Monday, July 4, 2011

Susupan Malam

Apakah Bersih Sudah Bersin?

Titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya semua berpihak berfikir mengenai himpunan Bersih yang dirancang diadakan 9 Julai ini sedikit sebanyak memberi kesan. Selepas titah di raja itu nampaknya semua pihak termenung dan membuat koreksi terhadap nasihat dan pandangan Yang di-Pertuan Agong itu.

Ada tanda-tanda masing-masing sudah mula mengendur. Mereka yang baru berhajat untuk mendapatkan baju berwarna kuning hari ini sudah membatalkan niat. Manakala yang sudah memakainya masih terus pakai sebelum kata putus mengenai itu dibuat. Momentum untuk berhimpun sedikit terganggu dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong itu.
Baik di sebelah sini maupun di sebelah sana menerima dengan baik nasihat itu. Masing-masing menganggap titah itu sebagai satu panduan untuk semua demi kebaikan bersama. Perkasa(m) yang sudah mengendur sejak ketuanya di panggil polis bagaikan orang mengantuk disorong bantal dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong itu. Ketuanya tentu gembira sakan kerana kemaluannya terlindung kini.

Demikian juga dengan Pemuda Umno yang ketuanya tidak ada kuasa, titah itu telah menyelamatkan air muka dan maruahnya. Sebab itulah sebelum kering dakwat dikri itu cepat-cepat mereka membuat kenyataan yang Patriot tidak akan meneruskan himpunan.

Tinggal lagi kini di sebelah sini. Mesyuarat membincangkan titah di raja itu diteruskan. Saya yakin malam ini perkara itu akan terus didebatkan. Pro kontra akan berlaku dalam jemaah Bersih. Perkiraan sebaik mungkin kena dibuat agar enjin yang dihudupkan sejak sebulan lalu tidak akan mati. Kalau engin sudah mati susah untuk dihidupkan semula.

Di sini saya ada pandangan tersendiri dalam hal ini. Ada eloknya juga kalau Bersih memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan permasalahan mereka. Setidak-tidaknya Yang di-Pertuan Agong dapat mendengar sendiri apa yang terjadi. Cuma kalau menghadap itu janganlah setakat menghadap pintu pagar istana - menyerahkan memorandum kepada pengawal istana sahaja. Tetapi biarlah dapat bercakap dan beramah mesra dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri. Yang di-Pertuan Agong pula kalau boleh sudilah mendengar bicara rakyat secara langsung.

Khabarnya Pas akan menghantar wakil bersama rombongan Bersih untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Di sini saya merasa musykil sedikit, kenapa Pas tidak menghantar Presidenya sendiri untuk menghadap Agong. Bukankah Abdul Hadi Awang mempunyai hubungan baik dengan Tuanku Mizan?

Bukankah sebelum ini Abud Hadi pernah menghadap Tuanku Mizan bersama Najib dan Nik Aziz. Sebagai bekas MB Terengganu di mana ketika itu Tuanku Mizan Sultan Terengganu, Abdul Hadi boleh menggunakan hubungan baik itu. Kenapa Pas harus menyerahkan kepada pemimpin bawahan?

Apabila Pas hanya menghantar pemimpin lain, ia tidak menunjukkan Pas serius di dalam soal ini. Nampak sangatlah Pas hanya menumpang Bersih sahaja untuk menuntut agar pilihan raya bersih dan adil diadakan. Sebagai parti politik Pas seharusnya berada di depan bukan bertengek di bahu Bersih macam anak kera duku. Saya dapat nampak sewaktu mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung isu Bersih Mohamad Sabu yang baca. Ke mana Abdul Hadi?

Dalam hal ini Pas atau Pakatan Rakyat tidak boleh harapkan kepada Anwar Ibrahim atau Lim Kit Siang. Walaupun mereka juga rakyat Tuanku, tetapi perjumpaan lebih lunak kalau Hadi sendiri yang duduk bersila di depan persemayaman raja. Hadi orang Melayu, ustaz dan ulama lagi...yang tahu baca kitab dan hafal hadith tentu kedudukan itu lebih sesuai dan lunak. Kredibiliti Pas pun bertambah.

Iya kalau ada peluang menghadap Abdul Hadi hendaklah pergi sendiri. Dengan cara itu ia menunjukkan keseriusan dan komitmen Pas. Lagipun tidak muansabah kalau Pas mengirimkan pemimpin lain sedangkan presidenya masih boleh berjalan - sihat hanya memerhati dari jauh.

Kalau takdir berlaku pertemuan Bersih dengan Yang di-Pertuan Agong saya sudah dapat menjangkakan apa yang akan berlaku kepada himpunan Bersih yang dirancang pada 9 Julai ini. Sama ada pertemuan dan penghadapan itu dapat menyelesaikan tuntutan atau tidak, himpunan 9 Julai ini tentu akan dibatalkan sekiranya Bersih sudah berjumpa Agong.

Bersih tidak akan meneruskan sebagai menghormati Yang di-Pertuan Agong. Kecualilah Bersih nekad mengambil keputusan tidak mahu menghadap Yang di-Pertua Agong atau Agong sendiri tidak sudi menerima permohonan menghadap. Tetapi dalam keadaan kini sukar untuk Tuanku Mizan berdalih untuk tidak mahu berjumpa kerana baginda sudah membuat pandangan sedemikian. Baginda tidak akan bertitah kalau tidak melihat isu Bersih ini sesuatu yang bersungguh.

Adalah tidak kena kalau Tuanku Mizan menolak permintaan Bersih. Kita harap tidak ada pihak yang menasihati Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan itu. Apa yang paling baik kalau Tuanku Mizan berhajat untuk berjumpa, panggil semua pihak yang terlibat. Panggil Umno, panggil Pas, panggil PKR, panggil DAP, panggil Bersih, panggil juga SPR ... baru selesai atau jadi.

Perkasa(m) dan Pemuda Umno tidak panggil pun tidak mengapa kerana NGO itu hanya burung serindik yang berkokok ketika bunga semarak api sedang berkembang saja. NGO itu tidak ada apa-apa peranan dan kesan pun. Mereka hanya tukang sibuk saja setelah gulai di kawah bergelegak.

Kalau berlaku pertemuan dengan semua pihak itu isu Bersih akan selesai. Kalau tidak selesai secara menyeluruh tetapi, setidak-tidaknya himpunan pada 9 Julai ini akan ditangguhkan. Saya tetap yakin dan percaya selagi tuntutan lapan perkara itu dinafikan oleh SPR maka dilain kali himpunan Bersih akan bergema semula.

Kali ini kalau penganjurnya menetapkan hari dan tarikh, usah dihalang lagi mereka akan terus berarak menempuh ombak dan badai dan mereka sudah sanggup baju dan seluar mereka kebasahan. Uniform kuning yang sudah siap kini mereka akan simpan untuk disaut kembali. Kali ini kalau mereka saut ianya tidak akan dibuang lagi sehinggalah yang robek ditarik FRU.

Itulah yang kini bermain dalam kepada saya mengenai nasib Bersih pada 9 Julai ini. [ttdi.kl.8:15 pm 04/07/11]

2 comments:

juan said...

umno nyata tewas dngan BERSIH
titah Agong trpaksa digunakan

jika benar dapat mngadap dan beramah mesra...SETUJU selain Ambiga semua ketua2 PARTI PR trmasuk Ketua Pmbangkang WAJIB hadir bagi mnunjukkan KESUNGGUHAN tuntutan trsebut.

Dan Kebawah Duli, mesti mnjadi PENGADIL yg ADIL dlam isu ini.
diharap jngan sekadar menerima kertas tuntutan sahaja

rakyat menilai kesungguhan kalian
tapi jika sekadar brtemu dngan wakil Agong diluar pagar Istana
slepas selesai serah memorandum, tapi TIADA kesan pada tuntutan

InsyaAllah, dilain masa BERSIH akan meneruskan tuntutan mereka.

Bosan said...

Tidak semestinya semua tuntutan perlu dipenuhi bagi membuktikan kesungguhan dalam menyelesaikan masalah. Setiap tuntutan perlu dihalusi dan mengikut kesesuaian keadaan dan masa.

Mungkin kita juga perlu adakan satu tuntutan supaya semua orang belajar di sekolah kebangsaan. Jika mahu belajar bahasa ibunda mereka maka konsep seperti sekolah agama perlu diikuti. Yakni pagi sekolah kebangsaan petang ke sekolah agama/cina/india/dll. Kualiti sekolah keb boleh dibaiki. Saya melihat walaupun jika PR ditakdirkan menang dalam pilihanraya nanti jurang antara kaum akan tetap berlaku. Kesatuan yang timbul kini hanya disebabkan untuk menumbangkan kerajaan BN sahaja. Tetapi masing-masing punya matlamat yang tersendiri.

Sekiranya kita ke kaunter kerajaan kita akan dapat melihat bagaimana teruknya bahasa melayu ditutrkan oleh kaum selain melayu dan india. Malahan ada yang langsung tidak tahu berkomunikasi. Lihatlah keadaan masa mereka datang memohon IC semasa 12 tahun. Ibubapa mereka yang terpaksa memberi arahan kerana anaknya tidak memahami bahasa kebangsaan. Ini adalah anak-anak yang bapanya belajar dalam era DEB. Konsep berdendam pada KITA.
Kita lihat , singapura yang diagungkan oleh DAP terus menghapuskan sekolah bahasa CIna selepas merdeka. semua kena belajar dan berinteraksi dalam satu bumbung.

agak-agaknya PAS berani suruh DAP buat perkara ini tak. Takpun UMNO suruh MCA sokong depa hapus sekolah cina. Jika berlaku pada masa itu kita akan lihat kesatuan CINA atas nama suqui atau dong jiong bersatu tanpa kira parti anutan mereka.
Konsep ini yang kita tak mampu nak buat. Sebab apa , kita akan lihat sapa pemimpin NGO itu, jika ia orang PAS maka orang UMNO jauhkan diri. Begitu juga kalau pemimpin NGO itu orang UMNO atau ada bau bacang UMNO maka PAS akan jauhkan diri. Kita adalah masyarakat yang terlalu berpolitik.