Thursday, March 6, 2008

Dalam Perjalanan

Panorama di Gua Musang

PADA masa ini saya berada di Gua Musang. Sampai menjelang Maghrib tadi. Sekejap tadi menghadiri satu majlis perjumpaan calon BN Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan MIC bahagian ini bertempat di sebuah restoran. Kira-kira 100 orang anggota MIC hadir.

Sambil makan bersama beliau, kami saling tukar menukar maklumat. Ada beberapa perkembangan menarik yang diberi tahu Tengku Razaleigh mengenai suasana di Kelantan. Antara ialah mengenai kedudukan calon-calon hebat BN di Kelantan.

(Kemaskini gambar) Menurut Tengku Razaleigh ada tokoh-tokoh hebat Umno Kelantan akan malu besar dalam pilihan raya ini. Katanya mereka akan kalah dalam pilihan raya Sabtu ini. Bahana ini menurutnya masih belum diketahui oleh tokoh-tokoh berkenaan. Beliau ada menyebut nama, namun elok kalau saya rahsiakan dulu. Saya akan siasat sejauh mana ketepatan maklumat yang Tengku Razaleigh perolehi itu.

Ditanya mengenai langkah Umno mencalonkan Awang Adek Hussin sebagai bakal MB Kelantan, bekas Menteri Kewangan itu nampaknya kurang setuju dan sedikit terkilan dengan penobatan Awang Adek itu. Katanya apa yang Umno lakukan itu mendahului Sultan Kelantan. "Yang berhak melantik MB ialah Tuanku, bukan sesiapa", ujarnya.

Mengenai kedudukannya di Parlimen Gua Musang, kata Tengku Razaleigh ianya terkawal. Memang melihat kepada suasana di bandar Gua Musang memberi petunjuk anak Raja Kelantan itu akan menang dengan mudah.

Bagaimana pun salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam parlimen Gua Musang iaitu Galas agak kritikal sedikit dan menuntut kerja keras.

Kerusi Galas meliputi kawasan bandar Gua Musang, dimana terdapat kira-kira lebih 1,000 undi Cina. Cina dikatakan tidak bersedia untuk memberi undi mereka kepada calon BN, Saufi Deraman.

Tengku Razaleigh kini sedang memulihkan keyakinan orang Cina. Katanya orang Cina hilang kepercayaan kepada Saufi Deraman kerana tidak menunjukkan prestasi memuaskan selaku wakil rakyat. Keadaan semakin pulih kini.

Sewaktu hendak berlepas ke Kelantan petang selepas Zohor tadi sudah ada mengatakan bahawa salah satu kerusi di Gua Musang akan jatuh ke tangan Pas. Kerusi yang disebut-sebutkan itu ialah Galas juga.

Laporan di sepanjang perjalanan pulang ke Kelantan dan perkembangan seterusnya di Gua Musang serta gambar-gambar akan menyusul kemudian. [gua musang 10:30 pm 06/03/08]

No comments: