Monday, December 12, 2011

Berita Petang

Jawatankuasa Syura Ulamak Selesai Tapis Calon

SEBAHAGIAN besar nama-nama calon Pas Kelantan untuk pilihan raya ke-13 nanti yang dipilih oleh peringkat Kawasan telah ditapis oleh Jawatankuasa Syura Ulama Pas malam semalam. Dari satu sumber memberi tahu hampir semua nama-nama yang diperincikan itu memenuhi syarat-syarat atau peraturan syarie yang ditetapkan parti berkenaan.

Setiap kawasan Pas negeri itu dikatakan telah menghantar tiga nama untuk dinilai dan diputuskan bertanding di sesuatu kerusi. Ini bermakna untuk satu kawasan yang mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pas telah menghantar 12 orang calon.

Antara calon yang turut dinilai ialah mereka yang kini sedang menjadi wakil rakyat.

Hanya untuk beberapa buah kerusi saja melibatkan penghantaran satu atau dua calon sementara kerusi-kerusi lain mempunyai tiga nama.

Antara syarat-syarat yang dikenakan oleh Pas untuk seseorang menjadi calonnya mestilah seorang yang mengetahui hukum hakam al-Quran, tahu hadith nabi, tidak berbuat dosa-dosa besar seperti berjudi, menipu dan mempunyai pegangan agama yang mampan.

Dengan selesai penapisan yang dibuat oleh jawatankuasa syura ulamak itu para calon akan melalui sekurang-kurangnya dua lagi tapisan akhir dari segi teknikal politik sebelum ia dimuktamadkan pemilihannya oleh Persuruhjaya Pas negeri yang juga Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perkembangan lain difahamkan penyusunan calon-calon yang dibuat sebelum ini yang melibatkan beberapa tokoh tertentu telah dirombak semula, kembali kepada posisi asalnya. Nik Abdul Aziz dikatakan telah menyatakan pendiriannya berhubung kombinasi calon dan pengagihan kerusi.

Bagaimana pun susunan calon itu tidak semestinya mutlak dan masih dalam perhitungan dan penelitian menghalusi yang dibuat untuk menjamin kemenangan.

"Setakat ini Pas Kelantan tidak ada masalah dalam pemilihan calon dan pengagihan kerusi baik sesama sendiri maupun dengan PKR," demikian sumber dalaman dipetik.

Sementara mengenai ada ura-ura tokoh Pas Kelantan perlu diletakkan bertanding di dua kerusi Parlimen dan state nampaknya cadangan itu sukar untuk dipraktikan kerana tidak ada keperluan mendesak untuk berbuat demikian. [wm.kl.6:17 pm 12/12/11]

No comments: