Friday, March 1, 2013

Aku dan Tokguru: Pertemuan 24 Februari

Catatan Bertemu Tokguruku (1)                                                                      

Bagi saya berjumpa dan berbicara dengan Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan satu tuah dan peluang keemasan.  Walaupun sudah acap kali saya dapat bersamanya dalam keadaan eksekusif – ada kalanya dari satu waktu solat membawa ke solat lain, tetapi bukan bermakna saya sudah puas. Jauh sekali terasa istimewa malahan terasa makin sayup pula dengannya selepas sesuatu pertemuan itu.

Agak lama tidak berfoto seperti ini dengan Tokguru.
Setiap kali bertemu dengannya kepuasan tidak akan berlalu malahan ia menjadikan diri saya terus haus dan ternanti-nati peluang sebegitu. Bilakah lagi dan bilakah lagi... hati pula diladumi kekangen yang tidak pernah ada perhentiannya.

Sebab itu tatkala saya diberikan ruang, saya guna sepenuhnya. Saya manfaatkan sebaik mungkin agar masa itu tidak akan sia-sia dan terbiar begitu saja. Hatta hidangan yang disajikan saya enggan menjamahnya kerana tidak mahu membazirkan masa.

“Eh enta tak berahi (gemarkan) kueh ni?” begitulah kata Tokguru pada satu pertemuan bila beliau menyedari saya tidak makan dan menyentuh hidangan. Di hadapan kami tersedia berbagai kueh mueh yang dikirim oleh seseorang. 

“Takkk... suka togkuru, makan lah dulu,” balas saya sambil memerhati beliau makan. Bagi saya yang memuliakannya melihat dalam apa jua bentuk gerak-gerinya, senyum dan tawa kecilnya semuanya indah dan cintik.

Kepada saya untuk bersamanya bukan perkara senang walaupun ia bukan sesulit untuk berjumpa perdana menteri. Pergi atau tunggu saja masa waktu solat di masjid di Pulau Melaka, pasti akan dapat bersua dengannya. Tokguru tidak akan pernah mengecewa dan menghampakan harapan sesiapa untuk bertemu dan memohon bantuan darinya. 

Sifat dan keperibadian inilah menjadikan dia dihormati dan dikasihi oleh semua orang, baik ahli parti, maupun musuh partinya. Bukan saja orang Melayu tetapi semua bangsa, India, Cina, Siam, Orang Asli dan lain-lain. Di sinilah kehebatan beliau mampu menundukkan orang, menjadikan kasih dan bersimpati kepadanya dengan ketinggi akhlak dan pekertinya.

Kalau kebetulan beliau tiada urusan lain, sebaik bersalam selepas solat,  dia akan pelawa naik ke rumahnya yang terletak di serambi masjid, dihidangkan air dan kueh mueh sekadar apa-apa yang ada. 

Merujakan dia akan mengangkat sendiri makanan atau minuman dan melayani tetamu tanpa dikelaskan darjat atau pangkat. Sebenarnya sifat ini adalah warisan para guru-guru atau alim ulamak yang tawaduk dan penuh dengan sifat qa'naah. Ruang tamu dan empat atau lima kerusi sedarha itulah tempat duduk dan bersimpuh tetamu, hatta kalau al Sutan mengunjunginya di ruang itulah juga tempat bagida beradu dan berbicara dengan beliau.

Di kala ini darjatnya sebagai MB atau pemimpin tertinggi PAS tidak dipakai langsung, ditanggal dan dia jadilah seperti kawan atau sahabat kita tanpa terasa dipisahkan oleh darjat. Demikian humblenya beliau. Orang yang tidak mengenali beliau tidak sangka dia adalah MB dan mungkin disangkakan sebagai pelayan di dalam rumah saja.

Justeru, pertemuan semalam (24 Februari 2013), di hotel penginapannya di Kuala Lumpur saya guna dan mengambil manfaat sepenuhnya. Saya tidak membazirkan kerana dialah mutiara saya dan pendeta saya, yang amat mahal harganya. Dalam situasi hari ini kesihatannya mulai terganggu tidak kerap dia boleh meluangkan masa banyak untuk berbicara. Tidak terlampau kalau dikatakan, hanya dia sahaja guru ataupun wali yang menzahirkan bebayangan perteduhan kepada saya. Tiada guru atau tok guru lain yang saya kunjungan untuk memecahkan apa-apa ilmu atau pun ilham dan waridat  tentang sesuatu kecuali beliau.

Satu masa dulu semasa hayat Ashaari Muhammad, (Almaruhum) (pemimpin jemaah Arqam) masih ada, dialah salah seorang lagi tempat saya bernaungan dan berbicara mengenai ilmu dan juga sejarah tamadun Islam. Kandati saya bukan ahli jemaah al Arqam tetapi saya merapatkan dirinya kerana terpesona dengan gaya hidup dan keluasan sempadan perjuangannya. Bagi saya Ashaari berjiwa seorang penakluk, ini menyebabkan saya tertarik kepadanya.

Kepada saya orang-orang agamawan, berpendidikan seperti mereka adalah ‘muktabah’ ilmu terbaik buat saya untuk menyelongkarkan segaka macam disiplin ilmu agama, menerima pandangan dan pengislahan dari segi teori dan praktikal agama.

Sore itu Tok guru memberi ruang sebaiknya untuk saya. Dia mungkin sudah dapat meneka apakah isi kandungan atau butir bicara yang hendak dibincangkan kepadanya. Seorang kahsyaf sepertinya mengetahui apa yang terkandung dalam sanubari. Dia sudah arif saya tidak akan saja-saja untuk menemui dengan membuat temujanji terbih dahulu kalau tidak ada hak-hal mustahak. Dia sudah dapat menyangka apakah kepentingan dan kemustahakan itu. 

Jadi kehadiran saya ditunggu dan pegawai-pegawainya, memberi kesempatan yang seluas kepada saya untuk berintraksi dengan tok guru.

“Abang Ti... sulit ke dengan tok guru ni,” tanya Wan Zulefli pembantu atau asoib peribadinya untuk mengetahui natijah dan tujuan pertemuan.

“Tidak, sikit sulit.. sikit terbuka, terbuka!,” jelas saya untuk tidak meletakkan pertemuan dengan tokguru begitu eksklusif pada sore itu.

Penjelasan itu menyenangkan Wan Zul untuk menguruskan perbualan saya dengan tokguru semahunya dan sesempurnanya. Juga untuk mensesuaikan dirinya di mana dia harus berada nanti. Seorang pembantu lain menyiapkkan seteko tea "O" dengan sedikit kueh, martabat, buah-buahan sebagai pengiring pertemuan.

Ketika saya sampai Tokguru masih di dalam biliknya, beradu. Saya cukup mengerti fiil orang alim dan ulamak mereka akan tidur selepas Zohor sebagai sunnah.

Pertemuan sepautnya selepas Zohor tetapi kerana lambat menerima maklumat, saya kendurkan selepas Asar. “Elok selepas Asar Zul, waktu Zohor dah panjang, mungkin tok guru hendak berihat,” balas saya kepada Zul.

“Tak apa abang Ti, ni tok guru dah menunggu sedang baca surat khabar,” bagi tahu Zul lagi. Saya sedikit serba salah ketika itu, Namun kerana untuk memberi kerihatan kepada tok guru saya menemuinya selepas Asar. Alhamdulilah pertemuan itu berlangsung hampir mencecah Isyak.

Saya faham tok guru perlukan masa rihat yang banyak sebab itu dia tidak berada di rumah Kelantan, tetapi memilih hotel untuk berihat. Kalau dia berada di rumah Kelantan tetamu akan datang tidak putus-putus, dan tokguru pula seorang yang tidak tahu dan tergamak menghampakan tetamunya. Lagipun di sebelah pagi beliau menghadiri majlis akad nikah cucundanya di Shah Alam. 

Lebih kurang 10 minit saya berada di ruang tamu menanti tokguru bangkit. Zul serba salah dan cuba hendak mengejut tok guru tetapi saya mencegahnya. “Tak pa Zul... ana bukan pun apa, saja saja nak berjumpa dengan tok guru, tak puas petang semalam,” jelas saya.

Petang semalam semasa majlis Himpunan Muslimat di Perantau di Taman Melawati saya sudah bersama tokguru, berada dalam hidangan sama. Di situ saya sudah asyik memerhati tok guru makan dan merakam gambarnya. Saya suka melihat tok guru mencubit lauk, mengaul nasi kemudian disuapnya. Cara dia mengunyah nasi seakan ada irama dan gendang mengangungkan Allah s.w.t. dan Nabi s.a.w. Irama dan gendang itulah yang ingin saya ketahui makrifatnya. 

Hajat besar dalam pertemuan ini mengenai sesuatu yang dapat dikesan apa yang diperolehinya di Makkah. Saya ingin tahu dan penjelasan lanjut mengenai perkara itu. Dan selebihnya tentulah perihal ehwal politik dan calon pilihan raya. [wm.kl.12:26 pm 01/03/13]

Bersambung dengan catatan topik-topik perbualan dengan Tokguru.
Post a Comment