CONTRACTION atau pun tekanan najis di dalam perut menyebabkan kita tidak selesa, gelisah dan gerun. Keadaan itu akan memberi kesan kepada seluruh anggota kita terutamanya wajah. Orang boleh membaca akan ketidaktenangan kita bila perut memulas-mulas dan usus memedih. Air muka mempamirkan keadaan kita seluruhnya.
Muka jadi merah menyala kalau tekanan menjadi-jadi dan najis mengasak-asak terus. Saat ini keadaan sungguh tidak tenteram dan selesa menyebabkan seseorang dalam situasi itu akan ditekan kemarahan dan ditimpa gundah memanjang.
Begitulah anologi yang dapat saya berikan kepada Umno dan MCA dua rakan karib utama dalam BN yang masing-masing mengungguli dua kaum terbesar Melayu dan Cina. Keadaan mereka hari ini seperti orang yang sedang diserang dari dalam perutnya, berlaku contraction yang melampau. Mual dan terasa hendak muntah. Mereka menggeliat kerana impak itu yang menyebabkan mereka seakan sudah kehilangan punca.
Baik Umno dan MCA tidak dapat menyembunyikan akan perasaan resah gelisah mereka. Kian mampirnya pilihan raya umum ke-13 menjadikan mereka semakin iseng. Walaupun mereka cuba melindungi dengan melakukan aksi, membuat kenyataan dan serangan politik kepada pembangkang, tetapi ia semakin menunjukkan akan kegelisahan dan rasa cemas itu. Tindakan dan serangan itu bukan saja tidak menjadi, bahkan menunjukkan kedangkalan idea politiknya.
Umno dan MCA mundur ke belakang.
Dalam usaha mengatasi ketakutan dan kebimbangan itu Umno dan MCA nampak terpaksa mundur ke belakang dengan memainkan isu yang sudah dianggap basi. Mereka terpaksa mengguna senjata lama yang dulunya ampuh tetapi kini sudah menjadi klasik dan berkarat. Paling menonjol Umno menimbulkan semula isu masa depan Melayu yang kononnya dibimbangi akan terhakis sekiranya Umno tidak akan disokong.
Umno kini mencanangkan kuasa politik orang Melayu akan hilang kalau Umno tidak menang. Begitu juga dengan kedudukan agam Islam akan tercabar. Presiden Umno Ha Najib Razak ketika menggulung perbahasan di akhir perhimpunan Umno menekan kononnya kuasa politik Melayu dan kedudukan Islam tidak selamat kalau Umno kalah. Najib meletakkan seolah-olah kuasa dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam termutlak ditangan Umno saja. Baginya seolah Umno saja berhak ke atas nasib Melayu dan agama Islam.
Sebenarnya isu yang dibangkit itu – kebimbangan kuasa politik Melayu dan agama, mungkin ada munasbaahnya untuk 60 tahun lalu. Waktu itu memang ada tanda-tanda kedudukan politik Melayu cuba digugat, bahkan telah dikuasai , paling jelas ialah oleh penjajah.
Waktu itu orang Melayu bersatu untuk capai kemerdekaan walaupun ada Umno, PKMM yang kemudian memunculkan Hizbul Muslimim, Api, Awas dan Pas tetapi mereka satu matlamat mengnyahkan penjajah.
Begitu juga setelah meletus 13 Mei 1969 berlaku huruhara di beberapa buah bandar ekoran kemenangan besar parti pembangkang yang dimonopoli Cina ia boleh dijadikan isu untuk menyatakan kuasa politik Melayu dalam keadaan telor di hujung tanduk. Itu ketika itu.
Tetapi selepas merdeka dan selepas 13 Mei isu itu sudah tidak relevan lagi. Kerajaan sendiri telah menggubal DEB untuk mengimbangi jurang ekonomi yang dikenal pasti antara menjadi sebab meletus tragedi itu. Kerajaan juga mengambil pendekatan mengeratkan perpaduan antara kaum dengan pelbagai dasar dan polisi termasuk dasar pendidikan nasional, kebudayaan nasioal dan semua lain-lain yang bernama ‘nasional’.
Hasil itu juga orang Melayu bersatu dibawah kerajaan campuran di antara Pas dengan Umno di Kelantan dan akhirnya Pas menjadi salah satu komponen BN. Natijahnya pilihan raya 1974 menunjukkan kesuksesan idea dan agenda itu.
Pertelingkahan dianggap sudah selesai dan semua kamu terutama Cina dan Melayu insaf. Orang Cina dari sisi lain berhati-hati kerana mereka bimbang dengan kedudukan mereka. Walaupun ada niat untuk menguasai Malaysia dengan menuntut hak, tetapi saya tidak fikir kaum itu akan bertindak lebih dari itu tanpa mengambil kira realitik politik Malaysia. Orang Cina lebih mementingkan keselesaan untuk mereka mencari makan dari ‘bertaboo’ untuk mendapatkan kuasa.
Kita semua berpegang kepada sejarah Malaysia, bumi ini adalah asal Melayu manakala India dan Cina diberikan hak dan taraf kewarganegaraan kemudiannya. Orang Cina dan India ingat hakikat ini dan mereka kena insaf sepanjang hayat mereka. Semua syarat atau peraturan itu diikat dalam dokumen bernama perlembagaan.
Harapan kepada Raja-raja
Kebimbangan terhadap kermungkinan Cina dapat menguasai politik Malaysia dengan lebih jauh meminda perlembagaan juga rasanya tidak perlu risau. Kita ada raja-raja yang menjaga hak kepentingan Melayu dan agama Islam. Dalam perlembagaan ada perkara-perkara yang tidak boleh dipindah tanpa persetujuan raja-raja Melayu walaupun dewan cukup kuasa 2/3. Ini menjadi kunci dan rahsia bagi Melayu. Kecualilah raja-raja kita bersedia untuk dijual tidak mustahil mereka akan memberi perkenaan. Tetapi ingat perkenan itu seolah melancar tombok ke dada sendiri.
Jadi isu yang dibangkit Umno kononnya Melayu akan hilang kuasa dan kedudukan Islam tercabar dalam pilihan raya ke-13 kalau mereka kalah, hanya ilusi saja yang tidak mungkin jadi kenyataan. Kalau pun hilang kausa bukan Melayu tetapi Umno. Orang Melayu masih ada Pas dan PKR untuk dijadikan tempat bergantung. Apakah Pas dan PKR demi kuasa mereka sanggup menggadaikan segala-galanya. Adalah jahil sangat kalau ada yang membuat perhitungan begitu.
Dakwaan Umno kuasa Melayu akan hilang kalau Umno kalah adalah ego Umno semata-mata. Ironisnya lagi sudah lama kuasa Melayu dan kesucian Islam terhakis di bawah Umno. Umno sudah lama merogol hak Melayu dan kesucian Islam sebelum isu Anwar Ibrahim dituduh meliwat pembacuh kopi.
Isu atau modal yang dibawa Umno itu juga tidak mudah diterima oleh pengundi generasi muda hari ini yang sudah terdidik oleh Umno sendiri untuk menerima dasar pemerintahan mereka selama ini yang bercampur dan kerjasama dengan semua kaum yang ada di negara.
BN itu sendiri yang merupakan gabungan berbagai parti diterima oleh rakyat negara ini dan terbukti akan keberkesanannya. Kepercayaan kepada dasar BN itu satu contoh, cuma kenapa akhir-akhir ini mereka menolak BN kerana sistem pemerintah UBN itu sudah rosak. Kerana terlalu lama berkuasa menyebabkan BN kekeringan idea dan tepu untuk membawa kebaikan nyata kepada rakyat melainkan mencipta dan menukarkan slogan demi slogan saja.
Kepada saya isu yang ditimbulkan itu momokkan sebagai satu dongengan semata-mata. Ia tidak lebih dari untuk mempertahankan hegomeni mereka yang kini sedang dimamahi anai-anai.
Begitu juga dengan MCA yang ungkitkan isu hudud tidak lebih dari untuk menimbulkan keraguan dan rasa takut di kalangan pengundi Cina kepada Pas. MCA terdesak bagaikan najis yang menendang usus perut tadi untuk mendapat sokongan padu orang Cina yang kini sudah membenci MCA dan beralih kepada DAP. Orang Cina sudah tahu yang pemimpin Cina sudah seperti pemimpin Umno yang songlap harta rakyat. Sebagai kaum yang melahirkan bidalan kata berbunyi “ikan kalau busuk bermula dari kepada”, orang Cina sudah tahu bahawa tengah dan ekornya juga turut sama kohong.
Tindakan MCA itu juga tidak menjadi kerana kebanyakan orang Cina sudah tahu dan matang dengan perjuangan Pas. Perubahan sikap, pendekatan serta elemen-elemeh baru yang diperkenalkan dan diinjekkan ke daalm Pas menjadi mereka arif dan memahami Pas.
Penampilan yang dilakukan Nik Abdul Aziz Nik Amat benar-benar membuka hati mereka melihat akan progresifnya perjuangan Pas apabila Kelantan itu meletakkan soal agama lebih penting dari soal bangsa sebagai intipati dalam perjuangan Pas. Tindakan ini menunjukkan Pas lebih dinamik dan tidak mengamalkan perkauman.
Justeru usaha Umno dan MCA menimbulkan isu itu akan ditolak dan orang ramai akan beranggapan Umno dan MCA sudah ketiadaan modal sehingga cuba mengingatkan kembali peritiwa lama yang telah terlibat dalam sejarah.
Dan sikap pengundi hari ini terutama pengundi muda mereka tidak akan peduli apakah benar dakwaan Umno dan MCA itu, apa yang penting mereka mahu melihat akan berlaku perubahan pemerintahan di negara ini. Kepada saya faktor ingin berubah dan menukar kerajaan lebih penting dari segala isu lain yang ditimbulkan termasuk juga isu Anwar Ibrahim akan dinobat sebagai perdana menteri. Faktor kini ialah mahukan perubahan.[wm.kl.10:00 am 07/12/11]
1 comment:
Adalah satu mitos kuasa melayu hilang kalau umno hilang kuasa.. Melayu hilang kuasa apabila melacurkan diri demi habuan dan tidak menjadikan islam pedoman hidup.. Bukankah negara ini negara bersama tiada beza menang kalah melainkan dia sengaja menoktahkan perjuangan tanpa sebab
Post a Comment