Tuesday, August 19, 2014

Bekas MP Bachok lima penggal kembali ke Rahmatullah

BELESUNGKAWA                                                                            

Allahyarham Mohd Zain disayangi rakyat.
Bekas ahli Parlimen Bachok selama lima penggal Mohd Zain Abdullah telah kembali ke rahmatullah minggu lepas. Berita ini dimaklumkan oleh salah seorang cucu Tok Kenali ketika berjumpa saya malam kelmarin di Kuala Lumpur.

Menurutnya jenazah Allahyarham disemadikan di tanah perkuburan Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan. Allahyarham meninggal di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian, Kota Bharu.

Mohd Zain merupakan seorang tokoh Pas yang dihormati kawan dan lawan sebelum beliau mengambil pendirian untuk bersama bekas Yang Dipertua Pas Allahyarham Mohd Asri Muda meninggalkan Pas pada tahun 1982. Allahyarham Mohd Zain merupakan pengikut setia Asri dan seorang rakan yang patuh.



Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Bachok kali pertama pada tahun 1969 dengan mengalahkan calon Umno, Ahmad Idris dengan majoriti 2,126. Allahyarham mendapat 13,069 manakala Ahmad mendapat 10,942.

Dalam pilihan raya umum pada tahun 1974 sekali lagi Allahyarham mewakili kerusi Parlimen Bachok apabila menang tanpa bertanding. Kali ini atas tikit BN apabila Pas berkerjasama dengan Umno menerusi BN. Hanya beliau dan Tengku Razaleigh Hamzah sahaja daripada 12 kerusi parlimen yang menang tanpa bertanding.

Allahyarham terus mengekalkan kerusi parlimen Bachok untuk penggal ketiga berturut-turut apabila menang dalam pilihan raya 1978 mengalahkan Hasan Harun dari BN dengan majoriti tipis 356 undi. Kemenangan beliau ini menunjukkan Allahyarham seorang pemimpin disayangi oleh rakyat kerana ketika itu Pas dalam menghadapi krisis namun beliau masih mampu mempertahankan kerusi dimenanginya.

Pada pilihan raya umum itu hanya beliau bersama Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menang kerusi parlimen sementara yang lain semuanya kalah.  Nik Aziz menang di kerusi kubunya Pengkalan Chepa.

Dalam pilihan 1982, Allahyarham sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi parlimen Bachok untuk penggal keempat dengan mengalahkan calon BN, Ghazali Awang Ibrahim. Allahyarham mengutip undi sebanyak 15,925 manakala Ghazali sebanyak 14,651 dengan majoriti 1,276.

Kecemerlangan Allahyarham sebagai wakil rakyat terus terjawab apabila dalam tahun 1986 walaupun beliau bertanding atas tikit BN setelah keluar daripada Pas, tetapi masih mampu mempertahankan kerusi parlimen Bachok. Paling nostalgik dan menyedihkan apabila beliau berhadapan sesama sendiri, melawan rakannya Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada Pas.

Kemenangan hanya dengan 270 undi ditangan Nik Aziz cukup untuk menunjukkan bahawa Allahyaraham bukan mudah untuk direbahkan walaupun lawannya Pesuruhjaya Pas Nik Abdul Aziz sendiri. Allahyarham yang sekali lagi dicalonkan oleh BN untuk mempertahankan kerusi pada pilihan raya tahun 1990 bagaimana pun tewas kepada calon Pas Bunyamin Yaakob dengan kekalahan teruk. Bunyamin menang dengan majoriti 12,254.

Jika diperhatikan kepada pencapaian itu jelas menunjukkan Allahyarham seorang tokoh yang disayangi rakyat. Saya sempat berberapa kali bersamanya yang juga merupakan seorang guru di sepanjang hayatnya terutamanya pada tahun akhir tahun 70-an hingga 90-an. Pertemuan terakhir saya dengan Allahyarham ialah pada hari kematian Mohd Asri Muda pada 28 Ogos 1992 kira-kira 22 tahun lalu. Al Fatihah. [wm.kl. 1:57 pm 19/08/14]
Post a Comment