Wednesday, March 13, 2013

Siapa Yang Memperlekehkan Pasukan Keselamatan?

SAYUP MEMANDANG                                                                                                  

Di hari pertama lagi ketika Zahid Hamidi tampil bersama Hishamuddin Hussein memberi sidang akhbar melaporkan perkembangan tragedi pencerobohan di Lahad Datu saya memerhati kredibiliti dan relevansi beliau dalam sidang akhbar itu. Zahid khasnya cuba menampilkan dirinya sebagai seorang Menteri Pertahanan yang berwibawa dan digeruni serta prihatin. Setidak-tidaknya secanggih kapal salam Scorpene.

Cara dia bercakap dan mimik muka yang dipamerkan di skrin tv seakan dia serius, bukan main-main. Zahid menanggalkan iras yang muka selamba dan hemah. Sememangnya didalam situasi sebegitu seorang menteri pertahanan seperti dia harus serius dan mencermin semangat juang yang tinggi. Perang bukan boleh main-main. Perang bukan pemilihan jawatan dalam Umno.

Sidang sidang kemudian selepas itu saya terus memerhati aksi dan body language Zahid dan memerhati juga kepada mulut dan pipi Hishamuddin Hussein. Mereka saling bercakap dan bertukar microphone seperti 'tok jora' dikir barat dengan tukang karut pula lagaknya. Saya tidak pasti apakah berlaku keadaan demikian di dalam perang di negara-negara maju; sidang akhbar bersama menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan diadakan.

Zahid: Bermuka sedih durjana.
Selepas selesai menteri memberi laporan dengan mengutik political mileage daripadanya, sidang itu akan diteruskan pula oleh Ketua Polis Negara, Ismail Omar dan Ketua Turus Angkatan Tentera, Zulkefi Mohd Zain. Sama juga dengan dua menteri itu, penampilan kedua orang besar keselamatan ini tidak begitu licin dan tidak memberi jawaban yang tepat kepada pertanyaan wartawan. Tersekat-sekat macam bulldozer menaiki bukit.

Sidang akhbar itu disiarkan secara live oleh stesen tv, kononnya kerana ingin memberi maklumat terus dan segera kepada rakyat. Setiap tiga atau empat jam sekali, penonton tv berkenaan akan membawa mata orang ramai ke skrin tv mereka mengikut perkembangan di Sabah.

Sekali ingat, sidang media itu seperti siaran langsung (telecast) stesen tv pengampu yang menyiarkan lintas langsung semasa perhimpunan agung Umno. Selepas presiden menyampaikan ucapan dasar ia akan diulas oleh seorang pengulas politik dan disiarkan secara langsung. Menerusi ulasan pengulas bertaraf Prof yang memiliki sijil berjela-jela itu akan memuji ucapan presiden. Mengangkat presiden ke langit hijau. Seolah dari ayat pertama ucapan itu hingga ke ayat akhir, semuanya betul dan bernas. Pengulas dari golongan akademik ini melihat presiden Umnolah yang betul semuanya.

Timbul pertanyaan di minda saya perlukah pihak keselamatan mengadakan sidang media untuk memberi maklumat mengenai pencerobohan itu? Mungkin sidang media perlu, kerana media dan rakyat mahu maklumat yang sahih atau rasmi. Tetapi mengadakan lintas langsung mempamirkan bagaimana wartawan menyoal menteri dan pegawai tinggi keselamatan, sesuatu yang tidak wajar. Apa lagi ada menteri atau pegawai tinggi keselamatan tergaru-garu hidung dan perut kelihatan semput, turun naik macam ombak di Lautan Sulu untuk menjawab soalan wartawan.

Satu perkara yang jelas saya nampak mereka tidak biasa berdepan dengan wartawan yang jauh lebih advance segala maklumat berbanding dengan mereka. Wartawan yang dihantar ke Felda Sahabat itu khususnya dari media asing bukan calang-calang. Mereka bukan seperti wartawan Malaysia yang suka menerima sampul berduit atau seronok terlompat-lompat macam lotong bila ada menteri atau PM ajak makan malam.

Bahkan saya percaya wartawan yang berhimpun di Pusat Media Perang di Felda Sahabat 16 itu ada juga di kalangan tentera atau mereka yang pernah berkhidmat dengan tentera dan sekaligus menjadi intelligent.

Paling buruk ada pegawai tinggi polis meninggi suara apabila gagal atau tidak boleh menjawab soalan wartawan kononnya atas dalih keselamatan dan strategi. Tidakkah gambaran atau aksi itu menyebabkan penonton akan hilang rasa hormat kepada polis? Jadi eloklah kalau sidang media yang dibawa secara langsung itu tidak diadakan lagi.

Berbalik kepada tindakan Zahid yang menasihat dan memberi amaran agar jangan ada orang memperlekeh dan memperkecil-kecilkan pasukan keselamatan dan meminta rakyat bersatu padu berkali-kali itu ia menjadi tanda tanya. Siapakah yang memperkecil-kecil dan memperlekehkan tugas dan tanggungjawab pasukan keselamatan kita?

Zahid tidak patut mengulangi perkara yang boleh ditafsirkan sebagai negatif itu. Bila beliau memfokuskan kepada itu seolah-olah ada orang atau pihak yang memperkecilkan pasukan keselamatan. Beliau tidak memberi gambaran spesifik mengenai hal itu dan hanya secara umum. Rasanya semua orang bencikan kepada perang, pembunuhan dan juga pembohongan. Elok Zahid mendedahkan mereka yang memperkecil-kecilkan pasukan keselamatan itu. Kalau perlu tangkap dan dakwa mereka yang jelas tidak mempunyai tanggungjawab ke atas negara.

Dalam penilaian saya yang bukan anggota keselamatan ini, cara menangani dan melawan pencerobohan di Lahad Datu ada sedikit kelam kabut. Pasukan keselamatan seakan buntu untuk bertindak. Mulanya ia diserah kepada polis kemudian dipanggil askar, untuk bergabung atas nama Strategi Lautan Biru melawan penceroboh. Di sini jelas awal-awal lagi kelemahan pasukan keselamatan, risik tentera dan juga SB Polis kerana tidak dapat mengagak dan membaca kekuatan musuh.

Kelam kabut dikatakan kerana tragedi itu tidak dirisik secara terperinci. Sebagai risik mereka seharusnya mendapat maklumat terperinci sebelum bertindak memasuki kawasan musuh atau bersedia untuk menerima tentangan musuh. Laporan dari risikan kedua pasukan itu hendaklah dinilai dan dikaji sebaik mungkin. Tetapi kerana tanggungjawab ini diabaikan maka berlakulah apa yang sudah berlaku itu.

Barang kali benar kata bekas Jeneral (B) Abdul Ghafir Abdul Hamid kegagalan agensi perisikan negara mengesan pencerobohan itu menyebabkan berlaku banyak kehilangan nyawa. Katanya jika anggota perisikan menumpukan kepada usaha mengesan lebih awal akan kemasukan penceroboh dari negara luar, maka insiden di Lahad Datu dapat dielakkan.

Beliau juga menyebut perisikan tentera tidak berfungsi sehinggakan mereka yang masuk tidak diketahui. Ini semua katanya disebabkan unit risikan telah disalah gunakan, bukan untuk merisik untuk keselamatan negara tetapi digunakan untuk kepentingan orang-orang politik tertentu.

Bila menyebut perkara ini saya teringat kepada apa dimaklumkan kepada saya oleh seorang pegawai askar yang berkhidmat di Mindef, di mana seorang pegawai menghabiskan masanya sepanjang minggu bukan di Mindef tetapi di Bagan Dato'. Menghadiri majlis-majlis politik dianjurkan oleh Zahid.

Maklumat ini tidak boleh ditolak begitu saja dan dianggap fitnah. Kalau ketua mereka Zulkefli Zainal Zain boleh berada dalam 'khemah Umno', menghadiri program politik Najib di Kelantan, tentu mereka (pegawai Mindef) itu berfikir kenapa tidak dengan dia juga. Dia juga boleh hadir di Bagan Dato'?

Sebenarnya peranan perisikan atau dikenali dengan MIO ini sudah lama disalah gunakan. Ia bukan saja untuk memastikan orang politik menang tetapi MIO juga membuat risikan dan kerja untuk memenangkan mana-mana orang Umno dalam perhimpunan agung Umno. Keadaan inilah apa yang dimaksudkan Ghafir tadi bahawa perisikan askar telah tidak berfungsi sebagai betul.

Hal atau perkara ini sepatutnya ditegur dan dipantau oleh Zahid. Kalau dia boleh menegur pegawai tentera yang asyik dengan kayu golf, kenapa beliau tidak menegur pegawai-pegawai tertentu yang asyik keluar masuk pejabat orang politik? Boleh jadi juga tindakan beberapa orang pegawai tinggi tentera mengambil sikap terbuka menentang kerajaan dan menyokong Pakatan Rakyat kerana cuak dan tidak tahan dengan keadaan sebegini.

Dalam wawancara dengan televisyen seperti dilaporkan, Zahid menekan supaya rakyat tidak memperlekehkan pasukan keselamatan, khasnya ATM dan hendaklah bersatu memberi sokongan. Menyeru memang mudah, melaksanakan sangatlah payah. Saya mengira kata-kata itu hanya retorik saja bukan lahir dari dhamir yang ikhlas.

Kalau benar Zahid mahukan rakyat bersatu padu dan semua pihak terlibat memberi semangat dan sokongan, beliau harus membuka bilik gerakan perang di Lahad Datu untuk sama dikunjungi pemimpin pembangkang bagi mendapat taklimat. Untuk negara rasanya ia bukan dosa besar. Atau beliau atas sifatnya sebagai menteri pertahanan dan naib presiden Umno boleh mengadakan majlis khas untuk memberi taklimat kepada pimpinan pembangkang mengenai tragedi di Lahad Datu itu.

Kalau Najib takut untuk memanggil sidang khas parlimen, cara lain boleh dilakukan. Soalnya kini Zahid hanya tahu berkata-kata tetapi tidak tahu berbuat. Dia hanya pandai menanam tebu dibibir mulut saja untuk mempesonakan rakyat?

Tidak timbul rakyat tidak memberi sokongan. Apa yang perlu diperbetulkan persepsi orang ramai terhadap tragedi itu. Dengan tidak telusnya penjelasan berhubung kejadian itu serta ada unsur-unsur untuk melindungi fakta menyebabkan orang ramai kebingungan dan jadi keliru. Kekeliruan inilah mungkin ada yang berfikir siapakah yang benar dalam soal ini?

Saya yakin dan percaya kalau rakyat diberi tahu apa yang sebenar, dan dedahkan maklumat secara profesional, bukan saja rakyat akan bersatu memberi sokongan moral, tetapi kalau dikerah untuk menjadi pagar kepada pasukan keselamatan di Lahad Datu pun mereka bersedia. Sebab tanggungjawab menjaga tanah air adalah satu cabang penting bukti seseorang itu berimam. Mereka yang tidak beriman saja yang akan mengkhianati negara, bangsa dan menghina agamanya siang malam, malam siang.

Di sini saya nak cabar Mat, Mat mana lagi kalau bukan Mat Maslan, pergilah tidur di Felda Sahabat 16 atau 17 atau Sahabat 1 atau 2, hatta sekerat hari saja. Dulu katanya tidur di rumah peneroka sebagai satu kegiatannya. Nah teruskan tradisi anda. [wm.kl.2:43 pm 13/03/13]

3 comments:

Unknown said...

saya cuma tertarik dengan sidang media ketua polis dan panglima atm yang kelihatannya sama sekali macam gugup seperti yang saudara nyatakan tadi. Entahlah kenapa. Nampak sangat gugup. tak tahu kenapa lah.

Unknown said...

Sian kat ambo, TV tak dok, ore susoh,
kalu ado TV boleh gak bleh tengok puak2 Umno dok putar belit. nok tegok isu sabah dari kacamata puak2 nih.





shirzad lifeboat said...

Salam, sahabat. Saya baru habis membaca tulisan saudara di portal Malaysian Insider. Walaupun sindiran dan pengibaratan saudara terhadap Zahid, Hishamuddin dan lain-lain membuat saya tergelak besar namun memang tepatlah apa yang saudara katakan itu. Saya rasa tulisan ini adalah antara tulisan saudara terbaik yang pernah saya baca. Syabas. Kini, lebih ramai yang tahu bagaimanakah MIO diperkudakan oleh pemimpin UBN.