Sunday, November 3, 2013

Keadaan di Sungai Limau tidak sehangat stadium Shah Alam

TINJAU SG LIMAU                                                                               

Memasuki ke Sungai Limau dari simpang Gurun menerusi Guar Chempedak kita akan dihadangi dek satu pemandangan indah gunung Jerai (yang setinggi 968 meter daripada paras laut) yang terlentang tenang dikelilingi lautan sawah menghijau di sekitirannya. Setiap sudut pemandangannya akan menarik perhatian kita dan mengembalikan nostalgia di zaman kanak-kanak bagi kita anak kampung. Mungkin anak orang bandar atau bangsawan keindahan itu tidak memberi apa-apa nilai dan erti buat mereka.

Kelihatan banjaran gunung Jerai dari kejauhan.
Ketibaan saya menjelang senja ke Sungai Limau itu menambahkan lagi keindahan di persekitarannya. Saat senja ingin memberi ruang kepada malam menjadikan bajaran itu kesayuan. Keadaan ini membawa satu pentafsiran yang mengesankan jiwa saya.

Hijauan anak-anak padi memberi satu kedamaian semula jadi. Pemandangan bak dalam sebuah lukisan kanvas besar itu seakan meletakkan saya menjadi salah satu objek dalam lukisan. Indah, cantik dan damai. Terasanya ingin saya kekal bersama kedamaian itu tanpa diganggu apa-apa elemen kemanusiaan lain.

Ketenangan banjaran itu memberi gambaran begitulah juga ketenangan pilihan raya kecil DUN 20 Sungai Limau yang berlangsung esok, 4 November. Kalau tidak difokos kepada tujuan kemampiran kita ke situ, kita tidak akan terasa bahawa kawasan itu, rakyatnya sedang membuat pemilihan bagi mencari pengganti kepada wakil mereka yang telah tiada, Allahyarham Azizan Razak.

Dan entah kenapa tatkala saya memandang sebuah parit yang membelah sawah hati menjadi sayu. Tiba-tiba terdengar sapaan; "hang apa habak Sayuti?" Sapaan itulah bila setiap kali saya berjumpa dengan Allahyarham Azizan Razak.

Di Sungai Limau kini, dua parti Melayu sedang bertarung untuk meraih sokongan rakyat. Bahawa individu tertentu di Kedah, para pemuka parti sedang diuji kreadibiliti menerusi pilihan raya berkenaan. Pilihan raya itu bolehlah disifatkan sebagai ujian pertama buat Mahfuz Omar dan Mukhriz Mahathir di mana mereka berdua adalah ketua parti masing-masing, dan berkebetulan pula pilihan raya kecil Sungai Limau adalah ujian pertama buat mereka. Menang kalah pilihan raya itu sedikit sebanyak memberi kesan buat mereka.

Merenung parit air ini ingatan tersimbah kepada Azizan.
Ketenangan ini sesungguhnya merujakan saya kerana suasana pilihan raya itu agak berbeza dengan pilihan kecil yang lain. Sepanjang jalan dari Titi Serong untuk ke Sungai Limau dan disepanjang jalan besar Sungai Limau, Dulang Kecil, Dulang Besar dan lain tidak banyak poster kedua parti yang dipasang. Tidak ada pertaruhan poster gila-gila di sini seperti mana berlaku dalam pilihan raya kecil lain. Keadaannya santai sahaja.

Gelagat manusianya juga demikian, tidak mengada-ngada. Dalam pemerhatian saya tidak ada sebuah kereta yang dipasang bendera parti pun ditemui seperti kebiasaanya. Tidak banyak kereta yang dibaluti dengan wajah calon atau lambang parti yang kadang kala cara pemasangannya boleh menganggu pemanduan dan melanggar peraturan JPJ.

Begitu juga bahan kempen terutamanya poster tidak banyak. Yang menyerlah ialah poster calon kedua-dua parti yang dipasang di jalan-jalan utama dalam bentuk dan saiz besar. Tidak ada banner yang tertulis dengan kata-kata kesat ataupun memalukan. Banner yang memuji dan mengingati Azizan Razak juga terdapat dimana ia seolah dipasang oleh kedua-dua pihak.

Gambaran ini memberi rasa pilihan raya kecil itu dingin dan dihadapi dengan seadanya saja oleh rakyat Sungai Limau. Ada beberapa sebab yang dikutip kenapa berlaku demikian. Antaranya pilihan raya itu tidak memberi apa-apa signifiken besar. Ia tidak mendesak rakyat untuk melakukan lebih dari membuang undi sebagai satu kewajiban demokrasi. Tidak perlu kepada pergaduhan dan pertengkaran hanya untuk mengganti Allahyarham Azizan Razak sebagai wakil mereka.

Poster calon Pas Mohd Azam Samat.
Sebab itu saya merasakan peratus yang keluar mengundi pada 4 November nanti menurun berbanding dengan peratusan pengundian semasa pilihan raya kecil lalu sebanyak 89.4%. Dijangka peratusan keluar mengundi kali ini sekitar 80% sahaja. Sebaliknya kalau peratusan keluar mengundi tinggi hingga mencecah 95% mungkin sesuatu tidak kena sudah berlaku. Saya tidak mahu menghuraikan apa yang tidak kena itu tetapi mungkin ia akan dijelaskan oleh pihak yang bertanding.


Ketenangan atau kesengajaan pilihan raya itu juga ditambahi dengan sikap dan budaya orang Kedah dalam berpolitik. Kesibukan mereka untuk mencari nafkah hidup sebagai petani dan nelayan menyebabkan mereka pandang acuh tidak acuh saja. Lagipun mungkin mereka merasakan sudah sampai masanya untuk tidak begitu gilakan berpilihan raya. Sejarah dan peristiwa sebelum ini di mana kerana terlalu ghairah kepada parti, namun ia tidak banyak mengubah nasib mereka menyebabkan mereka tidak perlu terlebih ghairah. Mungkin mereka sudah mangli dengan janji-janji dan retorik pilihan raya.

Boleh jadi juga beberapa peristiwa berdarah yang berlaku semasa pilihan raya atau disebabkan emosi politik berlebihan yang pernah berlaku di negeri itu menjadikan mereka insaf dan berwaspada. Kejadian semasa pilihan raya kecil Lubuk Merbau satu masa dulu yang meragut satu nyawa atau peristiwa Memali 1985 yang meragut 14 nyawa mungkin memberi pengajaran dan kesan kenapa mereka harus tidak perlu 'dering' dalam berpilihan raya.

Sumbatan berbagai janji dan retorik politik yang mereka lalui selama ini juga mengajarkan mereka. Orang politik hanya berjanji untuk mengubah nasib mereka, tetapi yang terubah tidak sampai suku daripada apa dijanjikan. Mungkin juga mereka sudah menjadikan syarahan pilihan raya itu sebagai lawak politik yang tidak lebih daripada sebuah hiburan sahaja bagi menghilangkan kepenatan kerana seharian bersawah.

Sikap dan budaya ditunjukkan orang Sungai Limau khasnya dan orang Kedah amnya sesuatu yang baik dan boleh ditirukan. Ia boleh dijadikan modul baru. Mungkin orang politik ekstrem tidak menyukainya tetapi sebagai rakyat yang mahukan kesedarhanaan dan tidak menjadi hamba kepada nafsu politik sikap dan budaya sedarhana itu adalah baik.

Keadaan itulah menyebabkan tidak banyak syptom atau indikator dilihat untuk meramalkan parti mana yang menang. Cuma apa yang boleh dilakukan kini memerhati apa yang ada di atas kertas saja serta menilai dakwaan-dakwaan kedua-dua pemimpin mengenai harapan mereka.

Poster calon BN Sohaimi.
Di atas kertas Pas dilihat akan menang. Pemimpin mereka juga membuat andaian atau ramalan akan menang walaupun dengan majoriti menurun. Tetapi ramalan itu tidak kemas kerana terdapat juga arus bawahan yang bergerak menandakan ada peralihan pengundi kali ini. Slogan hijrah yang menjadi tag line kempen UBN katakan ada reaksi dari rakyat. Pertukaran kepimpinan Umno Kedah kepada anak Mahathir, Mukhriz membawa semangat baru kepada orang Kedah khasnya di kalangan anak-anak muda.

Menurut kajian dibuat oleh sebuah pengkaji bebas masih memberi peluang kepada Pas menguasai pilihan raya itu dengan kedudukan 50% hingga 55% saja. Angka ini sangat kecil perselisihan cuma 5%. Tidak mustahil kalau sesuatu dramatik berlaku menyebabkan angka ini akan bertukar sebaliknya. Sama ada Pas atau UBN menang dijangka majoritinya tidak akan melebihi 500 undi. Angka itu juga adalah sasaran pemimpin Pas.

Sehingga kini dipihak UBN tidak membuat apa-apa ramalan mengenai peluang mereka. Seorang pemimpin Umno ketika dihubungi hanya mengatakan ada peluang dan insya-Allah. Mungkin mereka menyedari majoriti besar diperolehi Pas menerusi Azizan Razak lalu sebanyak 2,774 undi sukar untuk mereka tempohi. Selalunya di dalam pilihan raya kecil pihak parti kerajaan akan berjaya mempertahankan kerusi mereka dan merampas kerusi pembangkang. Perlu diingat dalam konteks Kedah Pas adalah pembangkang.

Yang jelas UBN ada sedikit kelebihan di kalangan pengundi saluran 1 dan 2. Diyakini pengundi Melayu
berusia 55 tahun ke atas banyak berubah kerana termakan dengan isu-isu dimainkan UBN seperti isu kerjasama dengan DAP, kalimah Allah dan juga kononnya Pas sudah lari dari perjuangan asal. Tetapi Pas juga ada kelebihan dari sokongan orang Cina. Walaupun ada pengundi Cina yang beralih angin tetapi dipercayai tidak sampai 20%.

Bagaimana pun situasi kini tidak bermakna Pas harus merasa lega dan menganggap kemenangan dalam tangan mereka. Banyak pengajaran masa lampau boleh diambil. Semangat, kehadiran ramai diceramah atau majlis Pas tidak mengesahkan kemenangan. Sokongan zahir itu tidak membawa erti kepada peti undi. Sogokan wang yang dilakukan pada saat-saat akhir 24 jam mengubah segala haluan. Iman pengundi akan tergugat dengan sumbatan wang dan tawaran kebendaan lain.

Saya ingin menitikkan nokhtah catatan ini dengan mengatakan keadaan di Sungai Limau tidak sehangat apa yang akan berlaku di stadium Shah Alam malam nanti. [wm.kl.12:03 am 03/11/13]

No comments: