
Dari atas deck saya melepaskan pemandangan sejauh mungkin ke sekeliling memerhati apa yang ada di tebing Temasik dan tebing Johor Bharu, khasnya di sekitar Pasir Gudang.

Saya memilih perjalanan berjarak jauh untuk membolehkan melihat panorama kiri dan kanan di kedua buah negara sepuasnya di samping melepaskan penat dan stress kerana banyak menulis dan menguruskan perkahwinan anak perempuan saya dua minggu lepas.
Cuaca pukul 9:00 pagi itu baik. Matahari memacar dari Timur seakan mengucapkan selamat belayar kepada saya dan semua warga feri yang kebanyakan bangsa Indonesia. Tidak ada hujan dan langit cerah menderang. Kabus juga yang sebelum itu kelihatan bercumbu dengan muka laut sudah tipis dan berlalu perlahan-lahan mengusapi buritan feri. Laut juga tidak berombak menjadikan perlayaran tenang dan santai, persis semanjung tanah besar dengan pulau itu tiada apa sengketa.

Dari kejauhan berjarak lebih 2 km itu saya nampak kenderaan berhilir mudik menjadi nadi kepada dua jiwa yang terputus. Tetapi ternyata yang mudik lebih banyak daripada yang hilir. Kebanyakan kenderaan yang nampak ialah motosikal. Saya mendapat tahu kebanyakan motosikal itu adalah pemilik warga Malaysia yang berkerja di Temasik yang jawatannya rata-rata boroh bergaji di bawah SD5,000.

Satu keadaan yang saya rasakan sudah tidak seimbang bila mana rakyat Temasuk tinggal di Johor dan berulang alik bekerja di negara mereka. Tidak ada pula rakyat Malaysia yang tinggal di Temasik dan bekerja di Johor Bharu. Kenapa?
Perbezaan ini sudah menjelaskan akan jurang yang terbentuk di antara Temasik dengan Johor Bharu atau Malaysia. Rakyat mereka tinggal di sini; berak, kencing dan beranak pinak tetapi bekerja di sana. Khabarnya sudah ramai warga Temasik yang membeli hartanah di Johor Bharu yang mulanya dibina untuk rakyat Johor tetapi kerana kosnya mahal terpaksa dijual kepada rakyat Temasik bagi mengelakkan menanggung kerugian. Satu tindakan menjual negara saya kira.

Di sebelah kiri menyusuri tebing sempadan Temasik, manalaka di sebelah kanan ialah tebing Malaysia. Kerana perkhidmatan feri beroperasi di Malaysia, perjalanannya melalaui lautan antarabangsa yang menghimpit ke arah Pasir Gudang.
Jelas sekali pemandangan pembangunan fizikal atau kapal yang mendarat di kedua buah darmaga di Temasik dan Pasir Gudang berbeza. Banyak kapal yang berjujutan menanti ruang untuk memasuki darmaga Temasik berbanding dengan Pasir Gudang. Saiznya pula lebih besar yang menunggu untuk masuki ke darmaga Temasik berbanding yang hendak berlabuh di darmaga Pasir Gudang.

Manakala polis merin pula rajin membuat rondaan. Setiap tiga km saya nampak ada bot bertulis perkataan Police meluncur laju di sepanjang persepadanan. Bot itu dipasanag dengan radar dan ada api signal yang berkelip-kelip mengesan sesuatu. Saya memerathi di sebelah kanan tidak ada sebuah pun bot polis dari Malaysia. Mungkin kawalan tidak perlu kerana Malaysia sihat dan selamat.
Di tengah laluan pula sesekali terserembak dengan dua tiga orang nelayan yang menjaring ikan menggunakan perahu kecil. Setiap kali peronda police Temasik meluncur membela lautan perahu nelayan yang sopek itu akan teroleng-oleng dikocak air. Keadaannya menggerunkan tetapi mereka sudah alah bisa kerana biasa, situasi itu tidak mendatangkan apa-apa kebimbangan kepada mereka. Jaring yang diangkat saya nampak carik dan rusuk dan wajahnya berrona Melayu.
Di ruang lain kelihatan beberapa tongkang yang terpasang bendera 'putih merah' mengangkut pasir mendekati sempadan Temasik. Pasir-pasir itu menurut seorang penumpang di ambil di sebelah Indoensia untuk kegunaan pembangunan di Temasik.

Setiba bertentangan dengan lapangan terbang Canggi, tidak cukup tangan pula untuk merakam kapal terbang yang berlepas dari lapangan terbang itu. Dalam hitung saya setiap dua minit akan meluncur pesawat membela udara sambil meninggalkan asap tebal di sebelah Pasir Gudang. Kata orang untuk mengetahui sejauh mana tahap kemajuan sesebuah negara itu lihatlah sebanyak mana kapal yang berlabuh di perlabuhan dan sebanyak mana pula kapal terbang turun naik di lapangan terbangnya.
Seperempat perjalanan tiba-tiba air jernih membunting di birai mata apabila melihat sekelompok rumah nelayan yang dhaif. Rumah itu pula terletak bertentangan dengan deratan bangunan canggih dan moden di sebelah Temasik yang merupakan apartment kediaman rakyat negara itu. Sekali lagi terasa betapa jurang pembangunan dan sosial begitu jelas sekali. Sepanjang pinggir pantai Temasik itu tidak ada pula kediaman rakyatnya melainkan sangkar ikan dan disedapi dengan bot dan kapal besar.
Entah ketika ini hati tiba-tiba jadi geram kepada almarhum Tunku Abdul Rahman. Hati saya menjadi berontak sendiri dan timbul perasaan kesal dan marah. Kesal atas apa yang berlaku dan marah kerana apa yang berlaku itu boleh dielakkan kalau ada kecerdikan dan keberanian. Kenapa tidak, pulau Temasik itu adalah hak Malaysia. Ia adalah sebahagian negara kita. Tetapi kerana untuk menyelesaikan tuntutan (permasalahan) politik ia diserahkan sepenuhnya kepada Lee Kuan Yew yang menjadi Ketua Menteri pada masa itu.

Masih terngia nada dan kata-kata Tunku di telinga saya. Ia kendur dan menghiba. Saya mengagak Tunku juga kesal dengan apa yang diputuskan pada waktu itu kerana harapan yang diharap dari tindakan sungguh memalukan bangsa itu tidak menjadi. Tetapi apa boleh hendak dikatakan lagi. Apa yang terjadi sudah terjadi dan tidak mungkin Temasik akan menjadi sebahagian Malaysia lagi. Temasik sudah berdaulat sebagai sebuah negara dan diikhtraf oleh PBB. Melihat akan pemergian Temasik saya sifatkan ia adalah kecerdikan pemimpin pulau itu yang hanya menumpang kemerdekaan dari Malaysia saja.

Perlu bijak dan pastikan apa yang berlaku itu tidak akan berulang lagi. Malaysia tidak akan kehilangan wilayah atau sebutir pasir pun kalau pemimpinnya bijak mencaturkan masa depan bangsa dan negara.
Tetapi kerana kurang prihatin, tidak mengambil peduli dan terlalu lebih kepada politiking sesama sendiri, enggan berunding dengan anak beranak menyebabkan apa yang kita kendong hilang begitu saja. Tenguk pulau Batu Putih dulu hak kita mutlak tetapi akhirnya berpindah tangan kepada Temasik. Kenapa, kerana kita leka dan merasa compleasent.
Makanya dari atas feri saya bernasyid dan bermadah sendiri; orang Melayu harus bijak, orang Melayu kena bersatu untuk mengukuhkan ikataan rantai keselamatan negara. Orang Meayu tidak boleh berpecah dan hidup terpisah. Orang Melayu boleh berbalah tetapi tidak boleh berkerat rotan berpatah arang.
Kalau orang Melayu masih berdegil mengajar kuasa hingga sanggup memaling muka, tidak mustahil bukan saja wilayah yang sudah pergi itu tidak akan kembali, tetapi wilayah yang kini kita genggam dan kita suburkan juga akan hilang dan diambil orang. Ingatlah, sebelum terkenal, bila sudah kena semua kita akan merana. Menyesal dahulu adalah pendapatan....[wm.kl.4:00 02/11/11]
1 comment:
Sejarah sudah membuktikan siapa yang sebenarnya yang Menjual Melayu
Post a Comment