Saturday, November 23, 2013

Kesilapan 'teknik' kedua dalam PAS

SUSUPAN PAGI                                                                                 

Kesilapan teknikal dalam kertas undi untuk jawatan Ajk PAS yang menyebabkan pengundian untuk jawatan berkenaan yang berlangsung selama sejam dihentikan semalam dan disambung pagi ini sesuatu yang memalukan dan
membuang masa. Ia juga satu sejarah baru kepada Pas.

Takiyuddin: perlu jelaskan.
Kejadian itu juga mencacatkan muktamar kali ini yang kononnya hendak melakukan perubahan teknikal di dalam muktamar yang melibatkan proses pemilihan parti. Penolong Setiausaha Agung yang juga merangkap Pengarah Muktamar, Takiyuddin Hassan sebelum ini membuat kenyataan bahawa muktamar kali ini ada sedikit kelainan.

Apakah kelainan yang disebut itu ianya bersangkutan dengan penangguhan pengundian jawatan AJK semalam disebabkan kesilapan teknikal di kertas undi?


Muktamar kali ini bukan saja cacat kerana kesilapan teknikal itu tetapi menyebabkan ia akan ditanggapi dengan berbagai tanggapan negatif. Pihak luar khasnya SPR yang sebelum ini dikecam pembangkang termasuk Pas kerana gagal berfungsi dengan baik sudah pasti akan mentertawakan Pas (ha ha ha) kerana untuk menghandle pengundian seramai tidak sampai 2,000 pun menjadi kalut.

Kesilapan itu juga menyebabkan ia boleh ditafsirkan ianya disengajakan atas tujuan dan motif tertentu. Memang ada beberapa perwakilan mempertikai dan mengkritik apa yang berlaku itu.

Bekas Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh memberi tahu seorang perwakilan secara sinis mempersendakan pihak yang menguruskan proses pemilihan itu dengan menyebut; "macam mana boleh berlaku kesilapan teknikal, pakai orang profesional pun boleh melakukan kesilapan teknik jugakah? Kalau ulama tak hairan sebab dia tak pandai." Beritahunya kepada saya malam tadi.

Kesilapan teknik berlaku apabila nama bekas ketua pemuda Nasarudin Hassan dan seorang yang lain tidak terdapat dalam kertas pencalonan. Kehilangan namanya itu disedari oleh perwakilan yang ingin mengundinya.

Selain itu juga ada kesilapan dari segi nombor calon di mana seorang calon ditandai dengan dua nombor. Macam mana ini boleh berlaku?

Kesilapan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan implikasi negatif. Dengan berlakunya kesilapan ini juga menunjukkan kelemahan dan 'ketidakcakudhan' pihak yang bertanggungjawab terhadapnya.

Atas apa yang berlaku itu jabatan Setiausaha Agung terutamanya Pengarah Muktamar Takiyuddin Hassan harus membuat penjelasan sebelum pengundian pagi ini dijalankan. Beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa pemilih Asmuni Alwi harus bertanggungjawab.

Jika perlu mereka wajar meletak jawatan sebagai mengambil risiko atas kejadian yang sungguh tidak profesional itu. Tanpa berbuat demikian mereka juga akan disamakan dengan perangai menteri Umno yang tidak bersedia mengambil resposibiliti apabila berlaku sesuatu yang boleh menjejaskan imej negara.

Ekoran penangguhan pengundian untuk jawatan AJK itu mengheret kepada masalah lain apabila pengiraan untuk untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden ditangguhkan sama. Sepatutnya pengiraan dibuat sebaik sahaja selesai pengundian seperti mana diputuskan jawatankuasa Pas.

Apabila ianya ditangguh untuk dikira bersama kertas undi untuk jawatan Ajk menyebabkan kecacatan kecil di kertas undi itu merebak kepada kecacatan lebih besar lagi. Sepatutnya pengiraan kertas undi jawatan timbalan dan naib presiden dilakukan malam tadi bagi mengelak persepsi negatif mencemarkan parti.

"Apakah ada permainan buruk dalam pemilihan kali ini?"  Persoalan seperti itu tidak boleh dielakkan.

Dan mengingati kepada kesilapan teknik itu menyebabkan ingatan kita terus berpaling kepada kejadian 35 tahun lalu di mana kesilapan teknik pernah berlaku semasa Jawatankuasa Pas mengundi untuk memecat Mohamad Nsir daripada Pas ekoran ulahnya dalam krisis politik di Kelantan.

Gara-gara kesilapan teknik itu Mohamad Nasir tidak terpecat dari Pas sehinggalah ianya dilakukan pengundian sekali lagi. Pemecatan Mohamad Nasir telah meninggalkan kesan dan sejarah hitam buat Pas apabila kerajaan Kelantan yang berada dalam tangan Pas terlepas.

Hendaknya jangan disebabkan kesilapan teknik ini ia boleh menjadi punca untuk mengulangi sejarah hitam di Kelantan itu, di mana kerajaan Kelantan berusia 23 tahun akan juga terlepas? [wm.kl.8:31 am 23/11/13]

1 comment:

Unknown said...

Kenapa tidak dibuat auditan awal semasa penyediaan kertas undi? Dgn adanya auditan awal, perkara sebegini tentu tidak berlaku kecuali disaat akhir calon menarik diri atau berlaku kematian calon. Pasukan audit hendaklah berperanan setiap peringkat dari sebelum mula proses persiapan sehingga proses pengiraan akhir.