ULASAN PAGI
Keputusan yang diambil oleh parti agama, Pas semalam masih menjadi sebutan dan percakapan umum. Ada berbagai-bagai versi mengenainya. Ada yang merasa lapang dada dan penuh kesyukuran dengan keputusan dibuat Pas itu, ada yang menerimanya sebagai "buah masam atau kelat" sahaja.
Saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai keputusan yang diambil oleh Pas itu. Catatan ini terpanggil apabila membaca laporan tentangan singgungan bekas pensyarah UIA, Abdul Aziz Bari yang menyinis Pas dengan mengatakan keputusan dibuat Pas semalam tidak bermakna lagi.
Lebih terpanggil apabila beliau meminta Pas kalau tidak pandai bermain bola Pas harus belajar.Agak menikam jantung sedikit.
Dari segi signifikennya memanglah mesyuarat Pas semalam itu tidak memberi makna kalau ianya dilihat untuk membendung kemelut MB Selangor itu bagi menyatakan sokongan kepada PKR, kerana isu Khalid sudah selesai apabila Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mendapat majoriti. Tetapi dari konteks lain keputusan mesyuarat itu masih relevan dan penting.
Aziz tidak boleh melihat dari sudut akademik semata-mata tetapi kena memahami semangat dan juga seni politik. Kalau semuanya dilihat dari kaca mata akademik, politik itu tidak akan hidup seperti mana ia hidup, penuh dengan gelora, ribut, taufan dan tipu daya. Disebabkan seorang akademis melihat politik dengan mata akademik mereka sering gagal atau kecewa. Politik ala-ala Malaysia ini tidak pantas untuk akademis.
Kenapa saya menyatakan keputusan dibuat Pas itu masih bererti, kerana keputusan semalam telah meredahkan kegelisahan ramai orang sebelum ini. Dengan mencapai keptusan sebulat suara terhadap beberapa resolusi dibuat bermakna Pas masih akur kepada maufakat dalam membuat keputusan. Pas masih mengambil kira kepentingan Pakatan Rakyat daripada melayan suara orang-orang tidak mukalaf dalam politik.
Misalnya isu mengenai pencalonan Dr Wan Azizah, Pas mengambil keputusan kontroversi atau bertentangan dengan naluri Presiden dan Majlis Syura Ulamak (MSU), kerana Pas menghormati rakan dalam Pakatan (PKR). Pas telah meletakkan kekejapan Pakatan Rakyat lebih daripada kepentingan lain. Abdul Hadi boleh pertahankan keputusannya dalam mesyuarat semalam walaupun mesyuarat itu akan berkebut, tetapi atas rasa kepentingan politik bersama beliau akur dan rela dipersendakan.
Saya yakin tidak semua ahli jawatankuasa Pas bersetuju, tetapi mereka sedia bersetuju untuk menunjukkan ukhwah. Semangat ini harus dihormati. Apa kata kalau mesyuarat Pas semalam kecoh dan gagal membuat resolusi sedemikian, natijahnya ia akan merosakkan keharmonian Pakatan Rakyat. Jadi apa dibuat Pas semalam adalah satu pengorbanan yang perlu dihormati.
Abdul Aziz tidak perlu mengajar Pas daripada bermain bola kepada bermain ragbi. Politik memang begitu ia tidak berjalan lurus atas garis hukumnya. Sebab itu ia dipanggil politik dan sukar untuk dituruti oleh akademis yang berdisiplin dan berpegang kepada fakta dan sejarah. Dalam politik soal fakta dan sejarah jarang diikuti. Sebaliknya orang politik banyak mencipta sejarah, sama ada hitam atau putih.
Keadaan ini menyebabkan Pas atau sesiapa sahaja menukar bukan saja corak tetapi jenis suka. Adakanya mereka sedang memecut pada acara 1000 meter tetapi boleh bertukar menjadi ke acara 1000 meter lari berhalangan. Demikian juga ada kalanya mereka sedang melompat tinggi, tetapi tiba-tiba ditukar ke acara lompat kijang. Itu dan inilah politik yang penuh dengan seni dan serba kemungkinan.
Hal-hal sebegini tidak mudah untuk difahami oleh akademis seperti Aziz Bari. Saya katakan walaupun tindakan itu salah dan buruk, tetapi itu yang sering berlaku dan orang politik sudah cukup arif mengenainya. Yang mudah gelabah sampai nak tunjuk perasaan, pegang maskot dan sebagainya adalah golongan yang belum baligh politik.
Jadi apa yang diputuskan oleh Pas semalam walaupun dari satu juring menampakkan kelemahan Pas tetapi dari juring lain ia menampak akan kehebatan Pas. Itulah hikmahnya. Dengan apa yang berlaku usahlah dipertikaikan dan perlu menerimanya dengan baik kerana ia akhirnya memberi kemenangan secara bersama.
Yang penting Pas masih lagi kekal dalam Pakatan, menyatakan komitmen mereka untuk bersama Pakatan. Masalah pertukaran MB Selangor adalah salah satu agenda dalam Pakatan, agenda besar masih menunggu tiga atau empat tahun lagi. Semua pihak harus melihat jauh ke depan dengan melupai hal-hal sampingan yang sering kali timbul. Dalam konteks Selangor hari ini perkara paling utama mengekalkan kerajaan yang dibentuk selepas PRU lalu bukan mempersoalkan siapa MB.
Hendaknya keputusan diambil oleh Pas mengenai calon pengganti Khalid yang kemudian diterima baik oleh PKR serta keterbukaan dan keikhlasan Mohamed Azmin Ali untuk akur dengan keputusan partinya, perlu dihormati semua pihak dalam Pakatan. Mana-mana yang merasakan mereka tidak "menang" dengan keputusan yang dibuat harus menerimanya dengan baik.
Tentang Aziz Bari yang mengkritik Pas lebih kepada menegur presiden Pas itu biarkan dan terimalah ia juga sebagai sinis yang akan menyedarkan semua orang untuk membaiki diri ke arah lebih baik dan bermakna lagi. [wm.kl.9:36 am 18/08/14]
4 comments:
Tuan MSO
Terima kasih tuan atas pandangan tuan mengenai rupaparas politik yang ditempa oleh pengalaman dan pengamatan yang tajam. Dengan rasa syukur dan rendah hati ambo ucap terima kasih kerana ambo belajar sesuatu dari tuan yang budiman. Terima kasih.
Dengan selesai kemelut ini dengan keputusan yang melegakan, ambo raso tugas kerdil ambo dalam isu ini sudah berakhir. Ambo kembali kepada ruang ambo dan terus memerhati dari jauh seperti sebelumnya.
Ambo hanya melaksana tugas ambo setakat terdaya untuk memastikan anak cucu kita mewarisi negara kita ini dalam keadaan baik sebagaimana kita mewarisi dari generasi lalu. Supaya mereka mempunyai masa depan yang lebih cerah dan terjamin.
Akhir kalam, ambo mitok maaf kalau ada silap salah dalam komen-komen ambo semasa menumpang lalu di teratak minda tuan.
Jika ada isu penting yang menyentak perasaan, Insya Allah ambo bertandang lagi.
Jazallah hukhairan
Salam, saya juga mengucapkan jazakalah dan terima kasih kepada sdr bat8 yang istiqamah memantau dan memberi komentar balas dan pencerahan dalam blog Merah Tinta. Bat8 adalah pengomen tetap kepada blog saya yang banyak memberi input dan membuat konklusi tangkas. Saya menerima komentar sdr sebagai dari sumber yang autentik. Terima kaih atas sumbangan semoga tidak jemu untuk bersama saya dan penjengol blog Merah Tinta lain yang semuanya bidiman. Wassalam.
Tuan,
Alhamdulillah Pas berjaya bersatu hati dalam keputusan mesyuarat semalam dan harapnya tiada lagi cakap-cakap belakang tentang UG dan keluar dari PR. Apa yang ditonjolkan semalam wajar dipuji kerana ia mencerminkan kematangan Pas dalam politik. Tetapi janganlah dibiarkan apa-apa masalah yang timbul berlarutan dan lambat membuat keputusan. Semoga Pas sentiasa mendapat rahmat Allah. Takbir.
semoga allah berikan kekuatan kpd jamaah pas walay di fitnah oleh musuh luar dan dalam jamaah..buatlah fitnah selagi anda mampu...
Post a Comment