Sunday, August 31, 2014

Enam isu penting di Pengkalan Kubur

PENGKALAN KUBUR 3                                                                   

25 September nanti rakyat Pengkalan Kubur akan mendapat wakil rakyat baru sebagai pengganti Allahyarham Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia di Zuanghuao, China 21 Ogos lepas. SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 13 September dan jika ada calon lebih daripada satu, pengundian akan dilakukan pada 25 September. Tempoh kempen selama 12 hari.

Ahmad dan Mustapa membawa imej politik baru.
Untuk sebuah pilihan raya kecil rasanya tidak perlu tempoh kempen selama itu kerana ia merugikan banyak perkara.

Mungkin untuk di masa hadapan SPR perlu mengkaji akan tempoh masa bersesuaian untuk menghadapi sesuatu pilihan raya kecil seperti Pengkalan Kubur. Dengan tempoh kempen lebih 12 hari itu ia banyak merugikan masa, tenaga dan juga kewangan. Sudah sampai masanya SPR mencerdikan pengundi dan merengkaskan kerja mereka sendiri.


Pilihan raya kecil dalam pengundinya berskala tidak sampai 50,000 boleh dilakukan dalam masa lima hari sahaja. Dengan meluasnya penggunaan IT, masalah publisiti hendak perkenalkan calon dan sebagainya tidak berbangkit lagi. Maklumat hari ini boleh dialirkan dalam masa beberapa minit sahaja berbanding dahulu mengambil beberapa hari.

Mengikut pendaftaran pengundi diguna pakai dalam PRU ke-13, pengundi di Pengkalan Kubur seramai 24,097 dengan ecerannya Melayu 91.9%, Cina 0.97%, India 0.1% dan lain (Siam) 7.03%. Dalam pilihan raya lalu Noor Zahidi menang dengan majoriti besar 1,736 mengalahkan calon PKR. BN menguasai kerusi berkenaan menerusi Noor Zaidi tiga penggal berturut-turt sejak tahun 2004.

Dalam catatan ini saya tidak mahu lagi mengulas siapa yang akan diletakkan bertanding oleh mana-mana parti yang hendak bertanding dan meramalkan parti mana yang akan menang. Tetapi apa yang menjadi minat saya untuk bangkitkan di sini ialah, pilihan raya kecil itu perlu diambil kesempatan oleh rakyat menjadikannya sebagai medan forum atau pun perbincangan bagi manfaat mereka. Jangan jadi pilihan raya itu sebagai formaliti atau peraturan yang statik.

Seperti biasa pilihan raya kecil akan penuh dengan kempen. Parti yang bertanding akan berkempen untuk menarik perhatian rakyat. Selalunya parti politik akan saling jawab menjawab atau pun tuduh menuduh antara satu sama lain. Dalam masa sama mereka membuat pelbagai janji pembangunan serta janji akhirat untuk rakyat. Senario ini biasa dilihat dalam pilihan raya kecil. Kadang kala nilai pembangunan mencecah berbillion ringgit, tetapi akhirnya habuk pun tidak ada. Manakala janji ke syurga pula semudah dengan memangkah calon parti tertentu.

Cuba toleh kepada apa yang berlaku di Kuala Besut. Apa yang tidak dijanjikan oleh parti Umno bagi membangunkan kawasan berkenaan ketika berlangsung pilihan raya tahun lepas. Apakah ia telah dilaksanakan? Perjanjian dalam politik hanyalah satu perangkap yang tidak pernah dituntasi!

Pilihan raya kecil Pengkalan Kubur itu agak menarik dan ditunggu-tunggu oleh pemerhati. Apakah bentuk dan gaya kempen UBN dan Pakatan Rakyat. Apakah mereka tetap menggunakan kaedah atau pun bentuk kempen sebelum ini yang adakalanya menyerang dan menghentam antara satu sama lain termasuk sampai menumpahkan darah?

Kenapa saya kata PRK Pengkalan Kubur ia dinanti-nantikan, sebab selepas kerajaan Pas dipimpin oleh Ahmad Yaakob ada pendekatan politik baru diambil oleh MB itu yakni berbaik-baik dengan Umno Kelantan. Ahmad tidak mengamalkan politik berkeras atau pun bertegang dengan UBN seperti sebelum ini. Politik baru yang lebih lunak ini dilihat disenangi oleh penyokong kedua-dua belah pihak. Selepas Ahmad menjadi MB tidak ada lagi upacara membalun dan membakar patong Mustapa Mohamed.

Semacam sudah ada persamaan, atau kesediaan bersama untuk membawa stail politik baru di Kelantan sejak setahun lalu. Masalah rakyat dan negeri sudah menjadi cita-cita bersama. Soal-soal remeh temeh, egois tidak bertempat sudah dibuang perlahan-lahan. Pendekatan baru ini jika diperhatikan, ia melegakan Ahmad untuk mentadbir Kelantan. Misalnya kepimpinannya tidak lagi diserang oleh media massa. Malahan Ahmad dan beberapa pemimpin lain mendapat tempat dan ruang dalam media massa PB Umno dengan baik. Apa yang tidak pernah terbayang sebelum ini misalnya pancaran secara langsung program bersama pemimpin Umno, sudah berlaku.

Satu segi Ahmad berjaya menenangkan keadaan dan mengharmoniskan politik orang Melayu di Kelantan. Beliau sendiri tidak terjebak dengan kenyataan dan ulasan yang menimbul kontroversi dan marah Umno. Pendekatan dan gaya Ahmad ini berbeza dengan apa dilakukan Tokguru Nik Abdul Aziz sebelum ini. Ahmad benar-benar menunjukkan sahsiah ulama. Dan kerana pendekatan ini juga ada tanggapan yang Pas hendak bekerjasama dengan Umno dan beliau kelihatan seakan terpedaya dengan manipulasi politik sekular Umno.

Apakah dengan stail dan pendekatan baru diambil Ahmad Yaakub itu maka kempen pilihan raya kecil Pengkalan Kubur kali ini berbeza? Pilihan raya itu bakal mencatat sejarah paling aman dan harmonis? Kalau pun Pas dan Umno tidak dapat berkongsi pentas ceramah, tetapi tidak ada serangan peribadi dilakukan. Gambar-gambar ziarah Najib Razak ke atas Nik Aziz semasa bekas MB itu sakit tidak akan ditebeng di Pengkalan Kubur.

Seperti disebutkan diawal tadi, atas sifat pilihan raya, kempen tidak akan dapat dielakkan daripada diadakan. Cuma ia berbeza dari segi pendekatan dan takniknya, dari pendekatan secara agresif kepada profesional. Ada beberapa isu atau modal kempen yang boleh dibangkitkan pada pilihan raya kecil itu dimana ianya boleh dimainkan oleh kedua-dua pihak demi kepentingan rakyat dan negeri Kelantan.

Pakatan Rakyat (Pas) boleh membangkitkan isu ini dan begitu juga Umno (UBN) boleh menyambutnya dengan baik. Kedua-dua parti saling memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan isu dan modal yang sama. Semua isu-isu atau modal pilihan raya yang bakal disebutkan menguntungkan rakyat Kelantan dan menepati citarasa politik kedua pemimpin utama di Kelantan Ahmad Yaakob dan juga Mustapa Mohamed. Jadi rakyat Kelantan amnya dan rakyat Pengkalan Kubur harus bijak dalam menangani isu-isu bakal ditimbulkan dalam pilhan raya itu nanti.

Dalam pengamatan saya ada sekurang-lurangnya enam isu penting yang boleh, bahkan perlu dibangkitkan semasa pilihan raya Pengkalan Kubur. Isu-isu ini boleh diperhati atau diambil tindakan oleh Pakatan Rakyat dan BN.

1. Royalti petroleium.

Pihak Pakatan atau Pas Kelantan boleh membangkitkan isu royalti petroleium yang berhak diterima oleh rakyat Kelantan yang pembayarannya tertangguh sampai ke hari ini. Walaupun sudah ada jawatankuasa bagi menyelesaikan perkara itu, tetapi royalti masih belum dibayar. Khabarnya sudah ada persetujuan untuk membayar RM200 juta kepada Kelantan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), tetapi masih tidak dilaksanakan sampai kini.

Pihak kerajaan Kelantan katanya menolak jumlah itu dan menuntut jumlah lebih banyak. Sebenarnya kerajaan Kelantan tidak perlu menanti Petronas membayar kesemua jumlah yang dituntut itu yang mencecah lebih RM4 billion. Ia boleh dilakukan secara beransur-ansur. Misalnya kerajaan boleh ambil RM200 juta dengan syarat jumlah itu dibayar secara ansuran selepas ini.

Isu ini boleh digunakan sebagai isu dalam pilihan raya Pengkalan Kubur kelak untuk mendapat perhatian pihak kerajaan Pusat dan juga Umno. Sudah pasti kalau Pas membangkitkan soal ini ia akan dijawab oleh Umno Kelantan, khasnya Mustapa Mohamed. Apa diharap hasil ungkitan itu nanti soal royalti ini akan bergerak setangga atau setidak-tidaknya rakyat mendapat penjelasan muasir berhubung perkara itu.

2. Air bersih.

Begitu juga dengan masalah air bersih. Walaupun kerajaan Kelantan berbangga dengan usaha AKSB yang berjaya mempertingkatkan kuantiti pengeluaran air dan kawalan kualitinya, tetapi hakikatnya masalah air bersih masih menjadi masalah utama kepada rakyat Kelantan. Masih ada kawasan yang rakyat berhadapan dengan isu air bersih dan terpaksa "menogok" air keruh menyusu sampai kini.

Dalam pilihan raya Pengkalan Kubur itu, isu ini juga perlu dibangkitkan. Misalnya pihak Umno boleh memberi jaminan atau mencari jalan bagi mengatasinya untuk kepentingan rakyat. Kedua-dua pihak menerusi perbahasan awam nanti (kempen) mencari resolusi bagi mengatasi masalah ini.

Tindakan dilakukan Mustapa mewujudkan pam air mini untuk kawasan-kawasan tertentu yang bermasalah dengan air termasuk di Tumpat mungkin boleh diperbanyakan lagi di masa akan datang. Hal ini sangat baik kalau dibangkitkan di sepanjang kempen di Pengkalan Kubur itu.

3. Sampah.

Demikian juga dengan masalah kebersihan atau sampah yang tidak terurus di Kelantan. Keadaan sampah di Kelantan hari ini sesuatu yang menjijikkan dan sekaligus menjatuhkan martabat Kelantan sebagai negeri jolokan Serambi Makkah. Gara-gara sampah tidak diurus dengan baik menyebabkan Kota Bharu menjadi kubu denggi.

Isu sampah ini boleh dibangitkan, mungkin ia akan diambil oleh pihak Umno. Sebagai parti yang bersiap diri untuk memerintah Kelantan tidak menjadi masalah kalau Umno mengemukakan solusi bagi mengatasi masalah ini. Umno boleh mengemukakan pelan mengatasi sampah secara menyeluruh dan sistemetik.

4. Perumahan rakyat.

Masalah perumahan menjadi masalah terdesak di Kelantan. Sejak lebih 20 tahun lalu kerajaan Pas tidak memberi tumpuan kepada masalah ini dan hanya berjanji sahaja. Katanya di Tumpat sudah dirancangkan untuk membangunkan perumahan rakyat, tetapi belum nampak ke hari ini. Perkara ini penting dan ia boleh dijadikan isu.

Sekali lagi isu ini boleh dibangkit dan diselesaikan oleh Umno. Umno juga harus merasa malu dengan isu perumahan di Tumpat khasnya di Pengkalan Kubur. Walaupun menguasai DUN berkenaan selama tiga penggal berturut-turut, tetapi belum ada pembangunan perumahan rakyat. Isu ini boleh diatasi bersama sekiranya Umno dan Pas bekerjasama. Umno menerusi kerajaan federal menyediakan peruntukan manakala tanah disediakan oleh kerajaan negeri. Maufakat seperti inilah membantu rakyat dan politik yang membawa keberkatan dan menjadi gagasan politik masa datang.

5. Pelabuhan. 

Pelabuhan, adalah salah satu isu besar dan bertaraf nasional yang boleh diberi perhatian dan ia boleh diungkitkan oleh kerajaan negeri (Pakatan). Negeri Kelantan sampai ke hari ini tidak memiliki pelabuhan yang menyebabkan salah satu faktor kenapa pelabur dalam bidang industeri tidak mahu datang ke Kelantan. Pelabur menolak Kelantan bukan kerana kerajaan Kelantan kerajaan Islam (baca agama), tetapi kerana tiada kemudahan asas pelabuhan dan jalan raya.

Mana-mana pelabur yang memahami Islam (baca agama), mereka terliur untuk datang ke Kelantan. Apa lagi Kelantan terkenal dengan keramahan hati budi rakyatnya, bahan mentah, tenaga boroh murah dan sebagai. Tetapi kenapa mereka tidak mahu datang kerana tidak ada infrastrukkur seperti pelabuhan. Pilihan raya Pengkalan Kubur ini perlu "dibom" dengan isu agar ia sampai membuka mata kedua-dua pihak.

Tidak mungkin kerajaan Kelantan dapat mewujudkan pelabuhan tanpa kerjasama kerajaan Pusat kerana ia memerlukan kewangan yang banyak. Hari ini pun sudah ada "pengandar" (penjaja) proposal untuk membina pelabuhan yang menjaja dari sebuah pejabat ke sebuah pejabat korporat di Kuala Lumpur, tetapi satu pun belum berhasil.

Perwujudan pelabuhan di Kelantan akan merubah lanskap ekonomi di Kelantan. Keperluan atau perwujudan sebuah pelabuhan lebih penting daripada membesarkan lapangan terbang Sultan Ismail Petra yang lebih kepada soal imej itu. Nah, dalam pilihan raya kecil itu nanti timbulkan isu pelabuhan dan dan keperluannya untuk masa depan rakyat Kelantan. Sekali lagi pelabuhan ini boleh dibina bila ada kerjasama politik antara kedua pihak atas nawaitu mengimplimentasikan aspirasi rakyat Kelantan.

6. Jambatan muhibbah ketiga.

Terakhirnya pembinaan jambatan muhibbah ketiga menghubungi Kelantan dengan Selatan Thailand. Umno boleh menjanjikan atau pun mengemaskinikan agenda ini yang sudah pun pernah disebut. Kalau tidak silap Mustapa Mohamed sudah pun meneteaskan idea projek ini. Dalam pilihan raya kecil itu nanti elok Pas menedesak dan bertanya kepada Umno berhubung cadangan ini.

Kalau di Bukit Bunga Jeli, boleh dibina jambatan menghubungkan Bukit Bunga dengan Bukit Tar di Siam kenapa sebuah jambatan Pengkalan Kubur - Takbai tidak boleh dibina.

Itulah enam isu atau modal yang menarik untuk diguna pakai dalam pilihan raya nanti. Ia boleh diguna oleh kedua-dua parti dengan versi tersendiri. Adapun isu Hukum Hudud (Jenayah Syariah II) dan Lebuh Raya rasanya ia bukan satu isu yang dominan lagi kerana hudud Umno sudah bersetuju dengan Pas. Sebuah jawatankuasa taknikal sudah ditubuh ke arah melaksanakan hukum hudud. Hudud, Pas tidak lagi boleh mengatakan Umno dan begitu juga sebaliknya. Hudud telah menjerat kedua-dua pihak.

Begitu juga dengan isu lebuh raya. Kedua-dua pihak Umno dan Pas menerusi kerajaan masing-masing kini sedang berlumba menyiap lebuh raya mengikut pakej masing-masing. Isu lebuh raya ini akan bangkit sesudah dua tahun dari sekarang. Buat masa ini kedua-dua lebuh raya, Kota Bharu - Kadok, Machang ke Gua Musang sedang dalam pembinaan. Perkara dalam pre pembinaan tidak relevan diungkitkan. [wm.kl.12:12 t/hari 31/08/14]

1 comment:

bat8 said...

Tuan MSO

Dalam PRK Kuala Besut, UMNO m3njanjikan p3mbangunan kawasan tepi laut Kuala Besut.

Untuk makluman tuan, projek itu akan dibuat. Dari sumber yang bol3h dipercayai, kontrek untuk t3busguna tanah atau land reclaimation sudah diberi kepada sebuah kontraktor bumiputra yang memang pakar dalam bidang ini.

Jadi kita tengok janji-janji UMNO dalam PRK Pengkalan Kubur ni pulok.