Terdengar khabar nama Timbalan Naib Censelor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Junaidi Abu Bakar disebut-sebut sebagai calon parlimen kerusi Kuala Krai. Benarkah ataupun ia satu propaganda semata-mata? Khabarnya nama Junaidi sudah direstui oleh Najib Razak?
Junaidi Abu Bakar |
Apakah Umno khasnya Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang merekmenkan nama Junaidi itu atau ianya pandai-pandai orang Kuala Lumpur saja? Logiknya tentu nama Junaidi itu disebut dari Kelantan dulu bukan Kuala Lumpur.
Umum tahu sebelum ini Junaidi dibawa turun ke Kuala Krai adalah untuk menguji sejauh mana kekuatan dan penerimaan orang Umno Kuala Krai kepadanya. Memang ada maksud Mustapa Mohamed atau mungkin atas arahan orang Kuala Lumpur untuk melakukan testimoni ke atas Junaidi. Testimoni bukan bererti sudah terjamin akan menjadi calon.
Seperti plan ini dibuat begitu rapi sekali. Junaidi yang sedang berkhidmat di Indoneisa sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Malaysia (JPMI) dibawa balik. Beliau dikurentinkan sementara di UPSI sebagai Timbalan Naib Cencelor Hal Ehawal Pelajar di UPSI. Tujuan kenapa dia diletakkan di UPSI, bagi membolehkan dia bergerak menerusi aktiviti pendidikan.
Junaidi yang mungkin sudah termakan dengan bayangan-bayangan indah sebagai wakil rakyat dan benefit yang bakal diperolehinya terus melaksanakan tugasannya. Malang sedikit beliau turun ke Kuala Krai bukan menerusi pintu depan tetapi menerusi pintu belakang. Beliau tidak bergabung diri dengan Umno bahagian tetapi bergerak secara solo dengan peruntukan disediakan yang dibantu beberapa individu termasuk seorang kuat PAS Kuala Krai yang juga warisnya.
Cara ini menimbulkan masalah dan dipertikaikan. Orang-orang didalam Umno bahagian mulai kurang senang dan merasakan mereka dibelakangkan. Mungkin pempinan Umno bahagian boleh terima apa saja plan untuk kebaikan Umno tetapi cara Junaidi melaksanakan plan itu agak songsang dan menimbulkan kecurigaan. Gara-gara itu program yang beliau jalankan walaupun berjaya tetapi ia tidak menyentuh ke jantung hati Umno. Umno tidak 'membapatiskan' segala programnya.
Mungkin Mustapa atau orang Kuala Lumpur tidak begitu tahu mengenai apa yang bergolak di Kuala Krai hari ini? Mustapa harus meneliti balik cadangan itu kalau ianya benar. Kalau ia dilakukan berdasarkan sesuatu plan tetapi tidak melihat kepada realiti, harapan Umno untuk merampas kerusi Kuala Krai tidak akan kesampaian. Ia akan menjadi 'langguk' panggang dari bara.
Umno telah meletakkan sasaran untuk mendapat sekurang-kurang lima atau lapan kerusi parlimen. Kerusi Kuala Krai adalah termasuk dalam lima kerusi yang menjadi sasaran utama. Kerusi lain ialah Bachok, Ketereh, Tanah Merah dan Machang.
Dengan masalah yang 'berpolot' di Kuala Krai kini mungkin apa yang disasarkan itu tidak akan berlaku. Faktor utama kegagalan Umno itu ialah calon. Kekalahan Umno di Kelantan lazimnya bukan kerana kekuatan PAS tetapi kerana Umno bergaduh dan 'cas keting' semasa sendiri. Nah..kalau Junaidi dicalonkan Umno akan tewas sebelum penamaan calon lagi, kecuali Umno khasnya Mustafa membuat perkiraan semula.
Mustapa sedia maklum mengenai tradisi dan budaya Umno di Kelantan. Umno bukan seperti PAS yang boleh menerima sesiapa calon mereka, termasuk orang luar. Dr Mohd Hatta Ramli ahli parlimen Kuala Krai kini ialah orang luar. Kehadirannya di situ tidak menjadi masalah. Orang PAS boleh bersatu bila tiba hari mengundi, bukan seperti Umno yang akan bergaduh sampai hari kekalahan - pengiraan undi.
Tentangan peringkat akar umbi kepada Junaidi di Kuala Krai khabarnya hebat. Ia bukan saja datang dari ahli-ahli bawahan yang bermulut berus, tetapi pimpinan peringkat bahagian sendiri. Paling bahaya ia bergerak secara senyap. Mereka yang mengidamkan untuk bertanding di kerusi itu pasti akan kecewa dan murih. Tidak dinafikan kalangan pegawai kerajaan atau orang atas pagar berlatar belakangkan pendidikan senang dan setuju kalau Junaidi dicalonkan. Tetapi tidak dengan akar umbi yang lebih melihat sentimen-sentimen tertentu dan ekstrem dalam pegangan politiknya.
Kalau ada pimpinan dan orang bawahan marah dan geram ada logiknya. Mereka sudah lama berkerja untuk parti, menyusun jentera dan strategi untuk menang. Bukan setahun dua tetapi lebih lima tahun. Bila tiba-tiba orang luar yang diangkat menjadi calon, pastilah mereka kecewa dan merasakan apa yang mereka lakukan tidak dihargai. Apa lagi orang luar masuk tanpa dikhabarkan kemasukan menerusi mereka.
Seperti dikatakan tadi 'pengimportan' orang-orang seperti Junaidi yang memiliki kepakaran dalam sesuatu bidang, baik dan merupakan perubahan positif didalam Umno. Tetapi apa yang silapnya bila Junaidi dibawa masuk seperti pencuri, mengumpil pintu belakang. Mustapa didalam hal ini harus berterus terang dengan pimpinan Umno di Kuala Krai. Beliau tidak patut merestui kemasukan Junaidi secara dalam gelap.
Sewajarnya awal-awal lagi sebagai ketua Umno Mustapa berterus terang menyatakan perancangannya untuk membawa Junaidi itu. Beliau perlu memberi tahu kalau bukan kepada semua barisan kepimpinan tetapi cukup kepada ketuanya sahaja, Ramzi Abdul Rahaman. Bagi tahu dan maklum kepada Ramzi mengenai tujuan dan matlamatnya. Bincang dengan Ramzi bagaimana untuk memastikan kemenangan. Itulah dikatakan cara beradat. Rasanya Ramzi tidak ada masalah demi kemenangan partinya.
Ramzi kanan bersama Mustapa menyampaikan bantuan. |
'Sedebek-debek' Ramzi pun kalau dia tidak menguasai 100 peratus pengundi Kesedar tetapi separuh tentu berada di dalam tangannya. Begitu juga dengan pimpinan peringkat cawangan. Bagi saya plan membawa masuk Junaidi dengan membelakangkan Ketua Bahagian satu penghinaan yang tidak patut berlaku.
Implikasinya bila tidak diberitahu tiba-tiba Junaidi masuk 'meranya' di dalam Kuala Krai ia menimbulkan persoalan dan rasa marah serta pelik di kalangan pimpinan Umno Kuala Krai. Tidak salah kalau Umno Kuala Krai menganggap kemasukan Junaidi itu hatta untuk membantu Umno tetapi dia sebenarnya sebagai pengecau.
Ada baiknya kalau ura-ura untuk meletakkan Junaidi di kerusi Kuala Krai difikir kembali semasak-masaknya. Mustapa dan pengkaji politik Umno Kelantan harus membuat servey mendalam mengenai hal ini. Beliau tidak boleh mendengar setengah pihak sahaja, apa lagi pihak yang sudah menelan joran yang disangkut umpan oleh Junaidi. Dalam hal ini konsensus Umno bahagian diperlukan. Lakukan secara jujur dan telus, panggil pimpinan bahagian dan nyatakan sikap dan pendirian. Mustapa jangan mencemarkan integritinya sebagai pemimpin berjurus dan 'mudah basa', 'sene berkira' itu.
Sekiranya Umno hanya menggunakan kuasa veto di Kuala Lumpur yang inginkan kepada Junaidi ia tidak akan memberi apa-apa erti, kerana kekalahan sudah tergenggam ditangan kalau Junaidi dicalonkan. Dr Hatta Ramli boleh goyang kaki. Kalah bukan kerana PAS Kuala Krai kuat tetapi kerana Umno akan berpecah.
Sekiranya Mustapa benar-benar ingin membawa Junaidi menerjun ke lembah politik kemudian diharap menjadi salah seorang pemimpin dimasakan depan, - sebagai penggantinya, beliau boleh lakukan kaedah lain. Misalnya apa yang dilalui sendiri oleh beliau boleh dijadikan sumber atau pun formula. Mustapa diawal penglibatannya dalam politik, dibawa masuk bukan terus diletakkan bertanding di Jeli. Beliau terlebih dahulu diasuh dengan menjadi Setiausaha Politik, dilantik menjadi Senator dan timbalan menteri dan sebagainya. Ertinya beliau dilatih secukupnya secara insentif.
Nah, kaedah dan formula itu juga boleh dilakukan ke atas Junaidi. Lantik beliau menjadi senator kemudian menjadi timbalan menteri sebagai training. Dengan jawatan politik itu beliau boleh membina rangkaian dan kekuatan. Sesudah susuh di kaki sudah mulai tumbuh dan jambul sudah meleret di kepala, barulah dia diletak bertanding baik dalam pilihan raya atau pun di dalam Umno.
Yang penting juga serapkan Junaidi ke dalam Umno bahagian dulu, lantikan sebagai pemeriksa kira-kira atau biro pendidikan sudah memadai. Ini dengan tangan kosong, tanpa track record di Kuala Krai tiba-tiba hendak atau dicadang dia bertanding di Kuala Krai. Cara itu tidak ubah seperti sengaja mahu melemparkan Junaidi ke dalam sungai Krai.
Sejarah dilalui oleh beberapa tokoh profesional yang dibawa bertanding di Kelantan kononnya untuk menunjukkan fleksibleliti Umno di mana semuanya tenggelam dan hanyut patut dijadikan iktibar dan bahan renungan dan perbandingan. Usah beriya-iya untuk mencalonkan Junaidi di kerusi Kuala Krai kalau Umno sayangkan dia. Kekalahan, iya memang memberi pengalaman, tetapi kekalahan akan disebut sebagai kegagalan.
Sebenarnya juga rakyat Kuala Krai merasa bertuah dengan orang seperti Junaidi berada di dalam politik, jadi hormati dan sayangnya 'tuah' ini. Jangan bunuh beliau sebelum dia 'megawas'.
Masa bagi Junaidi masih banyak dan perjuangan masih panjang lagi. Kenaikan pangkat dalam politik bukan kerana atas dasar baik dan tahu membodek bos, tetapi perkara wajibnya disukai dan diterima rakyat. [wm.kl.11:11 am 07/03/13]
No comments:
Post a Comment