Monday, March 4, 2013

PR Tawar Untuk Adakan Rundingan Meja Bulat Dengan Kerajaan

KENYATAAN                                                                                                                     

Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengulangi cadangan dikemukakan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub agar parlimen memanggil sidang untuk membincangkan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu Sabah.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini yang ditanda tangani oleh Anwar Ibrahim, Lik Kit Siang dan Abdul Hadi Awang, parlimen perlu dipanggil bersidang untuk mendapat gambaran jelas apa yang sedang berlaku di Sabah waktu ini.

Sehubungan itu juga Pakatan Rakyat menawarkan untuk mengadakan sidang meja bulat dengan pemimpn kerajaan bagi mencapai maufakat bersama dalam isu ini.

Perkembangan ini seharusnya disambut oleh pemimpin kerajaan UBN bagi mengendurkan ketegangan politik demi penyelesaian segera pencerobohan di Sabah itu.

Berikut adalah kenyataan penjuh yang die-mailkan kepada blog Merah Tinta.


KENYATAAN MEDIA
PIMPINAN PAKATAN RAKYAT

4 MAC 2013

DATO’ SERI NAJIB RAZAK SEWAJARNYA MENUMPUKAN USAHA MEMASTIKAN KEDAULATAN WILAYAH NEGARA, KESELAMATAN RAKYAT SABAH DAN ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN

Setiap pimpinan mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan anggota pasukan keselamatan.

Kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat merupakan satu pengkhianatan serta menodai amanah rakyat. Justeru Pakatan Rakyat berhasrat mengingatkan pimpinan negara agar tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah ekoran dari insiden pencerobohan sekumpulan bersenjata warga asing di sekitar Lahad Datu serta Semporna. Setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan.

Pencerobohan di Lahad Datu telah mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala insiden terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara. Kita merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat.

Pakatan Rakyat juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh.

Pakatan Rakyat sedar keadaan mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan kebimbangan, akan tetapi kita menyeru agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh menimbulkan keresahan. Pakatan Rakyat ingin menyatakan dengan jelas keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campurtangan politik.

Sehingga kini, kita merasa kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam menyelesaikan masalah ini. Pimpinan negara juga gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas.

Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka. Sewajarnya mereka menyedari, keutamaan adalah demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan perwira negara yang bertungkus lumus di perbatasan.

Pakatan Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini.


YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum KEADILAN

YB DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG
Setiausaha Agung PAS

YB LIM KIT SIANG
Penasihat DAP
 [wm.kl. 8:27 04/03/13]

4 comments:

Wan Fahmi said...

Salam Tuan,

Jawatan Tok Guru Haji Hadi adalah Presiden PAS dan bukan Setiausaha Agung PAS. Terima kasih

chingkoq ukiss said...

harap tuan semak jawatan TG Haji Hadi Awang..terima kasih

p/s: mohon maaf jika saya tersilap

sulaiman said...

harap semua pihak lupakan sengketa politik buat sementara. fikirkanlah keselamatan rakyat.BN janji nak jaga rakyat PR pun janji nak jaga rakyat.Jadi ambilah langkah yang bijak untuk kesejahteraan rakyat.
rakyat sekarang masih bingung dengan apa yang terjadi...

mso.im said...

Wan Fatimah dan Chingkoq saya tahu Abdul Hadi presiden, sy menyiarkan tels yang diemailkan kepada saya. Terima kasih.