Hasan Ali Tidak Akan Sertai Umno?
BERDASARKAN kepada penjelasan dan pendirian serta teras perjuangannya seperti mana yang dinyatakan dalam program soal jawab di TV3 semalam saya tidak percaya kalau Hasan Ali akan menyertai Umno. Tawaran kepadanya untuk menyertai Umno akan sia-sia saja dan tidak lebih dari hemburan perasaan marah kerana beliau bersikap menyusahkan parti.
Menurut Hasan Ali dia dididik sejak dari kecil lagi dengan Islam. Ayah dan ibunya adalah guru Quran. Keluarganya banyak ke Timur Tengah. Ini bermakna dia sudah diasuh mengenali budaya yang dicerminkan dalam Quran dan berpegang kepada ayat-ayat Quran seawal usianya. Tidak ada guna kalau kita hafiz Quran tetapi tidak mahu mengikutinya. Saya tidak fikir Hasan hanya seorang orientalis.
Tiga asas besar yang ada dalam diri Hasan dan menjadi matlamat perjuangannya; Islam, bangsa Melayu dan menjaga institusi raja-raja Melayu. Sekaligus ini juga teras yang diperjuangkan oleh Umno pada masa kini walaupun Umno dilihat hanya bermain dengan ketiga-tiga teras dan matlamat yang serupa dengan Hasan itu sebagai memasung sentimen orang Melayu semata-mata.
Umno memang diwujudkan untuk memperjuangkan Melayu. Tetapi kita semua dapat menilai dan mengkaji sejauh mana Umno telah membawa Melayu keluar dari serkup tradisi dalam segala bidang. Umno tidak jujur dengan janji perjuangannya. Usahkan ekonomi, dari segi kebudayaan pun Melayu sudah hilang identiti. Agama jauh sekali. Jadi bagaimana boleh kita katakan Umno mengotakan janji perjuangannya.
Umum juga tahu macam mana persendaan Umno kepada Islam, kepada raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu Umno hanya menjadi modal dan perlindungan saja tatkala parti itu bermasalah. Raja-raja Melayu adalah tali hayat kepada Umno. Peristiwa penghinaan ke atas raja-raja pada Umno di era Mahathir sudah tercatat dalam sejarah. Tetapi nasib baik Raja-raja Melayu bukan golongan yang emosi.
Tidak mengapa kalau asas itu hendak dibaik pulih oleh Umno dan menjadi keterliuran Hasan kepadanya. Namun saya tidak yakin Hasan akan menyertai parti berkenaan. Kenapa saya berkata begitu, kerana Hasan mengatakan dia tertarik dengan Pas sebab kepimpinan ulamak dalam Pas. Dia menyertai Pas kerana kagum dengan ulamak dan mahu menumpang ilmu ulamak. Perjuangan ulamak serasi dengan aspirasinya dan menyentuh kalbunya.
Tetapi kenapa dia sedikit terganjak dengan Pas ialah kerana berlaku perubahan dalam kepimpinan ulamak. Penguasaan ulamak dalam Pas kini sudah kurang separuh. Menurut perangkaan Hasan ulamak hanya ada sekitar 35 peratus saja selebih golongan profesional dan sekular seperti dia.
Mungkin kita boleh akui akan perubahan itu kerana tuntutan politik semasa. Sepatutnya Hasan kena faham Pas adalah badan siasah bukan saja badan dakwah dan tarbiyah. Pas perlu pragamtik kalau mahukan kepada kuasa. Sudah ada pegangan dan kepercayaan dalam Pas mereka memerlukan kuasa untuk melaksanakan cita-cita perjuangan. Jadi tanpa perubahan, pendekatan baru Pas akan kekal seperti sebelum ini.
Perubahan dalam Pas dilakukan oleh bukan seorang atau segelintir tetapi dilakukan oleh ahli dalam muktamar. Perwakilan yang memilih pemimpin mereka, pemimpin Pas bukan dipilih oleh mana-mana veto di luar Pas. Mungkin Hasan akan berhujah kerana golongan itu berkempen untuk menang dan ulamak tidak. Jadi siapa salah dan bebal dalam soal ini. Sepatutnya untuk mempertahankan ulamak Hasan kena berkempen mempertahankan ulamak, kena bercerita kehebatan ulamak atau pun beliau sesama menjadi Naib Presiden dulu patut ke depan memperjuangkan ulamak. Apakah Hasan berbuat begitu atau terlupa?
Bukankah dia mempunyai aura yang hebat. Yang datang ke tempat ceramahnya, masyaAllah bukan puluhan tetapi ribuan. Nah gunakan kebolehan dan kepetahan Hasan untuk memukau ahli Pas yang menjadi perwakilan muktamar. Tetapi kenapa tidak berlaku? Hasan kena renung, kena tepuk dada dan tanya diri sendiri. Tentu adalah sebab musababnya orang yang macam Mohamad Sabu, macam Mahfuz Omar yang bankrup idea politik boleh menang.
Itu realiti politik yang pada saya gagal dihayati dan dicerakinkan oleh Hasan. Politik San... bukan sekadar retorik... bukan sahaja petah bercakap dan mengemukaan teori itu dan ini. Politik bukan saja proposal atau kertas kerja, bukan motivasi saja, tetapi politik kena turun ke bawah dan meniarap di pasir. Ada pun Mat Sabu dan Mahfuz walaupun mereka bukan lulusan Phd dari Amerika tetapi mereka turun mengharung air selut dengan rakyat, siang malam bertabuh dengan rakyat tidak kira di mana.
Cara dan profesional yang Hasan ada melayakkan dia menjadi ketua kepada Ngo dalam bidang profesional bukannya gerakan massa seperti parti 'padi dan surau' seperti Pas. Di sini saya tidak mahu membangkitkan Hasan berubah kerana dia kecewa. Kerana adalah naif kalau orang hebat seperti Hasan kelumit-kelumit kekecewaan itu ada kepadanya.
Hasan tidak akan sertai Umno kenapa? Sebab berpandukan kepada naluri dan pegangan Hasan tadi. Saya nak tanya berapa peratuskah ulamak ada dalam Umno, kalau-kalau ia sudah memukau hati Hasan. Apakah melebihi 35 peratus yang ada dalam Pas mengikut tafsiran Hasan sekarang ini? Saya tak nak jawab, kita sama-sama menjawab.
Sambil kita memperakui kepimpinan dalam Pas kini bukan ulamak, bukan orang seperti Nasrudin Hasan berserban sebesar bakul, dan bercincin besar berwarna hijau, atau berjanggut sampai ke lutut, atau pun memiliki roman ulama, tetapi saya rasa mereka lebih ulamak dari para pemimpin Umno hari ini termasuk ustaz yang mengetuai biro agama Umno.
Pemikiran, syaksyiah, pembawaan dan sosial mereka - para pemimpin Pas jauh lebih baik berbanding dengan pemimpin Umno. Tidak usah pergi jauh pergi saja kepada masalah rasuah, hidup mewah, cara pergaualan, mengurus mesyuarat dan sebagainya, cara mereka lebih Islamik berbanding dengan Umno. Walaupun mereka tidak berserban sebesar bakul, berkopiah tajam sehingga boleh sembelih burung, (kata bekas ketua penerangan Umno Terengganu Wan Abdul Kadir Wan Ismail) tetapi mereka sudah ada terbiyah Pas, mereka sudah diasak dengan doktrin politik Islam.
Mereka adalah seperti Hasan itu juga. Hasan profesional dan sekular tetapi di hati kecil Hasan adalah tersemainya benih Islam. Jadi mereka juga begitu. Kenapa kalau Hasan boleh menerima dirinya yang ada hari ini, bukan berserban seperti Nasrudin Hasan, Abdul Hadi Awang, berkopiah merah seperti Ahmad Awang, tetapi tidak boleh menerima Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Husam Musa, Mujahid Yusuf Rasa? Bukankah mereka juga berlatar belakang dan mendapat tarbiyah seperti San?
Jauhlah merasa hanya diri kita saja sayangkan Islam, cintakan Melayu dan sanjung raja-raja Melayu sebaliknya orang lain tidak. Orang lain mungkin tidak menyebut, tetapi tidak bermakna mereka tidak ada perasaan-perasaan dan tanggungjawab itu. Bersikap dan berpandangan sebegitu adalah orang yang berperasaan. Ditimpa perasaan ini jauh lebih bahaya dari ditimpa batang balak.
Kalau Hasan menyedari apa yang saya kata ini dia tidak akan menyertai Umno. Tetapi bukan bermakna saya secara peribadi hendak menyakat Hasan menyertai Umno, tidak... tetapi saya yakin kalau apa yang terkandung di dalam hatinya hendak diterjemahkan menerusi Umno ia tidak akan menjadi kenyataan. Buruk atau baik perjuangan suci Hasan berasaskan kepada tiga teras itu hanya sesuai diperjuangkan dalam Pas dan bukan wadah lain. Dan saya tidak mengira Pas rugi besar juga kalau Hasan mengembara mencari bukit baru dalam Umno.
Bertolak dari hakikat itu saya merasakan Hasan tidak akan menyertai Umno, melainkan dia akan menubuhkan sebuah Ngo baru sebagai wadahnya yang akan diharapkan mendapat sokongan Umno dan Pas. Apakah Hasan berkemampuan untuk membuka tanah rancangan baru? Kita tenguk sebab detik dan minit terus berjalan dan berjalan, manakala penerawangan Hasan tetap juga akan berhenti di mana-mana. [wm.kl.10:00 am 22/12/11]
2 comments:
assalamualaikum,
bila pas mengangkat mat sabu kepada satu jawatan yg tinggi, saya dapat rasa yg pas ada masalah.
kenapa profesional2 dlm pas ni tak nak menambahkan ilmu masing2 sampai menghampiri taraf ulama'? tiba2 nak bergaduh kepimpinan ulama' atau professional.
macam ni kah orang nak islam?
Waalaikumsalam WRB Kekura,
1- Pas bermasalah atau Individu - Hassan yg bermasalah.
2- Pimpinan PAS bergaduh pasal kepimpinankah atau individu bermasalah yang sedang membuat onar?
Harus faham perkara pokok yang basic sebelum mengutarakan pandangan yang jauh menyimpang dari permasalahan sebenar, sumbang dan janggal betul bunyiknya.
Dan oh ye, ayat terakhir saudara " macam ni kah orang nak islam?" <- rasanya ini yg patut tambah ilmu lagi, sbb tunggang langgang ayat datangnya dari jiwa dan akal yang kurang susunan pemahaman.
Post a Comment