Hati Tersentuh Mendengar Kisah Subky
SEMALAM hampir separuh hari bersama Subky Abdul Latif tokoh wartawan yang boleh saya kelaskan sebagai salah seorang wartawan Melayu Islam di negara ini. Kalau A Samad Ismail (Allahyarham) dianggap sebagai bapa wartawan moden, Sabky adalah tokoh wartawan Islam.
Islam yang saya maksudkan bukan kerana dia menyertai Pas dan berjuang dalam Pas tetapi pendekatan serta elemen dakwah dan ideologi siasah yang diterapkan dalam tulisannya berbau haruman Islam.
Justeru kehebatannya tidak perlu diceritakan lagi. Bagi saya Subky adalah idola saya dalam penulis sejak alam remaja lagi. Di dalam buku-buku awal saya sekitar tahun 80-an, nama Subky Latif tidak pernah saya tinggakan dari disebutkan dalam buku.
Kebetulan semalam kami diajak untuk minum pagi dan membawa ke makan tengah hari oleh seorang ahli politik yang bapanya seorang tokoh Umno terkenal. Bersama kami dua orang pegawai tinggi dari sebuah institusi milik kerajaan. Jadi banyaklah cerita yang terkeluar dari pertemuan itu yang sangat berfaedah untuk kami selaku penulis.
Saya faham kenapa anak negarawa itu memanggil kami dan memanggil dua orang pegawai tinggi sebuah institusi kerajaan itu, ialah untuk mendengar cerita sebenar apa yang sedang bergolak dalam institusi berkenaan. "You dengar dari mulut orang yang tahu mengenainya, baru you puas," begitu kata anak negarawan dan tokoh itu. Terima kasih atas inisiatifnya mengaturkan pertemuan itu.
Mengenai Subky sebenarnya sudah lama saya mengenali dan berkawan dengan beliau namun tidak banyak cerita dalaman mengenai dirinya yang saya mengetahui. Ada beberapa kisah atau buku yang ditulisnya tersemen dalam ingatan saya. Tetapi saya tidak mengetahui akan liku-liku kehidupannya di luar buku atau isu yang dikupas. Kebanyakan isu yang ditulis dan dikupasnya ialah isu politik kerana itu dia juga sinonim dengan politik Malaysia.
Namun hari ini secara tidak langsung terdedah sesuatu tentang kehidupannya yang cukup mengharukan saya. Mungkin orang tidak terfikir dan percaya apa yang disebutkan ini. Kisah sayu ini tercetus apabila anak negarawan itu menceritakan mengenai kehidupannya yang hanya menerima pencen sebanyak RM5,000 sebulan yang mana jauh dari mencukupi untuk hidup di kota metopolitan seperti KL tetapi boleh hidup.
Beliau yakin dengan wang sebanyak itu boleh survive dia kerana ia mengambil pendekatan Islam.
Mendengar kata-kata itu menyebabkan Subky turut menceritakan perihal dirinya yang cukup menyentuh perasaan saya.
"Kalau hendak fikir soal hidup memang kita sukar untuk mempercayainya. Saya sendiri selepas saya tinggalkan Utusan (Utusan Melayu Sdn. Bhd), meninggalkan segala kesenangan, saya fikir hidup saya entah macama mana nanti. Tetapi tidak, rupanya Tuhan memberi rezeki cara lain...", katanya. Tegasnya sebenar hidup kita dalam jagaan Tuhan kalau kita mengingati-Nya.
"Bayangkanlah macam mana saya terus berada di rumah sewa yang dikenakan bayaran sebanyak RM500 sebulan. Rumah saya tidak dinaikkan kadar sewa walaupun rumah lain naik berberapa kali. Ini satu keanihan dan bentuk Tuhan membantu saya," ceritanya lagi.
Menurut Subky dia menyewa rumah dengan kadar RM500 sebulan dari mula anaknya belum sekolah sehinggalah anaknya keluar universiti. Begitu juga bagaimana rumah yang diduduki kini dibina secara beransur-ansur atas sebidang tanah.
"Waktu saya bina duit hanya ada RM20,000 sahaja, tetapi kontrektor yang membina rumah saya itu sedia untuk menerima RM20,000 dan menerima bayaran cara ansur. Mulanya saya bayar RM1,000 sebulan lepas itu bila tidak mampu saya minta kurangkan RM500, kontrektor itu juga bersetuju," ceritanya tenang.
Saya terdiam saat Subky menceritakan kisah hidupnya itu. Perasaan sebak tidak usah hendak diceritakan cuma saya tidak sempat mengalirkan air mata saja. Apa menyebabkan saya sebak kerana mengenangkan kepada liku-liku hidup yang saya tempoh sebelum ini. Demikianlah nasib manusia bernama penulis yang dianggap dengan berbagai tuduhan dan fitnah. Dan entah saya rasa lebih bertuah tatkala mendengari kisah beliau itu... kerana saya tidak tercabar seperti itu.
Bukan saja Subky mana-mana penulis yang ada prinsip dan maruah akan menempuh jalan seperti mana dilalui Subky. Mereka dilihat senang dan mewah menerusi catatan dan luuahan bahasa yang menarik dan segar tetapi apa yang terendam di lubuk hati tidak siapa yang tahu. Hanya penulis yang sedia mengadaikan prinsip dan maruah sahaja akan terkeluar dari ujian kegetiran hidup sebegitu.
Subky boleh disebut penulis buku politik terawal di negara ini, sebelum keluarnya nama-nama seperti Yahaya Ismail dan Syed Hussein Alattas. Berbeza Subky dengan dua orang penulis itu Subky memperluaskan skop perjuangan dengan menyertai Pas dan memegang jawatan penting dan ikut bertanding dalam pilihan raya atas tikit Pas. Manakala Yahaya tidak menjadi ahli mana-mana parti politik, Syed Hussein pula menjadi ahli Umno.
Di sini bukan ruang untuk mencerita perihal Subky dan kerjayanya, wartawan dan politikus. Cuma untuk pembaca blog Merah Tinta saya caangkan dapatkan Memoir Subky jilid pertama dibawa judul Anak Apak (Memoir Politik Kewartawanan) untuk mengenali Subky dari mula hingga akhir. Memoir ini baru diterbitkan dan kini sudah berada di pasaran.
Saya baru mendapatnya semalam dan belum membacanya lagi. Semasa saya bercuti di sebuah pulau sehari dua ini akan saya khatamkan buku ini dan akan cuba membuat ulasan dalam blog. Sara rasa setiap orang membeli memoir Subky ini tidak akan kecewa sebaliknya akan mengetahui banyak kisah-kisah atau pun kenangan hidup Subky yang belum terdedah kepada umum dan ceritanya akan menginsafkan kita serta dapat mengenai panorama sebuah kehidupan seorang penulis.
Kepada Uuataz Subky Latif tahniah atas penerbitan Memoir ini, dan insyaAllah ia akan terus merangsang saya untuk menyiapkan memoir seperti itu juga satu hari kelak. [wm.kl.10:17 am 21/12/11]
No comments:
Post a Comment