Saturday, April 3, 2010

Menyimpang Dari Hulu

Najib Bukan Perdana Menteri Aprilfool

SEMALAM 3, April genap setahun Mohd Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Alhamdulillah Najib tidak menjadi perdana menteri Aprilfool. Berbagai penilaian dibuat keatasnya dalam tempoh berkenaan. Penilaian ini tentulah kontras antara orang yang menyokong Najib dengan orang membenci dan dengki kepadanya. Penilain yang tepat ialah mereka yang tidak ada kepentingan apa-apa.

Jika kita mengamati penilaian dan ulasan dari kalangan Umno terutamanya mereka yang mendapat atau sedang mengharapkan kelulusan projek dari Najib tentulah semuanya baik. Apa juga langkah dan tindakan dibuat Najib semuanya tepat dan betul. Rancangan untuk memancu kehidupan rakyat dan mencorak masa depan negara semua first class.

Malahan orang ini juga akan melihat setiap kali Najib tampil dalam majlis-majlis sosial dan politiknya yang mengenakan batik juga dianggap anggun dan baik. Acuhlah apa saja corak dan warna batik untuk dipakai Najib, semuanya baik dan sesuai. Seolah semua warna dan design yang diilhamkan Allah kepada pereka fesyen itu semuanya untuk dipadankan dengan tubuh Najib.

Berlainan pula dengan pihak yang berlawan dengan Najib, apa saja yang dibuat oleh Najib tidak kena. Ada-ada saja komen dan kritikan. Usaha untuk meremehkan Najib diteruskan siang dan malam. Segala dosa-dosa kerajaan seolah semuanya dilakukan oleh Najib dan harus dipikul olehnya.

Mereka ini melepaskan Najib atas padang luas seperti melepaskan ayam dengan musang. Mereka hanya menontonnya dengan kepercayaan musang akan membaham si ayam. Mereka akan bersorak dan terus bersorak kerana naluri hiburan mereka puas.

Bukan itu saja ada juga orang yang sedia mendoakan untuk kemusnahan kerajaan Najib? Pada saya aksi ini adalah kemuncak kepada kebencian dan kemarahan kepada Najib. Medoakan untuk kemusnahan apakah lebih baik dari mendoakan supaya diberikan petunjuk oleh Allah agar seseorang itu membetulkan kesalahannya? Islam itu tidak kejam! Namun itulah ancaman paling besar diterima Najib secara kejiwaan.

Bagi saya aksi itu melampau dan tidak dinilai dengan fakta dan rasa kemanusiaan. Walaupun ianya sebahagian dari strategi politik, tetapi ternyata strategi itu melampau batas dan menyebabkan rakyat di bawah terkeliru dan mengelirukan.

Maka untuk melihat sejauh mana pencapaian Najib menjadi PM ini carilah ulasan yang adil dan tidak berkepentingan baru kita akan dapat keputusan tepat. Dalam melihat ini seeloknya bagilah ruang kepada Najib untuk menunjukkan kemampuan dan kebolehannya.

Dalam hal ini saya secara peribadi tidak mahu melihat Najib jauh daripada jangkauan itu. Saya nampak selama setahun, tidak ada kesalahan besar Najib yang boleh saya kritik. Saya sering ditanya kenapa saya tidak menyerang Najib? Saya jawab, belum ada kesalahan besar dari perspektif saya sebagai rakyat yang dilakukan Najib. Menjadi perangai saya, saya akan memuja seseorang itu selagi dia tidak melakukan kesalahan besar. Dan apabila ia telah melakukan kesalahan besar sehingga mencengkikkan perasaan dia akan saya musuhi sampai ke ruang tidurnya.

Apa yang ingin saya paparkan, selagi seseorang itu tidak melakukan kesalahan setahap demikian adalah tidak adil kalau kita menyerangnya. Dalam tempoh setahun Najib menjadi PM, pada saya dia seperti pemilik lesen memandu baru. Kalau JPJ boleh memberi tempoh tiga tahun kepada pemandu baru dengan melekatkan simbol 'L' di cermin keretanya, apa salahnya kalau kita memberi tempoh itu kepada Najib.

Walaupun Najib dikaitan dengan pembunuhan wanita Mongolisa, Altantuya Shaarribbu, bagi saya itu hanya tuduhan politik saja. Dan kalau kita menerima dan mempercayai penyelesaian terhadap sesuatu perkara bersifat ghaib itu dengan sumpah, saya sendiri mendengar beliau melafazkan sumpah yang beliau tidak mengenali Altantuya dalam jarak tidak sampai lima kaki. Sumpah itu terzahir sebelum beliau bersumpah di Permatang Pauh.

Apabila orang bersumpah maka tidak ada hak dan daya lagi untuk kita mempertikaikannya! Sama ada ia benar atau salah, itu adalah dalam pengetahuan Allah. Kita kena ingat seseorang yang beriman dan bertakwa dia sangat takut kepada Allah.

Atas prinsip itu maka saya meragui tuduhan Najib terlibat dengan pembunuhan itu. Pada saya dakwaan beliau terlibat itu hanya tidak lebih daripada satu konspirasi propaganda dan konspirasi strategi saja untuk menjatuhkan beliau. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Ia menjadi semakin mengelirukan apabila orang yang mengemukakan bukti beliau terlibat kini sudah ghaib waghiribul ruyup.

Seperti saya kata tadi saya tidak mahu melihat jauh mengenai pencapaian Najib dalam tempoh setahun. Dua perkara saja yang saya nampak apa dilakukan Najib yang dikira cukup berkesan; ialah pertama, kerajinan dan kesungguhan beliau bekerja sebagai perdana menteri dan sebagai presiden Umno.

Bagi saya Najib rajin dan bersungguh serta komnited dengan tanggungjawabnya. Cara dia berkerja seolah-olah beliau seorang pelajar yang mahu mengambil peperiksaan penting. Beliau membuat ulang kaji pelajaran dan juga menghafal berbagai istilah dan juga fakta-fakta penting untuk berdepan dengan peperiksaan. Dalam keadaan ini menyebabkan Najib seolah ketiadan masa untuk berpeleseran, berseronok dan sebagainya. Tumpuan dan fokusnya ialah kepada peperiksaan. Hati dan jiwanya senantiasa berdetik cemas dan tiada ruang untuk berseronok seperti dulu.

Kata Najib: "Tidak dapat dielakkan, terima kasih kepada kesibukan, hari-hari saya semakin panjang dan malam-malam saya semakin pendek. Ia mungkin disebabkan tuntutan-tuntutan seperti ini yang saya temui makna yang besar dalam perkara-perkara yang kecil seperti kehangatan tulen senyuman dan berjabat salam dengan rakyat biasa Malaysia, yang kadang-kadang memberikan saya begitu banyak keseronokan seperti berjabat tangan dengan para pemimpin dunia."

Pernyataan itu tepat seperti mana saya rasakan bagi menggambarkan ruang lingkupnya kini. Najib seorang yang komited dengan jawatannya. Beliau benar-benar mahukan perubahan ke atas negara dan partinya. Dengan perubahan itulah dia akan meneruskan kelangsungan tugasnya sebagai perdana menteri. Kerana itu saya nampak dia bekerja siang dan malam. Dia turun ke mana saja. Kakinya kini mulai cemar dengan selut dan tangannya kini sudah terhanyir dek bersalaman dengan marhain. Itu semua untuk beliau mendapat dan mengenalkan identiti atau rupa dirinya sebagai pemimpin dan perdana menteri.

Berbagai program dan langkah drastik yang beliau ambil. Asasnya semua perancangan yang beliau perkenalkan adalah baik. Yang menjadi masalah ialah sejauh manakah pencapaiannya dan sasaran segala perancangan itu tercapai. Di sinilah Najib memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak. Tanpa dokongan program yang beliau lancarkan, baik berupa kebajikan untuk rakyat, masa depan negara dan sebagainya tidak akan tercapai.

Dalam hal ini beliau sangat bergantung kepada keberkesanan para menteri yang dilantiknya dan pegarai kerajaan. Mungkin kerana bimbangkan itu maka satu sistem penilaian ke atas menteri kebinet diadakan (NKRA) dan sistem penyampaikan kerajaan diperkuatkan.

Kedua, disamping kesungguhan Najib apa yang saya lihat kesabaran beliau. Beliau tidak melayan tohmahan remeh temeh keatasnya sebaliknya menghala diri kepada mencapai agenda negaranya. Sebab itu kita melihat beliau tidak lekas melenting dan melayan apa jua isu yang boleh memerangkapkan dirinya. Najib berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan. Kadang kalanya beliau buat sadin saja apa yang ditohmahkan kepadanya. Sikap 'dingin' (cool) beliau itulah menjadikan beliau dapat melewati tempoh setahun dengan aman dan jaya. Di sinilah kekuatan dan kelebihan yang ada kepada Najib.

Secara umumnya Najib telah berjaya melepasi tempoh berpatang selama setahun. Mereka yang waras akan merasakan Najib mampu melaksanakan tugasannya. Bagaimana pun dalam tempoh itu ada dua peristiwa besar yang meninggalkan kesan kepada rakyat yang mungkin akan dikaitkan dengan politik warisan bapanya. Pertama mengenai rampasan kerajaan Perak dan kedua keengganan Najib untuk memberikan royalti minyak kepada Kelantan.

Kalau dua peristiwa ini tidak berlaku saya berani untuk berikan Najib tidak lebih dari tiga bintang (***..) [wm.kl. 10:00 am 04/04/10]

5 comments:

Pemuda Ansorullah said...

ambo tk brapo berkene dgn tulisan MSO dlm bbrpa perkara.. tp secara keseluruhan, mmg bernas... ambo nk sentuh psl isu doa bal tu. MSO keno pehe, tok guru nik aziz buke berdoa bala terus kpd dtk najbi...tp tok guru mitok biar Allah bukok pitu hati dtk najib dulu...tp, MSO tulis lagu len... ambo baco pun, tk brapo sdak. barso lekat tekok jah.wallahualam...

NH Shah Alam said...

Saya juga memerhati tingkah laku dan gerak geri Najib serta ulasannya mengenai sesuatu isu.

Saya melihat Najib tidak banyak melayan isu yang diserang kepadanya. Antaranya ialah Isu Menteri Besar Kelantan mendoakannya, isu APCO, Isu komisyen dan sebagainya.

Bila najib tidak layan, isu ini akan senyap begitu sahaja. Ini lah kelebihan yang ada pada Najib. Beliau banyak beri tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai PM.

Kalau lah Najib lembut hati dan beri Duit Royalti minyak kepada Kelantan, saya percaya pembangkang terutamanya PAS akan senyap terus dari menyerang Najib dan UMNO. Dikala itu prestasi najib akan terus memuncak dimata rakyat diatas sikap keterbukaannya.

cicitHJHASSANu said...

salam tuan mso..

tulisan yang baik untuk dikongsi...tq

harap tuan dapat mengulas tentang perubahan penampilan Dato' Najib setelah 'peralihan kuasa' dari Paklah...mungkinkah ianya peranan Apco Woridwide,komunikasi juga melibatkan imej,tv dan s.kabar

Unknown said...

selagi royalty minyak tidak di beri
kpd kelantan,maka sifat kenegaraan ton razak jauh dari najib,almarhom ton pasti tidak rela rakyat melayu
kelantan di rampas hak nya apalagi
dari kerajaan yg dipimpim oleh anak nya sendiri.semuga allah memberi hidayah dan jauhkan najib dari hasutan pimpinan umno kelantan.

MySafru said...

ambo rakyat kelantan, royalti tu kalau dapat, rasanya Datuk Najib dah kurangkan 50% penyerang dari pembangkang