Sunday, July 17, 2011

Susupan Pagi

Pas Patut Sokong Tindakan Kerajaan Kedah

SETIAUSAHA Agung merangkap presiden defacto Pas Mustafa Ali berkata Pas akan mendapat penjelasan Menteri Besar Kedah, Azizan Razak berhubung langkah kerajaan Kedah akan menguat kuasakan melarang pusat hiburan dan karoke di negeri berkenaan beroperasi di sepanjang bulan Ramadhan nanti. Larangan itu berdasarkan enakmena hiburan 1997.

Penjelasan itu akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas yang terdekat. Apabila Mustafa mengatakan demikian ini bermakna langkah kerajaan Kedah itu ada masalah. Mungkin ada pihak yang menentangnya. Sebelum ini pun timbul masalah apabila kerajaan Kedah cuba menguatkuasakan beberapa dasar dan polisinya yang menempati jalur perjuangan Pas.

Salah satu dasar yang ditetang ialah pengekalkan kouta pemilikan rumah kepada bumiputera sebanyak 50 persatus. Dasar berkenaan bagi memastikan mana-mana rumah baru yang dibina akan menjadi milik bumiputera dan tidak akan terlepas kepada pihak lain. Pengenalan dasar ini memandangkan kouta yang dihak kepada bimiputera terlepas kepada bukan bimputera.

Yang menimbul masalah ialah rakan Pas sendiri, PKR dan DAP yang suka membantah apa-apa yang hendak dipraktikan oleh Pas Kedah. Ia menjadi tambah buruk apabila Umno yang berhajat untuk merampas Kedah mengambil kesempatan menimbulkan pelbagai provokasi sehingga wujud pergaduhan sesama sendiri.

Bantahan atau pun kritikan sesama sendiri sepatutnya tidak berlaku. PKR dan DAP seharusnya faham akan perjuangan asal Pas. Yang penting di sini PKR dan DAP yang diwakili kaum bukan Islam memahami akan perjuangan Pas dan bukannya cuba menentang secara membuta tuli. Sebaiknya PKR dan DAP menterbiah ahlinya untuk memahami perjuangan Pas dan juga tanggungjawab sebagai kerajaan dalam konteks politik.

Ada kalanya dalam hal ini Azizan Razak terjempit dan menghadapi dilema dalam dua keadaan ini. Kalau beliau tidak melunasi hasrat perjuangan parti beliau akan dikritik oleh ahli, sebaliknya kalau beliau memberanikan diri beliau akan dikritik oleh rakan politiknya sendiri. Inilah dilema Azizan dan ujian besar buatnya sebagai khalifah di bumi Kedah.

Dalam hal ini saya nampak Pas Malaysia perlu menyokong apa juga tindakan atau keputuan-keputusan kerajaan Kedah, terutamanya dalam usaha mendaulat dan meletakkan syariah Islam ditempat sewajarnya di negeri berkenaan. Sikap hanya menyerahkan apa yang berlaku kepada Azizan secara bersendiri adalah tidak baik dan tidak menggambarkan kesepaduan dalam perjuangan. Tentunya dalam keadaan 'yatim' begitu kerajaan Kedah memerlukan dokongan semangat dan moral yang kuat dari semua orang Pas.

Misalnya kalau Azizan memperkenalkan sesuatu yang ada hubungan dengan Islam Pas Malaysia hendaklah menyokong dan memberi semangat kepada kerajaan Kedah bukannya bersikap tunggu dan lihat atau pun meminta Azizan bersikap terbuka kerana terlalu menghormati rakan politik. Satu segi tindakan itu betul tetapi kalau selamanya Pas perlu menghormati rakan yang sengaja tidak mahu memahami ia adalah tindakan salah. Dalam berbaik dan berkawan Pas perlu juga perlu mengawasi kalau-kalau ada kawan yang memakan kawan.

Apabila Mustafa Ali mengatakan bahawa Pas akan menerima pandangan Azizan bermakna Pas Malaysia tidak peka dan prihatin kepada apa yang berlaku di Kedah. Di sini tidak ada tindakan bersama di antara Pas Malaysia dengan Pas Kedah. Anihnya semacam wujud pengasingan di antara kerajaan Pas dengan parti atau jemaah induknya. Hakikat ini bukan saja berlaku di Kedah tetapi di Kelantan juga. Walhal kalau mengikut kaedah berjemaah, apa-apa tindakan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Pas hendaklah disampaikan dulu kepada jemaah induknya. Setidak-tidak presiden perlu mengetahuinya.

Sudah sampai masaaya Pas Malaysia harus mengawal atau mematau apa-apa polisi dan dasar Pas di setiap negeri dan bukannya dilepaskan kepada negeri berkenaan saja. Perjuangan Pas adalah untuk menegakkan apa yang dijadikan matlamatnya, bukannya bertindak bersendirian selepas mana-mana wilayah atau negeri menjadi kerajaan. Perjuangan yang besar dan berat harus dipikul oleh banyak bahu.

Dengan cara ini baru orang dapat merasaikan bahawa tindakan dan keputusan Pas dalam hal ehwal agama tidak bercanggah di antara satu sama lain. Selama ini kerana tidak ada pengawalan dan kuasa menentukan dasar oleh Pas Malaysia ke atas negeri-negeri diperintahnya menyebabkan berlaku percanggahan di antara satu sama lain.

Percanggahan inilah menyebabkan Umno selalu mentempelak Pas sebagai tidak tegas dalam apa-apa hal. Kalau Pas sudah menyelaras mengenai dasar dan polisi ini, Mustapa Ali tidak payah-payah lagi untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan orang mentafsirkan Pas bercelaru dengan mengatakan akan meminta Pas Kedah menjelaskan tindakan itu.

Dengan mudah orang akan memahami bahawa langkah Azizan Razak itu tidak diketahui ataupun dimaklumkan kepada Pas Malaysia, dan ia bertindak secara bersendirian. Salahnya juga di sini kerana presiden Pas sangat lemah dan boleh dijadikan kereta lembu yang pedatinya sudah haus oleh kalangan Pas sendiri.

Berbalik kepada langkah kerajaan Pas Kedah itu ia hendaklah disokong oleh semua pihak. Bukan saja Ngo-Ngo Islam tetapi Pas negeri-negeri juga harus membuka mulut. Jikalau rakan politik Pas menentangnya, maka mereka perlulah diserang setelah pendekatan secara baik dengan memberi penerangan tidak dapat mengusaikan masalah.

Sangat tidak baik kalau apa-apa polisi bersabit dengan agama dan Islam dilakukan secara bersendirian sedangkan perjuangan Pas itu sebuah perjuangan global dan syumul untuk menegakkan ciri-ciri Islam yang kini di re-brandingkan dengan nama baru "Negara Berkebajikan". [wm.kl.10:40 am 17/07/11]

1 comment:

Anonymous said...

Salam Pak MSO

Dalam bab-bab menegakkan pendirian sendiri, PAS kelihatan macam ada masalah sikit. Sedangkan dalam Pakatan Rakyat parti PAS la yang ada kuasa dominan berbanding PKR dan DAP. Buat pemimpin2 yang kat atas, cukup2 la jaga hati orang. Kalau tak ada ketegasan nanti kita dipijak orang