Sunday, July 10, 2011

Balesungkawa

Rezeki Baharuddin Syahid Dalam Himpunan Bersih

SAYA lewatkan sedikit untuk posting ulasan kedua mengenai himpunan Bersih semalam yang sudah pun ditulis tetapi tidak sempat disiapkan. Saya terpaksa bergegas ke Lembah Keramat untuk menziahai jenazah Baharudin Ahmad, 58 yang syahid di medan himpunan Bersih di KLCC semalam.

Mulainya janji untuk pergi bersama dua kawan dan seorang Yang Berhormat dari Kelantan. Tetapi masing-masing ketiduran sementara, YB berkenaan tidak pasti sama ada jenazah akan diuruskan pagi atau selepas zohor. Sewaktu saya menghubunginya, dia nampak semacam macam atas katil. Nasib baik Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menghubungi memaklumkan yang jenazah sedang diuruskan, dan akan disembahyangkan dalam tempoh setengah jam. Beliau sudah berada di surau berhampiran rumah Allahyarham.

Kerana bergegas ke rumah Allahyarham saya tinggalkan dulu laptop tanpa ditutup dan tinggalkan catatan kedua Bersih dan akan dipostkan selepas ini.

Sewaktu saya sampai surau kawasan flat di kelompok Camar, di Lembah Keramat itu sudah penuh dengan orang ramai. Lagaknya macamlah satu ketumbukan yang sedang menghimpun anggota di satu lokasi Bersih semalam.

Badrul Amin sedang membaca doa. Di dalam surau penuh sesak. Surau yang boleh memuatkan 100 orang itu melimpah rasuah sampai ke luar. Untuk merakam gambar untuk tonton penjenguk budiman pun susah. Tidak jauh dari muka pintu Nurul Izzah berdiri kaku kesedihan, simpati dan geram dengan apa yang berlaku. Tanpa sempat untuk saya bertanya Izzah minta ulas mengenai peristiwa malang itu.

Kalau anda mahu melihat suasana di surau berkenaan dan upacara pengkebumian silalah ke blog lain atau Fb rakan-rakan lain. Ramai juga bloger dan jurugambar yang merakam gambar. Saya sudah tidak larak untuk berarak panjang menuju ke tanah perkuburan, yang terletak kira-kira 2 km dari rumah arwah.

Orang ramai yang mengetahui berita kematian itu terus tiba seorang demi seorang. Dalam sekejap masa saja, kawasan perumahan dipenuhi orang ramai. Satu demi satu pemimpin Pas dan PKR hadir. Antara pemipin Pas yang terjumpa ialah Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Adun Hulu Klang, Saari Sungip, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus.

Dr Mohd Hatta Ramli juga ada dalam keadaan letih lesu. Saat jenazah hendak disembahyangkan, mucul Senator Syed Husin Ali. Saya berjumpa sekali lagi dengan Syed Ali saat mahu balik yang kemudian muncul Mustapa Kamil Ayub yang sudah lama saya tidak beramah mesra dengannya.

Keadaan dan wajah mereka yang hadir berbelah bahagi. Nampak ada yang kesedihan dan ada juga yang marah kepada polis atas apa yang terjadi. Saya mundar mandir diluar untuk meninjau dan merakam suasana. Saat ini tiba-tiba serikandi keadilan S Ambiga muncul.

Begitu melihat Ambiga saya yang sudah berbaris untuk menunaikan solat jenazah keluar dari jemaah dan mendapatkan Ambiga. Sudah lama saya menanti saat untuk merakam wajah serikandi ini.

Rupanya dia sudah ada awal pagi lagi. Semalam lagi Ambiga sudah datang menziarahi dan memberi simpati kepada keluarga Baharudin. Ambiga tentu merasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku kerana Baharudin mendapat syahid semasa mengikuti himpunan Bersih.

Bukan setakat Ambiga saja, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia juga ada sama. Dia kelihatan memberi kenyataan akhbar selepas Ambiga bercakap dengan press. Ambiga mencadangkan akan membuat mendesak Suhakam membuat siasatan berhubung kematian berkenaan yang disalahkan kepada pasukan polis. Pengerusi DAP, Lim Kit Siang juga ada sama. Wakil Rakyat Bukit Antarabangsa yang bersebelah dengan kawasan rumah arwah, Azmin Ali bagaimana pun tidak terserempak.

Baharuddin adalah seorang ahli Pas, manakala isterinya adalah ketua wanita cabang PKR. Allahyarham bernasib baik saya kira kerana dijemput Allah gara-gara Bersih. Kematiannya walaupun tidak diminta tetapi telah memberi sesuatu yang amat bererti dalam perjuangan rakyat menuntut pilihan raya Bersih. Bolehlah disimpulkan perjuangan semalam telah mengorbankan satu nyawa di samping menumpahkan banyak darah. Untuk roh Baharuddin ia sungguh membahagiakan kerana ramai yang bersolat jenazahnya.

Menurut Dr Hatta anak Allahyraham adalah seorang doktor di hospital besar kerajaan. Sebelum Baharuddin hendak menyertai Bersih katanya malam sebelumnya, anaknya itu telah berpesan supaya memasangkan niat turun ke medan sebagai seorang pejuang Islam dan kalau mati, akan mati syahid. Baharuddin juga katanya jarang mengikuti himpunan tetapi ini adalah yang pertama yang mahu sangat diikutinya.

Saat beliau pangsan terkena gas pemedihan mata, beliau tidak bersama isterinya, kerana isterinya sudah berada di perkarangan stadium Merdeka.

Mursyidul Am Pas yang akan tiba dari Makkah tengah hari ini dijangka akan menzirahi keluarga Allahyarahm lewat petang ini. Didoakan semoga roh Baharuddin diterima Allah dan ditempatkan pada makam orang-orang soleh. Kepada pejuang rakyat pula khususnya para peserta Bersih kematian Baharuddin harus dibayar dengan sebuah kemenangan. [wm.kl.12:59 11/07/11]

* Lagi gambar orang ramai yang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Baharuddin dalam Facebook saya.

1 comment:

mantaro said...

Saya pun bersalam dengan tuan.tapi sayang tak sempat nak tanya betulkah KL dilanggar garuda!