Himpunan Bersih
Daripada Tangguh Baik Terima Tawaran Najib?
TERKINI: Bersih sudah bersetuju untuk mengadakan himpunan di stadium. Menurut Pengerusinya, Ambiga tarikh 9 Julai tidak berubah. Bagaimana pun belum ditentukan stadium yang akan dijadikan venue himpunan.
SEHINGGA kini belum ada keputusan muktamad apakah himpunan Bersih 9 Julai ini akan diteruskan ataupun ditangguh ataupun batalkan terus. Pihak Bersih akan bermesyuarat petang ini, manakala Pakatan Rakyat yang menjadi penyokong kuat himpunan itu akan bermesyuarat esok.
Berbagai pendapat dan ulasan dibuat berhubung himpunan ini yang tergencat apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin memberi nasihat dan pandangan dari hematnya berhubungan rancangan itu.
Kenyataan yang bijaksana oleh Sultan Mizan itu bagaimana pun ditafsir dengan berbagai cara dan dari sudut berbeza. Tetapi yang jelas kenyataan atau pandangan itu untuk kebaikan bersama. Semua pihak seharusnya mentafsir pandangan itu ke arah kesejahtraan negara.
Bagaimana pun seperti saya kata, kalau himpunan itu dibatalkan ia akan mengecewakan rakyat yang mahu menuntut pilihan raya bersih dan bebas. Pembatalan akan memberi kemenangan kepada SPR dan Umno sekaligus. SPR akan mendabibt dada bahawa apa yang mereka lakukan kini sudah pun bersih dan adil, sebab itu ia dibatalkan.
Walaupun pembatalan itu kerana mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong atas kepentingan lain, tetapi orang yang bermuka tebal seperti Wan Ahmad Wan Omar itu akan memanipulasikan keadaan. Makanya Bersih jangan sesekali mengistyharkan himpunan itu batal selagi tuntutannya tidak dipenuhi. Tangguh saja untuk digerakkan dilain masa.
Jalan terbaik ia diteruskan! Semalam Najib Razak membuat tawaran pesimis untuk menyediakan stadium untuk mereka yang suka membuat demonstrasi jalanan. Tawaran ini boleh dipertimbangkan oleh Bersih. Kita dan saya juga nak tahu sejauh mana keikhlasan Najib. Kalau tidak kena gaya tawaran sinis itu akan memakan diri Najib.
Daripada himpunan itu tidak jadi (batal), molek kalau Bersih mengerahkan rakyat yang mahukan keadilan dan bersih berhimpun di stadium. Tidak mengapa kalau pun tidak boleh berarak di jalanan dan berperang dengan polis dan FRU. Apa yang penting himpunan itu untuk menunjukkan jumlah mereka yang mahukan kepada kebersihan dan menolak kekotoran. Simbol itu yang diperlukan.
Rasanya istilah kalah atau pun gagal tidak akan berlaku lagi. Mesej Bersih sudah pun sampai dan tercetak di minda umum. Semua rakyat boleh datang ke stadium yang ditetapkan. Cuma jangan pula jumlahnya sampai ratusan ribu polis akan jadi gila dan bertindak pula ke atas para himpunan. Najib yang membuat tawaran ini kena bertanggungjawab sepenuhnya kalau terjadi demikian.
Semoga pihak Bersih akan mempertimbangkan cadangan Najib ini, dan Yang di-Pertuan Agong juga perlu merestuinya kerana cara diberikan Najib itu adalah alternatif terbaik daripada mengelakkan himpunan itu batal. Semua orang kena tahu penyakit nak berhimpun ini tak ubah seperti orang angin peteri atau mak yong, selagi dia tidak boleh lepas angin yang membawa sekak sebak di dalam dada ia tidak akan tenang.
Selepas berlakunya himpunan itu barulah kedua pihak dapat menilai apakah natijah dan kesan selanjut. Cara menzahirkan amarah ini lebih baik daripada dibiarkan ia terbekam di dalam hati yang sifatnya macam bom jangka. Bila sudah terdedah semua pihak tahu dan dapat mengukur kekukutan dan kelemahan masing-masing. [ttdi.kl.1:36 pm 05/07/11]
1 comment:
Assalamu alaikum tuan. Sebaiknya himpunan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil memandangkan kehadiran mungkin terlalu ramai. Di situ jugalah kita melihat keikhlasan Najib.
Namun begitu, Kalau dia bagi stadium negara atau stadium Putra, maknanya akannm berlaku demonstrasi jalanan kerana limpahan dari dalam stadium dan kalau ini berlaku sama saja dengan buat di Dataran Merdeka.
Mohon mencadang
Post a Comment