Sunday, March 30, 2008

Sebelum Tidur

Siapa Speaker DUN Kelantan?

(kemaskini) TANGGAL 28 April ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), dijangka akan dipanggil ke persidangan khas untuk memilih Yang Dipertua (Speaker) DUN Kelantan. Speaker DUN Kelantan yang lalu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah tidak mungkin lagi dipilih. Wan Rahim kini ahli Parlimen Kota Bharu.
Siapa bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wan Rahim masih menjadi tanda tanya. Samada Timbalan Speaker, Nasaruddin Daud (Adun Meranti) akan dinaikkan pangkat sebagai Speaker DUN masih menjadi tanda tanya.

Ini kerana ada tanda-tanda menunjukkan kerusi Speaker DUN Kelantan menjadi minat banyak tokoh. Lobi melobi secara halus juga dikatakan sudah pun berjalan.
Sekiranya mengikut ghalib jawatan itu seharusnya diserahkan kepada Nasaruddin. Ada kesesuaian kalau diberikan kepada Nasaruddin. Selain beliau pernah menjadi timbalan Speaker, perlantikan itu juga sebagai proses kenaikan pangkat.
Tidak ditawar

Beliau sudah berkhidmat sebagai Adun, masuk penggal ke empat. Elok kalau Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan itu diangkat menjadi Speaker. Apa lagi beliau juga tidak ditawarkan untuk menjadi ahli Exco.

Bagaimana pun peluang Nasaurddin mungkin terlepas apabila kini timbul nama lain yang dikatakan sedang melobi untuk menduduki kerusi ‘pengadil’ DUN Kelantan itu. Bekas Setiausaha Umno Kelantan, Rosli Ibrahim yang menjadi calon Pas di DUN Kok Lanas dikatakan berminat untuk mengisi jawatan berkenaan.

Rosli dikatakan sudah mula bergerak ‘menjual diri’ untuk mengisi jawatan berkenaan. Khabarnya ada tokoh tertentu di Kelantan memberi sokongan dan galakan kepada beliau. Nampaknya Rosli ke hadapan dalam hal ini. Kesungguhan ini jelas apabila Rosli dikatakan menolak tawaran untuk dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Besar.

Tahap lobinya bukan saja di sekitar restoran Mutiara atau di kaki lima kedai Jaafar Rawas di Jalan Dato’ Pati, Kota Bharu atau di kedai kopi nasi kerabu daging bakar di Salor, namun sudah sampai ke Kuala Lumpur.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa juga khabarnya telah dihubungi meminta Rosli dipilih sebagai Speaker.

Langkah dan angan-angan Rosli itu nampak terlalu awal. Mungkin ia bukan dari kehendaknya tetapi kehendak tokoh lain yang dilihat menjadi pendayungnya selama ini. Beliau pernah ke China bersama seorang tokoh Pas Kelantan beberapa bulan sebelum pilihan raya. Untuk apa dan mengapa tidak diketahui sedangkan ketika itu Pas melarang Adunnya ke luar negara.

Hubungan intim Rosli dengan tokoh ini mungkin menjadikan Rosli berani untuk menuntut sesuatu yang lebih dari sepatutnya selepas beberapa hari menyertai Pas.

Mempunyai kelayakan

Alasan yang diberikan kenapa Rosli perlu diberikan jawatan itu ialah kerana beliau tewas dalam pilihan raya lalu. Rasanya alasan itu kurang tepat dan relevan kerana selain Rosli masih ada tujuh calon lagi yang tewas. Apakah ketujuh-tujuh calon yang tewas itu tidak mempunyai kelayakan untuk dipertimbangkan dilantik menjadi Speaker?

Tidak sewajarnya juga kalau Pas Kelantan melayani Rosli sampai ke peringkat itu. Pesuruhjaya Pas Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat harus tidak mudah termakan gula-gula yang dihulurkan oleh tokoh tertentu agar menerima Rosli sebagai Speaker.

Jika hendak dikira dengan apa yang Rosli terima sudah cukup daripada sepatutnya. Beliau menyertai Pas umpama baru petang semalam. Sebaik menyertai Pas terus diberi jawatan sebagai Penyelia DUN mengenepikan bekas Adun Ketereh (Kok Lanas) sebelum ini, Shaari Awang Hamat.

Selepas itu pada pilihan raya lalu beliau sekali lagi diberi habuan dengan dipilih menjadi calon Pas di Kok Lanas. Selain mendapat nikmat menjadi Penyelia, menjadi calon, Rosli juga dikatakan mendapat beberapa habuan kebendaan lain (benda keras) yang dianggap fantastik nilainya jika diukur dengan diri beliau.

Beliau juga dilantik menjadi Pengerusi kepada sebuah syarikat yang mengendalikan media massa Pas Kelantan dengan imbuhan dan elaun yang boleh tahan. Jarang orang muhajir diberi peluang sebegitu luas sekali.

Alasan beliau tidak mempunyai kerja juga tidak munasabah. Kerana orang kampung saya yang menyertai Pas sejak Pas menggunakan tangan sebagai lambangnya sampai kini masih belum dapat kerja yang dianugerahkan parti!

Hendaknya Pas dan Nik Aziz khususnya jangan terlalu manja dalam hal ini. Tok Guru harus tenguk belakang depan sebelum bersetuju atau menerima mana-mana cadangan agar Rosli dilantik menjadi Speaker. Lebih afdal dengar dan terimalah juga pandangan daripada pemimpin lain dan bukan taksub kepada seseorang saja! Kalaupun kita sayang kepada seseorang jangan percayakannya seratus peratus!

Memang Rosli kini sudah mengangkat syahadah bersama Pas. Namun peristiwa lampau juga harus dikenang dan diingat kembali. Sewaktu Pas berhadapan dengan masalah kerana bergaduh dengan Parti Semangat 46 tahun 1995 dulu, ketika itu Rosli bukan sombong lagi untuk bersama Pas.
Pas pernah mengundangnya untuk bergabung dengan Pas, namun tidak ada apa-apa respons daripada Rosli. Bahkan bila ada pemimpin Pas waktu itu membayangkan beliau akan menyertai Pas, disamannya pemimpin berkenaan. Ironisnya orang yang disaman itu kini menjadi kawan baiknya pula.
Hanya Allahyarham Haji Nordin Yaacob saja yang berkorban untuk bersama Pas sampai ke akhir hayatnya. Pengorbanan besar Haji Nordin itu pun setakat menjadi Yang Dipertua MPKB selama setahun sahaja dengan imbuhan sebanyak RM1,000 sebulan.

Ada muslihat

Jasa sejemput dan budi setitik Rosli jangan mudah terpesona. Keinginan ataupun usaha pihak tertentu untuk membawa beliau ke DUN itu tentu ada muslihat yang hanya orang itu saja mengetahuinya. Politik serba boleh jadi!

Rosli menyertai Pas hanya setelah beliau ada masalah dalam Umno. Sekiranya beliau tidak ada penyakit dalam Umno pasti beliau tidak akan meninggalkan Umno.
Adalah elok sebelum dimuktamadkan untuk melantik Rosli Pas Kelantan dan Nik Aziz hendaklah menyelidik dan membuka fail peribadi Rosli. Dalam Islam pun kalau seseorang itu masih telor bacaan (Quran) ia tidak diangkat untuk menjadi iman.
Sekiranya Rosli diangkat juga menjadi Speaker atas desakan tokoh yang ke Cina bersamanya, dibimbang ia akan menimbulkan implikasi lain. Akan timbul kemarahan di kalangan ahli Pas lain, dan mereka yang merasa berhak untuk menjadi Speaker pula akan terkilan.

Sekiranya Pas tetap tidak mahukan kepada Nasaruddin menjadi Speaker, Pas masih ada seorang lagi calon yang layak dan sudah pun berpengalaman menguruskan persidangan DUN Kelantan. Tokoh itu ialah Adun Melor, Wan Ismail Wan Jusoh. [wm.kl. 9:10 am 30/03/08]

No comments: