Thursday, December 22, 2011

Catatan Malam

Nurul Izzah Atau Tengku Razaleigh Ganti Anwar?

LUPA sekejap kisah lembu gemuk yang tinggal di Kondang – kondo - kandang, lupa sekejap kepada telatah dan gelagat Hasan Ali yang nampak intelek tetapi sebenarnya kurang sodium chlorid politik, tinggal Nasrudin Hasan yang sudah “kembali ke pangkalan jalan”, mari kita bercakap fasal 9 Januari di mana tarikh dan saat Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zabidin Mohd Diah hendak jatuhkan hukuman ke atas perbicaraan tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim.

Ramai orang membuat perhitungan pada tarikh itu Anwar akan dijatuhi hukuman penjara dan Anwar akan terus dibawa ke Sungai Buluh untuk menjalani hukuman, tanpa boleh dibayar jamin. Begitulah yang orang fikir dan merasakan bayangan dari hasil perbicaraan itu. Walaupun Tuhan lebih tahu segala-galanya tetapi itu skrip yang mungkin tersedia.

Katakan Anwar di penjara, persoalan yang menghantui pemikiran orang ramai sebelah Pakatan Rakyat ialah siapakah yang ganti Anwar. Tepatnya siapakah yang akan jadi PM kalau Pakatan Rakyat menang pilihan raya ke-13. Bila Anwar dijatuhi hukum penjara, baik satu hari atau enam tahun, dia tidak dapat bertanding dalam pilihan raya.

Lebih buruk dia akan dikurung sekiranya proses rayuan tidak boleh dijamin. Peristiwa tahun 1998 akan berulang lagi di mana parlimen dibubarkan setelah Anwar ditolak masuk ke penjara oleh Mahathir. Siapa akan menggantinya dan menjadi PM? Pertanyaan ini sukar untuk diberi jawaban. Menyebabkan seolah harapan untuk Anwar jadi PM sudah terkubur dan lenyap sama sekali.

Rupanya yang menimbulkan persoalan ini bukan saja para pemimpin parti peringkat cawangan dan cabang , tetapi ia juga menganggu minda penulis sehebat Subky Latif. Semasa perjalanan pulang dari makan tengah hari di ibu kota kelmarin dulu, Subky mengajukan pertanyaan itu kepada saya;

“Ini Anwar kalau dia kena penjara siapa nak ganti dia jadi PM?” Tanya Subky selamba dan bersahaja. Saya tahu dia hanya iseng-isengan sahaja untuk mengetahui pandangan saya. Saya tidak segera menjawab dan menanti jawaban darinya. Saya percaya dia bertanya begitu kerana dia ada usul di sebalik pertanyaan itu.

“Siapa agaknya?” Tanya saya menebak pemikirannya.

“Ana nampak Nurul Izzah boleh menjadi pengganti Anwar, jadi perdana menteri?” katanya bersahaja menjadi saya sedikit tergaru-garu kepala lantas mencelah; “ana tenguk Nurul Izzah jauh lebih pintar dan bijak dari ibunya Dr Wan Azizah...”

“Iya, budak ini bijak dan ada keistimewaan. Ana fikir dia boleh jadi penyatu di kalangan Pakatan Rakyat, dia jadi PM sementara, sebelum Anwar diproses keluarkan semula...lepas keluar bagi kepada Anwar,” sambungnya semacam yakin dengan apa yang dibayangkan itu.

Saya merasa seronok dengan pandangan Subky itu kerana apa yang saya fikirkan bagi menjawab persoalan bagaimana Anwar akan jadi PM sama dengan tokoh wartawan Islam itu fikirkan. Saya pernah menghuraikan kebimbangan penyokong Pakatan Rakyat mengenai Anwar.Malahan ada yang sudah lemah semangat bila mendengar Anwar akan kembali semula ke penjara.

Bila ramai orang mempersoalkan harapan Anwar untuk menjadi pemimpin nombor satu Malaysia sudah tidak ada, bila dia dipenjara saya menolak begini; “Kenapa tidak ada, Anwar masuk penjara kalau Pakatan menang dia akan dibawa keluar... itu tidak pelik..” kata saya memberi harapan dan semangat kepada mereka yang bimbang dengan nasib Anwar.

Bunyinya simple tetapi praktikal. Ia pernah terjadi semasa Abdullah Ahmad Badawi jadi PM. Bukankah Anwar dibawa keluar penjara dulu menerusi proses perundangan menyebabkan Mahathir Mohamad dendam dan marah sampai kini kepada Abdullah? Betapa tidak dia yang memintas, menjerat kemudian memenjara Anwar bak harimau liar yang garang tetapi dilepaskan oleh Abdullah.

Jadi kalau Anwar hendak jadi PM tertakdir Pakatan Rakyat menang ia akan melalui proses perundangan yang sama. Jadi kepada mereka yang bimbang dan kabur mengenai masa depan Anwar tidak perlu bimbang, janji perlu bekerja kuat dan banyak berdoa.

“Tetapi kalau selain Nurul Izzah siapa orang lain yang enta fikir?” Subky mengocah saya lagi.Saya juga rasanya dia tahu nama siapa yang tersandar dalam benak saya.

“Tengku Razaleigh boleh,” jawab saya rengkas menjadikan Subky terdiam. Kali ini dia pula menyetujui pandangan saya itu, tetapi dengan sedikit jawaban. “Tetapi Ustaz Hadi juga boleh...do belah Pas kena ada juga,” katanya. Kami saling berangan-angan di atas kereta.

Kenapa Tengku Razaleigh tanya saya kemudian saya menjawab. Tengku Razaleigh tokoh yang boleh diterima oleh semua pihak. Dia juga seorang tokoh yang berintegriti. Orang Cina juga senang dengannya orang India juga senang. Dia mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ekonomi. Yang paling nyata dia seorang tokoh yang ikhlas berjuang untuk rakyat.

“Tetapi macam mana dengan Engku Li ini?” tanya Subky. Saya tahu maksudnya macam mana dalam pilihan raya akan datang. Subky kabur ke manakah dia nanti. Apakah bertanding atas tikit BN atau apa. Saya sendiri tidak tahu ke mana hujung jatuhnya. Cuma apa yang saya rasa dia masih sayangkan Umno tetapi tidak senang dengan pemimpin yang ada sekarang ini. Setidak-tidaknya itulah yang dapat dilihat dari wajahnya.

“Dia akan bertanding lagi?” tanya Subky. Kami sama-sama meramal nasib pemimpin yang sepatutnya sudah lama jadi perdana menteri itu, lebih dahulu dari Mahathir dan Abdullah.

“Ana kira dia akan bertanding, kalau Umno tidak bagi laluan dia akan bertanding atas bebas. Pas akan memberi laluan mudah kepada Tengku Razaleigh di Gua Musang. Harapan dia untuk menang kalau Pas beri laluan rasanya mudah. Pengaruhnya di sana masih kuat,” balas saya sambil menekan tidak mustahil juga kalau Tengku Razaleigh bertanding atas tikit parti selain BN dan Pas.

Diam tak diam destinasi yang ditujui sudah sampai, rumah Subky Latif di Taman Karak Utama, Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan selama kira-kira 30 minit kami hanya sempat membincang tiga saja calon perdana menteri, Nurul Izzah, Tengku Razaleigh Hamzah dan Abdul Hadi. Nama Husam Musa dan Mohamed Azmin Ali tidak termasuk dalam tilikan kami. [wm.kl.7:45 pm 22/12/11]

No comments: