SPRM: Kenapa Laporan Ini Dibekukan?
Seorang penjenguk blog Merah Tinta yang beralamat dari Taman Dutamas, Kuala Lumpur telah mengirimkan contoh laporan SPRM berhubung berlaku satu amalan rasuah untuk memenangi proses tander sebuah projek di sebuah kementerian pada 20 April 2010 tidak disiasat.
Tander itu untuk menyiapkan pam pengairan serta kerja-kerja berkaitan di terletak di kawasan Pengairan Semerak Pasir Puteh.
Sinopsis laporan itu seperti mana berikut:
Pada sekitar bulan Ogos/September 2009, Abdul Kadir Ayub (bukan nama sebenar) berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat yang telah menaja atau menaungi tiga (3) buah Syarikat yang masing-masing berpendaftaran dengan Pusat Khidmat Kontraktor(PKK), Kelas B untuk menyertai tender seperti tersebut di atas.
Pada sekitar bulan Oktober 2009, tidak berapa lama selepas submisi ketiga-tiga tender, Abdul Kadir telah mengarahkan salah seorang Pengurus Projek bernama Abdul Kulub Khan (bukan nama sebenar) mengusahakan atau mengenalpasti sesiapa individu yang ‘rapat’ dengan timbalan menteri kementerian berkenaan bagi tujuan ‘melobi’ agar salah satu dari tiga syarikat (yang memasuki tander itu) memenangi tender berkenaan.
Abdul Kulub Khan telah berjumpa dengan Abdul Baki (bukan nama sebenar) yang berkebetulan juga adalah ‘bapa mertua’ kepada timbalan menteri.
Satu persetujuan telah tercapai dimana Abdul Baki akan mempengaruhi atau melobi ‘menantu’ beliau agar syarikat itu memenangi atau ditawarkan tender tersebut.
Satu surat ‘Permohonan Pertimbangan Tawaran Tender Projek’ bertarikh 9hb. Oktober 2009 dari syarikat itu telah dikeluarkan untuk disampaikan kepada timbalan menteri oleh Abdul Baki.
Satu surat ‘Akujanji Pembayaran ’(undertaking letter) telah dikeluarkan kepada Abdul Baki dimana syarikat itu akan membayar sebanyak ‘tiga peratus’(3%) dari nilai tawaran, RM5,658,000.00 yang berjumlah sekitar RM160,000.00 kepada Abdul Baki sekiranya syarikat itu memenangi tender tersebut.
Adalah difahamkan pada sekitar pertengahan bulan November, timbalan menteri berkenaan telah ‘mengisyaratkan’ kepada Lembaga Tender Projek agar menawarkan projek tersebut kepada syarikat yang dimaksudkan itu.
Pada sekitar awal bulan Disember ‘Surat Tawaran’(Letter Of Award) projek telah dikeluarkan kepada syarikat itu dan disusuli dengan ‘Surat Penyerahan Tapak’(Site Possession) yang bertarikh 23 Disember 2009.
Pada 15 Januari 2010, Abdul Kadir Ayub telah membuat pembayaran pertama sepertimana ‘akujanji’, kepada Abdul Baki sekitar RM80,000.00.
Pembayaran kedua kepada Abdul Baki telah dilakukan pada sekitar awal bulan Mac 2010.
Daripada apa bukti-bukti yang disertakan dalam laporan berkenaan dapat dirumuskan, adalah dengan jelas bahawasanya Abdul Kadir yang bertindak bagi syarikat yang memperolehi tander telah membayar atau merasuah atau melakukan suapan setelah wakil beliau, Abdul Kulub untuk berunding dengan Bapa Mertua timbalan menteri Abdul Baki.
Sejumlah wang telah dibayar kepada timbalan menteri berkenaan dan Abdul Baki setelah disahkan syarikat yang memenangi tander itu.
Malangnya laporan yang itu tidak disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun sudah dua tahun ianya dilaporkan.
Kata pengirim itu beliau tahu maklumat yang diberikan tidak berapa “kemas” dan agak ‘circumstantial’ terutamanya fakta jumlah dan tarikh tepat suapan telah berlaku.
Memang benar tetapi dengan fakta dan maklumat yang diberikan SPRM boleh menyelidiki dan menyiasatnya dengan menghubungi sumber-sumber yang diberikan kerana individu yang diberikan jelas manakala barang bukti (dokumen) berkaitan berupa surat bercetak yang diberikan sangat jelas dan nyata.
Saya tidak pasti apakah SPRM ada memberi jawaban atau penjelasan kepada laporan ini, dan jika belum diharap SPRM boleh membuka semula fail mengenai laporan ini serta menjelaskan di manakah kelemahan laporan ini sehingga ia tidak disiasat.
Sebenarnya contoh atau sample laporan begini selalu berlaku dan menjadi budaya dalam dunia bernama Malaysia ini.
Terima kasih kepada pengirim kerana sedikit sebanyak penjenguk blog ini dapat mengetahui seluk beluk laporan dan sejauh mana ketelusan serta kecekapan SPRM. Berhubung laporan ini kita semua boleh berfikir sendiri. [wm.kl.11:52 am 23/12/11]
No comments:
Post a Comment