Monday, November 25, 2013

Muktamar berakhir dengan air mata

SULUHAN MUKTAMAR                                                                     
[Bhg Pertama]

Muktamar Pas ke-59 sudah selesai dalam keadaan sedikit emosi. Muktamar tahun ini berlangsung dalam suasana suspen dan penuh dramatik ekoran berlaku pertandingan sengit. Perlawanan untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden bolehlah dikatakan perjuangan hidup mati untuk calon-calon tertentu.

Mohamad bersalama dengan Nik Amar selepas mengundi.
Alhamdulilah, mereka telah disiapkan liang lahad politik untuk dikambuskan dalam muktamar ini ternyata masih dapat menyelamatkan diri. Mereka masih disayangi. Ini menyebabkan muktamar ke-59 yang berlangsung selama tiga hari bertempat di Stadium Melawati Shah Alam, bermula 22 dan berakhir 24 November itu bukan merupakan paku keranda terakhir buat individu tertentu itu manakala bagi yang lain ia adalah permulaan yang baik.

Misalnya sekiranya penyandang timbalan presiden Pas, Mohamad Sabu tewas ini bermakna masa depan politiknya sudah 'khalas'. Kedudukan atau harapan untuk duduk dibarisan hadapan sekurang-kurang ditempat hari ini sudah berakhir. Kerana itu bagi Mohamad Sabu perlawanan ini sungguh sengit dan mencabarkan buatnya.

Beberapa hari sebelum berlangsung muktamar kami ada bertemu di Shah Alam. Mohamad ada menyuarakan kebimbangannya. Beliau mengeluh, bukan takut kepada kekalahan tetapi kurang senang dengan gaya dan bentuk kempen yang keterlaluan.

"Aku dituduh Syiah, MSO," begitulah kata Mohamad Sabu dengan nada sedih dan kecewa. "Apa Syiah buktikan dulu. Aku hanya mengambil semangat revolusi Iran untuk menghadapi Umno. Apakah kerana pernah ke Iran maka dituduh Syiah? Orang lain juga ada ke Iran beberapa kali tetapi kenapa tidak dituduh Syiah?" Kata Mohamad Sabu lagi membela dirinya.

Dalam pertemuan itu saya turut kecewa dan hanya menasihatinya; "Abanag Mat, Syiah tidak akan menyebabkan Abang Mat kalah, perwakilan bukan semua mudah termakan dan kempen-kempen liar itu sebaliknya ada yang menyampah.."

Salahuddin: Sebak..
"Dalam perlawanan nanti sama ada Abang Mat akan berdepan dengan Tuan Ibrahim, Husam atau Nik Amar, perwakilan akan lihat kepada tracak record masa lampau. Perwakilan akan menilik hal itu untuk mencari siapa timbalan presiden. Segala pengorbanan dan jasa tidak akan dilupai oleh mereka. Insya-Allah Abang Mat akan menang," kata saya untuk memberi keyakinan kepadanya.

"Hang tulislah apa-apa MSO bantu selamatkan PAS bukan saya.. saya tidak penting," katanya jujur.

Memang Mohamad Sabu sungguh bimbang dengan apa yang berlaku dalam Pas menjelang pemilihan lalu. Kenapa tidak kempen-kempen yang dibuat secara bersepadu dan dirancang begitu rupa ditujukan kepadanya.

Misalnya sikap kurang berhati-hati Setiausaha Dewan Ulamak, Dr Khairuddin Aman Razali mengomen mengenai Mohamad Sabu bersabit soal 'fakeh' atau tidak di dalam agama adalah bentuk kempen yang agak kasar dan kurang santun menyebabkan saya menegur ahli parlimen Kuala Nerus itu. Mungkin bukan bermaksud Khairuddin untuk merendah-rendahkan Mohamad Sabu dalam agama tetapi itu yang disuluh umum apa lagi ia dibuat menjelang pemilihan.

Alhamdulilah seperti umum ketahui Mohamad Sabu menang dalam pertandingan itu dengan mengenepikan Mohd Amar Abdullah (Nik Amar) yang mendapat dokongan penuh golongan menamakan diri mereka sebagai ulamak. Nik Amar juga secara tektikalnya mendapat restu daripada Tuan Ibrahim Tuan Man orang yang mendapat pencalonan terbanyak untuk bertanding jawatan timbalan presiden tetapi pengecut untuk memenuhi kehendak perwakilan.

Walaupun kemenangan itu kecil bagi Mohamad Sabu tetapi beliau harus berpuas hati kerana terpaksa mengharungi cabaran sebegitu hebat sekali. Mohamad Sabu mengutip sebanyak 588 undi manakala Nik Amar 490 undi daripada perwakilan sejumlah 1,086. Mereka dipisahkan dengan 98 undi sahaja. Sebagai percubaan pertama dengan mendapat undi kira-kira 45% oleh Nik Amar itu ia sudah memuaskan beliau dan merupakan pencapaian terbaik.

Tidak mustahil Nik Amar akan membuat 'larian' kedua tiga tahun lagi.

Husam: Kawal emosi.
Selain Mohamad Sabu ketiga-tiga penyandang naib presiden; Salahuddin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar juga dalam kedudukan yang sama. Mereka juga cemas dan bimbang.  Mereka dilihat "tiga serangkai" yang mempunyai pandangan dan pendekatan politik moden yang sama. Mereka lekang dengan kopiah di kepala dan todak arif membelit serban.

Paling jelas ialah Husam Musa dan Mahfuz Omar, yang awal-awal lagi sudah dicanangkan oleh tukang kempen untuk dibuang. Target utama tokoh yang hendak disembelih bagaikan haiwan korban ialah Husam dan Mahfuz. Situasi ini menyebabkan mereka jadi tidak lelap tidur.

"Kita hendak buang Husam dan Mahfuz... Salahuddin kalau kalah kita nak lantik jadi Setiausaha Agung," demikian luah seorang tukang kempen di sebelah sini (ulamak) yang begitu marah dan geram dengan ketiga-tiga naib presiden itu terutamanya Mahfuz dan Husam. Saya bertanya kenapa... dia tidak menjawab tetapi saya mengetahui apa sebab musababnya. Sebabnya kerana orang ini melihat kedua naib presiden itu ada kasus personal dengannya.

Senario dan realiti itu menyebabkan ketiga-tiga mereka agak cemas berhadapan dengan pemilihan dua hari lepas itu. Mereka dapat merasakan nasib buruk yang akan berlaku kepada mereka. Salah seorang mereka pasti akan terkeluar apabila Tuan Ibrahim Tuan Man masuk - bertanding naib presiden. Mereka masing-masing sudah mengagak apa yang berlaku, dan agakan mereka itu relatif benar.

Nampaknya Mahfuz menjadi mangsa keadaan. Nasibnya dipisah hanya 16 undi dari Husam, Mahfuz mendapat 504 manakala Husam mendapat 520 menyebabkan Husam dapat mengekalkan kedudukannya dengan kelebihan undi sebanyak 16 undi dan mengalami kemerosotan undi yang begitu banyak berbanding dengan perolehi undi pada tahun 2011 dan meletakkan beliau ditempat ketiga dalam hierarki naib presiden.

Perpisahan yang amat sukar untuk dihadapi oleh ketiga-tiga mereka itulah menyebabkan perakhiran muktamar semalam penuh dengan emosi dan leraian air mata. Husam sedih dan sebak dengan terkeluarnya Mahfuz yang beliau sifatkan pencapaian Mahfuz lebih baik daripadanya. Sallahuddin pula berkongsi air mata dengan Husam atas apa yang berlaku. Beliau terharu melihat Husam berpelukkan dengan Mahfuz bagaikan lagak pelukan peserta Akademi Fantsia yang kena dikeluarkan dengan rakan-rakan yang masih berada dalam akademi.

Selama tiga tahun mereka duduk bersama, merancang untuk masa depan parti khasnya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 lalu yang membawa kejayaan yang tidak kurang hebat kepada Pas. Mereka sudah serasi merancang apa-apa pembaharuan di dalam parti. Mereka juga dilihat sesuai dan memahami aspirasi politik Pakatan Rakyat dan memiliki school talk sama.

Sebagai sahabat tiga serangkai, amatlah susah untuk mereka menghadapi perpisahan. Mereka bagaikan tiga sahabat yang sudah bersumpah sehidup semati dan ber'baiah' memperjuangkan Islam. Sebab itulah bila salah seorang mereka tersingkir ia menyedihkan kerana semacam ada kekosongan.

Mahfuz: Steady saja.
Air mata Husam dan Sallahuddin dan sesiapa saja yang berada di stadium Melawati semalam harus dinilai ataupun dijadikan cermin merasai keikhlasan dan kejujuran perjuangan mereka. Tuduhan, penghinaan kepada mereka yang dilakukan sebelum ini hendak dibersihkan dengan linangan air mata berkenaan. Saya yakin air mereka bukan sahaja jernih tetapi juga suci dan boleh dijadikan cermin untuk melihat masa depan Pas!

Tempat ditinggalkan Mahfuz diisi oleh Tuan Ibrahim Tuan Man. Undi diperolehi Tuan Ibrahim sebanyak 849 sedikit mengejutkan kerana sebelum ini beliau dibayangkan mendapat untuk tertinggi. Beberapa jam sebelum berlangsung pengundian saya 'berteka teki' dengan Abu Bakar Chik yang juga seorang calon presiden. Beliau yakin Tuan Ibrahim akan leading bahkan beliau meramalkan Husam akan terkeluar sama sekali. Manakala saya menyakini Husam yang leading. Ternyata teka teki kami meleset apabila yang leading ialah Salahuddin yang mendapat sebanyak 917.

Adalah diharap kemasukan Tuan Ibrahim mengambil alih tempat Mahfuz secara penuh tektikal itu dapat memenuhi kehendak ahli atau dapat menerus atau membawa stail kerja seperti Mahfuz yang komited dan serius dalam gerak kerjanya. Tuan Ibrahim yang lebih dilihat sebagai tukang syarah atau penasihat agama akan mengubah bentuk gerak kerjanya menjadi penggerak dan aktvis seperti Mahfuz kalau mahukan nilai Pas yang sedia ada kekal atau bertambah.

Kalau Tuan Ibrahim hanya sedia menjadi tukang tulis, menyampaikan ceramah atau membaca doa, Pas akan mengalami kerugian. Nilai kerja Pas sedikit sebanyak akan terjejas. Kalau pun Tuan Ibrahim tidak dapat memperjuangkan sesuatu seperti apa yang Mahfuz lakukan iaitu mempertikaikan perlaksanaan AES, tetapi beliau harus tampil dengan satu wawasan dan idea setanding dengan itu. Tuan Ibrahim perlu mencipta rekodnya sendiri.

Kehadiran Tuan Ibrahim nanti jangan memberi kesan negatif kepada kepimpinan ulamak yang dibanggakan itu. Sekiranya beliau gagal maka Tuan Ibrahim perlulah mengambil risiko kerana disebabkan penyertaan beliaulah maka terombaknya kesepaduan tiga jeneral di dalam Pas ang sudah terbukti sebelum ini.

Harap-harap Tuan Ibrahim tidak akan menjadi sebagai pegawai Kagat di dalam Pas. Bersambung. [wm.kl.1:50 t/hari 25/11/13]

3 comments:

Wan Naza said...

MSO,
tapi ado jugo ustaz hok benci sgt Husam. Pasal menangis pun dia perlekehkan lagi.

Bang Am said...

Salam Tuan,

Sedikit pembetulan nama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Khairuddin Aman Razali.

TQ.

firdaus said...

ada hikmahnya mengapa PR tak perintah Malaysia lagi
Malaysia ini org yg beragama Islam sama ada jahil atau bangga dgn ilmunya yg sedikit
mengenai syiah ini..kalau tak silap Amman Massage 2005 dan konfrens ulama antarabangsa antara ulama sunni dan syiah yg menjurus kpd penyatuan dan kesepakatan bahawa aswj dan syiah itu jelas bersaudara dan larang kafir mengkafir antara satu sama lain
tuan mso sbg penulis yg prolifik dan berani pernahkah ambil tahu begitu juga dgn ulama dan alim bijak pandai di malaysia ni
ada hikmah mengapa PR tak perintah Malaysia..mungkin lebih baik PR jgn perintah Malaysia kerana ada dikalangan kita merasakan kita lebih baik dari org lain dan akan serupa dgn umno saja