Wednesday, November 20, 2013

Isu-isu dijangka hangat dalam muktamar Pas ke-59

SUSUPAN PAGI                                                                                   

Hari ini muktamar Pas ke-59 bermula dengan sidang Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Manakala sidang penuh bermula pada Jumaat 22 Nov. Pemilihan untuk barisan kepimpinan baru Pas akan bermula selepas perasmian yang akan dilakukan Presiden Abdul Hadi Awang.

Selain soal pemilihan khasnya untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden, muktamar ini juga akan menjadi tumpuan dan dijangka hangat dengan beberapa isu yang diawal-awal lagi sudah dirancang agar ianya meletus dalam muktamar ini.

Antara isu-isu atau perkara yang akan menjadi perhatian ialah isu kerjasama politik Pas dengan PKR dan DAP. Soal 'tahaluf syiasi' ini dijangka akan didebat hebat. Akan ada pro kontra mengenai hal ini.


Usul ini dilihat menjadi ibu segala usul dalam muktamar kali ini kerana ia dikemukakan oleh dewan ulamak yang dianggap dewan yang menggambarkan Pas sebagai parti Islam. Lagi pun perkara ini diterima sebagai usul. Sesuatu yang disuarakan dari rahang ulamak ini dianggap perfecat dan tepat oleh sesetengah ahli Pas. Ia satu ijtihad dalam kontes keagmaan. Apa lagi isu ini sudah dimainkan sejak awal begitu rupa sekali.

Isu ini juga bakal dibuat penentuan oleh perwakilan atas maksud untuk memperkukuhkan Pas serta hala tuju Pas untuk masa depan. Elok semasa pembentangan usul ini ia tidak disembunyikan maksud dan rahsia sebenarnya.

Apa yang cuba hendak disampaikan menerusi isu ini dan dikonsensuskan ialah, apakah Pas perlu meneruskan kerjasama dengan PKR khasnya Anwar Ibrahim. Dewan ulamak tidak dapat menyembuyikan diri yang mereka tidak boleh menerima Anwar Ibrahim. Dewan ulamak sedar tidak sedar telah bermusuh dengan Anwar.

Dalam perbahasan nanti juga akan turut menyentuh mengenai DAP. Sudah tampak kesengajakan Pas untuk membangkitkan mengenai ketelusan DAP dalam menyiratkan hubungan dengan Pas. Tindakan Pas Pulau Pinang mempamir nota ugutan kepada kerajaan DAP, di mana mereka mungkin akan menarik diri dari kerjasama dengan DAP di Pulau Pinang menunjukkan ada usaha agar hubungan Pas dengan DAP juga dibincang.

Mesej nota berkenaan, ialah bangkangan kepada kerajaan DAP Pulau Pinang itu membawa maksud kurang senangnya ahli Pas negeri itu kepada Cina. Dalam hal ini Pas Pulau Pinang tidak berani untuk menyebut secara langsung yang mereka tidak sukakan Cina, tetapi berlindung di sebalik tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tertentu di Pulau Pinang.

Sekiranya isu ini yang merupakan satu usul diterima ia bakal mengubah situasi Pas hari ini. Tidak mustahil juga selepas ini Pas akan mengadakan 'tahaluf syiasi' dengan seterus sebangsa dan seagama dengan mereka, Umno. Tidak mustahil juga isu ini bakal meletakkan Pas dalam keadaan retak yang boleh membawa belah. Justeru itu semasa perwakilan membahas isu ini hendaknya dilakukan dengan tertib bagi mengelakkan menyinggung hati PKR dan DAP.

Selain itu, isu kalimah Allah, hukum hudud juga akan berkemundang. Akan ada nanti perwakilan yang fanatik Islam atau pun menerima kitab Umno (Utusan Malaysia) akan membangkit perkara ini. Walaupun pandangan Pas agak terbuka dan rasional mengenai penggunaan kalimah Allah ini tetapi itu tidak menjadi pegangan.

Kenyataan Karpal Singh yang berpendapat agar parti-parti berasaskan kaum dan agama ditiadakan juga akan menarik perhatian. Akan ada perwakilan yang emosi terhadap kenyataan Karpal itu nanti, atau mungkin ada yang membawa replika gambar Karpal untuk dibakar. Sehubungan itu juga tindakan biadab dan jahil akhbar The Star yang menulis menggambarkan Ibrahim Libya dan kumpulannya adalah sesat tidak akan dilupakan perwakilan.

Soal hukum hudud juga akan disentuh. Ada usul berkenaan mengenai hudud di mana Pas mendesak agar kerajaan Malaysia melaksanakan hukum hudud. Mengenai hudud ini hendaknya ada perwakilan membuat desakan agar kerajaan Kelantan mempercepatkan proses melaksanakan hukum hudud. Muktamar perlu membuat desakan kepada kerajaan Kelantan terlebih dahulu. Isu hudud merupakan agenda tertangguh begitu lama di Kelantan.

Lain-lain isu yang dijangkakan turut disentuh ialah mengenai Umno, kebobrokan pemimpinnya. Umno akan dikirik seperti biasa dalam muktamar kali ini. Kehadiran pengintip Amerika Syarikat di Jabatan Perdana Menteri, kebenaran Rosmah Mansor menggunakan jet peribadi untuk lawatan ke Qattar pasti akan mencuri perhatian perwakilan. Mungkin juga luahan tidak puas hati Mahathir Mohamad kepada sikap Abdul Ghai Petail akan turut disentuh. Dan apakah kehadiran ahli Pas semasa upcara pembakaran mayat Chin Peng di Bangkok baru-baru ini akan disentuh sama?

Isu ekonomi mengenai cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai GST tahun 2015, isu pendidikan juga akan menarik perhatian perwakilan. Tetapi isu-isu ekonomi, pendidikan ini hanya sampingan sahaja. Isu-isu keagamaan seperti disebut tadi akan dominan dan menarik minat perwakilan.

Adapun isu Kristianisasi yang sebelum ini menjadi tumpuan sesetengah ahli Pas dijangkakan tidak akan dibahas lagi. Kepada perwakilan diucapkan selamat bermuktamar. [wm.kl.8:03 am 20/11/13]

No comments: