Monday, March 24, 2008

Enekdot Politik

Apabila Nama Kambing Jamnapari Disebut-sebut

PAGI tadi (jam 1:30 pagi) ketika menjamu selera di gerai ayam kampung di Lubuk Jong, Rantau Panjang saya jadi sedikit terkejut apabila sekelompok pelanggan kedai itu bercakap perihal projek kambing Jamnapari di Rong Chenak, To Uban.

Begitu mendengar kelompok itu bercerita hal kambing saya jadi hilang selera untuk makan dan terus memasang telinga ke arah mereka untuk mengetahui apakah intipati cerita berkenaan. Soal kambing mengambing ini cukup sensitif bagi saya! Al maklumlah komisyen yang diharapkan dibahan orang di tengah jalan!

Saya tidak tahu apakah mereka jujur memperkataka soal projek bernama Jihad Ternak itu, ataupun sekadar ingin memberi tahu kepada saya apa yang sudah jadi dengan projek berkenaan. Tentu penjenguk blog ini tidak lupa mengenai kisah kambing dan seseorang lelaki sasa berbaju petak-petak merah yang pernah muncul dalam blog ini.

Saya perturunkan antara petikan dialog kelompok berkenaan yang juga merupakan pelanggan kedai ayam kampung itu yang rata-rata berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun.

"Apa jadi dah dengan projek kambing di Rong Chenak, agaknya dah pecah kandang kot?" kata yang berbaju Melayu lusuh. Pecah kadang, maksudnya kesemua kadang kambing bernilai hampir sejuta di Rong Chenak itu sudah penuh dengan anak-anak kambing yang baru dilahirkan.

"Entahlah..." jawab pula yang seorang lagi sambil menggongong paha ayam. Yang seorang ini nampak kurang berminat dan lebih kemarut untuk makan.

"Ba kali perserta projek berkenaan dah kara raya...!" sambung yang tadi. Saya sesekali menjeling ke mukanya ingin mencerapi saiap dia sebenarnya. Di hujung hati semacam ada bara api.

"Kawan dengar dah lingkup. ?"kata pula yang berada disebelah yang berbaju Melayu lusuh.

"Takkan lingkup dah..?" acah yang berkupiah putih. Bumbung kupiahnya tajam macam kubah masjid Tibet.

"Dah... dah lingkup, dah lama hancur dah. Di Rong Chenak la ni tinggal gok (kandang) sahaja dengan tangki air yang mahal itu.... kambing dah tak ada sekor rabuk," jelas yang tadi hanya diam dan asyik makan. Dia seolah tahu dan arif apa yang berlaku di Rong Chenak.

"Betul ke?" tekan yang agresif tadi.

"Betul.... dah tak tahu ke mana dah. Bunyi khabar kambing tu dah dibahagikan kepada orang ramai. Ada setengahnya dapat dua tiga ekor seorang. Wakil rakyat pun ada juga hak dapat, dia bagi sesama dia" jelasnya lagi.

"Sapa dia...?" tanya yang berada disebelah pakai kupiah.

"Bunyi khabar wakil rakyat hak nak jadi Exco tetapi tak leh jadi tu pun ada ambil juga. Dia gi curi letak rumah dia. Ada dua tiga ekor di rumahnya.... besar-besar pula tu..." lanjut yang pakai kupiah lagi seperti tahu benar apa yang berlaku dan melihat sendiri kambing-kambing di rumah wakil rakyat yang tidak boleh jadi Exco itu.

Mendengar kata-kata itu saya tergaman. Dalam kepala terus mencari siapakah gerangan wakil rakyat berkenaan. Yang nak jadi Exco tak boleh ... sapa? Masakan dia tergamak curi kambing yang diuntukkan untuk rakyat. Tidak mungkin, wakil rakyat Pas tahu halal dan haram. Semuanya tahu hukum hakam. Mereka tidak pernah makan duit rakyat walaupun setengah dinar!

Terasa ketika itu juga ingin bertanya kepada orang yang menutur cerita itu. Biar jelas, tidak elok kala dia buka budu tengah kedai begitu. Malu kerajaan Nik Aziz , kalau wakil rakyatnya makan kambing rakyat. Saya tak percaya... tetapi kalau tidak berlaku masakan cerita itu boleh diecer begitu sekali.

Tetapi kerana saya tidak kenal yang bercakap itu tidak berani nak tanya dia sendiri. Saya kurang senang sungguh mendengar cakap-cakap kelompok berkenaan. Mungkin dia sengaja membuka cerita itu supaya saya tahu. Saya rasa mereka juga kenal saya dan tahu kerja saya.

Selepas makan mereka berlalu begitu saja tanpa menoleh kepada meja kami yang jaraknya tidak sampai 15 kaki dari mejanya. Hanya yang berkupiah putih melemparkan senyuman hamar kepada saya sambil megangguk 'pok ka' dua kali.

Dalam perjalanan pulang fikiran jadi tidak menentu. Terasa ingin menyiasat siapakah wakil rakyat hak nak jadi Exco tetapi tak leh jadi Exco itu yang dikatakan mencuri kambing jantan di Rong Chenak itu.

Tetapi bila mengenangkan projek berkenaan sudah berkubur, tidak ada gunanya untuk bangkar dan bangkit lagi. Lagipun saya sudah ramalkan awal-awal projek binatang berjanggut itu akan musnah dan gagal akirnya kalau orang yang bertanggungjawab membawanya balik tidak ikhlas dan jujur. Asal kapas menjadi benang, dari benang di buat baju...

Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya! Wowwww...wowwww....! [lbk. jong. 1:30 am 24/03/08]

No comments: