Sebelum saya mengambil 'cuti sakit' tiga hari dan berihat di Tapak Tuan Aceh Selatan saya telah pun menulis mengulas mengenai temubual Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed dengan 'talibising' (tv3) menerusi satu rancangan dinamakan temubual. Temubual itu dirakam terlebih dahulu bukan live.
Mustafa: Suasana di Kelantan kini berpihak kepada UBN. |
Ia mungkin boleh mempengaruhi pemikiran orang tua saja, tetapi kerana lewat malam ia tidak mencapai sasarannya. Orang muda pula lebih leka melayan internet, fb dan blog. Kalau segelintir yang mendengarnya dapat menjawab dan membuat kesimpulan sendiri terhadap tujuan dan matlamat rancangan seumpama itu diadakan.
Terutamanya soalan-soalann pancingan bodoh yang dikemukakan jurutanya, Ahmad A Taib dengan mudah dapat ditangkap ia salah satu pancingan yang membolehkan Mustapa berkempen atau memberi hujah-hujah untuk melebatkan kehebatan Umno Kelantan dewasa ini.
Rancangan itu memakan masa satu jam. Kalau 'talibising' itu turut memberi ruang sama kepada pemimpin PAS Kelantan, khasnya Husam Musa dengan mudah saja apa dibangkitkan dan diceritakan Mustapa itu dijawab. Sesetengah jawaban Mustapa terjerat balik kepadanya. Tetapi kerana tidak ada lawan raliklah Mustapa bersilap di atas badang dalam rumahnya sendiri.
Bagi saya satu perkara sahaja yang agak bernas dan perlu diberikan perhatian oleh PAS terhadap apa yang Mustapa dakwa atau pun psywar pada malam itu. Iaini dakwaan Mustapa yang mengatakan senario semasa di Kelantan kini agak berpihak kepada Umno. Umno berada dalam keadaan sedikit selesa dan menyakinkan.
Menurutnya ada beberapa indikator menunjukkan Umno kini menjadi pilihan atau rakyat kembali kepada Umno dan mahu menukarkan kerajaan Kelantan dari PAS kepada Umno.
Tiga indikator yang beliau sebutkan ialah, bilangan orang ramai yang hadir ke majlis atau program anjuran Umno ke belakangan ini ramai. Beliau menyebut contoh yang hadir semasa perdana menteri Najib Razak berkunjung Kelantan Jumaat lalu di empat lokasi kalau dicampur semua mencecah 100 ribu orang.
Kedua, semangant yang ditunjukkan oleh para hadirinnya begitu terserlah sekali. Ketiga, penglibatan anak-anak muda atau orang muda dengan Umno. Acara larian motosikal dengan memakai baju merah begitu menggalakkan sekali. Menurut Mustapa gelombang merah dibangkitkan benar-benar mengayapkan PAS Kelantan.
Perkembangan atau senario ini menurutnya sebelum ini tidak berlaku tetapi akhir-akhir ini berubah. Inilah satu lonjakan baru buat Umno. Antara faktor selain daripada rakyat Kelantan ingin menukar kerajaan kerana didakwa kerajaan kini gagal, ialah mereka teruja dengan isu-isu yang dibawa oleh Umno misalnya tanah, air bersih dan juga isu kalimah Allah.
Sebenarnya dakwaan ramai yang hadir majlis Umno itu boleh dipertikaikan dan PAS Kelantan tidak perlu merasa gerun. Jumlah itu tidak mengejutkan kerana mereka diupah dan dikerah. Pegawai-pegawai kerajaan pula dipaksa dan kedatangannya wajib. Kalau Mustapa mengambil petanda ini sebagai mutlak ianya akan mengecewakan Mustapa sendiri. Mustapa akan tertipu dengan bayangan yang dia lihat itu.
Berbeza dengan kehadiran di majlis anjuran PAS. Jumlah kehadiran diprogram besar antara 10 ribu hingga 30 ribu adalah kehadiran yang tulen. Mereka hadir sendiri tanpa diupah atau pun dikerah. Sudah pasti mereka hadir bukan atas dasar wang dan benda itu akan mengundi Pakatan Rakyat. Sekurang-kurang 70% yang hadir akan mengundi Pakatan Rakyat berbanding dengan kehadiran di program Umno hanya 40% atau 55% sahaja yang akan mengundi Umno.
Ertinya mengenai angka dan bilangan PAS tidak perlu bimbang dan Umno tidak boleh mengharap kepadanya. Kalau Mustapa mengambil kira itu sebagai indikator konkrit beliau akan kecewa dan sekali lagi akan menangis tidak berlagu. Kehadiran di tempat program Umno ini bukan saja kali ini tetapi pada pilihan raya--pilihan raya sebelum ini juga menunjukkan ramai. Tetapi bila sampai saat pengundian jumlah itu tidak memberi kesan sepatutnya.
Misalnya himpunan di Pasir Mas yang mengundang Mahathir Mohamad baru-baru ini, katanya 85 buah bas disediakan. Yang hadir bukan sebilangan besar pengundi Pasir Mas, tetapi pengundi di luar Pasir Mas. Jumlah yang ramai itu hanya dijadikan modal oleh orang tertentu untuk menunjukkan dia mendapat sokongan. Kalaulah situasi itu dijadikan indikator Umno akan kecewa dan bak kata orang hanya seronok sendiri saja.
Daripada beberapa perkara disebut Mustapa dalam acara malam itu, apa yang perlu PAS Kelantan risaukan dan perlu bertindak segera ialah isu tanah. Umno telah menggerakkan NGO khas bernama "T" singkatan dari tanah untuk memainkan isu ini. NGO inilah menjadi tukang menguar-uarkan bahawa kerajaan Kelantan makan tanah. Menyebarkan kerajaan Kelantan PAS sebagai Jin Tanah. Telah merampas tanah rakyat yang telah mengusahakan berpuluh-puluh tahun.
Kes-kes seperti itu tidak dinafikan. Ia berlaku dan merupakan kes terpencil terutamanya di Gua Musang dan Jeli. Tetapi ia telah dieksploitkan oleh Umno bagi menunjukkan kebuasan dan kerakusan kerajaan Kelantan mengambil hak rakyat. Walaupun kes-kes ini merupakan kes terpencil tetapi ia berjaya di capture oleh Umno dengan baik oleh NGO "T" itu.
PAS nampak sedikit lemah dan kurang bersistemetik didalam menjawab isu ini. Jawaban dan penjelasan berterusan perlu dibuat sebagai melawan dakyah Umno itu. Kerajaan harus mengeluarkan butiran penuh mana-mana tanah atau kawasan yang terlibat dengan pengambilan untuk tujuan mewujudkan Ladang Rakyat untuk kesenangan dan merubah sosio ekonomi rakyat seperti mana dituduh Umno itu. Mustapa mengatakan projek itu tidak ada objektif, maka PAS kena mengemukakan objektif berkenaan dan pencapaiannya sejak ia diwujudkan.
Dunia sekarang dunia realiti dan ilmiah. Orang tidak mahu mendengar hanya cakap tetapi mahu melihat angka dan fakta. Pihak PAS Kelantan perlu perbanyakkan angka-angka dan fakta ini. Bina billboard besar-besar dan letakkan di seluruh penjuru negeri Kelantan. Buanglah billboard untuk menayang bodi bersama tok guru ganti dengan billboard untuk memperjelaskan sesuatu yang penting kepada rakyat. Saya tengok billboard hendak jual bodi lebih banyak dari billboard atau papan tanda nak perjelaskan isu kepada rakyat.
Satu senaraikan khas mengenai butiran itu perlulah dibuat biar rakyat mengetahui secara telus. Perkara mengenai pengambilan tanah atau pun pemberian tanah kepada mana-mana pihak baik menerusi apa cara sekalipun perlulah didedahkan agar rakyat mengetahui dengan jelas dan mendalam. Contohnya berhubung tuduhan kata kerajaan PAS memberi tanah kepada pemimpin DAP, hendaklah diratibkan penjelaskan perkara itu kepada rakyat.
Semua pemimpin PAS harus memahami isu tanah ini agar ianya mudah dijelaskan kepada rakyat. Dalam masa sama juga PAS Kelantan harus membongkar semula kerakusan kerajaan BN di zaman Mohamad Yaacob (Allahyarham) lalu yang telah menukar status tanah di sekitar Kota Bharu dari tanah rezeb Melayu kepada pegangan bebas (free hold) untuk pembangunan. Perkara ini banyak orang tidak tahu bahawa apa dilakukan oleh kerajaan BN dulu jauh lebih kejam dan jahat daripada apa dikatakan dilakukan kerajaan PAS kini. Pemberian atau penjual tanah untuk pembangunan dan sumber kewangan negeri kini ada had masanya, manakala penjualan tanah oleh kerajaan BN - Umno adalah selama-lamanya (kekal abadi).
Mengenai minat anak-anak muda cenderong menyokong Umno ia bukan menjadi masalah besar kepada PAS. Golongan ini tidak begitu tebal dengan semangat perjuangan dan idealisme. Mereka akan menghurung di mana sahaja busut yang dapat memberikan mereka wang. Mereka tidak ada political will. Mereka bergerak mengikut trend. Dunia anak muda dunia penuh dengan kerencaman. Mana-mana pihak boleh memberikan mereka keuntungan sekejap untuk keseronokan mereka akan ikut. Ikut bukan semestinya patuh dan mengikut kehendak orang yang memberikan mereka sesuatu.
Hampir semua program anak-anak muda yang dianjurkan Umno melibatkan kewangan. Segala kemudahan termasuk wang ringgit diberikan. Minyak motor, baju T, rokok semuanya dibekalkan. Bagi anak-anak muda khasnya yang terlondeh alam persekolahan, akan merasa seronok kalau mereka diberikan seringgit dan sehelai baju T. Tahap pendidikan mereka tidak dapat untuk memintas tipu helah dan perangkap sang politikus.
Boleh jadi juga separuh daripada menghadiri program itu mereka yang tidak boleh mengundi atau nama mereka tiada dalam buku pendaftaran mengundi. Apa yang berlaku setakat menunjukkan program itu digelewati ramai orang sahaja bagi membuktikan parti itu konon mendapat sambutan.
Mengenai anak muda, himpunan dibuat PAS lebih berjaya dan menyakinkan. Bentuk acara atau majlis disediakan majlis berunsur ilmu dan pendidikan. Di mana mereka yang hadir sekurang-kurang sudah ada kesedaran mengenai tanggungjawab diri dan sosial mereka. Kalau hendak dikira dari segi kualiti program anak-anak muda dianjurkan PAS lebih berkualiti berbanding dengan program berarak motorsikal sambil mengenakan baju T merah oleh Umno.
Hanya program anjuran NGO "R" yang menuntut royalti petroleum saja yang kelihatan sedikit janggal dan agak brutal di mana ia tidak sesuai untuk diadaptasikan dengan perjuangan PAS dari segi pendekatannnya kerana ia agak agresif. Perjuangan PAS lebih kepada pengutamaan kepada akhlak dalam kempen-kempen dan psywarnya.
Kalau pun sedikit membimbangkan terhadap apa yang dijual Mustapa malam itu ialah mengenai kalimah Allah. Menurut Mustapa banyak golongan tua atas pagar yang dulu merupakan penyokong PAS kini telah bertukar arah, bermufarakah dari PAS, apabila timbul isu kalimah Allah ini. Ini boleh diakui ia mengoyahkan PAS. Umno benar-benar mengambil kesempatan 'merasuk dan merocah' pemikiran orang kampung agar makan dengan isu kalimah Allah.
Umno menggunakan beberapa orang yang mengakui dirinya anak pondok untuk melaksanakan tugasan ini. Diambilnya beberapa orang yang pandai simpul serban, berjanggut dan reti slang arab sepatah dua buat sebuah NGO masuk kampung mendekati orang-orang tua. Hasut orang tua dan bercerita kononnya perjuangan PAS sudah lari sampai membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang kafir. Mereka memesongkan pemikiran orang kampung dengan memberi gambaran kalimah Allah itu adalah intipati agama (Islam) seluruhnya.
Lebih dahsyat dari itu mereka ini juga membuat fitnah dan spekulasi politik kononnya kalau PAS menang negara ini akan terjual kepada kafir. Tindakan mereka paling busuk ialah mengeluarkan fatwa haram kalau mengundi PAS. Tindakan mengeluarkan fatwa ini satu tindakan politik kembali ke zaman batu yang nampaknya diizinkan oleh pemimpin Umno Kelantan.
Golongan cerdik pandai atau orang muda tidak termakan dengan isu-isu yang dijual oleh ulama' atau anak pondok 'tempayan pinang jeruk' ini. Bagi orang yang tahu perlembagaan negara dan juga senario politik dan demokrasi dengan mudah menolaknya. Tetapi bagi yang tua, yang jauh dari maklumat atau 'gagap internet' akan menelannya bulat-bulat.
Selamanya kalau yang bercakap itu pakai serban dan kopiah dan ada janggut sejemput mudah dipercayai. Sebab sesiapa saja bila bercakap berlandaskan Quran dan Hadith cakap mereka akan dimakan. Untuk isu ini PAS nampaknya mengabaikan sedikit. PAS tidak cuba menjejak para anak-anak pondok tempayan pinang ini yang masuk kampung keluar kampung menjaja fitnah. Anak-anak muda PAS berwajah ustaz lebih kepada program-program bersifat realiti seperti wacana dan hiburan yang lebih obses kepada menarik anak-anak muda.
Perlu dibimbangi kerana terlalu memfokus kepada pengundi muda jangan pula pengundi di saluran 1 dan 2 terlepas kepada pihak lain. Seelokknya PAS menggunakan ulama'-ulama' muda mereka untuk ikut sama masuk kampung membasuh semua fitnah dan dakwah yang dijiruskan oleh ulama' atau ustaz tempayan pinang jeruk ini bukan saja demi kemenangan tetapi bagi menyelamatkan orang-orang tua tidak berdosa bau busuk dan masam dengan jeruk pinang.
Kesimpulannya apa disebut Mustapa dalam rancangan temubual itu ada benar dan ada juga omong kosong. Pendeknya PAS jangan mengambil mudah untuk menang besar di Kelantan. Ada kemungkinan kalau beberapa masalah terutamanya berhubung soal teknikal dalam jentera pilihan raya tidak diperkemaskan, sebahagian besar calon tidak ditukar tidaklah pula mustahil kalau Mustapa mencatat rekod peribadi kedua di Kelantan dalam pilihanraya umum nanti. [wm.kl.10:16 am 25/03/13]
No comments:
Post a Comment