Tuesday, November 5, 2013

TAH untuk Mahfuz dan NIAH untuk Mukhriz

ULASAN PASCA PRK SG LIMAU                                                  

Aliran air Sungai Limau, Yan Kedah yang agak kencang dan tidak menentu selama seminggu lalu sudah pun reda dan kembali kepada keadaan sedia kala semalam. Sebaik sahaja Pengurus pilihan raya kecil N20 Sungai Limau mengumumkan calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat, 37 menang dengan majoriti 1,084 undi semua debaran di dada dan dijiwa berhenti.

Azam diusung selepas diumum sebagai pemenang.
Sebelum pengumuman itu berbagai sepekulasi dan ramalan dibuat, ada kalanya yang menjadikan denyutan jantung menjadi kencang. Kedua-dua pihak yang bertanding, Pas dan Umno sendiri juga tidak dapat membuat predction konkrit hanya bermain dengan ramalan dan andaian. Berbagai-bagai analisa, dapatan juga dilakukan yang kadang kala boleh mengugahkan keyakinan yang sudah dirasai.

Untuk menjamin kemenangan masing-masing, berbagai cara, tektik dan strategi halal dan haram dilakukan. Situasi inilah menyebabkan hati menjadi bolak balik. Biarlah... saya tetap ingin menegaskan bahawa pilihan raya kecil kedua untuk penggal parlimen ke-13 ini, berlangsung dalam suasana elok dan harmonis. Kalaupun ada serba sedikit ketidak-kenaan, insiden itu, adalah pelengkap kepada pilihan raya itu. Pepatah Melayu ada mengatakan; "kenduri kendara itu tidak akan sah kalau tidak ada pinggan mangkuk, gelas atau cawan yang pecah atau sumbing."

Makanya dakwaan seorang wanita Umno yang dikatakan ditumbuh oleh orang Pas adalah pemanis kepada pilihan raya itu. Hehe..

Selepas ini diharap komuniti Sungai Limau akan kembali hidup seperti sedia kala, mengolah kehidupan masing-masing sesuai dengan adat, tradisi dan budaya. Soal politik (cakap-cakap, kata mengata) bolehlah dibungkuskan seketika, umpama orang tua-tua dahulu 'menanggalkan' perkakasan tenggala; nanggal, igu, gerap, nayan, menolak dan sebagainya untuk disangkut di mana-mana jerung sementara menanti menjelma musim penuaian baru untuk diperlekatkan semula perkakasan itu.

Keputusan pilihan raya semalam bagi saya juga adil kerana ia tidak mengalahkan sesiapa dan tidak memberi kemenangan besar kepada sesiapa. Kemenangan Mohd Azam dengan majoriti 1,084 adalah cukup untuk mempertahankan kerusi tradisi Pas itu. Bahawa kubu Pas di Sungai Lima sejak berdekad lalu masih utuh dan tidak terpecahkan oleh UBN.

Subjek yang perlu dikaji dan diambil tindakan oleh Pas, ialah mengenai kekurangan majoriti diraih oleh Pas itu sebanyak 1,690 adalah bukan sedikit. Walaupun kekurangan itu ada berbagai faktor tetapi hakikat majoriti Pas berkurangan perlu diterima dengan sedar. Majoriti diraih Allahyarham Azizan Razak dalam pilihan raya lalu sebanyak 2,774.

Mungkin soal mojoriti bukan sesuatu yang perlu dibimbang tetapi jumlah undi yang perlu dikaji. Undi untuk Pas dalam pilihan raya semalam berkurangan sebanyak 1,225 berbanding dengan undi diberikan Azizan dalam pilihan raya umum lalu sebanyak 13,294 undi. Undi untuk Azam sebanyak 12,069.

Mungkin peratus majoriti tidak begitu penting. Tetapi jumlah undi yang dikutip penting untuk diperhitungkan dan dilihat prestasi dan sokongan terhadap Pas. Ternyata jumlah undi Pas berkurangan agak besar dengan angka sebanyak 1,225. Justeru hehilangan undi sebanyak itu menunjukkan Pas perlu berusaha serta mencari jalan bagaimana ia harus kembali kepada mereka dengan menolak faktor di luar jangka seperti pilihn raya diadakan pada hari bekerja dan sebagainya.

Sejajar dengan kehilangan itu menyebab undi oleh calon BN, Ahmad Shoimi Lazim bertambah. Pertambahan sebanyak 465 undi. Walaupun peratus peningkatan kecil hanya 4.4% sahaja tetapi ia memberi petanda yang agak baik kepada UBN. Hakikatnya undi UBN bertambah. Kandati pertambahan undi untuk UBN pada setiap kali pilihan raya kecil adalah lazim, tetapi kelaziman itu bukan alasan untuk Pas terus 'tawaduk' dan ikhlas menerimanya.

Barang kali ada logik juga alasan diberikan Pesuruhjaya Pas Kedah, Mahfuz Omar kekurangan undi Pas itu disebabkan kerana ramai pengundi luar yang tidak dapat kembali mengundi kerana pilihan raya diadakan pada hari bekerja. Beliau mengandaikan lebih 1,000 dipercayai pengundi luar yang tidak dapat pulang. Sekiranya benar mereka itu adalah penyokong Pas ini bermakna undi Pas akan bertambah dan majoriti juga akan bertambah menjadi kira-kira 2,000 undi.

Dari sini boleh ditafsirkan hakikat pilihan raya itu Pas hanya berkurangan majoriti 1,000 saja (bukan 1,600). Dan pencapaian itu menjelaskan Sungai Limau masih utuh buat Pas. Kalau Pas merasa bangga dengan pilihan raya itu ialah kerana masih dapat mempertahankan kubu mereka dari retak.

Dari pihak UBN pula khasnya Mukhriz Mahathir merupakan Pengerusi Umno Kedah dan belum sampai sepenggal menjadi MB, peningkatan sebanyak 4.4% itu sesuatu yang tidak sangat mengecewakan beliau. Mukhriz tidak perlu bersedih atas kekalahan itu. Sudah ada tanda-tanda ada ruang atau pun lubang yang boleh dibolosi UBN di kubu kuat Pas itu. Saya sudah mengatakan sejak awal pilihan raya kecil itu sebagai ujian pertama buat Mukhriz sebagai ketua.

Dengan baru menjadi MB kira-kira enam bulan beliau nampaknya sudah menemui jalan jauh untuk masuk ke kubu kuat Pas itu. Ini dikira satu kejayaan buat Mukhriz. Cuma kalau Mukhriz sedikit kecewa kerana beliau tidak dapat menjadikan pencapaian di pilihan raya Sungai Limau itu untuk mengubati kesenakan hati nya kerana gagal memenangi kerusi Naib Presiden bulan lalu.

Kedua-dua pihak boleh belajar dari keputusan serta suasana pilihan raya di Sungai Limau itu. Pas perlu perteguhkan benteng kubunya di situ. Perselisihan faham sesama sendiri disebabkan khalif dalam membuat tafsiran terhadap kitab yang sama, yang dipercayai menjadi faktor penyumbang kepada kekalahan dan kejatuhan kerajaan Pas Kedah lalu, hendaklah diatasi.

Mahfuz sebagai Pesruhjaya Pas Kedah perlu mencari ikhtiar merapatkan kembali saf kepimpinan Pas Kedah. Dalam masa setahun dua ini sebelum tiba pilihan raya umum ke-14 tugas besar untuk Mahfuz dan saf kepimpinan Pas Kedah ialah agenda ini; memperkuat dan persatukan Pas Kedah. Mahfuz perlu mencari teknik atau pupuk baru untuk Pas Kedah seperti mana Mardi senantiasa mencari teknik dan memproses baja baru untuk kesuburan pokok padi.

Pas Kedah juga ketika diberi kesempatan menjadi kerajaan lima tahun lepas sepatutnya meniru resmi padi, makin tunduk makin berisi bukannya mengambil resmi lalang yang condong ke arah bertentangan dengan naluri ahli.

Soal titik bengik perlulah dijernihkan. Kejatuhan kerajaan jadikan sebagai ubat dan penawar yang akan menyembuhkan Pas Kedah. Jika ini tidak dipedulikan dan Pas masih mempercayai kekalahan mereka lalu kerana kejahatan dan kesadisan Umno, maka tunggulah Pas untuk menerima kekalahan lebih besar lagi pada masa akan datang.

Pas harus sedar bahawa mereka ada kekuatan dan harapan untuk merampas kembali Kedah. Mereka mempunyai daya itu cuma perlu memperkemaskan makenisme untuk melakukannya dan ada sedikit bukit keikhlasan jihad dalam setiap jiwa orang Pas.

Golongan muda jelas sudah hilang kepercayan dan keyakinan kepada UBN hari ini. Impian mereka untuk melihat negara ini bertukar kerajaan bagi dijadikan perbandingan adalah cita-cita bersama generasi baru. Walaupun UBN melalukan berbagai ucapan hendak melakukan transformasi tetapi retorik itu tidak berjaya menarik perhatian mereka dan meretakkan impian yang satu itu.

Di Sungai Limau walaupun mereka dilayani segala nafsu amarah muda mereka, tetapi mereka tetap dengan tekad dan niatnya mahu melihat UBN suatu hari nanti tidak menjadi kerajaan.

Untuk menyimpukkan pilihan kecil Sungai Limau itu, akhirnya diucapkan TAH kepada Mahfuz Omar, seluruh pimpinan Pas Kedah dan orang Pas atas pencapaian itu, dan NIAH kepada Mukhriz Mahathir dan orang Umno juga atas pencapaian itu. Kedua-dua bagi saya harus mengongsi suku kata itu sebab tidak ada siapa berhak untuk menerima ucapan penuh TAHNIAH sepenuhnya. [wm.kl.11:39 am 05/11/13]

No comments: