Tuesday, August 18, 2009

Ulasan Isu

Tok Guru Perlu Ajar Media Jahat

SEPERTI mana diduga 'fatwa' Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berbunyi ahli Umno tidak masuk syurga sudah kecur dan menjadi modal besar kepada UBN. UBN telah pun mula menjajanya. Beberapa ustaz dan Mufti yang kontrak (cari makan) dengan kerajaan juga ikut sama membantu menjaja dan menjual fatwa itu untuk memburuk Mursyidul Am itu.

Ia telah dijadikan modal murahan menjelang pilihan raya Permatang Pasir 25 Ogos. Hampir semua pemimpin Umno turut sama mengulasnya mengecam Nik Aziz. Nampaknya strategi Nik Aziz untuk mendapat simpati rakyat sudah tercapai!

Hari ini Nik Aziz telah membuat penjelasan mengenai apa yang berlaku disebalik terkeluarnya fatwa berkenaan. Beliau menafikan laporan yang dipetik akhbar berkenaan dan menganggapnya ia perbuatan jahat. Katanya dia tidak pernah menyebut perkataan ahli Umno. Apa yang beliau biasa sebut ialah penyokong Umno. "Saya tidak biasa sebut ahli Umno tetapi menyebut penyokong," katanya. Sah yang menukar istilah itu ialah wartawan yang menulis laporan itu.

Kalau begitu yang silap dan salahnya di sini ialah media yang menyiarkan laporan itu, Utusan Malaysia. Kemungkinan wartawan melaporkan itu kurang pendengaran. Ataupun mereka ada agenda sengaja mahu menimbulkan huruhara di kalangan masyarakat Melayu. Kalau benar begitu betapa kesalnya kalau isu-isu yang boleh menjejaskan martabat Melayu turut sama dipolitikkan tanpa memkikirkan kesan baik dan buruk.

Tegas Nik Aziz dalam kenyataan itu juga beliau tidak ada sebut fasal Palestin dan terkejut bila mana dalam laporan itu ada perkataan Palestin. "Saya terkejut ada perkataan Palestin, ini disengajakan nak lagakan saya dengan Palestin pula," katanya. Beliau bagaimana pun membayangkan apa yang beliau lapazkan ialah sesiapa yang memisahkan iman dan agama mereka tidak akan masuk syurga tidak kira mereka orang Pas atau orang Umno.
Maknanya kenyataan beliau itu bersifat umum dan tidak menunding kepada Umno semata-mata. Di sinilah berlaku eksploitasi oleh wartawan atau media yang menyiarkan laporan berkenaan.

Soalnya kini siapakah yang berbohong mengenai laporan berhubung kenyaaan Mursyidul Am itu? Apakah Nik Aziz atau wartawan yang menulisnya atau akhabr yang memetik laporan itu? Malang tidak ada audio video yang disiarkan di tv atau pun di mana-mana youtube untuk dijadikan sebagai bukti.

Walaupun mungkin Nik Aziz benar namun kalau ianya tidak disokong oleh audio video mungkin sukar untuk orang ramai menyakininya ini kerana sebelum ini Tok Guru itu ada juga melakukan kesilapan. Begitu juga sebaliknya kalau media yang melaporkan itu benar jika tidak ada saksi ia boleh diragui. Apa lagi persepsi umum kepada media arus perdana begitu buruk sekali. Apabila Nik Aziz membuat penafian dan bercadang untuk menyaman, maka jelas yang silap kini ialah wartawan dan media berkenaan.

Dalam kenyataan akhbar diadakan khas untuk menjelaskan itu, Nik Aziz juga mengesali sikap Mufti Kerajaan Perak, Harussani Zakaria yang menegurnya berdasarkan petikan laporan berita itu. MB Kelantan itu tidak senang dan beranggapan cara Harussani itu tidak betul di mana beliau sepatutnya menanyai dirinya dulu.

Katanya sebagai seorang ulama sepatutnya Harussani menghubungi dan bertanya sendiri apa sebenarnya yang diucap dan dimaksudkan dan tidak bersandarkan laporan media semata-mata. Harussani tidak boleh mengulas berdasarkan laporan bersifat politik!

Kali ini nampaknya Nik Aziz bertertib dan mengutamakan adab dan disipilin dalam membuat kritikan. Sememangnya sesiapa juga hendak mengkritik seseorang berhubung isu yang timbul mendapat maklumat yang cerap dan sahih untuk mengelakkan fitnah. Saranan Nik Aziz itu memanglah tepat dan perlu diberikan perhatian. Namun malangnya ada kalanya beliau juga tersasar dalam hal ini.

Apa yang beliau ke atas diri Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa adalah contohnya. Nasaruddin menjadi mangsa hidup-hidup disebabkan kelalaian Nik Aziz untuk bertanya secara direct kepada timbalan presiden Pas itu berhubung kerajaan perpaduan tetapi lebih percaya kepada laporan dan maklumat yang disampaikan di balik tabir kepadanya. Sikap Nik Aziz di sini ada sedikit double standard. Walaupun beliau akhirnya meminta maaf namun apa yang beliau lakukan itu memberi kesan kepada individu lain.

Begitu juga dengan para wartawan dan pemberita yang tidak faham maksud sebenar dikeluarkan seseorang tokoh atau sumber hendaklah menyelidik dan menyemaknya. Kelalaian dan kesalahan dalam membuat laporan ini ia boleh menyebabkan timbul masalah dan menyusahkan banyak pihak. Misalnya dalam kes Nik Aziz dan fatwa yang dilaporkan itu telah menimbulkan masalah dan sekaligus menyebabkan maruah Melayu dan Islam tercemar disebabkan ulah sesama sendiri.

Bila Melayu mempertikaikan keimanan sesama sendiri, soal siapa masuk syurga dan siapa ke neraka, sangat mengaibkan. Apakah kita tidak sedar bangsa lain dan penganut agama lain sedang memerhatikan kita yang masih belum pasti mengenai jalan (wasilah) yang kita lalui kini sama ada benar atau batil. [wm.kl. 8:45 am 18/08/09]

2 comments:

suparjo@blogspot.com said...

Pak MSO, kalau yang salah hanya kalimah 'ahli' dan yang sebetulnya kata TGNA ialah 'penyokong', maka ayatnya yang paling tepat ialah 'Penyokong Umno tidak masuk syurga'. Bagi saya tak ada beza. Isu besarnya ialah mereka yang mengundi Umno (ahli dan penyokong) telah dicop oleh TGNA tidak dapat masuk syurga kelak. Adakah maksud saya salah, dan mungkin TGNA akan membuat penafian pula jika orang ramai memahami sebagaimana saya faham.

RBF Online said...

saya sudah tidak heran dgn kona baring atau u turn yg dibuat oleh nik aziz.

minggu lepas pun sama juga. beliau berkata dap boleh hina islam. selang beberapa hari dia kona balik,kononnya dia kata tak pelik dap hina islam.

Sama juga dalam kes ajaran sesat di manek urai. dia buat kona baring juga.

nik aziz dah tua,bila penasihat tak betul maka hancurlah dia. penasihat pula selalu menerima bisikan syaitan. itu yg lagi parah.

penghormatan saya pada nik aziz dah jatuh hingga ke tahap 0 %. dulu walaupun saya berbeza aliran poltik dgn beliau tetapi saya masih menghormati beliau.

tuan mso, nik aziz adalah org politik. apa saja yg dia bercakap mesti ada niat politik. harus diingat politik itu kotor dan penuh tipu muslihat.

org yang benar2 berjuang ikut jalan islam adalah orang2 tabligh. mereka tidak peduli politik dan tidak pernah mengundi.