi Titiwangsa dengan majoriti 1,972. Kemenangan itu meletakkan namanya sebagai ahli Parlimen wanita pertama daripada Pas yang menang untuk mana-mana kerusi dalam Wilayah Persekutuan. Satu sejarah.

Nama yang sememangnya sudah bercahaya kerana Lo' Lo' itu sendiri bermaksud mutiara atau permata cepat mengharumkan Dr Lo' Lo'. Kerajinannya mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen menjadikan beliau popular dan disanjungi kawan dan lawan kerana komitmennya kepada tanggungjawab dan amanah. Isu-isu yang diambil bahagian ialah mengenai hak wanita dan juga isu-isu mengenai kepentingan Islam dan kebajikan insan.

Sebagai wakil rakyat wanita beliau tidak terelak terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah politik yang dilakukan lelaki. Lo' Lo' tidak dikecualikan atas persoalan gender. Kawasan Titiwangsa adalah pernah dimiliki oleh Sulaiman Mohamad, seorang politician Melayu yang dikenali sebagai samseng kampung dusun. Walaupun Sulaiman tidak lagi menjadi penghulu di situ namun Dr Lo' Lo' tetap menghadapi cabaran dan sindiran yang diwarisi dari Sulaiman yang diteruskan oleh penguasa Umno seterusnya.

Sekali lagi serangan dan kritikan terhadapnya selaku wakil rakyat oleh Umno tidak menjadi kudis gatal. Kemunculan Menteri Wilayah Baru Raja Nong Chik yang beriya untuk merampas Kampung Baru yang perlahan-lahan telah bertukar menjadi kubu untuk Pakatan Rakyat dan cuba merombak sokongan kepada Dr Lo' Lo' merupakan cabaran terhebat buatnya. Dr Lo' Lo' pernah dipersendakan oleh Raja Nong Chik kerana beliau seorang perempuan. Kalau tidak silap Dr Lo' Lo' pernah meminta Nong Chik meminta maaf kepadanya atas satu perbuatan Nong Chik yang kurang tamadun.

Keberaniannnya juga terserlah. Beliau mencabar untuk bersekemuka dengan sesiapa saja demi kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Dalam berdepan dengan isu rampasan Kampung Baru beliau ke hadapan. Perjuanganya menjaga hak warisan orang Melayu Kampung Baru diperjuangkan sampai ke denyut-denyut nafas terakhir. Dalam keadaan beliau sudah sakit di mana seharus rakyat dilupakan namun beliau masih membela dan mempertahankan hak rakyat Kampung Baru. Beliau tidak rela Umno menzalimi penduduk Kampung Baru.

Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) pada sidang Parlimen Mac lalu sesuatu yang menggembirakan beliau. Penangguhan itu sedikit sebanyak adalah kerana kelancangan beliau menentang agenda berstrategi Umno itu. Dr Lo' Lo' tidak habis-habis memberi peringatan agar agenda untuk membangunkan Kampung Baru biarlah dilakukan secara adil dan hak orang Melayu di situ terbela selamanya.

Ternyata iltizam beliau kepada tanggungjawab dan amanah parti itu tidak pernah diabaikan. Walaupun beliau tidak dapat menyuarakan kepada Parlimen kerana dihalang kanser namun beliau tidak berputus asa. Jalan lain dicari bagi menyampaikan isi hatinya. Rakan-rakan seperjuangnya senantiasa membantu dan mewakili beliau bagi menyampai apakah yang tersekang di dadanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub pernah diwakilkan untuk menyampaikan ucapannya di Parlimen.

Meneliti dan mengimbau sejarah perjuangan dan keulitan serikandi ini, benarlah apa yang diungkapkan oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya; Dr Lo' Lo' adalah seorang mujahidah yang istiqamah di dalam perjuangan.

Mengapa tidak seperti dikatakan tadi beliau tidak mudah berputus asa dan berwalang durjana demi memastikan perjuangan partinya tegak di atas muka bumi ini. Selain itu beliau juga seorang yang rajin, ada masanya melebihi pejuang lelaki sendiri.

Saya ada secebis pengalaman dalam hal ini, melihat sendiri bagaimana rajin dan seriusnya beliau dalam perjuangan pada berkempen pilihan raya kecil bagi memastikan calon Pakatan Rakyat. Semasa berlangsungnya pilihan raya kecil Permatang Pauh yang melibatkan pertandingan Anwar Ibrahim, Dr Lo' Lo' adalah seorang tenaga kempen utama. Bagi memastikan kemenangan Anwar beliau telah turun naik ke pejabat-pejabat kerajaan untuk memberi risalah dan mendekati pengundi.

Beliau ada menceritakan bagaimana beliau dihalau keluar dari pejabat tetapi tidak diendahkannya. Hak demokrasi dan kebebasan bersuara dipergunakan seterusnya. Beliau memberi tahu ada kalanya beliau terpaksa bertengkar dengan kakitangan pejabat sebelum dapat meninggalkan risalah. Selamba saja beliau memberi tahu apa yang berlaku ke atasnya.

Pada pilihan raya kecil itu beliau juga turut sama mendekati para peniaga di sebuah pasar. Beliau melalui dari lorong ke lorong menemui segenap penjual di dalam pasar berkenaan. Sambil bertanya khabar beliau menghulurkan risalah kepada para peniaga. Cara diplomasi yang tinggi dan lemah lembut menyebabkan para peniaga senang menerima kunjungannya. Ini terbukti bila mana ada peniaga yang membelanjakan beliau dan rombongan untuk minum.

Demikian juga pada siri-siri kempen pilihan raya kecil lain atau acara refomasi. Wajah dan kelibat beliau akan senatiasa sahaja ternampak. Mengingati akan kerajinan beliau dalam membantu rakan dan memastikan kemenangan, teringatlah saya kepada seorang lagi ahli Parlimen yang seingat saya tidak pernah miss menjadi host kempen pada pilihan raya kecil. Orang yang saya maksudkan itu adalah Dr Mohd Hatta Ramli. Kalau dalam lelaki Pas ada Hatta yang rajin, komited maka dalam muslimat Pas ada Dr Lo' Lo' yang ulit dan tidak mengenang letih dan istiqamah.

Semalam jam 10:15 minit 15 Syaaban 1432 bersamaan 17 Julai 2011 dalam usia 54 tahun permata Pas yang bergemilang memancar sinar itu sudah pun tiada lagi. Dia sudah dipanggil pulang ke pangkuan penciptaannya untuk selamanya. Pas dan kita semua hanya diberikan pinjam sekejap saja permata penuh berazimat itu. Demikian takdir Allah, kita kena pasrah.

Namun sinar yang pernah hadir dan memberi cahaya kepada kita tetap akan terlekat kejap di sanubari. Kewujudannya ia bersama kita sebagai menandakan bahawa kita pernah bersama dalam mengibarkan panji-panji kebenaran ini dan selorong menuju ke mardtillah, insyaAllah.

Kalau kita semua benar sayang dan mengkagumi ratu jihad ini, ayuh.. terus kibarkan panji-panji ini yang ditinggalkan kerana ia akan meneduhkan rajuna itu di ambang Syurga. Penerusan perjuangan adalah doa kudus untuk Allahyarham. Al Fatihah. [wm.kl. 6:02 am 18/07/11]
Post a Comment