Himpunan Rakyat Kelantan 30 Julai Lesu
BUNYI khabar satu himpunan untuk rakyat Kelantan yang berada di rantauan akan diadakan pada 30 Julai ini sehari sebelum puasa. Majlis itu akan dinaungi sendiri oleh kerajaan Kelantan. Tujuannya ialah untuk merapat dan memesrakan rakyat Kelantan di luar dengan kerajaan dan juga para pemimpinnnya. Maksud di sebalik perhimpunan itu ialah memastikan rakyat Kelantan terus menyokong kerajaan yang ada hari ini.
Mulanya perhimpunan itu akan diadakan di Puchong. Tetapi entah macam mana akhirnya berpindah ke stadium MBPJ Kelana Jaya, Selangor. Kalau didengarkan kepada cakap dan gemanya perhimpunan itu besar dan bakal mencatat sejarah. Berbagai acara menarik disediakan untuk mengisi perhimpunan itu selain daripada mendengar pidato dan amanah para pemimpin berhubung perubahan yang berlaku di Kelantan.
Usaha sebegitu patut dipuji dan didokong oleh semua rakyat Kelantan berada di luar Kelantan. Dengan adanya perhimpunan itu semua rakyat Kelantan dapat bertemu mata di antara satu sama lain. Ia boleh menjadi gelanggang untuk rakyat Kelantan menunjukkan kekuatan dan kekentalan ukhwah sesama mereka yang terjalin lama sebelum ini secara tradisi.
Rakyat Kelantan terkenal dengan semangat kecintaan sesama sendiri yang kuat. Semangat berpuak-puakan atau semangat kedaerahan yang dibenci oleh orang luar. Satu masa dulu sikap atau bduaya orang Kelantan ini cukup 'dianti' oleh orang luar. Tetapi apa boleh buat itulah keunikan orang Kelantan. Lama kelamaan orang luar faham dengan sifat dan fiil orang Kelantan.
Ada sebab kenapa orang Kelantan jadi begitu, mudah mesra dan berajak-ajakkan ke rumah di antara mereka bila berjumpa. Saya akan ulaskan hal ini di masa lain secara mendalam sikit.
Berbalik kepada program himpunan 30 Julai nanti, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan majlis ini. Ianya tampak lembab dan tidak berapa bermaya saja. Mungkin juga saya tidak nampak dan banyak mengetahui akan persediaan hal ini. Mungkin? Tetapi apa yang saya risik-risikkan semacam kurang bermangat saja. Teman-teman Kelantan bila ditanya ramai mengatakan tidak tahu dan bertanya bila?
Apakah majlis itu dikhaskan kepada orang Kelantan tertentu saja? Atau pun di kalangan mereka yang menjadi penyokong Pas tegar. Yang paling jelas publisiti mengenai tidak begitu meluas. Saya tidak tahu macam mana orang Kelantan lain boleh tahu kalau saya sendiri tidak tahu mengenai himpunan itu. Maksudnya kalau bukan kerana saya berjumpa dengan beberapa pemimpin Kelantan di gerai makan malam sebelum perarakan Bersih tempoh hari mungkin saya juga tidak tahu.
Ini kerana tidak ada apa-apa iklan yang dipsang mengenai majlis itu. Tidak ada mana-mana banner yang ternampak dipampangkan di jalan-jalan raya atau tempat strategik. Tiada sekelar atau pun risalah yang diletakkan di surau-surau atau masjid di Kuala Lumpur atau Selangor. Dalam akhbar atau tv jauh sama sekali. Di dalam blog atau portal berita yang pro kerajaan Kelantan juga tidak nampak banner ataupun tulisan-tulisan yang mengajak kepada majlis itu.
Apakah ianya dipasang di Kelantan, ataupun dilokasi-lokasi yang hanya ramai orang Kelantan saja? Tanpa iklan yang menyeluruh saya kira program itu gagal. Siapakah pengarah program ini tidak diketahui. Agensi mana bertanggungjawab tidak diketahui? Dan sejauh mana pula peranan Jabatan Penerangan Kelantan dan agensi-agensi lain berfungsi dalam hal ini?
Melihat kepada kelembaban ini saya terfikir mungkin kerana ia tidak mendapat kerjasama semua pihak. Perangai berpihak atau berpuak mungkin masih berlaku. Biasa dalam politik (Pas) kalau satu pihak mengadakan majlis pihak lain tidak akan beri kerjasama kalaupun tidak memulaukannya. Apakah ini berlaku dalam program himpunan rakyat Kelantan ini.
Sepatutnya semua kena memberi sokongan dan bekerja ke arah menjayakannya. Bukan itu saja pihak-pihak lain yang ada kena mengena dengan Kelantan juga patut dipanggil sama. Salah satu ialah parti PKR juga patut dimasukan sama dalam program ini. Pihak penganjur perlu mengudang sama PKR menjayakan program ini. Lantik atau pun panggil parti itu agar turut sama membantu. Jangan kerana PKR sebuah parti kecil dan tidak popular ia diabaikan. Walaupun PKR kecil tetapi ia ada penyokong tersendiri di luar Kelantan. Tetapi nampaknya keperluan ini tidak disedari, anggota PKR tidak dilibatkan sama.
Masa masih ada kira-kira beberapa hari lagi. Iklan atau publitisi perlu diperluaskan lagi. Pihak yang menjadi penanggungjawab boleh menggunakan apa jua instrument untuk menghebahkan majlis ini. Buatlah poster atau pun banner kirimkan kepada saya dan blog-blog pro kerajaan Kelantan untuk dimuatkan ke dalam blog atau Fb masing-masing. Biar ianya nampak mariah seperti mana mariahnya kempen Bersih dulu. InsyaAllah saya tidak akan mengenakan apa-apa bayaran.
Kalau hendak buat sekadar hendak buat saja tetapi ia tidak memberi impak besar rasanya tidak ada guna. Buat cemar tangan saja. Memalukan. Sekiranya majlis itu kurang mendapat sambutan ia akan menjatuhkan imej kerajaan Kelantan, orang akan membuat kesimpulan bahawa sokongan terhadap kerajaan sudah merosot. Umno akan mengambil kesempatan untuk menguar-uarkan yang orang Kelantan diluar sudah tidak berapa sokong Pas. Sekali lagi diulang, kalau hendak buat biarlah betul-betul dan penuh komitemen bukannya melepas batuk ditangga. [wm.kl.8:45 am 24/07/11]
No comments:
Post a Comment