Saturday, April 17, 2010

Melewati Pinggir Hulu Selangor

Majlis Hantar Menantu Selesai,
Proses Penamaan Calon Sempurna

TENGAH malam tadi saya bertolak ke Teluk Intan, Perak. Tidur di sana. Paginya ke Bagan Datoh (negeri bekasan Pakatan Rakyat) untuk mengiringi anak saudara, Hafsah Mardiah pulang ke rumah suaminya, Mohd Aizan. Istilah orang Kelantan menghantar menantu.

Tanggal 10 April ketika majlis ijab kabul dan kenduri perkahwinan di Kota Bharu, saya tidak hadir, kerana ke luar negeri.

Jadi rasanya sangatlah tidak kena kalau majlis menghantar menantu hari ini saya tidak ada juga. Lagipun kakak dan abang ipar beriya benar untuk saya hadir sama.

Serba salah sungguh jadinya! Sedangkan hari ini saya sepatutnya di Kuala Kubu Baru, melihat proses penamaan calon. Dunia politik tidak boleh dipisahkan dari hidup saya. Walaupun letih, capek, pening kepala atau kaki dibaham gout namun jarang saya menuangkan diri dalam menghadiri majlis-majlis politik.

Selagi ada daya dan upaya saya akan hadir. Saya percaya pejenguk blog ini sudah tertanya-tanya dan menanti laporan dan ulasan berhubung proses penamaan calon pagi tadi. Seboleh-boleh saya mahu saksi, mendengar sendiri segala cerita dan peristiwa yang berlaku untuk diadunkan dalam penulisan.

Saya tidak gemar kalau menulis berdasarkan cerita dari orang lain, rasa bersalah dan tidak profesional pula. Tulisan yang berlandaskan sumber lain tanpa melihat sendiri terasa macam tidak sah. Walaupun senario di hari penamaan calon itu sama saja dengan seribu penamaan calon sebelum ini, dan saya sendiri sudah menghadirinya lebih 40 kali di sepanjang hidup, kalau hendak dikira tak pergi pun tak mengapa.

Tetapi bukan begitu. Kalau tak sempat hadir terasa macam hidup ini tidak sempurna.

Tetapi seperti saya katakan tadi apa boleh buat, hari ini saya mis untuk menyaksikan satu proses penamaan calon yang dikatakan sangat bersejarah itu kerana terpaksa menghantar anak saudara ke rumah suaminya! Kenapa saya kata bersejarah kerana inilah pertama kali anak Kelantan bertanding di luar Kelantan.

Apa yang selalu berlaku anak luar akan bertanding di Kelantan. Apakah kali ini anak Kelantan akan dirai seperti mana rakyat Kelantan merai anak luar? Apakah rakyat Selangor akan membalas besan terhadap rakyat Kelantan dengan memilih calon berasal Kelantan?

Alhamdulilah... majlis menghantar menantu, berjalan lancar dan selamat. Dan begitu dengan proses penamaan calon. Seperti mana yang sudah diketahui pilihan raya kecil itu akan berlaku perlawanaan empat penjuru. Colon BN seperti mana diumumkan Muhyiddin Yassin, iaitu Kamalanthan, manakala calon PKR pula seperti di istyharkan Anwar Ibrahim, ianya Zaid Ibrahim. Manakala dua calon lagi ialah bebas. Mereka, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor, S Chandran dan seorang lagi ahli jawatankuasa Pemuda Umno Hulu Selangor, Johan Mohd Diah.

Apakah kalau tertakdir salah seorang calon bebas ini menang mereka juga akan berada dalam blok bebas di parlimen kelak?

Saya merasa gembira kerana proses berkenaan berjalan lancar. Tidak ada kejadian buruk yang dilaporkan berlaku. Kalau pun ada kejadian kecil, membaling botol dan melaungkan kata-kata yang dipinjam dari bahasa beruk dan monyet terhadap antara satu sama lain, itu adalah sebagai pemanis suasana demokrasi negara ini. Walaupun kita membencinya nampaknya sukar untuk dielakkan. Mungkin selagi ada Umno, Pas dan PKR kejadian tidak bertamdun itu akan berterusan?

Majlis perkahwinan anak buah saya itu ialah di Kampung Selekoh Bagan Datoh di mana jaraknya dengan rumah Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak sampai 10 km. Aduh... terkenang-kenang saya ketika tiba di kampung ini kepada satu peristiwa kira-kira 13 tahun lepas bersama Zahid.

Saya pernah tidur di rumah. Zahid sendiri datang jemput saya di Wangsa Maju dengan Mercedeznya dan bertolak ke Bagan Datoh menjelang petang. Di sepanjang perjalanan itulah ada ceritanya. Nantilah saya akan ceritalah kisah dan perjalanan itu dan bagaimana saya boleh tidur di rumah Zahid ini di masa lain.

Sepanjang berada dalam majlis kenduri itu saya sungguh tidak selesa. Telefon asyik berbunyi. Kalau tidak alarm SMS, deringan panggilan yang berbunyi. Semua panggilan datang dari Hulu Selangor.

Beberapa rakan bertanya dan tercari-cari di mana saya. Mereka ingin mendapat maklumat apakah saya berada dalam lokasi BN atau pun Pakatan Rakyat. Semuanya nak tahu perkembangan mengenai proses penamaan calon itu.

Panggilan dan sms masuk sejak dari jam 9:00 pagi hingga jam 12:00 tengah hari. Ia baru berhneti selepas proses penamaan calon selesai. Dari maklumat dan SMS dan panggilan itu menunjukkan bahawa perarakan hari ini dimenangi oleh PKR. Rata-rata mengatakan pengaruh dan komitmen penyokong PKR begitu tinggi.

Menurut mereka semangat Pakatan Rakyat sungguh tinggi sekali. Ada yang berani mengatakan nisbah sokongan dan semangat hari ini 5 : 1. 5 untuk PKR dan 1 BN.

Manakala dari pemanggil lain menjelaskan kedudukan Zaid kini sudah mengatasi calon-calon lain. Saya raya angka itu agak berlebihan dan dipenuhi dengan sentimen kedirian yang tebal.
Menjadi sikap saya tidak mudah percaya kepada apa yang diceritakan. Ianya tentu bias kepada puak dan parti masing-masing.

Saya lantas menelefon menghubungi rakan-rakan wartawan dan penulis lain. Pada saya laporan wartawan yang belum disiarkan dalam media massa mereka lebih bebas, adil dan tepat. Selalunya laporan mereka akan diubah oleh editor apabila sampai di pejabat nanti mengikut kesukaan dan selera editor. Jadi kalau penjenguk nak dapat maklumat betul dan benar dari wartawan, ialah maklumat yang ada dalam buku notanya atau dalam tape recoder dan bukan yang disiarkan dalam surat khabar atau televisyen.

Rakan wartawna juga berpendapat sama dengan pelapor-pelapor tadi. Menurut mereka dari segi semangat dan jumlah rombongan perakan PKR mengatasi BN. Mereka telah meletakkan angka di pihak BN tidak sampai 5,000 manakala di pihak PKR lebih 10,000. Tetapi gambaran ini tidak akan ditunjuk secara benar dalam media esok dan tv malam ini.

Dengan apa yang berlaku hari ini PKR boleh merasa lega. Mereka tidak perlu merasa rendah diri dengan mainan media yang akan memanipulasikan keadaan. Hakikat hari ini perlu dijadikan semangat. Dalam pada itu PKR tidak wajar merasa selesa dengan apa yang ada itu. Perlu diingatkan petunjuk hari ini hanya terpakai hari ini saja dan tidak akan valid untuk beberapa hari nanti.

Selalunya gambaran awal mengenai pilihan raya itu akan mula dapat dilihat selepas beberapa hari penamaan calon. Gambaran sebenar pula terlihat dalam tempoh 73 jam sebelum hari mengundi. Biasanya di mana-mana pilihan raya BN tidak ghairah. Mereka melayan ala kadar saja. Sesetengah tempat bilik gerakan dan pos mereka pun dibiarkan longlai. Tetapi menjelang dua atau sehari pilihan raya, ketika inilah BN mula menggerkan segala jenteranya. Ketika ini juga senjata ampuh wang dan kuasa akan dipergunakan sepenuhnya.

Sejauh manakah PKR dapat mengawal dan mengatasi masalah ini ia memberi jawaban apakah PKR mampu ataupun mempertahankan kerusi Hulu Selangor ini. Kepada PKR sekali lagi saya ingatkan semoga mereka tidak akan terlalu over confident dengan apa yang berlaku sekarang ini. Ia boleh berubah kerana masanya masih panjang. Kalau diumpama perlawanan masing-masing baru memulakan langkah sembah saja hari ini. Foto-foto dari kamera Zamzarina. [wm.kl 6:00 pm 17/040/10]

Ucapan sulung Zaid selepas disahkan menjadi calon.

Kamalanathan, Zaid, Johan dan Chandran bergambar kenangan selepas disahkan menjadi calon.
Zaid diiringi Anwar, Abdul Hadi dan Khalid Ibrahim ke pusat penamaan calon.

Isteri dan anak perempuan Zaid turut memberi semangat.

Sebahagian lebih 10,000 penyokong sedia untuk berarak ke pusat penamaan calon.

6 comments:

primehonda said...

salam,

mengambil semangat dari apa yg pak mso tulis, saya telah mendengar sendiri dari kawan tentang usaha satu kementerian ni menjelang PRK ulu s'gor.pegawai kerajaan yg ada dikerah turun ke kampung2 utk memberi bantuan kewangan (duit rasuah?) kpd penduduk2 miskin. depan saya kawan ni cakap, pada dia ada RM70 ribu utk diagihkan hari ini juga. esok ada lagi, lusa ada lagi. boleh kira berapa juta akan abis agaknya? keluh kawan saya ini lagi, menteri tu siap menengking lagi kalau xbagi BN boleh kalah! saya dapat rasakan rasa serba salahnya buat kerja kotor begini sedangkan dia seorang pegawai kerajaan yg disebut dalam etika dilarang menyertai politik.
mungkin BN boleh menang dgn cara begini..sekarang ni semuanya duit..

wassalam

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Kalau orang luar Kelantan boleh menang di Kelantan dan orang Kelantan boleh menang di luar Kelantan, maknanya Pakatan Rakyat telah berjaya mendidik rakyat ke satu tahap politik yang lebih tinggi dengan merentasi politik kenegerian. Ini satu pencapaian yang amat membanggakan berbending dengan U-BN yang sibuk dengan calon tempatan tak sudah-sudah tapi akhirnya calon Selayang juga yang diletaknya di Hulu Selangor.

Berkenaan dengan jumlah penyokong saya nak quote ayat dari berita radio Astro iaitu Sinar FM yang saya dengar pukul 11 pagi. "lebih seribu penyokong Barisan Nasional telah mengiringi calon BN di Hulu Selangor. menurut polis kesesakan telah berlaku sejauh 1 kilo meter dan dianggarkanlima puluh ribu orang berada di kawasan penamaan calon.". Itulah ayat yang dibaca di Berita Sinar 11 pagi semalam. Jadi, kalau seribu orang penyokong UMNO-BN, maknanya penyokong siapa pula bakinya itu?

Mendengar siaran Tv Selangor pula, gema sorakan dengan lagu rentak lagu bola pula kedengaran. Terasa macam dalam pertandigan yang Selangor bermain pula. Hai, itu daya usaha Kelab Penyokong Bolasepak Selangor pula ke?

Nak tanya primehonda, menteri tu Nuh Omar ke?

Apa pun PR kena berhati-hati. Selamat berjuang.

ANAFAKIR said...

bukan politik rasuah tu..tu ikhlas nak menolong org miskin..itu politik komisen.UMNO ni mmg la tak leh lari dari pitih.Pitih2,pitih2...dulu kini dan selamanya.Apa2 program yg UMNO buat tidak lekang dari rasuah.Kakitangan awam dilarang dari melibatkan diri politik ni kalau menyokong pembangkang jah,kalau menyokong UBN..semuanya boleh.

Pelajar2 universiti pun asalkan jgn sokong pmbangkang boleh kalau nak terlibat dlm kempen politik.Yang dilarang tu kalau menyokong pembangkang jah.Saya dulu2 masa jadi leader student, sekali dtg meeting..mmg mewah la.Perwakilan pelajar dari Sabah dan Sarawah..lagi mewah,penuh poket la.Mcm2 alasan kenapa mereka tu perlu diberi duit poket yg banyak...

Memg perlu kempimpinana yg ada ni dikalahkan dlm PRU atau PRK kalau tak,lagi parah la sistem pemerintahan negara.Rasuah sudah membusuk sampai ke usus [ memetik kata2 Tun Mahathir ] UMNO sudah tidak boleh diselamatkan lagi.Semua pemimpinnya rasuah.Kalau Tun M sendiri membuat kenyataan begitu,mengapa pemimpin UBN masih ada hati nak menfaikannya..

Buat warga Hulu Selangor..berikan kerusi parlimen P.094 tu kepada PKR.Kekalkan kerusi tu kepada PKR.Kerajaan PAKATAN perlu diberikan lebih byk kerusi..terutamanya kerusi parlimen.Bekas wakil rakyat Pakatan yg melompat keluar parti tu semuanya kaki yg tidak ada maruah,kalau bukan kerana duit mereka tidak bersikap demikian..Datuk Ghapur Salleh pun tidak percaya kalau mereka yg menjadi bebas itu kerana prinsip kecuali 'kenyang' kerana duit rasuah..

primehonda said...

kpd nor azman,
menteri tu bukan noh omar..

saya setuju juga lah dgn anafakir. tapi xtau lah, hati kecil saya tetap rasa x sedap dgn pemilihan zaid sebagai calon PR. semalam saya bertanyakan rakan saya yg duduk di KKB siapakah calon pilihan org sana? dia menjawab anak melayu sudah pastinya. tapi cara dia jawab membuat saya terasa pilihan beliau ialah anak tempatan melayu, bukan PR. ironisnya rakan saya ini orang PAS. begitu juga rakan saya di serendah, katanya akan ada undi protes kerana BN gagal ketengah anak tempatan melayu, PR pula, walaupun melayu tapi gagal ketengah anak tempatan. lagi katanya, isu peribadi pula menghantui zaid. kesimpulan saya, orang tempatan akan mengundi calon tempatan melayu, kita lihat yg ada sekarang hanya johan calon bebas yang memenuhi kriteria mereka! sejauh mana ketokohan johan ni saya x pastilah, tapi undi protes ni x kira siapa. di parlimen pun dah berlambak calon bebas. awaslah PR!

ANAFAKIR said...

Pada saya..kerisauan perlu ada,itu tandanya kita berwaspada.Cuma melihat kepada senario semasa, Zaid masih mendahului dari segi sokongan dan populariti.Penyokong PAS bersifat anti-klimaks dgn Zaid kerana mereka masih memadang fi'il lama Zaid sebelum bersama Pakatan.Lagipun PAS [ penyokong mereka ] susah nak dipuaskan kehendak mereka,ada2 sahaja yg mereka kritik.Sbbnya org2 PAS [ tidak semua ] merasakan diri mereka terbaik,itulah sikap yg perlu mereka ubah.Kalau mereka protes undi disbbkan Zaid jadi calon, nampak sgt penyokong PAS ni sedikit munafik sdgkan semasa PRU dulu, mereka boleh pula menyokong calon DAP dan PKR yg sah2 bukan Islam.

Keduanya, kredibiliti Johan tidak mampu menggugat calon UBN dan PKR.Johan pun pasti akan mendapat tempias daripada kempen UMNO yg pastinya akan melanyak dia habis2an.

Persaingan kini hanya tertumpu kepada P.Kamalanathan dan Zaid sahaja.Hari ini dalam akhbar sudah keluar kempen memburuk2kan Zaid dgn menubuhnya kaki arak, peminum arak tegar dan mcam2 lagi.UMNO mmg tidak akan lari dari sikap mereka yg suka mencari kelemahan lawan utk menang dlm PRU/PRK.Selain daru duit itulah antara senjata mereka.Sdgknan dlm UMNO tu..siapa yg tidak minum arak, tidak rasuah, tidak kaki perempuan, bercakap berdegar2 di parlimen, tau2 kawin artis, raba pungung perempuan,rasuah sana, rasuah sini,tapi semua itu disenyapkan.sbb itu rakan2 mereka dlm komponen.Saya yakin sedikit masa lagi, akan ada dakwaan bahawa Zaid ni rasuah la, kaki perempuan la..biasa la. UMNO akan menang dgn cara mengupah sesiapa sahaja utk mendakwa itu dan ini, membuat video dan pelbagai macam perang saraf utk menang.TV [ 1,2 dan 4 ] saluran radio, dan yg seumpamanya akan dikerah utk menyerang Pakatan. P.Kamalanathan akan ditemuramah dlm tv sedikit masa lagi,itu pun satu cara utk berkempen sepatutnya semua calon yg bertanding perlu diberi peluang utk muncul di kaca-kaca tv..beri mereka peluang utk bercakap ke seluruh negara.Biar rakyat yg buat pilihan bukan kerana kempen atau pujukan sesiapa..bukan diprovokasi atau rayuan bersifat memihak.Itu lebih adil.

Apapun saya berkeyakinan PKR/Pakatan mampu utk menang di Hulu Selangor..cuma undi hantu dan penipuan secara licik oeh UMNO sahaja yg boleh mengubah keadaan...itupun kalau diizinkan Allah.

SELAMAT BERJUANG BUAT SEMUA PERWIRA HULU SELANGOR...

Cikgu Di said...

Bila masa pilihanraya datang maka berbagai cara parti yang bertanding cuba memancing undi. Kadangkala sampai sesuatu yang aibpun dilodeh keluar. Inilah masyarakat kita. Secara tidak langsung ianya telah mengajar generasi demi generasi supaya saling mencari keaiban lawan masing-masing.....masyallah . Bila berbicara 1 Malaysia, kita berbicara satu agama dan perpaduan ummah tapi dalam hati kita ditanam dengan bibit -bibit kebencian oleh parti-parti politik yang hanya mengunakan pentas untuk mencari wang saku masing-masing dan saling membuka aib antara satu sama lain..... sayangilah Malaysia untuk anak cucu cicit yang tak tahu apa erti politik ular yang sedia makan teman mahupun lawan....