Thursday, April 22, 2010

Kopi Pahit Dinihari

PKR Perlu Sedar Diri Pas Perlu Kenal Diri

BARU sampai rumah setelah hampir sehari suntuk berada di Hulu Selangor. Perjalanan hari ini bermula dari rumah hingga ke Tanjung Malim melewati Kuala Kubu Baru masuk ke Ulu Yam, lewat Selayang terus ke Dinasty Hotel di Jalan Ipoh kerana hantar seorang wakil rakyat yang menginap di situ. Perjalanan hari ini untuk menyiasat bukannya meninjau.

Sebelum meninggal kawasan pilihan raya, saya sempat singgah di padang awam bandar baru Batang Kali di mana berlangsungnya karnivel jualan pakaian dan makanan. Di pentas pidato Husam Musa sedang berucap. Inilah pertama kali saya mendengar suara orang Pas di pentas ceramah di Hulu Selangor! Saya tidak menghampiri pentas ceramah dan mengambil gambarnya, atau mencatat isi ceramahnya kerana bimbang takut disaman olehnya.

Ketika saya hendak meninggalkan lapangan itu, pentas itu diisi pula oleh Chua Jui Meng yang kemudian Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin. Anwar pula tiba selepas saya menuju ke kereta. Naib Presiden Pas, Sallahudin juga tiba sejurus kemudian, tetapi sayang sudah sudah berada di Ulu Yam.

Malam-malam sebelum ini tidak ada suara tokoh Pas di pentas utama bersama Zaid ataupun Anwar Ibrahim. Walaupun Pas sudah masuk dan berkubu, tetapi Pas berada di ceruk kampung dan Felda saja tetapi tidak menguasai kawasan bandar.

Begitulah nasib Pas. Tempat-tempat yang sukar dilalui dan jauh ke pedalaman diserahkan kepada Pas. Mana-mana kawasan becak atau ada surau buruk diserahkan kepada Pas. Alasannya Pas lebih mesra dengan orang kampung berbanding dengan orang bandar. Kawasan bandar, banyak kedai makan diserahkan kepada kumpulan lain. Nampaknya anggapan Pas sebagai parti kampung masih tebal lagi. Pas pula kebetulan tidak pernah sedar diri.

Barangkali benar juga kalau ada orang mengatakan Pas diperalatkan oleh PKR?

Ketiadaan tokoh Pas di pentas ceramah itu menjadi persoalan saya. Selepas disiasat baru diketahui apa masalahnya. Katanya pihak PKR mulanya tidak mahu memberi ruang besar kepada Pas terlibat dalam pilihan raya itu. Mereka mahu urus sendiri. Dan Pas diminta melakukan apa yang mereka arahkan saja. Pas hanya jadi priovet manakala sarjannya PKR.

Kerana itu kerja-kerja yang dilakukan hanya di kawasan tertentu saja. Pas tidak terlibat dalam mengatur gerak kempen pilihan raya berkenaan. Kalau diperhatikan sepanjang pilihan raya itu tidak ada kenyataan akhbar bersama dibuat oleh Pakatan Rakyat. Anihnya Pakatan Rakyat tidak ada bilik gerakan bersepadu dalam pilihan raya ini walaupun mereka dalam satu komponen.

Inilah bagi saya kelemahan jika dibandingkan dengan BN. Sepatutnya perkara ini dielakkan bagi menimbulkan imej tidak berpadu.

Itulah masalahnya. Jadi patutlah tidak ada pemimpin besar Pas khasnya di malam pertama dan ketiga kempen. Di Serendah, Kelumpang, Kuala Kubu Baru, Kerling tempat yang saya hadir tidak kelihatan tokoh besar Pas. Saya tercari-cari wajah Mat Sabu, Sallahuddin Ayub, Nasaruddin Tantawi dan lain-lain. Tidak ada.

Bagaimana pun sejak malam semalam dan malam tadi suara Pas sudah bergema di seluruh pelusuk Hulu Selangor. Mat Sabu sudah mula bergadang di Sungai Tengi. Pilihan raya itu sudah mendapat sentuhan Pas scara langsung. Petugas Pas sudah berbondong masuk dan mereka sudah mulai menyingsing tangan. Suasana ini akan menyemarakkan lagi bila Mursyidul Am Pas, Nik Aziz masuk ke kawasan pilihan raya mulai esok. Dianggarkan petugas Pas akan sampai kemuncak dalam tempoh 24 jam ini.

Mengenai kekompakan dan kepaduan jentera pilihan raya Pakatan ini menjadi pertanyaan saya sejak malam kedua kempen lagi. Ia seakan tempang dan persis ada kekosongan. Semangat setia kawan luntur. Tidak ada saya nampak batang hidung pemimpin tertinggi PKR bersama Zaid atau Anwar dipentas ceramah atau mengiringi Zaid ketika membuat lawatan ke tempat-tempat awam. Sepatutnya mereka menemani Zaid kalau tidak sepanjang hari tetapi sekali sekala bagi menunjukkan keakrabkan dan sokongan. Saya lihat Zaid berjalan bersendiri saja seperti anak dagang merempak di rantau orang.

Puas saya cuba mengendap mencari wajah Mohamad Azmin Ali, Saifuddin Nasution Ismail, Shamsul Iskandar Md Akin, Mustafa Kamil Ayub tetapi tidak nampak. Apakah mereka juga beselimut dalam gelap hanya bertanyakan perkembangan pilihan raya itu dengan SMS sahaja? Atau memantaunya dari parlimen? Apakah ketiadaan mereka kerana masalah calon. Mereka kecewa apabila diri mereka atau calon yang mereka kehendaki tidak dipilih. Virus yang hinggap Halili nampaknya turut terlekat pada mereka.

Terus terang saya katakan kalau mereka tidak komited dengan pilihan raya itu disebabkan pemilihan Zaid sebagai calon jelaslah mereka tak ubah sama dengan beberapa ahli parlimen yang melompat parti dan mengencingkan Anwar.

Anihnya kenapa jadi munafik, angguk dan bersetuju dengan keputusan Anwar, tetapi memprrotesnya di belakang? Inikah kesetiaan dan semangat berlawan? Ini sikap tidak baik kalau ia benar-benar berlaku. Saya berharap maklumat saya ketahui ini tidak benar sama sekali atau kalau benar perbetulkan kalau hendak menang.

Semua pihak kena ingat. Ini giliran Zaid. Esok lusa giliran mereka pula. Apa kata kalau ada orang akan membuat onar masa mereka bertanding? Ingat ada ubi ada batas. Dalam soal ini bukan saja jerat tidak melupai pelanduk, tetapi pelanduk yang terkena jerat juga tidak akan melupai jerat! Anwar menjaja di seluruh Hulu Selangor bahawa calon PKR berkualiti dan terbaik tetapi kita pula bersikap dingin. Macam mana.. ni?

PKR dan Anwar peru mengambil tahu dan memantau keadaan ini. Perangai buruk, dengki sesama sendiri kencing dalam telapak tangan tidak perlu berlaku dalam saat parti itu berdepan dengan musuh. Mereka perlu ingat kekalahan Zaid bukan kekalahan anak Kelantan tetapi kekalahan yang memalukan PKR. Kekalahan itu nanti bukan memberi pengajaran kepada Zaid, tetapi turut memberi panduan sama kepada mereka. Apa yang patut, gembelangkan tenaga, semangat dan keazaman untuk menang. Masa masih tersisa.

Jadi kepada Pas pejamlah mata, uruslah pilihan raya Hulu Selangor. Kerahlah anak buah bertungkus lumus di situ seolah Pas sendiri yang bertanding. Perangai sesetengah pemimpin PKR yang masih terlekat perangai Umno usahlah diikut. Saya cukup percaya pilihan raya itu tanpa bantuan Pas, PKR akan kalah! Dan jika perlu Pas mengambil alih keseluruhan jentera itu dari kawalan PKR, ambilah. [wm.kl. 2:15 am 22/04/10]

2 comments:

ANAFAKIR said...

Setuju dgn MSO..PAS sebuah organisasi yg benar2 merendah diri, mempunyai semangat setiakawan yg unggul,menerima sesiapa sahaja asalkan sudi dan berlapang dada menerima perinsip Islam.Walapun sebelum ini mereka itu umpamana 'calon2' neraka, calon2 terbuang,calon2 terhina tetapi bila mereka sudah bertaubat, PAS sedia memaafkan mereka.Hatta Selentia pun masih sanggup diberi peluang utk menebus maruah, walaupun akhirnya selentia tidak tahu mengenang budi, muka tak malu dan kaki kencing berlari, PAS sentiasa zuhud dgn perjuangan, komited menegak Islam.

Dalam Malaysia ni, mana lagi parti yg berwajah mulia seperti PAS?Mereka sanggup dan sudi memberi bantuan walaupun mereka juga sudah bertongkatkan paruh,cedera parah namun mereka setia, jujur dan sanggup berkorban atas dasar persahabatan.

Buat pemimpin PKR, jika benar mereka berhati mulia, ingin berubah dan ingin lari dari wajah dan pengaruh UMNO-BN usahlah 'berkeduh' hati dlm isu PRK Hulu Selangor ini.Mereka perlu berjiwa besar, sanggup berkorban demi setiakawan dan prinsip perjuangan pasri,ketepikan isu peribadi, sokonglah keputusan yg telah diambil.Rundingan jgn selisih, pendapat jgn berterlingkah..andai ingin menang, bersatulah segera.UMNO mmg seronok melihat kalau ada keretakan dan perpecahan dlm Pakatan,kerana mereka ingin berkuasa dan menipu rakyat sehingga kiamat..itu cita-cita mereka.Kalau pemimpin PKR masih ada cintakan dunia, cintakan harta, masih berpura2..kembalilah kepada UMNO..itu tempat mereka yg jumud dan sukakan perkara2 yg Allah larang,suka memfitnah dan menipu rakyat.Pada saya PAS adalah sebaik2 jalan utk berjuang menegakkan Islam...parti2 lain hanya pandai berpura2.

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Persoalan yang tuan nukilkan telah bermain dalam kepala otak saya sejak dari awal-awal lagi pilihanraya ini diketahui akan diadakan. Sikap PAS sejak awal lagi tidak bercaka soal calon memang menampakkan kesetiaan kita dalam persahabatan. Tentu kita masih ingat bagaimana Prk Kuala Trengganu, PKR ada membuka mulut untuk bertanding tetapi terhenti apabila Anwar mengatakan itu milik PAS. Di sibu nanti pun terdengar yang PKR nak bertanding juga.

Bila kita menyaksikan TV selangor pula, tv tersebut seolah-olah milik PKR dan pendominasiannya seumpama UMNBO menguasai tv3. Berita-berita mengenai PAS dan DAP hanya sekadar selitan dan sampingan semata-mata.

Semua ini tergambar jelas dalam prk Hulu Selangor. Memang gambaran tuan tentang PAS itulah sebenarnya PAS. Tapi PAS adalah PAS, yang dengan caranya itulah PAS disayangi oleh mereka yang ikhlas tanpa mengira bangsa dan agama. Cumanya buat masa ini PAS cukaplah sekadar yang ada dan biar PKR dengan caranya sendiri. Kalau menang nanti biarlah PKR yang mendabik dada kerana PAS yang sebenarnya menjana kemenangan itu dan ia akan ada di hati rakyat dan di sisi Allah. Tak perlulah kita mengambil tempat PKR kerana ini medan mereka dan biar mereka buat apa yang mereka nak buat. Kita teruskan istiqomah kita dalam perjuangan. Apa pun kita tetap nak Pakatan Rakyat menang dan yakinlah rakyat tahu dan kenal siapa PAS yang sebenarnya dalam kemenangan itu nanti.