Thursday, April 1, 2010

Dari Parlimen

Contohilah Ahli Parlimen Wanita

SAYA sempat mengikuti sidang Parlimen hari ini menerusi internet. Walaupun aksesnya tersekat-sekat, maklumlah tahap kelajuan jalur lebar di negara kita masih belum tinggi dan canggih lagi. Tetapi apapun dapatlah juga saya mengikutinya tanpa hadir ke parlimen.

Saya menyaksikan sidang itu ketika saya berihat di sebuah kedai berhampiran dengan Zoo Negara di Hulu Kelang. Kebetulan semasa saya melayari internet, Menteri Wanita dan Pembangunan Kelaurag, Shahrizat Abdul Jalil sedang menggulung perbahasan bagi pihak kemteriannya.

Beliau memberi respons kepada perkara dibangkitkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat semasa menjujung titah ucapan yang Dipertua Agong.

Apa yang saya nak sebut di sini, rasa bangga dan senang hati saya kepada sikap ahli Yang Berhormat wanita yang bangun meminta penjelasan dari menteri berkenaan. Antara Yang Berhormat yang bangun meminta penjelasan atau menyarankan padangan semasa Shahrizat menggulung itu ialah, Nurul Izzah (Lembah Pantai), Dr Mariah Mahmud (Bukit Raja), Dr Lo' Lo' Muhammad Ghazali (Titiwangsa), Zuraida Kamaruddin (Ampang) Fong Po Kuan (Batu Gajah). Selama saya mengikut ucapan penggulungan Shahrizat itu tidak ada pun YB wanita dari UBN yang bangun, mungkin ia terlepas pandang.

Dr Mariah bangkit bangun mempersoalkan kemeterian berkenaan berhubung hukukman dikenakan ke atas wanita yang membuang anak. Beliau ingin tahu apakah tindakan ke atas lelaki yang menjadi pasangan wanita berkenaan sehingga melahirkan anak. Katanya adalah tidak adil kalau wanita saja dikenakan tindakan atau dipantau tetapi lelaki yang terlibat dilepaskan.

Isu itu juga menarik perhatian Dr Lo' Lo' yang mahu kementerian berkenaan menangani wanita yang tergamak membuang anak. Kementerian harus mengetahui apakah masalah sebenar yang berlaku sehingga mereka tergamak membuang anak. Dr Lo' Lo' turut mengambil kesempatan menjelaskan bahawa Muslimat Pas juga turut sama melancarkan kempen untuk membangunkan keluarga cuma ianya tidak mendapat publisiti meluas seperti program yang dilancarkan oleh kementerian dipegangi Shahrizat.

Pandangan Mariah dan Dr Lo' Lo' itu disetuju oleh Fong Po Kuan dengan mencadangkan supaya kementerian berkenaan mendekati wanita yang terlibat membuang anak. Dalam hal ini katanya bukan soal hukuman yang perlu diutamakanya tetapi menangani mereka. "Kita perlu mendekati mereka dan mengetahi apakah masalah sehinggakan mereka terpaksa membuang anak," begitulah kira-kira kata Po Kuan.

Manakala Zuraida mangambil peluang bertaya Shahrizat mengenai nasib isteri dan anak-anak pelajar luar negara yang ditangkap di bawah Isa. Katanya apa sudah jadi dengan anak dan isteri pelajar berkenaan yang ditinggal di sini selepas suami mereka yang ditangkap itu dihantar pulang ke negara mereka.

Beliau mengharap agar kementerian berkenaan memberi perhatian kepada nasib anak-anak dan isteri pelajar berkenaan kerana mereka juga memerlukan pembelaan.

Isu yang dibangkitkan semuanya isu kepentingan wanita dan kekeluargaan sesuai dengan Shahrizat yang bertanggungjawab di kementerian itu. Mungkin isu-isu yang dibangkitkan itu isu lama yang berulang kali yang sudah jemu untuk kita mendengarnya. Tetapi apa yang menarik dan membanggakan saya, sepanjang Shahrizat menggulung ucapannya selama hampir 45 minit ia berlangsung dalam keadaan tenteraman. Celahan dari Yang Berhormat wanita berjalan dengan baik dan penuh sopan santun dan penuh dengan semangat tanggungjawab bersama.

Baik ahli Yang Berhormat yang bertanya rata-rata dari pembangkang atau Shahrizat yang menjawab ia penuh sopan santun dan menyerlahkan ketulusan masing-masing. Tidak ada emosi meluap-luap dalam memperkatakan itu. Kesemua mereka sepakat dan sekata bahawa kepentingan wanita dan masalah yang dihadapinya perlulah ditangani.

Cuma diakhir penggulungan itu saja nanpak emosi sedikit bila mana Shahrizat tidak memahami maksud Fong Po Kuan yang meminta supaya kerajaan dalam memberi perhatian dan bantuan kepada rakyat tidak memilih bulu dan status agama. Maksud dan niat Po Kuan ini disalah fahamkan oleh Shahrizat sebagai cuba menimbulkan soal perkauman. Keadaan ini menyebabkan berlaku sedikit ketegangan.

Namun keseluruhan sidang dewan semasa penggulungan Shahrizat itu berjalan lancar dan boleh dipuji. Alangkan kalau Yang Berhormat-Yang Berhomat jantan dapat meniru dan mengambil semangat yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat wanita berkenaan dalam merealisasikan tugas mereka dalam parlimen.

Saya percaya kalau pendekatan dan semangat seperti mana ahli Parlimen wanita itu digunakan pakai, parlimen kita tidak akan dianologikan sebagai sebuah zoo. Dan saya juga tidak susah payah untuk melayar internet bagi mengikut sidang parlimen sebaliknya akan terus ke parlimen untuk melihatnya secara live. [d.kota kl 4:00 01/04/10]

No comments: