Terengganu Negeri Kaya Rakyat Miskin
Umno Buang Tabiat
PAGI ini saya hendak sambung cerita politik negeri 'penyu menangis' yang tertangguh beberapa hari lalu kerana ditindih intri dan kisah-kisah ataupun ulasan politik bersempena dengan perhimpunan agung Umno ke 62 dan kunjungan saya ke Batam. Perhimpunan agung Umno berakhir semalam, hari ini saya percaya kesemua para perwakilan sudah sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.
Mungkin ada perwakilan dan pemerhati yang telinganya masih terngian-ngian dengan ucapan presiden atau pun terkenang kepada lafaz ikrar yang diketuai oleh Udin anak Yassin. Mungkin ada yang berfikir sejauh manakah ikrar itu akan dipatuhi dan ditaati. Atau ada juga yang berfikir kenapa orang Umno sampai diminta berdiri untuk melafazkan ikrar, yang belum pernah berlaku dalam sejarah Umno selama 62 tahun. Teruk sangatkah Umno atau Umno sudah dilanda sindrom sumpah laknat Datuk T?
Atau ada juga yang akan berfikir apakah perhimpunan agung Umno itu adalah perhimpunan terbesar yang akhir. Selepas ini, apabila UBN tidak menjadi kerajaan maka Umno akan lunyai, lemah dan akhirnya perlahan-ahan akan lupus seperti mana lesapnya dinosur. Mungkinkah begitu? Maka berbaurlah dengan berbagai-bagai perasaan, ketakutan dan kegelisahan di dalam kepala orang Umno terhadap apa yang ditunjukkan dalam perhimpunan selama tiga hari tiga malam itu.
Dalam budaya orang Melayu ada kepercayaan kalau seseorang itu menunjukkan tabiat luar biasa, mempamirkan keanihan-keanihan termasuk memaki hamun orang lain menandakan dia akan meninggalkan dunia ini tidak lama selepas itu. Jadi suasana, telatah dan kelainan yang ditunjukkan dalam perhimpunan itu kali ini seolah-olah Umno sedang membuang tabiat sebelum ajal tiba.
Ataupun ada juga yang melupai segala apa yang diucap, dirumus dan disepakati dalam perhimpunan itu. Sebaik saja melangkah keluar bendul dewan Merdeka, mereka bebas dari terikat dengan Umno. Mereka melupai segala amanat pemimpin dan apa yang tersekang di dada hanya cemuhan melampau kepada pembangkang yang mereka merasakan satu tindakan yang kurang siuman.
Mereka sebenarnya sudah membenci dan tidak mempercayai kepada Umno lagi. Mereka hadir hanya kerana diupah dan untuk mendapat one-off - elaun perhimpunan atau sekadar mengambil kesempatan di musim cuti sekolah untuk datang ke Kuala Lumpur melihat binatang di zoo negara di Hulu Kelang atau sekadar untuk perkenakan nasi kandag dan tea tarik yang ditempat mereka tidak ada. Begitukah. Dan dalam penialaian saya tidak sampai 30 peratus perwakilan dan pemerhati komited yang sedia melakukan perubahan.
Mungkin mereka sendiri sudah membuat tekad dan nekad di dalam hati, bahawa perubahan perlu dilakukan dalam pilihan raya ke-13. Umno parti yang mereka warisi tetapi sudah cacat matlamat perjuangannya tidak perlu diberikan mandat dan peluang lagi. Cukuplah selama 57 tahun berkuasa, berilah kepada parti lain pula untuk menunjukkan kebolehan dan kemampuan mereka. Tidak salah... mungkin ada yang berfikir begitu dan kini sudah siap dengan niat untuk memancung dan menjadikan Umno sebagai sapi korban.
Atau mungkin juga sebahagian perwakilan dan pemerhati membuat penilaian semula terhadap kata-kata yang kononnya kuasa Melayu akan hilang bila Umno tidak berkuasa, ataupun kedudukan Islam tergugat kalau Umno tidak berkuasa. Atau keadaan Melayu akan merempak di bumi sendiri. Mereka sedang mengkaji dan merenung sejauh manakah kebenaran kata-kata itu menjadi kenyataan atau sekadar acahan dan ancaman untuk menakut-nakutkan orang agar tidak terus berubah dengan memberi sokongan kepada Umno laksana orang tua mengusik anak kecil jangan menangis dengan menyebut nama-nama momok yang pelik.
Sebab mungkin ada yang cerdik dan mindanya tidak terpasung dengan mitos dan doktrin Umno itu, akan insaf bahawa kekuatan Melayu bukan saja terletak ditangan Umno, tetapi ditangan Melayu yang insaf, jujur dan ikhlas. Kalau Umno satu-satu wadah Melayu masakan hanya 3.3 juta saja yang bersama Umno dan yang lain berada diluar dan lebih sesuku dari Melayu menentang Umno.
Begitu juga kekuatan Islam itu bukan semestinya ditangan Umno. Kekuatan Islam itu berada ditangan semua bukan Islam tanpa mengira apa bangsa dan rupa kulit mereka sebab Islam itu adalah hak semua orang dan Tuhan tidak pernah memerintah ianya dijaga oleh Melayu. Nama Melayu tidak pun disebut usahkan penuh, hatta separuh pun tiada dalam al-Quran, yang ada orang mukmin.
Nampaknya itulah yang ditekankan oleh pemimpin Umno termasuk Ha Najib Razak. Menjadikan Melayu sebagai modal. Menjadikan Islam sebagai umpan untuk memancing orang Melayu supaya terus memberi sokongan kepada Umno. Menakutkan orang Melayu dengan kehilangan bangsa dan agama jika Umno kalah dan tidak berkuasa.
Mereka yang tohor pemikiran dan berada dalam mangkuk tandas Umno atau menjadi "gogat" (jejentik) yang mendiami kelotong nyiur akan menerima hujah itu. Gogat hanya akan terbang meninggalkan kloni tradisinya setelah tumbuh sayap sebelum mati 'dikenyek'. Mereka akan percaya dan yakin dengan apa saja yang pemimpin mereka ludahkan ke dalam mulut mereka. Orang-orang seperti ini sebenarnya lebih teruk dari keldai dan lembu gemuk yang diheret dan dikurung (fid) kemudian disembelah.
Tetapi tidak kepada perwakilan yang otaknya terbuka, bermaklumat, berfikir kritis dan mengenali hatibudi Umno terutama generasi muda terpelajar dan mereka yang tahu menilai segala propaganda itu, tidak enteng untuk menelan segala dakyah dan doktrin itu. Itu semua hanya mitos, hanya bida'ah dan kurafat ciptaan pemimpin Umno. Atau pun helah para periwayat untuk memanjangkan masa pemerintahannya sahaja.
Mereka adalah tukang jual ubat yang menyihir para pelanggan agar membeli ubat yang dijual sedangkan mujarabnya tiada sama sekali. Ada kalanya ubat yang dibungkus di dalam kertas dan plastik itu hanya tahi kambing yang sudah tergentel berbentuk bulat. Sejak lebih lima dekad lalu orang Melayu telah termakan tahi kambing yang dilebelkan oleh Umno menyebabkan otak mereka menjadi bebal dan tepu untuk melihat kepada hakikat dan kekuatan diri sendiri.
Berbalik kepada apa yang hendak saya ceritakan fasal politik penyu tadi, semasa berada di Terengganu minggu lepas saya dibawa oleh rakan Fb mengeliling bandar Kuala Terengganu sambil melihat kepesatan pembangunan di negeri itu yang dibangga-banggakan oleh kerajaan UBN hari ini yan dipimpin oleh Ahmad Said.
Memang Terengganu pesat membangun dan segala prasarana yang ada hebat dan canggih berbanding dengan negeri lain. Sesiapa pun naik manggak kalau menjadi rakyat negeri Terengganu kerana memiliki pembangunan hebat begitu. Namun hakikatnya menurut teman Fb saya itu, segala kehebatan itu hanya santapan mata saja, sedangkan hakikatnya rakyat Terengganu tidak mendapat apa-apa faedah langsung dan kehidupan mereka ditahap lama. Negeri berubah tetapi rakyat masih terjerut dalam jaring pukat robek dan dihimpit perahu sopek.
"Pembangunan di Terengganu ini seperti pelangi yang indah di langit tetapi ia tidak dapat dicapai tangan hanya dapat dilihat mata dengan mulut ternganga air liur meleleh," begitulah teman itu beranologi. Maksudnya prasarana yang disediakan lebih kepada untuk menunjuk-nujuk saja, mempamirkan syiar kemodenan tetapi natijahnya bukan dikecapi oleh rakyat Terengganu.
Misalnya projek pulau wawasan, monsoon cup dan sebagainya ia hanya untuk ditonton dan bukan mengecapi hasilnya. Projek menelan balanja berbillion ringgit itu lebih kepada untuk memberi kepuasan kepada setengah pihak (pelancong dan orang luar) tetapi bukan dapat dirasai oleh rakyat Terengganu. Projek itu juga gagal kalau tujuannya untuk mewujudkan peluang perniagaan dan sumber menambah pendapatan rakyat Terengganu.
Projek monsoon cup dan pulau wawasan di pulau Wan Man itu juga gagal untuk membawa seberapa ramai pelancong ke negeri itu dan saya yakin modal yang dilaburkan untuk kedua projek bertaraf Piramid atau Tajmal itu belum balik lagi. Kedua-dua projek itu lebih kurang mencurah wang ke dalam laut saja.
Hakikat ini saya lihat sendiri, berkebetulan semasa kunjungan itu saya meninjau ke Pulau Duyung di mana tempat berlangsungnya monsoon cup. Yang mengambil bahagian hanya beberapa buah negara saja, manakala yang datang menyaksikan tidak sampai 40 orang. Di lautan adalah beberapa buah kapal layar. Medan ICT dibina untuk tujuan perniagaan bersempena dengan program itu kosong tidak ada apa-apa gerai yang menjalankan perniagaan.
Keadaan itu bukan saja tahun ini kata teman itu tetapi setiap tahun. Jadi menurutnya kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Idris Jusoh dulu telah menghabiskan begitu banyak wang tanpa mendatangkan hasil. Sedihnya ia diteruskan oleh MB yang ada hari ini yang seolah-olah tidak tahu mencari jalan bagaimana hendak menamatkan projek 'gajah biru' itu dan diganti dengan projek yang bermanfaat untuk rakyat.
Begitu juga pembinaan ICT di dataran berhampiran jeti ke Seberang Takir itu. Katanya malam suasana di situ akan bercahaya kerana dibina pokok-pokok kristial yang mengeluarkan cahaya neon api lop lip lop lip. Tetapi apa guna segala kemudahan itu kerana ia tidak memberi hasil sebaliknya paling menyedihkan menimbulkan mudarat apabila kawasan itu dijadikan tempat untuk berpacaran di kalangan remaja liar.
Begitu juga pembangunan pesat dalam bidang lain tidak memberi kelabaan kepada rakyat Terengganu. Ia tidak mampu menyediakan peluang pekerajaan bagi mengurangkan pengangguran. Anak-anak muda Terengganu baik yang berkelulusan peringkat universiti atau sekolah menengah masih mencari kerja di luar, merantau ke Kuala Lumpur seperti mana juga rakyat Kelantan.
Cerita rakan itu lagi di Terengganu tidak banyak kilang dibangunkan untuk memberi pekerajaan kepada anak-anak muda. Walhal kalau peruntukan untuk projek mega yang menjadi 'gajah biru' tersebut digunakan untuk membina projek yang menyediakan peluang perkerajaan sudah pasti tidak perlu lagi anak-anak Terengganu untuk berhijrah keluar dan mencari rezeki di rantau orang.
Apa yang dapat saya sebut mengenai hal ini, Terengganu adalah negeri yang indah dan kaya tetapi keindahan itu hanya dapat ditenguk dan kekayaan itu hanya dapat disebut saja. Setelah lebih tiga tahun dinobatkan sebagai MB Terengganu Ahmad Said tidak berdaya dan tiada idea untuk mengubah Terengganu melainkan hanya memejam-mejam mata dan mecelik-celikan mata saja dan berbangga dengan gelaran dia adalah Menteri Besar di Raja. Catatan: Sambungan akan datang kerajaan Terengganu rampas tanah untuk bina kondo, Mat Said rancang bina jambatan bernilai ratusan juta serta satu persembahan buat Sultan. [wm.kl.9:41 am 03/12/11]
No comments:
Post a Comment