Sunday, March 17, 2013

Kerajaan Kelantan Kenang Jasa Karyawan

ULASAN                                                                                                                             

Setelah memerintah Kelantan selama lebih tiga darsawarsa, akhirnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) memberi salam dan ingatan istimewa kepada insan-insan seni; kaum penulis kreatif, penulis politik, pelukis, pengaton dan ahli persuratan (karyawan) asal Kelantan. Saya rasa sudah lama kaum penulis dan sasterawan Kelantan menunggu satu majlis khas buat mereka. Saya sendiri sudah tertunggu-tunggu akan kesedaran dan keprihatinan ini. Bukan untuk diri saya, tetapi atas nama kerabat atau golongan karyawan kelahiran 03 Kelantan.

Dr Mohd Fadzli: penerimaan ini hanya sebahagiaan saja.
Kalau tidak silap, sudah lebih lima kali saya melontarkan perkara ini kepada pemimpin-pemimpin tertentu supaya direalisasikan. Bahawa kerajaan Kelantan harus mengadakan satu majlis atau upacara khas untuk mengenang jasa dan sumbangan golongan seni ini.

Paling akhir saya memberi tahu kepada Setiausaha Politik MB, Wan Nik Wan Yusuf; selepas satu kuliyah Tokguru... satu Jumaat saya menarik tangannya untuk minum di gerai depan pejabat PAS di Jalan Dato' Pati dan memberi tahu agar kerajaan ikut sedar kewujudan golongan penulis ini dan mereka juga perlu diikhtiraf atau dihargai sama dengan golongan dan profesional lain.
Saya menjadi pemudah bicara kerana golongan ini bukan golongan yang peminta dan lebih kepada hidup menjadi lilin yang membakar diri untuk kecerahan dunia seluruhnya.

Terima kasih kerajaan Kelantan kerana ingat saya.
Mereka tidak ramai, dunia mereka tidak seglomur dunia bola sepak, tetapi kehadiran mereka penting kerana mereka adalah pencatat zaman dan penyelak sejarah. Bahkan sejarah dan perkembangan dunia bola sepak itu juga dicatat dan ditulis oleh mereka.

Kalau pemain bola sepak boleh dianugerahkan tanah, wang dan pelbagai sumbangsih lain kenapa tidak mereka - golongan karyawan ini? Golongan ini hidupnya bagaikan api dalam sekam, laksana ubi kayu dijerung pagar. Mereka boleh membakar dan mereka juga boleh membela.

Tidak mengapalah, saya tidak mahu mengheret permasalah ini panjang-pajang. Yang pentingnya kerajaan Kelantan pimpinan Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencintai buku dan ilmu telah 'berkorban' mengadakan satu majlis khas dinamakan Malam Penghargaan Karyawan Kelantan 2013 untuk merai para karyawan asal Kelantan. Allahmdulilah. Karyawan dikategorikan ialah penulis kreatif, pelukis, kartonis dan penulis buku politik serta persuratan.

Majlis itu berlangsung malam Jumaat lalu 15 Mac 2013 di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu Kelantan. Majlis itu berkembar dengan pementasan teater berjudul "Pengistyharan Abdul 'Asy" karya dan arahan Dinsman yang terilham dari minda dan pembacaan Tokguru Nik Aziz. MB Nik Aziz sendiri datang untuk menyampaikan sijil penghargaan dan menonton pementasan teater berkenaan.

Menatap kepada nama dipilih menerima penghargaan malam itu ia agak mengejutkan sedikit kerana angkanya sampai 28 orang. Saya kurang mengerti dengan jumlah itu, apakah kerana ingin meng'qada'kan di atas kealpaan dan ketidakpedulian sebelum ini atau pun kerana ada motif pilihan raya? Kalau tidak masakan ia begitu ramai? (Ramai pun marah sikit pun tak kena?).

Mungkin? Kerajaan ingin meralatkan kealpaan dan ketidakpedulian selama ini? Kesenjangan untuk mempedulikan itu mungkin baru disedari. Begitu pun individu yang digolongkan sebagai karyawan yang menerima penghargaan itu (sedikit wang dan sijil penghargaan) berterima kasih banyak. Tiada seorang pun yang dipilih 'absen' atau pun memprotes pemilihan mereka, (kecuali catatan ini mungkin). Ini menunjukkan majlis itu dihormati dan diterima baik.

Sesungguhnya saya sebagai salah seorang dipilih dibawah kategori penulis politik, amat-amat berterima kasih atas ingatan dan penghargaan itu. Penghargaan itu adalah penghargaan yang bertaraf dari sebuah kerajaan bukan NGO atau persatuan. Seumur hidup saya yang telah menerjunkan diri dalam dunia penulisan, atas sifat anak Kelantan inilah penghargaan julung-julung kali saya terima dari negeri kelahiran.

Walaupun saya ada menerima penghargaan dari pihak lain, namun nilai dan sentimental valuenya  tidaklah sama apa yang saya terima dari tangan orang senegeri dengan saya. Penghargaan itu memberi erti dan nilai tersendiri buat saya. Saya percaya bukan saja saya, tetapi rakan karyawan lain juga mengalami rasa itu. Kekawan yang berjabat salam dan bertemu malam itu semuanya ceria dan bahagia.

Antara nama-nama karyawan yang menerima penghargaan malam itu ialah Norhisam Mustafa (Persuratan), Lotfi Ismail (Penulis Politik), dan lain-lain dalam kategori sajak, Abdul Hadi Muhammad, Wadi Lata SA, Rosli K Matahri dan lain-lain. Manakala dalam bidang cerpen Wan Aisyah Wan Nawang, Hashim Latif dan lain-lain. Ketogeri karton Rossem.

Malam itu bagi saya sungguh nostalgik. Tanpa saya sedari mata saya membekak dengan air dan sesampai dibilik hotel apabila saya menatap sijil penghargaan itu air mata yang berladum terus menitis. Saya melihat dan mengamati sedalam-dalam setiap ayat-ayat yang tertera di atas sijil yang sudah diframe itu. Dan sesampai di ruang tandatangan, saya kucup tandatangan Tokguru Nik Aziz beberapa kali demi menyatakan terima kasih dan syukur.

Bagi saya tanda tangan itu indah sekali, seindah tanda tangan Mahathir kepada orang Umno yang dapat projek berbillion ringgit. Bentuknya semacam pedang laksana memberi semangat dan mencabar saya untuk terus menulis dan menulis memperkatakan kebenaran dan membongkar kemungkaran. Tidak terkecuali menegur beliau sama. Walaupun sebelum ini saya sering mendapat suntikan dan galakan dari beliau, namun sijil berkenaan sangat bererti dan memberi signifiken buat saya. Sijil itu bukan saja dilihat oleh saya, isteri yang sudah lebih 30 tahun hidup bersama saya dan mengenali dunia kerjaya saya, tetapi dunia dan sejarah hidup saya juga turut menyaksinya.

Mungkin ia terlalu kecil untuk dibandingkan dengan apa pengiktirafan dan penobatan Baharuddin Zainal (Bahazain) sebagai Sasterawan Negara ke-12 beberapa hari lalu. Namun bagi saya nilai dan darjat penghargaan itu sama taranya.

Secara peribadi saya merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri khasnya Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat Sains dan Teknologi, Dr Mohd Fadzli Hassan dan karywannya atas majlis ini khasnya Urusteria Kerajaan Negeri Kelantan yang menjadi badan pengendali dan pengurusnya.

Bersama Norhisam Mustafa.
Bersama saya malam itu, seramai 28 orang yang turut dipilih. Keramaian ini mungkin seperti saya rasai ada yang mempersoalkan. Tetapi seperti saya andaikan mungkin kerana kerajaan Kelantan ingin mengqadakan atas 'kesenjangan' begitu lama dan kealpaan itu maka ia terjadi demikian, banyak penerimanya.

Pun begitu bak kata orang kalau penulis, tetap akan menulis walaupun di mana kandati atau pun diberi upah dan dilayan seistimewanya. Sebab penulis yang bertanggungjawab dan berkata benar tidak akan terpesona dengan umpan dan leka dengan pujian. Ada yang cacatnya pada pemilihan itu hendaklah dijadikan iktibar untuk menyempurnakannya pada majlis-majlis akan datang insya-Allah.

Dari 28 karyawan dipilih itu rasanya ada yang belum sampai waktunya untuk dikenang sebegitu memandangkan penglihatan dan komitmen mereka sangat muda. Mereka terlalu awal untuk disenaraikan. Agak teralat sedikit masih ada beberapa nama yang lebih tersohor tercicir dari senarai itu. Barang kali tidak perlu saya menyebut nama mereka satu persatu, sebab setengah nama-nama  sudah terhafal di kalangan rakyat Kelantan khasnya golongan karyawan.

Seperkara perlu diketahui majlis penghargaan itu walaupun kali pertama setelah 23 tahun, tetapi ia dibuat secara tergeda-gesa. Seakan ada motif politik juga. Lantaran itu kecacatan dan ketidaksempurnaan tidak dapat dielakkan. Sebaik selesai majlis saya mengajukan pertanyaan kepada Dr Mohd Fadzli mengenai kecacatan ketara itu. Beliau 'angkat tangan' dan membeitahu tidak terlibat dengan penyenaraian nama penerima. Sememangnya beliau serahkan seratus peratus kepada badan pengendali.

Di sini badan pengendali perlu bertanggungjawab. Mungkin sumber-sumber atau pihak yang dihubungi untuk mendapat kerjasama kurang mengarifi kaedah atau pun dunia karyawan. Boleh jadi dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan pihak pengajur tidak mendapat maklumat tepat kerana dikejar masa. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan. Anugerah peringkat negeri begitu ia bukan kecil, biar apa orang kata ia tetapi hakikatnya ia seuatu sejarah dibanggakan. Makanya ia perlu diwaspadai dan ditangani sebaik mungkin.

Maaflah atas kecacatan kecil itu. Kita perlu melihat sejarah di sebalik perwujudan majlis itu daripada melihat ketidaksempurnaannya. Pohon!

Penghargaan malam itu diberi kepada beberapa gerne (bidang); sajak, cerpen,  novel, pelukis, karton dan penulis politik. Sebenarnya masih ada beberapa gene atau jurusan yang tertinggal, misalmya drama, karyawan tradisional dan juga wartawan dan jurugambar. Mereka juga seharusnya digolongkan dalam karyawan. Alangkah baiknya jikalau nama yang tersenarai panjang dalam menerima penghargaan puisi itu diganti dengan karya dalam bidang-bidang ini. Apa lagi ada mereka tidak patut disenaraikan kerana 'keusiaan' penampilan mereka dalam gerne berkenaan terlalu dini.

Kecacatan kecil ini semoga ia tidak menjadi runggutan. Ucapan Dr Fadzli diawal majlis yang merendah diri dan apologetik dengan berkata penerima penghargaan malam ini hanya sebahagian saja, masih ada serangkai nama lain lagi yang kita akan raikan dalam majlis lain di masa akan datang. Penjelasan Fadzli itu menandakan majlis itu ikhlas dan ia bukan berMotif politik yang tegar.

Semoga majlis penghargaan kedua nanti, panitia pemilih tidak akan terlepas pandang kepada nama-nama yang berjasa dan banyak meyumbangkan karya untuk Kelantan bahkan lebih banyak dari penerima malam kelmarin itu. Atas sifat ianya pertamala kali dan belum ada pengalaman dan dalam suasana tergesa-gesa kita lupakan titik bangkit itu.

Dan saya timbulkan ini bukan untuk dipolemik tetapi untuk ingatan dan pesan buat semua kita. Sekali lagi atas peribadi saya, saya menjunjung kasih atas penghargaan itu.  [wm.kl.8:25 pm 17/034/13]

2 comments:

awang samiun said...

Tahniah Tn MSO dan yg lain. Teruskan menulis. Semoga diberkati Allah SWT. Amin.

XTN said...

tahniah utk tuan dan rakan2