Kenapa Takutkan The Malaysian Insider?
GOLONGAN yang mahu menggunakan 'parang', 'golok', 'lembing' dan segala macam senjata lapok dan buruk untuk membela puaknya sendiri terus bertempik dan menjual tapai basi.. kali ini dengan mengarahkan muncung golok tumpulnya kepada protal berita The Malaysian Insider. Golongan ini mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan ke atas protal berita tersebut.
Kata golongan ini protal berita tersebut banyak menimbulkan perkara yang boleh memecah-belahkan kaum di negara ini. Saya rasa tidak perlu sebut nama golongan tersebut, kerana bila saya gunakan istilah 'mereka yang menggunakan senjara lapok dan tradisional' untuk melawan pihak lain semua sudah faham dan arif siapa gerangannya.
Baru ini mereka menjadi gila menyerang S Ambiga Sereevasan kerana menganjurkan Bersih. Mereka bercakap macam hala lintar kononnya akan memanah mati Ambiga dan mengagalkan beliau daripada mengadakan himpunan Bersih. Maka bertepuk tanganlah segemuruhnya para pengikutnya yakin Bersih gagal. Tetapi apa kesudahannya Bersih jalan terus, puluhan ribu hadir manakala para pelakar yang kuat berbunyi tetapi tak ada kilat dan api ini hilang entah ke mana bersembunyi ke dalam lubang cacing. Pengecut!
Mengenai tindak tanduk The Malaysian Insider, saya tidak menafikan ada kalanya ia banyak menyiarkan berita atau laporan bersikap provokatif dan yang berunsur menghina Melayu dan Islam. Itu sudah stail media yang tidak ada idealisme Melayu dan Islam. Ia dikenalikan oleh bukan aktivis Melayu dan Islam. Jadi tidak hairan kalau mereka bersikap begitu. Menjayakan agendanya adalah tanggungjawab mereka.
Tetapi dalam dunia langit 'terkebek' (terbuka) maklumat dihujung jari hari ini bolehkah hendak nafikan akan hakikat itu. Hari ini sesiapa pun tidak dapat menyekat maklumat dari masuk ke dalam kepala rakyat. Maklumat hari ini seperti air dan angin, dua unsur halus yang akan menyelinap di mana saja ruang dan lubang yang ada. Orang yang cuba menyekat maklumat adalah orang bodoh yang hidupnya di bawah tempurung bulu dan hidup di tepi payah busuk saja. Kerana mereka tak ubah seperti menceduk air dengan raga yang berlubang seperti mana dilakukan oleh para psikiatrik.
Menyuruh kerajaan sekat The Malaysian Insider, samalah seorang budak kecil yang kalah bertarung dengan kawannya yang meminta ayah membantunya. Apakah itu adil dan satu sikap gentleman dan berani namanya? Kalau kita benar pejuang bangsa yang hebat, pedokong agama yang alim dan istiqamah lawanlah dengan menggunakan akal. Hujah hendaklah dibalas dengan hujah, provokasi balaslah dengan provokasi bukannya cuba berhelah dengan mencari bantuan-bantuan lain.
Salah seorang mereka yang tidak senang dengan protal itu ialah ketua kepada sebuah pertubuhan yang sudah jadi perkasam. Dia juga ada media massanya sendiri. Kenapa tidak digunakan media massa itu untuk menjawab segala tindakan huduh The Malaysian Insider itu. Carilah penulis atau pemikir terdiri daripada 'sasterawan angsa tenguk panjang' atau pun para 'profersor cermin mata' yang sering keluar dalam tv itu untuk menjawabnya?
Kebetulan mereka orang Melayu yang mengaku agama Islam tetapi jarang pakai songkok dan kopiah. Saya menjadi malu dengan cara orang Melayu hendak mempertahankan diri dan tamadun sengetnya seperti mana dilakukan itu. Sikit-sikit nak guna golok parang, sikit-sikit nak mengadu kepada kerajaan. Sikit-sikit desak polis tangkap. Kerajaan juga kadang kala menjadi senget sama kerana terkalu terikut dengan desakan dan puak-puak ini.
Golongan berkenaan juga menghina The Malaysian Insider mengatakan protal berita itu tidak sehebat mana kalau dibandingkan dengan Utusan. Nah... kalau Utusan hebat apa perlu takut lagi... serah dan gunakan akhbar itu untuk membela Melayu dengan melawan dan menjawab segala tohmohan dan kejahatan dilakukan The Malaysiaan Insider itu?
Barang kali mereka tahu sejauh mana wibawa Utusan yang mereka bangga-banggakan itu. Utusan sendiri pun nafasnya kini sudah semakin sempuk dan pembuluhnya darahnya mengecut. Malahan Utusan yang dianggap sebagai akhbar keramat itulah juga yang menyebabkan permasalahan yang mereka bangkitkan itu menjadi puncanya. Cara pemberitaan Utusan menjadi pembunuh secara senyap kepada Melayu sendiri. Pada saya yang perlu dsiasat bukan orang yang berperanan dalam The Malaysian Insider, tetapi orang yang berperanan di dalam Utusan itu dulu. Otak dan kepala mereka dulu perlu diperbetulkan.
Apakah Utusan tidak bersikap rasis? Berat sebelah dan berlaku adil dalam laporannya? Tenguk apa yang akhbar itu lakukan kepada pembangkang. Apa yang mereka lakukan kepada Anwar Ibrahim dan Nik Aziz. Akhbar itu menyula orang-orang ini hidup-hidup tanpa mereka melakukan penzinaan kepada agama bangsa dan negara?
Apakah kerana akhbar ini bernama Utusan Malaysia yang diterbitkan oleh Utusan Melayu Sdn Bhd maka kita harus menerima apa yang disogokkan walaupun ia sebenarnya lebih jahat dan jijik daripada protal berita berkenaan lakukan? Tidak... kita tidak boleh berpegang atas alasan kerana kita Melayu maka apa yang dilakukan akhbar Melayu kandati jahatnya kita tengok dan rasa sendiri maka kita perlu menyokongnya. Tiada guna mengaku Melayu kalau kita tidak mempunyai kekuatan dalaman dan wisdom.
Percayalah usaha pihak berkenaan mendesak kerajaan bertindak ke atas The Malaysian Insider tidak akan ke mana. Malahan desakan dan tindakan itu menampakkan kebodohan mereka sendiri saja. Desakan itu samalah mereka selak kain tepi longkang. Utusan pula yang menyiarkan pandangan dan desakan mereka itu ikut sama akan terpalit dengan pemikiran bodoh yang berlandaskan nafsu yang tidak dididik di rawat sebaik mungkin. Usaha untuk membunuh protal berita itu samalah para dukun yang berikhtiar untuk menangkap toyol bubuh dalam dalam 'jebur'. (Baca baik-baik jebur... bukan jubur).
Berhentilah melawan orang dengan golok dan parang tumpul atau kering berkarat, marilah kita melawan dengan otak dan kepala. Asahlah kepala tak perlu asapkan dupa atau kemenyankan kan keris lembing lama. Zaman sekarang ini zaman orang berperang di medan siber. Orang juga sudah tidak takut kepada suara (pelakar) yang tidak mengeluarkan api yang boleh membakar. Sesungguhnya kesaktian jin dan bota adalah dongengan saja. Apakah khabr Mat Maslan lama tak dengan suara? [wm.kl.8:00 am 19/07/11]
1 comment:
utusan melayu? akhbar apa? sudah lama saya tak baca surat khabar tu. ia bukan utusan bagi orang melayu, tetapi alat bagi golongan borjuis melayu yang masih mahu menerapkan sistem feudal minda melayu. utusan sudah kehilangan pembaca, berapa ramai pembaca fanatik mereka yang sudah lari termasuk wartawan pentingnya. mereka dapat talian hayat daripada umno yang juga nazak. penyumbang dalam utusan adalah muka-muka yang sama, golongan yang masih mengulang retorik lama, kisah pembangunan, kisah perpaduan kaum, kisah ketuanan melayu, sedangkan orang melayu sebenar disisihkan dari arus pembinaan negara. orang melayu rasa jauh hati diperbodohkan oleh pemimpin UBN yang makin merapu,yalah, sejak ada peguam dari Perancis datang, tembelang pemimpin makin menyerlah di persada luar negeri, hebat malaysia, penyumbang berita panas yang mengejutkan. bagi pemimpin besar, kalau ada benda macam ni, ia benar-benar memalukan. jadi, "Ketahuilah tuan-tuan dan puan-puan bahawa BN tidak pernah menipu dalam pilihan raya!" Nak ketawa katak dalam tempurung tu.
Post a Comment