Taib Mahmud - Najib Bermasalah?
MUNGKIN saya terlepas pandang tetapi sejauh ingatan saya serta pembacaan saya, selepas berlangsung pilihan raya umum Sarawak pertengahan tahun lalu, tidak ternampak oleh saya di mana-mana media massa baik eletronik ataupun cetak akan gambar Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud dengan Ha Najib Razak.
Saya rasa semasa kempen di Sarawak itulah, terakhir kali mereka duduk dekat di atas satu pentas dan gambar mereka dirakam. Semasa perhimpunan agung Umno dua minggu lepas juga tidak ada dalam surat khabar memaparkan gambar mereka berdua dalam keadaan menyenangkan. Mungkin tidak ada celah untuk Taib menempel dirinya dengan Najib.
Maklumlah perhimpunan itu sibuk dan orang ramai. Taib pula dalam usia tua begitu tidak larak untuk mengejar Najib semata-mata untuk diambil gambar dengan anak Tun Razak yang menjadi kawannya itu.
Bagaimana pun semalam, ketika Najib merasmikan kongres SUPP di Sarawak adalah waktu terbaik kalau Taib Mahmud ingin bergambar dengan Najib. Dia sebagai Ketua Menteri Sarawak dan pengerusi BN adalah orang penting. Sudah tentu tempatnya akan diletakkan sebelah dengan Najib.
Tetapi dalam pemerhatian saya di beberapa laporan media massa termasuk penjilat buntut kerajaan, tiada gambar Taib Mahmud bersama Najib dan beliau dilaporkan tidak hadir. Apa disebut Abang Johari Openg telah hadir sebagai mewakili Ketua Menteri.
Ini menjadi persoalan. Apakah Taib Mahmud sakit dan tidak dapat hadir? Tidak terdengar pula yang Taib sakit atau dimasukkan ke mana-mana hospital. Jadi ini bermakna Taib tidak pergi dan berada di rumah. Ketiadaan Taib ini bukan sesuatu yang agar serisu kerana pada saat pilihan raya umum menjelang tiba sepatutnya semua pemimpin komponen menunjukkan kesepaduan dalam apa juga keadaan.
Perkembangan ini memberi alamat tidak baik kepada BN Sarawak, khususnya hubungan perdana menteri dengan ketua menteri Sarawak. Apakah sesuatu yang mengilankan Taib Mahmud atas perbuatan Najib belum sendik lagi? Masa pilihan raya Sarawak lalu Najib dikatakan telah memberi signal agar Taib tidak lagi dilantik menjadi ketua menteri Sarawak kerana beliau (Taib) dikatakan sudah menjadi liabiliti kepada BN Sarawak.
Usul atau modal politik untuk menarik pengundi itu dikatakan tidak disenangi oleh Taib. Taib dikatakan sampai menyebut dan melarang supaya orang Semenanjung tidak menjadi penentu kepada politik Sarawak. Kata-kata itu ditafsirkan oleh pemerhati sebagai kritikan dan sindiran Taib kepada Najib yang beriya mahu beliau berundur selepas pilihan raya itu.
Semalam apabila Taib tidak hadir pada majlis mesyuarat SUPP itu sedikit sebanyak Najib tentu terasa dan dapat merasai apa yang sedang bergelora di dalam jiwa Taib terhadapnya. Suasana ini bakal tidak menyelesakan Najib. Najib faham Sarawak adalah simpanan tetap untuk BN. Apa yang boleh dibimbangkan, apakah kalau tiba-tiba Taib mengeluarkan simpanan tetap untuk BN itu dan melabur ke dalam bank lain inilah yang menggeletarkan Najib.
Semasa saya ke Sarawak baru-baru ini sudah ada terdengar desas desus dan cerita yang hubungan Kuching dengan Kuala Lumpur dingin. Seorang veteran PBB ketika minum di sebuah gerai berhampiran masjid menyatakan di tengah kota bandaraya Kuching berkata kedinginan hubungan Kuching dengan Kuala Lumpur ini sudah bukan rahsia lagi.
"Taib dikatakan sungguh marah dengan hasrat Najib agar beliau tidak lagi dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak... inilah puncanya...." kata veteran berkenaan.
Menurut beliau perlantikan semula Abang Mohamad Salahhudin Abang Barieng sebagai TYT menunjukkan jelas yang Taib tidak akur atas perubahan dan transformasi politik Sarawak seperti mana dikehendaki Najib Razak. Mulanya Taib dijangka akan memang jawatan TYT selepas perkhdimatan Mohammad Salahuddin tidak disambung.
Dengan perlantikan untuk tempoh dua tahun lagi itu bermakna Kucihing telah menolak formula politik Kuala Lumpur yang mahukan Taib berundur dan Taib masil kekal untuk terus bersibuk dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Suasana ini seperti apa disebut veteran itu tidak memberi kebaikan kepada BN Sarawak. Kalau isu 'sengketaan' Najib - Taib ini tidak diselesaikan kemungkinan kedudukan wang simpanan untuk BN di Sarawak akan terjejas.
Bagaimana pun mengenai ketidakhadiran Taib di majlis SUPP itu bukan menjadi satu signal jelas untuk bersangka baik kepada BN. Hendaknya esok media massa akan menyiarkan akan pertemuan Najib dengan Taib di Sarawak semmpena kunjungan itu. Kalau Najib ada bertemu dengan Taib bermakna kebimbangan dan salah penelitian saya ini meleset. [wm.kl.9:50 am 11/12/11]
No comments:
Post a Comment