Tuesday, August 12, 2014

Kerajaan Pakatan masih boleh diselamatkan?

OTAK DINGIN                                                                                   

Azmin diterima baik oleh Pas, hadir rumah terbuka Pas.
Dewan Undang Negeri (DUN) Selangor masih boleh diselamatkan dan pilihan raya semula Selangor boleh dielakkan, duit kerajaan juga boleh diselamatkan sekiranya kesemua pihak bertelagah bertafakur sekejap mencari kejernihan dan kemurian untuk semua. 

Paling utama, ialah dipihak Pas dan PKR. DAP akan akur sahaja kerana parti itu dilihat tidak banyak kuasa tawar menawar. Sekiranya kedua pihak ini berlunak dan ikhlas dalam politik mereka, keadaan yang meruncing dan gawat kini boleh diselamatkan.

Abdul Khalid Ibrahim kini sudah tidak ada apa-apa kuasa dan kesaktian peribadi lagi apabila beliau telah dipecat daripada PKR. Beliau kini persis sekujur jasad yang sudah tidak bernyawa, hanya menanti arahan selanjutnya ke mana dan bagaimana untuk dikebumikan. Laluan atau perkenaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepadanya semalam hanya bersifat sementara bagi menanti saat pengkebumian akan dilakukan. Mereka yang masih memujanya adalah melakukan perbuatan kurafat.

Anwar harus mengalah untuk tidak lantik Azizah.
Keputusan kini adalah ditangan Pas dengan pertimbangan daripada PKR. Sekiranya kedua pihak ini membuat pertimbangan yang baik, dengan penuh rasa "mahabbah" dan kasih sayang kepada Pakatan Rakyat serta mengambil kira perasaan ahli dan pendokongnya, sudah pasti jasad politik Khalid akan dapat dikubur segera dan perbuatan kurafat boleh dihindarkan. 

Sebaliknya kalau Pas dan PKR tidak dapat kata sepakat, apa lagi berkeras antara satu sama lain untuk merebut pesaka ditinggalkan Khalid, ia menyebabkan jasad MB Selangor itu terus terbiar dan keadaanya akan membusukkan seluruh negara.

Semalam Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan telah terbang ke Terengganu. Anwar terpaksa juga memijak negeri yang alergik baginya itu untuk berjumpa dengan Abdul Hadi Awang. Pemergian dan kunjungan Anwar itu tentulah berkisar kepada perkembangan di Selangor. Agak kontrakdik sedikit dalam hal ini. Kalau sebelum ini Abdul Hadi bersama Mustapa Ali mengunjungi Khalid Ibrahim dirumahnya, tetapi kini Anwar yang berbuat seperti mana Abdul Hadi dan Mustapa Ali lakukan itu. Begitulah dunia politik bila keadaan terdesak soal protokol diketepikan. Adat dan tradisi dilanggar.

Sehingga sekarang ini tidak ada apa-apa kenyataan akhbar dari kedua pihak hasil pertemuan itu. Hanya ada sedikit berita mengatakan Anwar sebagai berkata pertemuan itu sangat bagus. Apakah konteks "kebagusan" dimaksudkan Anwar itu? Apakah beliau dijamu dengan kueh raya oleh Abdul Hadi kerana mungkin kebetulan Abdul Hadi baru selesai berpuasa enam dan mengadakan sambutan mini hari raya? 

Atau pun kebagusan itu menunjukkan ada responsif politik yang baik daripada Presiden Pas itu. Tidak dapat didugakan apakah yang bagus itu. Cuma daripada apa yang sampai ke telinga saya sebelum ini dan dibagitahu oleh orang yang rapat dengan Abdul Hadi, Pas bersikap menyokong Khalid atas kerana Pas tidak senang kalau Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan pengganti Khalid.

"Enta cuba tuliskan yang Pas bukan tidak suka kalau Khalid dipecat, tetapi Pas tidak boleh menerima kalau Dr Wan Azizah dijadikan penggantinya. Bukan soal nepotims tetapi soal kredibiliti Dr Wan Azizah." Itulah kata dan pesan orang yang rapat dengan Abdul Hadi kepada saya menjelaskan situasi dan delima yang berlaku dalam Pas.

Dengan mengambil kira apa dimaksudkan itu, mungkin yang disebutkan Abdul Hadi kepada Anwar dalam pertemuan itu, sebagai "bagus" yang disifatkan Anwar itu, masih ada jalan untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan di Selangor dan mengelakkan pilihan raya semula diadakan. Kalau pilihan raya semula diadakan belum tentu Pakatan Rakyat dapat mengekalkan Selangor. Ini mungkin yang dibentangkan Anwar kepada Abdul Hadi dan dibalas dengan Abdul Hadi dengan cadangan lain.

Apakah Anwar akur dengan kehendak Pas itu, bahawa isterinya tidak pantas diangkat menjadi MB Selangor. Anwar mungkin sedar bahawa Pas juga perlu dilayani dan air muka Pas sebagai rakan yang penting dalam Pakatan Rakyat perlu dijaga. Perlu difahami kondisi Pas dalam Pakatan Rakyat berbeza dengan kedudukan DAP dari sudut perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair. Pas sebagai parti Islam harus menjaga syariat Islam kalau tidak ia tidak akan dilihat sebagai sebuah badan siasah Islam.

Memang ada "kulihaynya" kepada Pas kalau mereka sukar untuk menerima seorang wanita menjadi ketua. Bukan soal gender yang dipertahakan oleh Pas, tetapi soal kecaman dan kritikan yang akan dilempar kepadanya. Sudah tentu kalau Pas menerima Azizah seadanya ia akan dikritik oleh agawaman upahah di dalam Umno dan segelintir ustaz "juz amma" dalam Pas. Pas cuba mengelak parti itu dari dianggap menjadi "keldai belakang lentik" kepada PKR dan DAP oleh para musuhnya. 

Selain itu bagi Pas ia merasakan tidak terdesak untuk melantik wanita menjadi MB kerana masih ada sedozen jantan lain lagi yang berkemampuan menjadi MB Selangor dan lebih berkemampuan berbanding Azizah. Di sinilah mungkin menyebabkan berlaku sedikit percanggahan dan persefahaman antara PKR dengan Pas. Maka timbullah nama-nama dalam Pas sendiri layak untuk diangkat menjadi MB Selangor sebagai mengganti Khalid dinama penonjollan nama itu menyebabkan PKR menjadi "murih". 

Apakah cadangan dan pandangan ikhlas dinyatakan Abdul Hadi dalam pertemuan semalam, itu yang disifatkan bagus oleh Anwar? Bahawa Anwar sedia menerima pandangan Pas demi kemaslahatan bersama. Kalau pun Anwar tidak berkeras untuk membatalkan suara majoriti Adun PKR untuk melantik Azizah sebagai MB ia bukan sesuatu yang menjatuhkan maruah dan darjat politiknya malahan dianggap sebagai bijaksana kerana sanggup mengenepikan kepentingan diri demi hayat Pakatan Rakyat. Dalam situasi menggawatkan sekarang Anwar harus memikirkan soal masa depan Pakatan Rakyat daripada merasa malu dengan kegagalan pelannya untuk menggantikan Khalid dengan Azizah.

Jempol boleh diangkat kepada Anwar kalau beliau mengambil kira pandangan dan permasahan Pas berhubung pengganti Khalid itu. Inilah baru dikatakan persepakatan yang membawa berkat. Di mana saling menegur dan saling menerima pandangan antara satu sama lain. Manakala perbalahan yang meleret-leret akhirnya dapat dituntasi dengan baik. Kejayaan Pakatan Rakyat menyelesaikan kemelut MB Selangor akan dilihat rakyat akan ketulusan dan keprihatinan Pakatan kepada aspirasi mereka.

Sekiranya Anwar akur dengan kehendak Pas yang tidak begitu gemar untuk menerima Azizah menjadi MB Selangor siapakah agaknya orang yang paling layak untuk mengganti Khalid. Sebenarnya jawaban kepada persoalan ini tidak payah mana untuk dijawab. Sekiranya semua pihak dalam Pakatan menerima konsensus, pihak berhak mengganti Khalid ialah daripada PKR, sebab kerusi MB Selangor itu diperuntukan secara konsensus kepada PKR. Secara konsensus, faham elok-elok terutamanya bagi mereka yang berotak kemetot.

Bila menyuluh tokoh atau calon lain daripada PKR pula, selepas Azizah sebagai presiden tidak boleh diterima secara bulat, tentulah orang yang berada dilapisan kedua selepas Azizah. Hari ini tokoh kedua ialah Mohamed Azmin Ali yang merupakan Adun Bukit Antarabangsa dan juga ahli parlimen Gombak. Apabila disebut Azmin bukan bermakna kerana Azmin berhajat kepada jawatan itu, tetapi ia dilihat kepada senioriti di dalam Pakatan Rakyat, lagi pun Azmin memang dijadikan calon rezeb. Buktinya dalam pilihan raya ke-13 beliau bertanding dua kerusi Dun dan Parlimen sama dengan Khalid. Untuk apa dan kenapa?

Ia makin relevan apabila Azmin sudah diumumkan secara tidak rasmi memenangi jawatan timbalan presiden PKR dengan mengalah Saifuddin Nasution Ismail. Azmin dilaporkan mengutip undi sebanyak 22,557 manakala Saifuddin 10,742. Seorang lagi pencabar jawatan itu Abdul Khalid Ibrahim sudah terbuang secara automatik dari perebutan itu apabila beliau hilang kelayakan mutlak apabila dipecat daripada PKR. Kalau pun beliau masih valiad dengan jawatan itu Khalid juga kalah. 

Dengan kedudukan itu, calon atau tokoh paling layak untuk mengganti Khalid selepas Azizah dinafikan dari segi hierarki parti ialah Mohamed Azmin Ali. 

Memang sebelum ini ada penentangan dari kalangan PKR sendiri terhadap Azmin untuk dilantik menjadi MB. Penentangan itu paling menonjol wujud dalam kalangan penyokong Khalid Ibrahim. Mereka inilah yang "menghalak" dan menghasut Khalid agar merebut jawatan timbalan presiden PKR demi survivel jawatan sebagai MB. Mulanya Khaldi tidak berminat dan sedia menerima percaturan parti, tetapi kerana termakan hasut akhirnya beliau melakukan putaran 360 darjah untuk ikut sama merebut jawatan timbalan presiden. Dan gara-gara mengikut telunjuk akhirnya Khalid jatuh terjelapak kini.

Kini Khalid telah pun tidak ada dalam gelanggang lagi. Apa yang berlaku merupakan satu takdir untuk menyelamatkan PKR sebenarnya. Seluruh ahli PKR termasuk penyokong tegar Khalid yang membaca Yassin dan bersolat hajat di kediaman MB, kena memahami hakikat ini. Orang yang menentang Azmin untuk dilantik menjadi MB juga harus mengakui dan menerima hakikat ini, bahawa manusia boleh berikhtiar tetapi penentunya daripada Allah juga. 

Sekiranya mereka sayang kepada PKR, perubahan dan takdir ini perlu diterima sebagai satu ujian bagi menguatkan perpaduan dalam PKR khasnya dan Pakatan amnya.

Baik dipihak penyokong Wan Azizah penyokong Saifuddin dan penyokong Khalid yang masih menjadi anggota PKR perlu membersihkan diri dan mengendurkan perasaan amarah masing-masing. Mereka perlu menunjukkan semangat kepartian yang tinggi. Kembalikan niat dan nawaitu asal perjuangan untuk mejatuhkan UBN bukannya menjatuhkan sesama sendiri. Dalam konteks ini peranan boleh dimainkan oleh Anwar Ibrahim serta Abdul Hadi Awang.

Baik Anwar atau Abdul Hadi jangan mudah termakan dengan adu domba musuh baik dari dalam parti atau di luar yang ingin melagakan antara satu sama lain agar Azmin tidak dilantik menjadi MB. Memang ada sesetengah pihak yang dijarumi Umno sengaja mencipta isu untuk menafikan hak Azmin. Anwar dan Abdul Hadi yang kini sudah berkayuh dan hanyut ke ujung usia perjuangan jangan sesekali meninggalkan legasi yang menghitamkan dakwat sejarah politik mereka.

Desas desus mengatakan Pas ada menunjukkan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad sebagai menjadi pengganti Khalid perlu dihentikan kerana cara itu juga boleh dianggap sebagai tidak menghormati hak multak PKR. Pas dalam soal ini tidak boleh berdalih untuk tidak menerima Azmin, lagi kerana Azmin bukan seorang wanita seperti Dr Wan Azizah yang dijadikan alasan oleh Pas. Rasanya Pas tidak ada apa-apa masalah dengan Azmin dan timbalan presiden PKR itu juga baik dengan semua pemimpin Pas. 

Jadi formula bagi menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan menghindarkan daripada diadakan pilihan raya semula, ialah dengan mengambil Azmin sebagai calon alternatif sebagai mengganti Khalid Ibrahim. Walaupun Azmin sememang berhak dan layak dari segi kedudukanya, tetapi untuk tidak memperlihatkan Azmin menang dalam pertaruhan dan perkucahan ini, katakanlah bahawa Azmin adalah calon alternatif MB Selangor terbagus untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan. [wm.kl.12.09 t/hari 12/08/14]

4 comments:

marhein said...

Pak MSO..harap bagus yg di katakan oleh DSAI tu adalah spt artikel Pak MSO..harap DSAI boleh terima syarat yang TGH berikan...

Terjah said...

Sdr Sayuti,

Inilah langkah terbaik menyelesaikan krisis Selangor. Pada awalnya, saya juga yakin bahawa oemilihan DSWA sebagai calon MB selangor tidak berapa kena. Walaupun DSWA adalah presdien parti, umum maklum bahawa beliau memegang jawatan itu kerana faktor suaminya. Betulah sewaktu PKR ditubuhkan dulu, hanya beilulah ssosk paling sesuai, kerana pada waktu itu PKR ketiadaan tokoh wibawa. Sebagai Presiden, tak semestinya jadi MB. DSWA boleh terus mengukuhkan parti.
Yang paling penting dalam hal ini PR terselamat dan PAS tidak perlu pula keluar dari POR kerana langkah itu tidak cerdik kepada PAS. Kalau PAS keluar dari PR, PAS jug akan hilang keyakinan rakyat. Seperti kata Husam, sukar untuk menang kalau sendirian, Sejarah telah terbukti.
Azmin sebagai MB ganti DSWA adalah cara terbaik, mengelak PR ke dalam kacah krisis lebih dalam. Cuma Azmin mestilah seharusnya 200 persen lebih baik daripada Khalid. Ikut arahan parti dan jaga kebajikan ahli yang berjuang untuk memenangi pilihan raya. Jangan jadi seperti Khalid, lupa diri dan bodoh sombong.
Azmin terbukti kesetiaan kepada parti, masa senang dan susah. Beliau menang jawatan TP dengan majoriti besar. Dalam PKR cukuplah , jangan lagi berpuak-puak. Azmin mesti jangan pilih bulu ambil penyokongnya saja untuk jawatan dalam Kerajaan. Bersikap adil demi untuk semua.

Jaga PAS, DAP dan PKR kerana semuanya saling memerlukan.

Saya harap DSAI muhasabah. Kalau ia terpaksa ke Kajang (penjara), beliau tidak ke sana dalam keadaan PR telah tumbang Kerajaan di Selangor, tetapi semakin kukuh untuk terus maju bersama rakan-rakannya. PAS juga mesti berubah cara. Ikutlah gaya Erdogan di Turki. Walaupun parti Islamik dan rakyat Turki rata sekular, tetapi rakyat terima parti Ilam Erdogan sebab parti pimpinan Erdogan dilihat progresif dan tidak kolot agama. Islam makin kuat di Turki bukan kerana hudud tapi pelksanaan yang tersusun rapi. Ikut keutamaan yang memberi faedah kepada rakyat. Saya rasa ini agenda utama PR untuk rakyat Malaysia.

MalaysianMan said...

Kami merayu kepada PAS supaya kembalikan kecemerlangan PR supaya tidak terjurumus dalam perangkap musuhnya yang amat jelas sekali adalah untuk melaga2kan parti PR....sama2lah kita berjuang hanya untuk kesejahtheraan Rakyat yang memberi undi serta menghadiahkan kedudukan seperti yang kita ada sekarang.....bertakafurlah sejenak untuk masa depan yang lebih cerah untuk negara dan rakyat....

Ahmad Izhan said...

PAS tak mahu anwar dan anak beranak nyer sahaja

kenapa? kena Tanya hadi awang...

pada aku, hadi anak beranak menantu termasuk anak nik Aziz dan sekutunya, taku PKR akan pintas PAS... nanti yg dominan adalah UMNO vs PKR ....