Nasib Isa Samad Ditentu 5 Januari
9 Januri ini adalah tarikh keramat buat Anwar Ibrahim kerana pada tarikh itu akan menentukan dia akan ke Sungai Buloh atau tidak. Khir Toyo Edokromo yang dijatuhi penjara 12 bulan kerana rasuah juga memilih tarikh itu untuk mengumumkan masa depan politiknya.
Berbeza dengan Mohd Isa Samad pengerusi Felda yang penuh kontroversi nasibnya akan ditentukan pada 5 Januri ini apabila Koperasi Felda akan mengadakan mesyuarat agung khasnya. Mesyuarat itu katanya penting dan akan menentukan apakah Isa Samad akan menjadi sabut ataupun batu.
Kalau nasib Isa Samad baik dia akan menjadi sabut, timbul... kalau menjadi batu dia akan tenggelam dan hanyut tersadar di muara. Pada mesyuarat koperasi itu akan menentukan sama ada cadangan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holding (FGVH) diterima atau ditolak. Ahli-ahli koperasi yang mempunyai hak ke atas harta dan aset Felda dengan memegang saham 51 peratus akan menentukan cadangan itu.
Sekiranya ahli menolak penyenaraian itu, secara automatik Isa yang menjadi agen yang menggerak kempen dan usaha mempengaruhi peneroka supaya bersetuju dengan penyenaraian itu perlu letak jawatan. Dalam pada itu pada mesyuarat itu juga ahli koperasi akan turut mempertikaikan kedudukan Isa Samad sebagai pengerusi Felda dan juga pengerusi koperasi.
Perlantikan Isa sebagai pengerusi Felda dikatakan tidak sah kerana dia bukan saja tidak anak peneroka tetapi melanggar Akta Koperasi. Sementara itu kedudukannya sebagai pengerusi Felda itu juga tidak ditantangani oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap koperasi, Ismail Sabri Yaacob. Isa memasuki ibu pejabat Felda hanya membawa sekeping surat perdana menteri. Perdana Menteri pula dari mana dapat kuasa untuk melantik Isa walaupun ia ditolak sebahagian besar peneroka.
Awal-awal lagi kemasukan Isa ke Felda menggunakan pintu belakang dan bukannya masuk secara beradab memberi salam.
Ismail pula dikatakan enggan menandatangani bagi mengesahkan jawatan Isa Samad itu kerana bimbang dia akan ditolak oleh peneroka. Khabarnya ada desas desus kalau Ismail mengesahkan kedudukan itu dengan dia sekali akan ditolak peneroka. Persoalannya apakah Isa boleh berfungsi tanpa pengesahan menteri bersangkutan dengan koperasi? Ini satu lagi perogolan terhadap undang-undang dan akta.
Ada pendapat mengatakan Najib Razak sengaja mencari masalah dengan perlantikan Isa Samad itu. Reputasinya terhadap Felda sebelum ini yang dianggap sebagai pesaka bapaknya (walaupun tidak sebenarnya) sudah mula dipersoal oleh peneroka. Tindakan Najib melantik Isa Samad itu sebagai melanggari tradisi pengurusan dalam Felda. Najib telah menggunakan kuasa vetonya tanpa mengambil kira pandangan dan perasaan para peneroka.
Langkah memberi berbagai insentif kepada peneroka tidak menjutkan hati peneroka kepada tindakan Najib dan juga Isa Samad. Apa lagi peneroka tahu apa yang mereka terima itu adalah hak mereka, wang mereka Najib dan Isa hanya tukang hulur saja.
Kemelut dalam Felda sekarang ini bukan kecil lagi tetapi ia menjadi bom jangka akan meletup bila-bila masa saja. Tindakan rakus Isa Samad membekukan tugas Pengurus Besar Dzulkifli Abdul Wahab untuk membolehkan beliau berkuasa penuh menyusun agenda politiknya di Felda dikatakan mendapat tentangan kaki tangan Felda di Ibu Pejabat dan sebahagian besar para peneroka.
"Tuan tenguklah nanti apa yang berlaku. Kalau tidak ada penyelesaian berhubung perlantikan Isa dan penganiayaan terhadap Pengurus Besar Felda, satu perubahan akan berlaku dalam tanah rancangan. Kali ini peneroka akan mengajar Umno... perasaan marah kini tidak boleh diubati lagi," begitu ujar seorang pengurus Felda di Ibu Pejabat sewaktu berjumpa dan makan tengah hari dengan saya beberapa hari lalu.
Pegawai bertaraf pengarah itu yakin pergolakan yang berlaku dalam Felda sekarang ini akan membawa momentum baru di kalangan para peneroka. "Kalau kaki tangan dan pegawai Felda sudah hampir habis hilang kepercayaan dan mereka menanti masa saja untuk mengajar Umno," katanya tanpa menjelaskan apakah maksudnya tetapi difahamkan mereka akan memboikot BN dalam pilihan raya.
Pada masa lain pegawai yang bertaraf pengarah itu meramalkan mungkin penguasaan UBN ke atas 52 kerusi Parlimen yang terletak dalam kawasan Felda sukar untuk dipertahankan dan meramalkan lebih 20 kerusi akan berpindah tangan kepada Pakatan Rakyat. "Ini bukan ugutan tetapi satu realiti," tegasnya yang begitu marah dengan tindakan Najib dan Isa Samad.
Disoal tidakkan peneroka akan sejut apabila diberikan durian runtuh atau isu mengenai kakitangan selesai, jelas pengarah itu, sama ada ia seledai atau tidak tetapi mood peneroka untuk mengajar orang atasan (politik) kini semakin membuak-buak dan ia tidak mudah dihentikan lagi.
Ditanya apakah masalah menimpa Felda kini sejak Isa dilantik menjadi pengerusi, kata pegawai yang mengakui pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian Umno selama 25 tahun di sebuah negeri di Selatan itu, bukan kerana Isa tetapi masalahnya berpunca dari Najib sendiri yang obses mahukan kekayaan Felda untuk kepentingan politik peribadinya.
Jadi kita tunggu 5 Januari ini apakah nasib Isa Samad akan lebih buruk daripada nasib bakal diterima Anwar dan juga nasib Khir Toyo sendiri yang akan mengumumkan pendiriannya dalam politik. Apakah ketiga mereka akan selamat atau terus dihimpit masalah? Mat Maslan jarang-jarang berkokok fasal Felda lagi, kenapa? [wm.kl.8:55 am 27/12/11]
No comments:
Post a Comment