Saturday, November 9, 2013

Tian Chua sifatkan Jelani sebagai 'katak'

KENYATAAN                                                                                    

Naib Presiden Keadilan (PKR) Chua Tian Cheng atau Tian Chua yang kini dikatakan memangku tugas dan tanggujawab sebagai Setiausaha Agung parti itu menyifatkan wakil PKR Sabah, Jelani Hamzah (Adun Matunggong) yang bertindak mengeluarkan parti itu sebagai oportunis yang sengaja mahu menggunakan isu dalaman parti sebagai kepentingan diri.

Katanya, Jelani tidak puas hati berhubung perlantikan wakil pelbagai ethnik dalam majlis pimpinan parti.

Tian Chua juga menyifatkan tindakan Jelani itu sebagai katak politik yang akan hilang ditelan zaman. "Jelani hanya satu lagi kata politik yang akan hilang ditelan zaman," katanya.


Berikut adalah kenyataan penuh Tian Chua;

Tindakan Jelani Hamdan, ADUN Matunggong, yang telah mengisytiharkan beliau keluar parti dan meletak kesemua jawatan dalam KEADILAN hari ini sekali lagi menunjukkan tindakan pengkhianat amanah rakyat Sabah. Malah beliau adalah ahli politik "oportunis" yang sengaja mengguna isu dalaman parti bagi kepentingan diri sendiri.

Jelani Hamdan telah bertanding atas tiket KEADILAN-Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lalu, dan rakyat Matunggong telah jelas menyatakan kehendak mereka diwakili wakil rakyat Pakatan Rakyat di DUN Sabah.

Jelani berkata rasa tidak puas hati yang beliau alami adalah akibat lantikan kumpulan etnik pelbagai kaum dalam Majlis Pimpinan Negeri. Kenyataan yang beliau pernah membangkitkan pandangan beliau tentang isu ini merupakan bukti proses rundingan dan konsultasi yang terus diadakan. Pandangan beliau dan pelbagai pihak yang lain telah diterima dan dipertimbang.

Dalam pertemuan saya dengannya dan juga pelbagai pihak yang lain, saya menegaskan KEADILAN adalah sebuah parti politik pelbagai kaum, dan usaha mewujudkan konsensus mengambil masa dan usaha ikhlas dari semua pihak. Saya telah menjelaskan bahawa beliau saf pimpinan negeri terdiri dari kesemua pemimpin negeri, termasuk diri beliau. Mempertimbang keperluan semua pihak merupakan tanggungjawab yang wajib dipikul keseluruhan saf pimpinan negeri Sabah, yang mempunyai autonomi untuk merubah dan membentuk dasar dan struktur organisasi.

Amat tidak masuk akal Jelani menerima watikah lantikan sebagai calon pilihanraya KEADILAN namun kini berkata beliau tidak pernah menjadi anggota parti. Resit yang dipampang kepada media itulah bukti yang paling terang beliau telah menjadi anggota KEADILAN. Dalam setiap perbincangan dengan saya malah dengan lain pemimpin-pemimpin parti sebelum ini, isu keanggotaan beliau tidak pernah sekalipun ditimbulkan. Kini, isu ini dijadikan alasan untuk menjauhkan diri dari KEADILAN. Menggunakan contoh Datuk Seri Panglima Wilfred adalah tidak tepat, di mana beliau bertanding sebagai APS di bawah tiket KEADILAN atas persetujuan bahawa APS merupakan rakan bersekutu Pakatan Rakyat.

Akhir sekali, rakyat akan menilai dan menghukum ahli politik yang tiada integriti seperti ini. Seseorang wakil rakyat mungkin mengguna pelbagai alasan untuk bertukar arah, namun pendirian seseorang ahli politik berkenaan isu-isu dasar merupakan perkara yang paling penting. Rakyat yang telah memilih reformasi dan perubahan telah dikhianati apabila ahli politik yang pentingkan diri sendiri menjadi oportunis yang berpaling tadah dan menyokong rejim yang korup dan zalim. Tiada apa-apa masalah sama ada berbentuk peribadi mahupun parti yang boleh mengiakan pengkhianatan mandat rakyat sebegini.

Jelas, Jelani hanyalah satu lagi "katak politik" yang akan hilang ditelan zaman.

Chua Tian Chang
Naib Presiden KEADILAN

[wm.kl.6:45 pm 09/11/13]

No comments: