Wednesday, August 19, 2009

Catatan Perjalanan Pattani

Murid Sekolah Alat Untuk Kedamaian

MUNGKIN agak sukar untuk dipercayai kalau dikatakan semua hotel dan rumah-rumah penginapan, rest house di Yala dan Pattani hari Sabtu dan Ahad lalu penuh. Dari hotel bertaraf lima bintang hingga ke hotel murah (budget hotel) semuanya melimpah ruah dengan penghuni.

Dalam keadaan tiga wilayah, Pattani, Yala dan Narathiwat bergolak, dalam suasana macam dalam perang, hotel masih penuh. Hairan? Selalunya negara yang keadaan keselamatannya tidak terjamin industri perhotelan akan menghadapi masalah besar. Siapalah hendak menjenguk dan bersiar-siar di negara penuh bersejarah itu kalau nyawanya dihujung senapang?

Kerana itu saya merasa pelik dan tertanya-tanya kenapa berlaku begitu? Puas berfikir sendiri kenapa semua hotel penuh? Apakah orang tempatan yang menjadi pemandu pelancung dan diharapkan menempah tempat tidur itu sengaja berbuat demikian? Dia sengaja berbuat begitu mengelakkan saya tidak tidur di hotel kerana keselamatan?

Di Pattani empat hotel besar kecil yang dijajah satu persatu semuanya penuh. Menurutnya hotel di Pattani tidak pernah penuh apa lagi sejak wilayah itu bergolak empat tahun lepas industri perhotelan sudah malap. Pelancung luar khasnya dari Malaysia ternyata berkurangan sekali.

Kerana di Pattani penuh maka kawan itu terpaksa berpatah balik membawa saya dan dua teman ke Yala semula. Katanya di Yala pasti ada bilik kosong kerana hotel di sana banyak. Saya mulanya berkeras mahu tidur di masjid saja kerana sudah berbau masalah yang berlaku. Tetapi kerana dia memberi jaminan di Yala ada bilik, kami ikut saja.

Ternyata di Yala menghadapi masalah sama. Semua hotel kecil besar semuanya penuh. Kawan itu menjajah dari sebuah hotel ke sebuah hotel. Kecewa. Sampailah ke hotel bertaraf empat bintang Grand dan Chalit semuanya penuh.

“Ini sejarah... belum pernah terjadi,” dia sudah mula merungut kecewa. Apa yang dijangkakan meleset sama sekali. Dia juga hairan dengan keadaan itu. Akhirnya dia membawa kami ke luar bandar Yala sejauh 10 km. Di sana terdapat beberapa hostel atau vila yang jarang disewa orang. Malangnya vila ini juga penuh.

Kehairanan bertambah mengetik dalam kepala kawan itu. Menurutnya ini sudah satu kepelikan. Dia sendiri tidak dapat menjangka kenapa berlaku demikian. Hendak dikatakan di Yala ada ekspo atau pertunjukkan kebudayaan dan keramaian tidak ada pula.

Dipendekkan cerita akhirnya persoalan itu terjawab. Rupanya semua hotel dan tempat penginapan besar dan kecil di Pattani dan Yala ditempah sejak seminggu lalu untuk memuatkan murid-murid sekolah. Rupa-rupanya semua hotel dan penginapan dua malam itu dipenuhi dengan murid sekolah rendah dan juga pra sekolah bersama guru-guru masing-masing.

Pihak kerajaan telah mengadakan progam khas untuk membawa pelajar ke bandar dan menginap di hotel. Tujuannya ialah mendedahkan murid sekolah dengan keadaan bandar. Politik pemerintah dengan rancangan itu ialah untuk menunjukkan kerajaan begitu bermurah hati dan menyanyangi rakyat.

Apa yang diharapkan dengan meletakkan mereka di hotel supaya timbul perasaan gembira dari kalangan murid kepada kerajaan. Tentulah program itu juga diatur untuk mengabui mata umum dengan tindakan kerajaan yang meletakkan tentera di seluruh muka bumi wilayah bergolak itu sejak beberapa tahun lalu yang mana menimbulkan ketakutan kepada umum.

Apa yang berlaku di negara ini dimana murid sekolah dijadikan alat untuk meramaikan majlis sambutan menteri digunakan di Thailand. Apakah Thailand mempelajari taktik itu dari Malaysia? Ada kebenarannya kerana apa yang dilakukan oleh bekas PM, Thaksin Shinawatra di Bangkok yang menggerakan demonstrasi menyokong khabranya diimport dari negara ini juga.
Khabarnya kerajaan Thailand terpaksa membelanjakan ratusan juta ringgit dalam usaha memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada tindakan melambakan kira-kira hampir 100,000 anggota tentera di tiga wilayah bergolak itu. Soalnya apakah dengan strategi itu ianya boleh mengembalikan keyakinan umum dan tiga wilayah itu akan aman?

Sukar untuk diyakini strategi itu berhasil atau tidak. Yang pastinya selagi tuntutan rakyat wilayah bergolak itu tidak terpenuhi mustahil keamanan akan kembali hanya dengan cara rakyatnya dibeli murah begitu. [wm.kl 9:30 am 19/08/09]

No comments: