Friday, March 14, 2008

Ulasan Peristiwa

Pemimpin BN/Umno rihatlah dari mencaci pembangkang

MSO

“KALAU patah katakan patah, jangan pula terkenang-kenang, kalau kalah mengakulah kalah jangan pula perasaan menang”. Bidalan yang baru direka itu khusus untuk para pemimpin BN dan Umno yang kini kebanyakan dalam trauma.

Nampaknya ada yang tidak dapat menerima hakikat apa yang berlaku ke atas diri masing-masing. Ya... kalau kalah terima sajalah! Sudin... Sudin...!

Belajarlah merasai bagaimana azab dan malunya kerana kalah. Mudah-mudahan kalau ia dijadikan iktibar insya-Allah di lain masa kemenangan akan menjelma lagi.

Pemipin Pas, PKR dan DAP sudah lama merasai hakikat demikian. Sudah berpuluh tahun. Hakikat dan putaran hidup dalam politik harus diterima. Kalah menang adalah permainan dalam sesuatu game bernama politik.

Tidak ada gunanya lagi mengomen dan terus melemparkan tuduhan kepada pembangkang. Usahlah cari seribu alasan dangkal! Berilah peluang kepada mereka mentadbir dan menguruskan negeri yang mereka menang. Keputusan dan pilihan rakyat perlu dihormati.

Mengungkit

Seingat saya pembangkang tidak pun mengomen atau mengungkit apabila BN menang besar. Pembangkang hanya mendiamkan diri dan terus membuat koreksi diri. Paling-paling pun pembangkang hanya menyalahkan SPR sahaja yang tidak telus, kemudian mereka diam dan mengakui hakikat kelemahan mereka.

Apabila kerajaan pembangkang lewat atau gagal untuk membentuk dan mempersiapkan kerajaan mereka, (di Selangor dan Perak) pemimpin BN dan Umno kalut. MCA dan MIC yang kalah teruk seakan boleh menerima hakikat. Mereka tidak menjadi kelam kabut sebaliknya terus membungkus diri bagaikan tenggiling seludup jatuh dari lori.

Tetapi berlainan dengan pemimpin Umno. Mereka masih berusaha dan berikhtiar untuk tidak melihat pembangkang Pas dan PKR membentuk kerajaan. Mereka terus merendah dan memperlecehkan keupayaan Pas dan PKR.

Mislanya gara-gara silap teknik dan keceluparan mulut Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyebabkan MB Perak tidak dapat dilantik. Kegagalan itu dieksploiasikan oleh BN kononnya pembangkang tidak berkeupayaan dan sudah berpecah.
Kenapa harus berlaku begitu?

Hari ini di dalam surat khabar, ahli politik mulut busuk dan yang pernah membakar jambatan politiknya, Rais Yatim@Jantan pula memberi pandangan dari sudut perlembagaan dan undang-undang. Al maklumlah dia lulusan Phd dalam bidang perlembagaan dan demokrasi Malaysia.

Menurutnya, pembangkang tidak boleh bentuk kerajaan di Perak kerana majoritinya BN. Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah katanya salah menerima nasihat. Ai... lantang Rais ini apakah dia tidak tahu bapa Raja Dr Nazrin seorang pakar perlembagaan dan undang-undang. Begitu juga dengan Raja Dr Nazrin bukan sebarangan raja. Kelulusannya boleh tahan juga dan antara raja yang cerdik dan bijak.

Menurut Rais yang mendapat majoriti di Perak ialah BN bukannya Pas, PKR dan DAP. Walaupun kalau dicampur kerusi ketiga parti itu (Pas, PKR dan DAP) mereka lebih tiga kerusi, tetapi kata Rais mereka bukan sebuah pakatan yang mempunyai dokumen.

Memang diakui kerusi BN melebih daripada kerusi pembangkang.

Kalau Rais percaya dan yakin BN yang berhak kenapa Rais tidak menasihati Raja Perak. Kenapa beliau tidak turun ke Istana Bukit Candan dan menasihati Tuanku agar memperkenan salah seorang Adun Umno jadi MB?

Menguasai Perak

Sebagai orang Melayu dan beragama Islam kita mahu tengok Umno menguasai Perak. Sebab banyak kepentingan Melayu dan Islam boleh dijaga. Tetapi apakah dalam keadaan sekarang ini Umno / BN berkeupayaan?

Raja Perak saya percaya lebih bijak dan menyedari hakikat dan implikasi apa yang akan berlaku di Perak kalau baginda memilih Umno menjadi MB pada masa ini. Rais hanya memerhati dan bercakap berdasarkan kertas-kertas akademik dari atas jendela dan tidak memikul beban di Perak.

Cubalah lantik MB dari Umno. Saya yakin bila DUN Perak bersidang tidak sampai dua minit MB itu akan digulingkan dengan undi tidak percaya oleh pembangkang. Jatuh kerana usul undi tidak percaya lebih sakit dan memalukan daripada jatuh dari tangga di belakang rumah.

Rais janganlah cuba menunjuk cerdik dalam hal ini. Realiti politik hari ini perlu disedari. Semua orang kini sudah cerdik! Rais sesekali kena juga menunjukkan kebodohan dirinya. Sebab ada kalanya menjadi bodoh di tengah-tengah ramai orang cerdik ada baiknya juga!

Dalam hubungan hari ini adalah lebih afdal kalau pemimpin Umno seperti Rais Yatim merlihatkan diri daripada mencari salah pembangkang. Eloklah kalau Rais mengajak seluruh pemimpin Umno dan BN merenung ke dalam diri dan menghimpun kesalahan-kesalahan BN dan Umno sehingga mereka ditolak oleh rakyat daripada terus-terusan mencaci dan mencela pembangkang. [cheras.kl 10:10 am 14/03/08]

No comments: