Lata Iskandar Cantik Tetapi...
KEBERSIHAN terus menjadi isu yang tidak pernah selesai. Walaupun kebersihan itu dikatakan sebahagian daripada tanda-tanda orang beriman, namun kewajiban menjaga kebersihan masih jauh dari sepatutnya. Jika kebersihan menjadi ukuran utama keimanan sesuatu bangsa dan negara, jelas Malaysia bukan sebuah negara Islam tulen?
Dari segi saintifik untuk kesejahteraan manusia kebersihan perkara sangat penting. Semua orang tidak kira apa bangsa dan agamanya dituntut mengambil berat soal kebersihan. Malangnya kepentingan itu tidak diletakkan di tempat utama menyebabkan kebersihan terus menjadi isu dan 'penyakit' kepada negara ini.
Negara Jepun, Korea dan negara-negara Barat sering dijadikan contoh bagaimana rakyat negara itu menjaga kebersihan. Selain itu mereka juga menjaga alam sekitar dan tidak bersikap rakus kepada dunia. Mereka tidak merosakan dunia ini untuk modenisasi. Kerap kali kita mengambil contoh kepedulian bangsa lain terhadap kebersihan. Tetapi ia masih belum mujarab juga. Selalunya kita hanya pandai menyebut tetapi berat untuk mengamalkannya.
Di negara kita masalah kebersihan yang boleh menjejaskan kesihatan berlaku di mana-mana saja. Tidak payah untuk kita melihat kekotoran ataupun pencabulan ke atas alam semula jadi. Cukup kalau kita keluar beberapa ela sahaja dari kawasan penginapan kita kita akan dapat melihat kekotoran dan kerakusan disebabkan makhluk bernama manusia.
Kita akan berjumpa dengan sampah sarap tidak dipungut, sampah dibuang merata tempat atau pun tong dan bekas sampah yang berselerakan dikucar binatang, ataupun pencabulan ke atas lanskap yang dulunya indah dengan binaan gerai-gerai jualan haram dan sebagainya. Kita boleh bertahan setakat dua tiga tahun saja keindahan seperti mana dilakarkan dalam plan pembangunan selepas itu kita kembali cabuk semula.
Dua hari lepas sewaktu saya turun dari Cameron Highlands bersama anak dan isteri menerusi Tapah, saya terkedu hati melihat kekotoran di sebuah kawasan rekreasi yang indah dan boleh mengamankan jiwa, iaitu di Lata Iskandar.
Air terjun yang turun dari gunung bertingkat-tingkat sungguh indah dan aman mata memandangnya. Jiwa yang serabut boleh ditenang dengan pemandangan itu. Desir dan kocakan air yang menerjah turun ke bawah dengan lenggang lengguknya tersendiri dan unik memberi kesegaran kepada jiwa dan sukma. Airnya yang sejuk dan jernih mampu mengembalikan diri kepada fitrah alam.
Tetapi sayang suasananya amat kontras sekali. Di luar medan air terjun sampah dilempar di serta tempat. Di sebuah sudut di tebing sungai dijadikan tempat pembuangan sampah yang sungguh menjijikkan. Sampah itu pula jatuh ke dalam sungai dan dialirkan oleh air. Saya kira di hilir sana di sepanjang sungai itu ada pula orang yang mengambil air itu untuk kegunaan seharian, minum dan mandi manda.
Sebuah bekas sampah yang diuruskan PBT juga sudah penuh sarat tidak diangkat. Baunya yang kohong hanya Tuhan dan diri orang yang deria rasanya sihat yang mendekatinya saja dapat menceritakannya.
Kekotoran yang wujud di Lata Iskandar itu adalah ciptaan manusia. Kerana kurangnya sikap prihatin manusia. Mustahil kalau ia disebabkan oleh gajah, babi atau pun 'lembu gemuk'. Di dataran lata itu tersedia beberapa bekas sampah sangkut tetapi pengunjung nampaknya tidak mesra tong sampah, seolah tidak ternampak tong itu dan mencampak sampah di merata.
Bekas minum (air tin) dicampak merata termasuk ke atas pokok-pokok hiasan yang ada di lata berkenaan. Sikap inilah menyebabkan berlakunya kekotoran yang menjejaskan kesihatan. Melihat kepada pengunjung lata berkenaan terdiri dari pelancong asing, orang putih dan Cina Singapura saya terasa malu bagi pihak kerajaan Perak.
Sepatutnya PBT (Tapah) mengawal kebersihan untuk kesejahteraan lokasi visata itu. Dalam masa sama orang ramai, pengunjung juga tidak boleh melemparkan bekas makanan di merata tempat. Adalah salah kalau kita beranggapan sampah yang kita campak di sungai ia akan dihanyutkan. Mungkin ia hilang dari pandangan kita tetapi ia akan tersangkut di mana-mana menganggui kehidupan sungai yang juga dipulang untuk kesejahteraan manusia.
Lata Iskandar terletak dalam negeri Perak Darul Ridwan. Jaraknya dari Ipoh kira-kira 85 km dan dari Tapah sekitar 15 km. Untuk naik atau turun dari puncak Cameron Highlands kita harus melalui jalan sempit berliku-liku dan curam. Kalau tersilap langkah atau tersalah pusing kereta menyebabkan kita boleh terhumban ke lurah sedalam lebih 100 meter.
Untuk melalui jalan ini elok kalau digunakan kereta pancuan empat roda, kereta kecil seperti Kancil atau Kelisa tidak digalakkan. [wm.kl.2:33 pm 30/12/11]
No comments:
Post a Comment