Tuesday, March 26, 2013

Aceh Selatan Yang Kaya Dengan Masjid

CATATAN PERJALANAN                                                                                                  

Perjalanan sejauh kira-kira 750 km dari Banda Aceh ke daerah Tapak Tuan di Aceh Selatan akan menempun lembah, bukit dan pergunungan. Jika hendak dikira perjalanan sejauh itu, melalui jalan berliku-liku turun lembah naik bukit panjat gunung meletihkan. Apa lagi si musafir dalam usia lebih separuh abad seperti saya tambah memenatkan.

Satu laggon yang terdapat di Tapak Tuan.
Namun Allah itu maha kaya dan menyediakan segala penawar dan bantuan untuk hamba-Nya di mana saja dan sepanjang masa asalkan kita tahu merautnya. Pemandangan di kiri kanan jalan menjadikan jarak dilalui itu tidak terasa.

Di lembah di sebelah kiri perjalanan terbentang sawah padi yang hijau bak permaidani dan sebahagian yang sudah masak menguning dan sebahagian lain sudah lunyai ditunai memberi panoroma yang mengembalikan nostalgia buat saya. Anak-anak pesawah akan terbangkit kerinduan silam jikalau melihat panorama itu.

Pemandangan seperti itu sudah tidak wujud lagi di kampung halaman saya. Semuanya hilang lenyap ditelan zaman dan pijak jejak-jejak kehidupan umat. Pertanian ala tradisi atau tepatnya pemandangan seperti di dalam lukisan klasik masih kedapatan di Aceh. Pencinta alam akan menemui kasihnya di sana.

Sawah menguning di sebelah kiri perjalanan ke Tapak Tuan.
Itu pemandangan di sebelah kiri, lain pula panorama tersaji di sebelah kanan. Perjalanan di sebelah kanan pula dihidang dengan hampran laut biru yang meranumkan rindu. Telok dan tanjung berjuntaian membentuk keindahan malam semula jadi yang sekaligus memberi gambaran akan kejamilan Allah, kebesaran sifat Rahman dan Rahimnya. Letih memerhati sawah padi atau gunung ganang, berpaling melepaskan mata ke tengah laut kemudian mengheret ke tepian pantai.

Itulah gambaran perjalanan dari sore hingga memakan ke dini Subuh, satu pengalaman baru. Paling mengayapkan tatkala menaiki ke gunung Setil (mungkin namanya silap) melalui jalan berliku yang sempit. Di bawah menanti curam dan gaung bagaikan mulut harimau bakal menelan sesiapa yang 'lola' atau pun kurang waspada.

Jalan berliku di gunung Cetil.
Melewati jalan itu memerlukan seorang supir yang cekap dan pantas mengelak kenderaan tatkala tertembung di liku tajam. Sepanjang di jalan itu berlaku juga sedikit insiden...

"MasyaAllah.....!" begitulah jeritan yang keluar dari mulut sdr Rushdan Mustapa apabila kenderaan pancu 4 roda yang membawa kami tiba-tiba hampir bertembung dengan kenderaan lain, sebuah lori kargo di satu selekuh tajam dan sempit di puncak gunung. Berderap juga darah sampai ke atas tengkuk.

Kesayupan curam tidak nampak kerana diselindungi gelap malam. Kecekapan pemandu Rijal berbangsa Aceh telah menyelamatkan perjalanan harmonis kami yang sudah menjenguk malam. "Ngak apa-apa pak saya sudah biasa dengan jalan ini," kata si supir bertubuh kecil bongkok dan laksana kuat sex ini.

Masjid Besar Tapak Tuan, warnanya tersendiri.
Setelah lebih 45 minit berlegar di puncak gunung tersebut, kenderaan kami berpancuan pula di atas aspal. Jalan raya - Lebuhraya yang dibina oleh dibawah pengawasan PBB. Lebuh raya itu mulus dan cantik. Ia dibina sebagai mengganti jalan lama yang menghubungi Aceh dengan Melabouh dan daerah-daerah lain seperti Calang dan sebagainya. Salah satu faktor kenapa banyak rakyat terkorban semasa tsunami dulu di sini ialah kerana perhubungan dengan Banda Aceh putus terus. Kerana itu mangsa tsunami di sebelah sini tidak mendapat bantuan segera.

Lihat keunikan seni bina masjid ini.
Jalan yang mulus ini merupakan rezeki dan mercu tanda pembangunan untuk Aceh Selatan. Kerana malam tiada apa yang dapat dilihat di sini kecualilah sesekali desir laut yang menyinggahi ke jendela kereta. Sebaliknya di siang hari pemandangan di sepanjang jalan ini begitu indah dan mempesonakan sekali. Malang untuk kedua perjalanan pergi dan pulang, hanya sebagian sahaja pemandangan di lebuh raya ini sempat disaksikan kerana kami dihimpit malam.

Ini juga antara masjid tua di Aceh Selatan yang klasik.
Selain dapat menyaksikan kehijauan bukit bukau gunung ganang serta hamparan padi menguning dan lautan membiru, satu lagi panorama yang menceka hati di sepanjang perjalanan itu ialah kita diterjahi dengan ratusan buah masjid dan musolah (surau) yang didirikan di sepanjang jalan itu. Setiap setengah kilo meter kita akan menemjui masjid atau musolah. Ada kalanya ia bertentangan atau berhadapan di antara satu sama lain.

Masjid ini juga mempunyai warna tersendiri.
Sekali pandang keadaan itu semacam pertandingan membangun masjid dan musolah sedang diadakan di Aceh Selatan.

Masjid ini nampak sudah siap tetapi belum sempurna.
Belum pernah saya menyaksikan begitu banyak masjid yang dibina. Sebanyak-banyak masjid atau musolah di tanah Arab rasanya banyak lagi di Aceh. Tidak salah kalau disifatkan Aceh negeri yang kaya dengan masjid. Alhamdulilah. Tetapi anihnya kesemua masjid yang didirikan itu rata-rata masih belum siapa seluruhnya. Menurut Rijal, masjid-masjid yang banyak itu digelar masjid 70% kerana kadar siapnya setakat itu saja.

Keadaan masjid yang tidak sempurna itu seakan sengaja dibiarkan kerana untuk terus mengutip dana dari orang ramai. Ada juga panitia masjid melakukan punggutan dana dengan mengadakan sekatan jalan raya, mana-mana kereta yang berhenti akan dihulurkan raga atau plastik agar dimasukkan wang.

Bagaimana pula dengan jemaah? Inilah yang menyedihkan. Khabarnya jemaah yang datang ke masjid atau musolah amat kurang sekali. Sesetengah masjid hanya didatang dua orang jemaah saja dengan seorang imam dan bilal. Manakala ada juga yang langsung tidak dikunjungi dan masjid atau musolah dibiarkan menjadi tempat mainan kambing dan ayam itik. Mendengar maklumat ini menyedihkan dan ia tidak sepadan sama sekali dengan keindahan dan seni bina masjid yang tinggi, tetapi ianya miskin dengan pengumaraknya.

Warnanya mengancam, bentuknya unik tetapi jemaah kurang,
Sambil merakam beberapa buah masjid dari atas kereta saya berdoa agar keadaan itu akan berubah suatu hari nanti. Aceh yang dikenali dengan bumi pendakwah akan kembali menyinggahi semula ke zaman itu. Sheikh atau pun pendai' seperti Tuan Tapa yang menjadi wali di Tuan Tapak itu didoakan akan ada penggantinya.

Masjid dan musolah yang jumlahnya ratusan itu harus dihuni dan bukan saja dibina sebagai lambang atau simbol kekuatan Islam kerana hidup dengan mengagungkan lambang ia tidak membawa kita ke mana-mana. Hakikat juga yang perlu dituju. [wm.kl.8:53 pm 25/03/13]
Post a Comment